Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Pendapat. Show all posts
Showing posts with label Pendapat. Show all posts

Agar tidak dibenci orang

 


Sejak enam bulan yang lalu, sudah dua kali kami disaman kerajaan. Kedua-keduanya adalah kesalahan nyata yang kami lakukan.

Pertama adalah kerana merokok di kawasan awam, dan yang keduanya kerana memasang nombor plat yang tidak mengikut peraturan pada kereta Kancil turbo kuning kebanggaan kami.

Tidak ada sebarang kekesalan atas saman kedua-dua kesalahan tersebut kerana kami memang melakukanya dalam keadaan sedar.

Yang menjadi kekesalan ialah betapa setiap kali ditahan untuk disaman, tidak berlaku kemesraan di antara kami dan pegawai yang menyaman.

Semuanya berlangsung dalam suasana yang keras, tegang dan autoritas. Kami selalu bertanya kepada diri sendiri akan ke mana hilangnya kelakar umat hari ini.

Bila agaknya tarikh tepat kita semua menjadi manusia yang serius dan hilang kemanusiaan.

Kamu bayangkan, sedang kami menikmati sebatang rokok setelah lama memandu; sedang kami dibuai khayalan yang menyenangkan, dan ketika hampir masuk ke alam sebalik mata, kebahagian kami sebagai seorang pencandu diragut.

Tangan kami dipegang dan tidak mahu dilepaskan seolah-olahnya jika tidak dipegang kemas, kami akan melarikan diri.

Betul kami pernah mewakili rumah sukan sekolah dalam acara lari 100 meter dengan rekod 15.3 saat, namun dengan usia sebegini dan dengan tar penuh di dada, kalau dibakar mati pun kami tidak akan bergerak ke mana-mana.

Bimbang saman berganda

Kami syak pegawai penguat kuasa berkenaan memerlukan bahan bukti - yakni rokok yang ada di tangan kami - maka beliau bertindak demikian.

Setelah reda panik dan bera kerana ditahan di tempat awam, kami pun mula menenangkan diri. Dek selamanya menyangka yang kami ini kelakar orangnya, kami pun mula berbual dengan pegawai tersebut.

Namun cubaan kami untuk menjadi kawan - walaupun disaman - tidak berjaya. Beliau masih bermasam muka dan tidak mahu berbual. Dimintanya kad pengenalan daripada kami dan beliau mula menulis.

Apabila melihat tangan beliau terketar-ketar menulis saman, kami pun bertanya: "Tangan lenguh tu banyak tulis saman ke? Ke, takut kat saya?"

Pegawai berkenaan mengecilkan mata dan bertambah marah. Lalu kami pun diam dan tidak tersenyum kerana bimbang disaman berganda.

Dimintanya kami menandatangani surat saman berkenaan dan setelah itu menghulurkan kepada kami helaian kertas itu tanpa sebarang kata-kata.

Sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih kepada kami yang telah membenarkan tugas beliau - yakni jurusaman - menyaman. Sebaliknya kami pula yang mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Biar pun terasa sedikit bodoh, akhlak mulia yang diajar sejak kecil kepada kami membenarkan ucapan baik yang kami tuturkan itu.

Gambar hiasan

Pegawai-pegawai kerajaan yang ada kuasa mengeluarkan saman sepatutnya lebih berhemah, malah seeloknya kelakarlah sedikit. Orang yang disaman biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan dan sengaja mengambil risiko atas sebab-sebab tertentu.

Dalam kes kami, seperti mana-mana orang kaya, kami tahu kami mampu membayar denda yang dikenakan. Jadi tidaklah kami hairan apabila disaman.

Saman RM300 kerana menghisap sebatang rokok - yang dalam perkiraan kami bersamaan dengan saman RM60,000 kepada selebriti yang bernikah dan menjemput 1,000 tetamu termasuk menteri - tidak akan membekas atau menjadikan kami miskin.

Buka baju akan bergaduh

Ketika disaman kerana menggunakan nombor plat fancy untuk Kancil kuning turbo, kami cuba merayu dan cuba juga menjelaskan kepada pegawai polis berkenaan betapa sebuah kereta yang secantik itu - dengan sayap belakang warna keemasan dan rim 16 inci tayar terkeluar - tentu tidak sesuai jika menggunakan nombor plat standard.

Agak memalukan apabila ekzos gajah mengawan kami disertakan dengan nombor plat cap kerajaan. Ini tentu akan menjatuhkan imej Kelab Kancil Turbo Wilayah Tengah (Kakiturbo) yang mana kami adalah bendaharinya.

Namun setelah berkata: "Huh! Nak jadi raja ya?" Pegawai berkenaan terus mendiamkan diri dan tidak tersenyum lalu mengeluarkan saman tanpa sepatah kata.

Kata-kata "nak jadi raja" diucapkan pegawai berkenaan merujuk kepada nombor plat yang kami lilit dengan kain kuning hadiah daripada guru kami, Tuan Guru Haji Kebal Fauzi al-Oslaini. Bukan kerana kami berlagak bagai anak raja.

Kami terluka. Bukan kerana disaman, tetapi kerana kemesraan dan keramahan yang kami tawarkan dibalas dengan bentakan hanya kerana kami melanggar undang-undang nombor plat negara.

Tidak dapat kami bayangkan apa akibatnya jika kami ini dituduh bersalah membunuh orang, misalnya.

Nampaknya kita semua sudah lupa akan hal bermuamalat dengan betul.

Setiap kali tular tindakan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) memunggah gerai-gerai haram juga mendatangkan kehairanan kepada kami.

Mengapa perlu dilakukan dengan penuh kekerasan? Mengapa perlu sampai bergaduh? Pernah sekali rasanya tular pegawai PBT sampai membuka baju mengajak peniaga bergaduh.

Gambar hiasan

Lawa betul badan beliau. Dan kami syak memang itu pun sebabnya - dia nak menunjuk badan lawa. Inilah akibatnya bila kamu terlebih makan steroid.

Peniaga gerai tidak berlesen ini biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka sudi mengambil risiko tersebut mungkin kerana di kawasan tersebut terkenal ramai pelanggan dan mereka pun memperjudikan nasib untuk mencari sedikit pendapatan.

Apa yang perlu dilakukan oleh pegawai-pegawai jurusaman itu ialah mengeluarkan saman dan balik. Izinkan peniaga terbabit menghabiskan jualan.

Kita perlu faham betapa banyaknya masa, tenaga dan wang ringgit yang dihabiskan oleh para peniaga itu. Mereka bersusah-payah bangun pagi-pagi untuk menyediakan jualan sambil berharap ia akan mendatangkan sedikit untung.

Esok jika mereka masih berniaga di tempat sama, pegawai saman cuma perlu datang lagi, senyum, dan saman lagi. Cukup tiga atau empat kali, para peniaga itu akan serik rasanya.

Memanglah akan nampak seperti banyak kerja namun kamu akan setuju jika kami katakana bahawa ini adalah cara lebih baik berbanding nak bergaduh tak tentu hala.

Ini tidak, kamu angkut kerana kamu berkuasa. Tentu saja peniaga yang dari awal pagi tadi belum berehat itu akan menjadi marah. Ditambah pula oleh hasutan "kedai Cina dia tak kacau" itu , maka berlakulah kebodohan.

Bergaduh bergasaklah kamu tidak tentu pasal. Tak pasal-pasal Cina yang baik hati itu kamu salahkan.

Yang menyaman ialah pegawai biasa yang gajinya tak sampai pun RM10,000 sebulan manakala yang disaman juga merupakan orang biasa yang perniagaan mereka bukanlah untung sampai berjuta-juta setiap tahun.

Tunggu diskaun saman

Sama-sama cari makan, sama-sama bukan kluster kayangan, maka gunakan sedikit budi bicara dalam menjalankan tugas. Kita dari kelompok yang sama, yakni kelompok berkerja.

Bukan kelompok menteri atau selebriti yang lahir istimewa bak dewa itu.

Jika seorang mak cik sedang menggoreng keropok di luar masa yang dibenarkan, maka datang kepada beliau dan cari alasan supaya kamu tidak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Masukkan ke kepala otak kamu bahawa itu orang sedang menggoreng keropok yang nanti akan dijual tiga keping RM1. Lihat keliling dan congak berapa pendapatan beliau sekiranya semuanya habis dijual dan tanya diri sendiri apakah mak cik tadi mampu membayar jika disaman sampai RM50,000.

Sedikit masa yang diambil untuk bertimbang rasa tentu akan membuahkan kesejahteraan untuk semua orang. Dan yang paling penting, nanti apabila kamu sudah bersara, sudah pencen dan tidak lagi mempunyai kuasa, kamu tidak dibenci orang. Senang mahu bertaubat.

Untuk rekod, kami diberi layanan yang sangat memuaskan di pejabat kesihatan semasa membayar saman kerana menghisap rokok. Pegawai yang bertugas berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari jalan agar saman RM300 itu dapat dikurangkan .

Bermula dengan beliau sendiri berjumpa dengan pegawai atasan dan kemudian datang kepada kami dengan sekeping kertas kosong dan mengajar kami bagaimana menulis surat rayuan.

Setelah itu beliau sendiri membawa surat berkenaan kepada pegawai atasannya. Apabila pegawai tersebut bersetuju mengurangkan jumlah denda kami setelah dua kali rayuan, beliau datang kepada kami dengan wajah puas hati.

Kami hanya perlu membayar denda sebanyak RM125. Jika tidak kerana bimbang dituduh memberi rasuah, mahu saja kami beri wang RM175 lebihan daripada jumlah asal RM300 itu kepada beliau.

Sememangnya sejak awal kami sudah sediakan wang RM300 untuk saman tersebut. Saman plat kuning pula belum kami jelaskan kerana menunggu tawaran potongan 50 peratus oleh pihak berkuasa.

Apabila difikir-fikir lagi, jarang sebenarnya ada negara yang berniaga dengan rakyat sendiri. 


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pemandu aksi lasak Kancil.

Reformasi IGP gagal?


Oleh Mohd Mizan Aslam

 Ketua Polis Negara (IGP) Hamid Bador telah menelanjangkan apa yang sebenarnya berlaku dalam institusi kepolisian negara.

Isu kartel yang dibongkarkan KPN umpama sel kanser yang sedang menghancurkan seluruh sistem keselamatan negara.

Bukan hanya PDRM, malah kanser ini juga terlihat dalam agensi penguatkuasaan lainnya termasuk kastam, imigresen, Aksem, Maritim, KPDNHEP, dan seumpamanya.

Memang tak dapat dinafikan bahawa sebagai agensi penguatkuasaan, kelompok ini paling terdedah kepada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Malah tukang cuci, pemandu lori dan apa-apa sahaja pekerjaan pun boleh dirasuah jika kena pada tempat dan masanya, asalkan kepentingan pihak-pihak berkaitan terpenuhi.

Bukit Aman, gambar hiasan

Dalam semua agensi ini, hanya IGP yang kelihatannya gagah berani membuka pekung di dada agensi beliau sendiri.

Ini satu pengakuan yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia. Agensi keselamatan sebuah negara dikawal oleh kartel jenayah terancang?

Tetapi harus diingat, bukan sahaja Malaysia, banyak lagi negara lain yang turut sama mempunyai masalah sedemikian rupa termasuklah India, Venezuela, Mexico, Afrika dan Jepun.

Tidak ada sesiapun yang sanggup memberi sesuatu dalam kuantiti yang sedikit atau banyak kepada penguat kuasa jika tiada berkepentingan.

Kerana kuasa yang dimiliki, undang-undang yang dijunjungi maka merekalah menjadi sasaran penjenayah ini. Jika tiada kuasa tak ada yang ingin mendekati.

Oleh itu, mahu tidak mahu mereka yang berkuasa ini perlu amanah dan dikawal sebaiknya, yang si penjenayah pula perlu dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Reform oleh IGP? Tetapi setakat mana keberanian beliau ini akan diteruskan? Malah beliau juga mengakui ada pula kartel yang mahu menjatuhkan beliau kerana reform dan komitmen beliau menghapuskan kerosakkan dalaman PDRM.

Ini parah, reform yang dibawa beliau pasti gagal kerana ada pihak dalaman yang mahukan ia gagal dan berusaha agar ia gagal.

Percaturan wakil rakyat

Anggota sendiri yang bersekongkol dengan penjenayah mahu IGP dijatuhkan, cuma nasib menyebelahi mereka kerana tempoh perkhidmatan IGP tamat semalam.

Yang lebih ditakuti adalah reform IGP ini juga cuba digagalkan oleh pihak luar terutamanya ahli politik?

Ya, tidak mustahil penjenayah akan mendekati wakil rakyat ini yang bertanggungjawab membuat pelbagai percaturan termasuk menggubal undang-undang.

Suara berani IGP tidak bersahut pun, mana suara menteri berkaitan? Mana juga suara perdana menteri? Ini saatnya reform yang dibawa ini diberikan kesinambungan bersifat infniti.

Dalam sejarah negara, Hamid Bador sahaja setakat ini yang berani mendedahkan kartel dalam institusi polis.

Ini tidak bermakna PDRM bawah KPN sebelum ini bersih. Akan tetapi keberanian panglima seperti Hamid Bador ini jarang dimiliki.

Ramai yang mengambil pendekatan senyap, tutup mata dan “aku dipenghujung servis, buat apa nak pening kepala”- sindrom biasa dalam agensi awam.

Walaupun dipujuk dan ada suara-suara yang mahukan IGP kekal, akan tetapi nampaknya penglima ini tekad mahu pergi.

Ada yang suka dan ada yang bakal meratapi kehilangannya. Apa yang bakal berlaku seterusnya?

Kerana isu kartel ini belum selesai, ia baru dibongkarkan, masih ramai yang belum dibawa kemuka pengadilan. Adakah kartel akan kembali menguasai PDRM?

Anggota yang dibawa ke JIPS akan ditukarkan tanpa hukuman di mahkamah terbuka? Reform yang disuarakan akan lenyap seumpama kabus di pagi hari atau reform ini hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Perlantikkan IGP yang baru adalah sangat penting, diharapkan reform yang telah diinisiatifkan oleh Hamid Bador dapat diteruskan.

Jika tidak, sia-sialah panglima bertempik, membuka langkah silat dan berpencak di kala yang lainnya hanya mencemuh dan menghambur kata nista.

Setakat ini, kelihatannya Ayob Khan, ketua polis Johor yang berani mengambil pendekatan di luar kebiasaan.

Ayob Khan

Adakah yang bakal meneruskan legasi Tan Sri Hamid Bador? Ketegasan Ayob memang terserlah, keengganan beliau menyerahkan nama kepada Jips menunjukkan ‘stand’ yang berbeza dimilikinya.

Ayob akan ditekan?

Komitmen terhadap pasukan PDRM sejak mengetuai bahagian E8, Counter-Terrorism jelas digeruni.
Akan tetapi reform Ayob senada seirama dengan IGP ini, persoalannya adakah reform ini mampu diteruskan dengan sokongan Bukit Aman? Atau Ayob akan menerima tekanan dan sebagainya?

Banyak perkara dalam PDRM ini yang masih belum selesai. Reform IGP dan Ayob ini jelas pada masa ini, kita meyakini IGP yang baru nanti mampu meneruskannya, posisi Acryl Sani sebagai nombor dua sebelum ini sedikit membataskan keserlahannya.

Acryl Sani

Jika diizinkan Allah SWT, Acryl Sani sebagai IGP yang baru akan meneruskan legasi Hamid Bador, malah diyakini Acryl akan melakukan reform yang lebih serius.

Bukan sahaja, Hamid Bador dan Ayob Khan, malah Acryl Sani juga akan termasuk dalam senarai panglima yang berpencak dan menghunus pedang melawan kebejatan gila si kartel.

Hapuskan kartel untuk kemajuan negara dan rakyat umumnya.


MOHD MIZAN ASLAM (PhD) berkhidmat di Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme, Naif Arab University for Security Sciences di Riyadh, Arab Saudi.

Najib Razak cari kuasa ‘magis’ kekal kuasa

TAHUN 2017 menjadi detik perhitungan. Perhitungan bagi sebuah perjuangan, antara jatuh atau bangun. Begitu juga bagi medan demokrasi di Malaysia, hayat bagi penggal ke-13 semakin menghampiri penghujungnya.

Biar pun detik akhir usia parlimen ke-13 pada Jun 2018, namun jarang bahtera demokrasi di Malaysia diheret ke hujung penggal.

Paling berani antara Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau memanggil pilihan raya umum 2004 ketika usia parlimen penggal ke-11 berbaki hampir sembilan bulan lagi.

Tarikh akhir usia Dewan Rakyat ketika itu pada 20 Disember 2004. Manakala Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pula 12 April 2004. Bagi Sarawak pula, tarikh akhir untuk mengadakan pilihan raya negeri pada 2005.

Tanpa mengambil kira tempoh penggal berbaki, Pak Lah mengumumkan pembubaran parlimen pada 3 Mac 2004. Beliau dilantik Perdana Menteri pada Oktober 2003. Perkiraan Pak Lah kena pada masanya apabila Barisan Nasional memenangi 198 kerusi Parlimen berbanding 20 kerusi dimenangi pembangkang.

Umno menang 109 kerusi parlimen, paling cemerlang dalam sejarah parti itu. MCA Najib Razak cari kuasa ‘magis’ kekal kuasa pula memenangi 31 kerusi dan MIC (9 kerusi).

Sebaliknya PAS hanya dapat mengekalkan tujuh daripada 27 kerusi yang dimenangi pada PRU 1999.
Berdasar kajian, Pak Lah berjaya meletak BN di puncak kuasa kerana persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003.

Kedua, faktor kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terlalu lama membolot kuasa.
Dr Mahathir digelar aktor politik autoritarian. Ketiga, kemunculan Puteri Umno yang mewarnai ragam kempen parti itu.

Keempat, peribadi dan perwatakan warak Pak Lah yang dilihat memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Rakyat dikatakan keliru dengan paparan gambar Pak Lah menjadi imam yang diletak di muka hadapan akhbar arus perdana.

Sejak merdeka sehingga sekarang, tiada seorang pun perdana menteri yang memperlihatkan ciri-ciri agama. Pak Lah tampil mengisi ruang itu biar pun seketika.

Sifat warak Pak Lah seolah-olah seumpama kosmetik. Akhirnya rakyat menolak Pak Lah dan Umno pada PRU 2008.

BN hilang majoriti dua pertiga di parlimen pada pilihan raya tersebut. Berikutan kegagalan mempertahankan hegemoni Umno dan BN, Pak Lah didesak berundur.

Antara pemimpin menjadi hero ketika itu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin mulai serangan terhadap Pak Lah.

Dan akhirnya pada 2 April 2009, Pak Lah berundur sebagai perdana menteri. Tanggal 3 April 2009 Dato’ Seri Najib Razak mengangkat sumpah Perdana Menteri baharu.
Najib patut merakam ucapan terima kasih kepada Muhyiddin kerana membolehkan beliau lebih cepat menduduki kerusi Perdana Menteri.

Muhyiddin diberi ganjaran hasil usahanya, apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Malangnya selepas tujuh tahun berlalu, jasa dan keringat Muhyiddin tiba-tiba dilupakan Najib. Kata orang kampung, tak kenang jasa.

Hari ini mampukah Najib menghadapi PRU 14 dengan jiwa yang tenang kerana musuh diciptanya semakin banyak.

Biar pun pasukan Penyelidikan Sulit Financial Times menggambarkan Najib berada di landasan yang betul untuk mengekalkan kuasa, namun ia tidak semudah itu.

“Kami menjangkakan Najib akan memenangi pilihan raya umum akan datang walaupun terpalit skandal rasuah 1MDB.

“Proses persempadanan semula dan pembangkang yang berpecah bermakna peluang untuk perubahan kuasa adalah sangat kecil di Malaysia,” rumus kertas penyelidikan itu.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menambah bilangan kerusi parlimen mula dilakukan tahun lepas.

Namun usul itu hanya menjadi kenyataan apabila mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
BN memerlukan sekurang-kurangnya 16 undi pembangkang untuk menjadikan jumlah sokongan kepada 148 kerusi. Tanpa jumlah itu usul persempadanan kawasan Parlimen gagal.

Ketika ini BN memiliki 130 kerusi Parlimen manakala pembangkang menguasai 89 erusi termasuk dua milik Bersatu, manakala satu kerusi dipegang Bebas.

Ia diakui Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Dato’ Seri Mohd Hashim Abdullah.

Menurutnya proses mewartakan dokumen persempadanan semula kawasan Parlimen tidak akan berlaku jika wakil rakyat pembangkang enggan menyokong usul berkenaan.

Berdasar hujah itu, Najib sudah kehilangan senjata utama untuk mengekalkan kuasa.
Najib juga tiada magis warak yang boleh menjadi tarikan rakyat.

‘Bersarakan’ Umno-BN pada kemerdekaan negara ke-60…


Oleh Lanh
 
SELAMAT Tahun Baharu 2017. Pada tahun ini negara kita akan meraikan Hari Kemerdekaan ke-60. Pada usia 60 tahun, kakitangan kerajaan bersara wajib; jadi kita berpendapat pada usia negara ke-60 inilah sewajarnya Umno-BN ‘dibersarakan’ daripada memerintah negara kerana ia sudah selayaknya mendapat status ‘pesara’. Jadi pada tahun 2017 ini selamat bersara, Umno-BN!

Persoalannya sekarang apakah Umno-BN mahu atau terpaksa pencen setelah 60 tahun memerintah negara? Kalaulah komponen parti ini kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU) yang jika diadakan pada 2017, maka menjadi realitilah Umno-BN pencen selepas memerintah negara ini selama 60 tahun.
Namun sudah tentu Umno-BN tidak mahu pencen setelah 60 tahun memerintah. Ada pekerja pun tidak mahu pencen pada usia 60 tahun. Oleh itu ada ura-ura melanjutkan tempoh pencen kepada 62 tahun. Masih muda, kata kebanyakannya, terutama daripada sektor awam. Masih banyak boleh disumbangkan kepada agama, bangsa dan negara, dakwa sesetengahnya.
Demikianlah betapa banyak alasan diberi sedangkan jika mereka tidak pencen, macam mana ada kekosongan bagi membolehkan anak cucu masuk dalam dunia pekerjaan. Itulah antara sebabnya puluhan ribu graduan kini menganggur! Ini kerana di ofis berlaku lambakan ‘datuk’ dan ‘nenek’!
Jika ada pekerja yang ‘tiada kepentingan sangat’ enggan pencen pada usia 60 tahun tentunya Umno-BN tidak mahu kerusi empuk yang didudukinya direnggut selepas 60 tahun memerintah negara. Banyak ‘keistimewaan’ dan ‘habuan’ sudah dinikmatinya, jadi buat apa bersara secara sukarela. Nampaknya, tiada jalan lain, pesaingnya perlu 'sehati sejiwa' menjatuhkannya secara ‘paksa-rela’!
Berdasarkan semangat Persidangan Agung Umno (PAU) hujung tahun lalu (2016) jelas sekali Umno-BN tidak sedia bersara pada usia 60 tahun ini. Kalau boleh ia mahu melanjutkan lagi mandat pemerintahan ke angka 70, 80, 90 dan 100 tahun. Atau lebih baik lagi dulu, kini dan selamanya sejajar dengan slogan keramatnya.
Apabila Umno-BN tidak sedia pencen pada usia 60 tahun ini (berdasarkan propaganda hebat dilancarkannya terutama melalui media massa), apakah rakyat boleh berterusan berdiam diri?
Seorang kakitangan (pekerja) yang mahu usia persaraannya (dulu ada pilihan untuk bersara pada usia lebih awal seperti 58 tahun) dilanjutkan sehingga 60 tahun mestilah menunjukkan prestasi baik bahawa dia masih boleh menyumbang bakti sekali pun badannya sudah sakit sana sakit sini.
Tidak guna ‘sign’ kontrak bersara umur 60 tahun tetapi tahun-tahun terakhir bekerja dipenuhi MC, terlantar di wad hospital, ponteng, termenung sana termenung sini kerana kaki sudah dipotong kerana diabetes, tak larat bekerja dan sebagainya yang pasti menjejaskan operasi jabatan atau syarikat. Hal ini akan menyusahkan pihak pengurusan dan rakan-rakan sekerja. Lebih buruk lagi, dalam usia senja itu terbabit pula dalam amalan buruk seperti rasuah.
Jika seorang pekerja boleh disemak rekodnya sama ada dia layak bekerja sehingga umur 60 tahun, Umno-BN juga boleh diperiksa prestasinya sama ada ia layak dipencenkan selepas memerintah negara selama 60 tahun.
Akhir-akhir ini apabila Umno-BN sudah ada tanda-tanda ‘kena pencen’, ia semakin gelisah sehingga terpaksa ‘masuk bakul angkat sendiri’. Maklumlah takut dipencenkan pada ‘usia muda’ kononnya! Tukang kempennya seperti media massa sarat dengan puji-pujian melangit, membodek Umno-BN sebaliknya menjadi kaki kutuk paling dahsyat terhadap lawannya.
Jika kita tengok TV, hampir setiap masa rakyat disogokkan dengan kejayaan PM dan projeknya seperti MRT, BR1M, Kedai 1-Malaysia, Klinik 1-Malaysia dan program membeli undi rakyat lainnya. Beritanya sarat dengan propaganda murahan sehingga rakyat ‘tidak ghairah’ lagi ‘membuka’ TV atau menatap akhbar arus perdana.
Hakikatnya tubuh badan Umno-BN sudah rosak teruk, menjadi sarang penyakit, oleh itu bersaralah wahai Umno-BN selepas memerintah negara selama 60 tahun; kalau tak, rakyat akan memaksa anda! Percayalah jika pilihan raya diadakan secara telus pada 2017 ini seperti dituntut Bersih, anda akan tersenarai sebagai seorang pesara! Selamat bersara Umno-BN!~~http://lanh14.blogspot.my

KWSP keluar daripada FGV, petanda buruk buat peneroka

PERKEMBANGAN terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melupuskan semua pegangan saham FGV menambahkan lagi keluh resah rakyat Malaysia terhadap kedudukan saham FGV yang mula diniagakan sejak 2012 .

Merujuk kepada laporan beberapa portal berita web, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  menegaskan bahawa pihaknya tidak lagi memegang apa-apa kepentingan saham dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

Menurut kenyataan oleh Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, dana persaraan itu memantau prestasi ekuiti FGV sejak beberapa tahun dan secara beransur-ansur menjual pegangan sahamnya.

Pihak KWSP terpaksa melupuskan pemilikan saham ini berdasarkan prinsip mereka mengamalkan tahap piawaian tadbir urus korporat yang tinggi menerusi dasar yang teguh pada kawalan risiko dan Peruntukan Aset Strategik.

KWSP terpaksa menjual semua ekuiti FGV yang mereka miliki secara beransur-ansur sehingga tidak memilikinya lagi sehingga hari ini.

Jika KWSP sudah hilang kepercayaan kepada FGV, bagaimana pula nasib peneroka Felda? Walaupun peneroka Felda memiliki hanya sekitar 2.5 peratus kedudukan dalam keseluruhan saham FGV ia sudah pasti akan memberi kerugian dan kebimbangan masa depan saham mereka.

Peneroka Felda hanya ditawarkan 800 unit saham dengan terpaksa membuat pinjaman daripada intitusi kewangan. Sehingga sekarang sudah empat tahun mereka masih membayar pinjaman ini setiap bulan secara potongan daripada hasil pendapatan jualan buah sawit atau getah mereka.

Mana janji Perdana Menteri untuk menjadikan peneroka Felda menjadi sebahagian golongan yang berpendapatan tinggi setanding dengan negara maju setelah penyenaraian FGV? Apakah sogotan durian runtuh RM15,000 setiap peneroka Felda sebelum penyenaraian FGV dulu satu helah mengunci peneroka Felda untuk membiarkan Felda dibuat sesuka hati oleh pemimpin negara?

Mereka juga bimbang mengenai kedudukan keseluruhan FGV, tanah seluas 360,000 hektar milik Felda sebelum ini juga telah diserahkan kepada FGV, peneroka Felda sebelum ini banyak mendapat faedah dari hasil tanah ini, antaranya peruntukan pembangunan sosial berjumlah RM60juta setahun.

Tanah ini juga mendatangkan hasil kepada kumpulan dari RM1.2 hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Bila diserahkan kepada FGV, Felda dan peneroka sudah hilang suatu aset yang bernilai buat mereka.

Kesanya kepada kumpulan sangat ketara, juga kepada peneroka, sudah ada kumpulan mereka  terpaksa berdemo di hadapan pejabat pengurusan kerana menuntut bayaran hasil jualan sawit mereka. Sebelum ini mereka sudah lama dibayar secara tunai dan tidak tertangguh, kini pihak pengurusan terpaksa meminta penangguhan 2 minggu sehingga sebulan untuk melunaskan bayaran.

Urus tadbir pengurusan tanam semula banyak menghadapi masalah. Felda juga sebelum ini mengaku 60 peratus pokok sawit mereka sudah tua dan perlu urusan penanaman semula segera bagi mengekalkan pengeluaran hasil sawit dan getah.

Apakah jaminan kerajaan untuk menyelesaikan masalah Felda, FGV dan peneroka? Apakah dengan terus mengekalkan Tan Sri Isa Samad selama beberapa tahun lagi menerajui Felda, kerajaan yakin Isa Samad boleh menyelesaikan semua masalah yang sedang melanda?

Peneroka Felda yang kebanyakkanya sudah berumur hanya mampu melihat kerangkusan pemimpin mereka yang selama ini diberi kepercayaan menguruskan Felda agar beramanah dan mampu mengekalkan kecemerlangan Felda kini sudah  terhakis.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat.

Krisis Syria: Fitnah yang menguji umat Islam

KRISIS yang berlaku di Timur Tengah perlu dilihat dengan kerangka yang luas bukan sahaja pertembungan Sunni dan Syiah yang hanya strategi untuk melaga-lagakan umat Islam walaupun tidak dinafikan Syiah adalah salah.

Antaranya ialah perebutan kuasa-kuasa besar untuk menakluk kawasan yang kaya dengan minyak. Sangat menarik kebanyakan kawasan yang dikuasai oleh ISIS samaada di Iraq atau Syria adalah kawasan yang kaya dengan minyak. Ini menimbulkan banyak persoalan.

Perancangan Israel juga mesti diambil kira untuk meluaskan jajahannya bagi mencapai matlamat Israelraya yg merangkumi seluruh negara Arab.

Dalam krisis Syria, ia sangat rumit dan payah untuk dirungkai.

AS, Saudi Arabia, Turki dan kebanyakan negara-negara Teluk mengambil pendekatan untuk menjatuhkan regim Basyar Al-Asad dengan matlamat yang berbeza. Matlamat AS ialah untuk menyelamatkan Israel (pendirian AS berubah-berubah). Matlamat Arab Saudi dan negara-negara Teluk yang bersama dengannya untuk menghentam Iran yang bersekutu dgn regim Basyar. Matlamat Turki untuk menjaga sempadannya dari pemberontak Kurdis.

Iran pula menyokong regim Basyar, matlamatnya untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria hanyalah satu-satu negara di Timur Tengah yang menjadi sekutunya.

Rusia juga menyokong regim Basyar, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni AS. Setakat ini Rusia berjaya apabila diberikan keizinan pengkalan tentera lautnya dibina di Tortuz, Syria (Satu-satunya pengkalan tentera laut Rusia yang berada di laut lepas).

Krisis yang berlaku ini yang menjadi mangsanya ialah rakyat Syria. Justeru perlu kepada kaedah yang tuntas utk menyelesaikan krisis ini supaya ianya tidak berpanjangan yang akan menambahkan lagi pertumpahan darah. Teringat amaran Nabi SAW yang menyebut antara apa yang akan berlaku di akhir zaman; orang yang dibunuh tidak tahu kenapa dia dibunuh dan orang yang membunuh tidak tahu kenapa dia membunuh.

Semoga Allah menyelamat dan mengeluarkan umat Islam daripada fitnah ini.

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Isu hudud: Empat soalan untuk DAP jawab

Oleh Timmy Say

SERANGAN berterusan pimpinan DAP terhadap PAS di atas isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) atau hudud menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam mengenai apakah yang tersirat di sebalik tekanan ini.PAS telahpun menjelaskan dan mengikuti apa yang diingini dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

PAS telah memperjuangkan EKJS sebelum wujudnya Barisan Alternatif mahupun PR. PAS yang ada hari ini adalah PAS yang sama yang ingin melihat Islam didaulatkan.


Pembentangan semula enakman ini pada 18 Mac di Dewan Undangan Negeri Kelantan hanyalah 'pindaan' bagi menambah kebaikan dan menjelaskan kekeliruan. Hal ini telah dijelaskan dalam mesyuarat PR.

Selepas mesyuarat, DAP memperbesarkan isu ini kononnya PAS hendak membentangkan sesuatu yang baru dan sebab itulah mereka membantah.

Soalan pertama: Apakah kalau tak ada sebarang pindaan, apakah DAP akan sokong EKJS?

DAP juga mendakwa bahawa kerjasama antara kerajaan Kelantan di bawah PAS dan Kerajaan Pusat di bawah BN adalah petanda 'adanya usaha penyatuan PAS dan Umno.’

Pelbagai penjelasan telah dibuat, bahawa pelaksanaan enakmen ini memerlukan sokongan kerajaan Pusat kerana polis, lokap, penjara dan sebagainya masih di bawah kawalan kerajaan Pusat.

Soalan kedua: Apakah kalau Kerajaan Pusat tidak bagi kerjasama, maka DAP akan sokong EKJS?

Kemudian, ada yang mencadangkan utamakan penyelesaian isu banjir daripada EKJS. Bantuan banjir dan proses pembangunan semula mangsa banjir terus berjalan dan tidak terhenti dengan pembentangan enakmen Jenayah Syariah ini.

Bagaimana pembentangan enakmen ini boleh mengganggu usaha pembangunan semula banjir? Logik soalan ini kena diajukan pada mereka yang bertanya.

Soalan ketiga: Apakah kalau selesai isu banjir, maka DAP akan sokong EKJS?

Sebenarnya, rakyat Malaysia, termasuklah PAS sudah tahu DAP ini memang menentang perlaksanaan EKJS. Mesej sudah sampai ke rakyat. PAS pun tidak harapkan sokongan DAP. PAS cuba melaksanakan EKJS melalui jalan demokrasi, dan itupun kini ditentang oleh parti yang dikatakan menjunjung demokrasi.

Soalan keempat: Oleh itu, apa lagi yang DAP mahu? Apakah DAP mahu Pakatan Rakyat berpecah dan Umno-BN terus berkuasa?

Kalau BN tidak berpecah kerana isu 1MDB, serangan Dr Mahathir dan isu rasuah yang menyelubungi Umno, apakah wajar Pakatan Rakyat pecah kerana EKJS?

PAS tidak mahu Pakatan Rakyat berpecah. PAS cuma harapkan penjenayah beragama Islam untuk diadili oleh hukum jenayah Islam. Salahkah ini? Oleh itu, jangan salahkan PAS kalau Pakatan Rakyat pecah

Jangan panik, PAS tidak akan berpecah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA 

PENGARAH Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki meramalkan akan berlaku perpecahan selepas muktamar tahunan 2015 yang dijangka berlangsung 1 Jun ini.

Beliau mendakwa, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sedang berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini.

“Jika mereka tidak berjaya, saya jangka Pasma akan jadi sebuah parti dan bakal menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat,” ujar Dr Zuhdi. Walaupun beliau seorang tokoh akademik tapi dalam isu “perpecahan PAS” ini kenyataannya bukanlah satu kajian akademik.

Mungkin kenyataan politik, untuk melahirkan rasa waspada dalam kalangan ahli-ahli supaya berbeza jangan sampai berpecah. Dalam politik, banyak kaedah boleh digunakan untuk menyedarkan ahli-ahli.

Tidak munasabah untuk Pasma jadi pemangkin perpecahan PAS, kerana NGO itu tidaklah sekuat mana pun. Ahlinya di seluruh negara mungkin tidak sampai 100 orang. Tiada kepimpinan peringkat pusat bahkan kepimpinan negeri yang sertai Pasma. Sebahagian dari kepimpinan yang ada dianggap sebagai ahli PAS yang “bermasalah.”

Dalam road show yang diadakan di seluruh negara, tiada sambutan dari ahli-ahli PAS sendiri. Justeru, dakwaan bahawa Pasma sedang berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan direalisasikan melalui muktamar tahun ini, adalah tidak masuk akal.

Pasma menjadi gah dan seolaholah satu ancaman kepada PAS kerana publisiti berlebihan yang diberikan terhadapnya. Tanpa publisiti Pasma akan pupus begitu saja.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali sendiri lantas menafikan kenyataan Dr Zuhdi tersebut.
“Setakat yang ada ni saya tahu tak ada yang sanggup nak cabar kedudukan presiden, masing-masing masih berharap Tuan Guru kita masih kekal menyangdang jawatan itu,” kata Dato’ Mustafa.
Kenyataan beliau tepat sekali.

Tokoh PAS yang berada dalam Dewan Harian PAS Pusat sejak 40 tahun itu sangat bijak menangani kemelut dalaman. Beliau turut menyangkal dakwaan Dr Zuhdi bahawa usaha menjatuhkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula sejak 1998 lagi. “Tak betul fakta Zuhdi, 1998 Presiden PAS masih Ustaz Fadzil Noor,” ujar Dato’ Mustafa.

Apa yang terjadi dalam isu “menjatuhkan Presiden PAS” sebenarnya hanyalah cetusan rasa panik yang tidak menentu sekalangan anggota PAS. Mereka khuatir Tuan Guru jatuh dan jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam akan hilang. Kekhuatiran yang tulus ikhlas itu adalah hasil kecintaan mendalam terhadap perjuangan Islam.

Realiti yang berlaku adalah Tuan Guru Presiden masih mantap pada kedudukannya. Dakwaan ada gerakan untuk menjatuhkannya boleh dipertikai. Kerana untuk menjatuhkan pemimpin nombor satu parti itu, ia perlukan calon pesaing untuk merebut jawatan dalam muktamar. Ia mesti dibuat secara terbuka sebelum mesyuarat agung tahunan PAS kawasan bermula. Kawasan yang akan mencalonkan presiden.

Tengku Razaleigh Hamzah ketika mahu mencabar Dr Mahathir Mohamad selaku presiden Umno mengambil masa agak lama untuk menggerakkan usaha merebut jawatan tersebut, sekalipun Dr Mahathir lemah dan banyak musuh ketika itu. Inikan pula mahu menyaingi Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang masih kuat. Muktamar PAS Pusat akan diadakan kira-kira tiga bulan sahaja lagi. Jika hingga ke peringkat ini, langsung tiada desas desus presiden akan dicabar maka usahlah cemas melampaulampau bahawa presiden akan digulingkan.

Mungkin terdapat segelintir anggota yang mengkritik presiden, maka tindakan itu belum boleh dijadikan bukti bahawa presiden hendak digulingkan.

Ketakutan yang melampau jika tidak diuruskan dengan betul boleh membawa kesan negatif terhadap PAS. Antara kesan ketakutan melampau, ialah membuat kenyataan terbuka kononnya terdapat individu yang berkomplot guling presiden, mendedahkan isi memorandum dalaman kepada media dan berdemonstrasi secara terbuka untuk menyerang pemimpin tertentu dalam parti. Tidak perlulah sampai ke tahap itu kerana imej PAS akan rosak. Sedangkan imej tersebut yang hendak digunakan sama ada dalam kerja dakwah atau pilihan raya.

Yakinlah dengan kenyataan Dato’ Mustafa Ali bahawa, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai presiden tidak ada mana-mana individu mahu menyainginya. Saya mengandaikan jika ada individu yang mencabar presiden dalam muktamar kali ini, mungkin akan senasib dengan Zul Hazmi Sharif yang mendapat tujuh undi dalam pemilihan ketua Pemuda PAS pada muktamar dua tahun lalu.

Apa yang digambarkan sebagai konflik dalaman PAS itu sebenarnya tidaklah terlalu besar sehingga PAS berpecah. Ramalan bahawa PAS akan berpecah itu pun boleh bawa impak negatif terhadap PAS.

Melabel dan membuat cabaran terbuka sesama anggota jemaah, khususnya pada tahap kepimpinan juga boleh bawa kesan buruk. Di media sosial perdebatan tiada kesudahan perihal perbezaan dalaman sehingga ke peringkat menyerang sesama sendiri, memaki hamun dan mencarut juga buruk padahnya.

Matlamat ahli-ahli PAS ialah mahu mendapatkan keredaan Allah. Tiada guna menang pilihan raya tetapi Allah tidak reda kerana menolak pelaksanaan Islam. Waktu kalah pun begitu.

Allah tidak reda jika asyik bertelagah, menolak musyawarah atau tolak teguran secara hikmah sesama anggota jemaah, menggelar buruk, memaki hamun atau hilang ukhuwah. Biar kalah atau menang; biarkan kita berakhlak dan berprinsip dengan yang Allah redai.

Semua anggota jemaah dari pemimpin aras atas hingga akar umbi, masing-masing ada kelemahan atau kesilapan. Tugas pemimpin yang sedar untuk melakukan tarbiyah semula membetulkannya.
Jangan ada idea penyingkiran, asal silap mesti diusir keluar parti.

Semoga pascamuktamar PAS Jun nanti, PAS tidak berpecah malah akan lebih mantap sambil memperbaiki kelemahan masing-masing. Biarlah ulama dan profesional yang layak untuk memimpin jemaah berada pada kedudukan masing-masing.

Rakyat rugi jika BN tak bertanding Chempaka

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

BN berura-ura (dan disahkan dengan kenyataan Najib Razak 25 Feb) tidak akan menyertai pilihanraya kecil DUN Chempaka, ekoran pemergian Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 Jika ia benar-benar berlaku maka ini bukanlah kali pertama BN tidak sertai pilihanraya kecil, sekalipun rekod pencapaian BN dalam mana-mana PRK sering memihak kepada mereka.

BN pernah pulaukan PRK Penanti tahun 2009 yang diadakan ekoran peletakan jawatan ADUNnya yang juga selaku Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Alasan yang diberikan kerana PRK itu tidak perlu diadakan kerana ia hanya untuk menyelesai masalah dalaman PKR. Tidak wajar rakyat diheret sama dan PRK hanya menghabiskan wang rakyat. Itu hujah BN.

KeADILan sekali lagi mengheret rakyat menyelesaikan masalah dalaman mereka apabila ADUN Kajang meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (kemudiannya bertukar tangan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail) sebagai calon. Berdasarkan prinsip yang dipegang pada PRK Penanti, BN sepatutnya tidak sertai PRK Kajang tetapi fatwa politik BN boleh berubah ikut selera mereka. Calon MCA yang mewakili BN kalah di tangan Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah.

PRK Chempaka sangat mudah untuk dijangka. Di hampir kesemua negeri yang bermajoriti Melayu, peratus pengundi tegar sangat tinggi, tidak kira pengundi tegar itu BN atau PAS. Chempaka adalah kawasan pengundi tegar PAS yang diwakili Tok Guru sejak sekian lama. Satu kontena wang emas pun jika dilabur BN belum tentu dapat mengubah pengundi tegar PAS untuk mengundi BN. Kekalahan BN sudah dijangka sebelum ayam berkokok lagi.

BN mempunyai pilihan, sertai pilihanraya sekadar untuk mengurangkan majoriti PAS. Perkara itu tidaklah mustahil untuk dilakukan kerana setiap kali PRK mereka turun dengan jentera kerajaan Pusat. Nampaknya ia tidak jadi pilihan bagi BN kali ini.

Alasan yang diberikan di sebalik cadangan tidak sertai PRK yang diberikan oleh para pemimpin Umno ialah menghormati Almarhum Tok Guru. Alasan lain ialah mahu beri penumpuan untuk pulihkan mangsa banjir di Kelantan. Kedua alasan sangat lunak didengar. Tidak mengapalah, tak perlulah diulas alasan yang diberikan kerana dalam politik apa saja alasan boleh dicipta, sekalipun selepas keputusan dibuat.

Cuma malangnya apabila BN tidak meletakkan calon dalam PRK adalah rakyat di kawasan tersebut. Mereka hilang tuah untuk dapat nikmat pembangunan. Gurauan kasar rakyat Malaysia yang sering didengar ialah “Tunggu wakil rakyat mati, barulah kerajaan BN nak bantu rakyat.” Senario itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.

Apabila tiada PRK maka tiadalah kementerian-kementerian yang turun dari Pusat untuk mengagihkan projek. Projek yang turun pula bukan bertaraf untuk sebuah kawasan DUN tapi biasanya peruntukan dari kementerian untuk sebuah negeri. Menteri akan turun dari rumah ke rumah. Biasanya setiap kali PRK, kerajaan Pusat akan menghabiskan puluhan juta ringgit. Siapa menang tidak penting tapi rakyat dapat nikmat yang besar dan luarbiasa sekali. Contohnya untuk PRK Anak Bukit 2002, rakyat dapat sebuah kompleks pentadbiran Persekutuan. Untuk PRK Pendang, rakyat dapat jalan susur keluar dari lebuhraya PLUS ke Pendang. Pilihanraya PRK Manek Urai, rakyat dapat sebuah jambatan yang bernilai jutaan ringgit.

Semua tokoh politik, artis, selebriti, ahli sukan dan pendakwah akan turun berkampung. Duit ditabur macam daun getah kering. Setiap masalah rakyat dari sekecil perkara akan selesai sekelip mata.

Dalam PRK Sungai Limau rakyat berpeluang membeli gula, beras, minyak dan macam-macam keperluan harian dengan harga RM1 sekilogram. Apabila ditanya pada menteri, jawapannya “Memang sudah lama dirancang, cuma kebetulan berlaku masa pilihanraya.” Betul, banyak perkara kebetulan yang muncul dalam PRK. Rakyat suka semua perkara kebetulan yang muncul itu. Jika BN tidak bertanding tentulah rakyat tidak dapat apa-apa.

Apapun, PAS tidak harus leka dibuai kenyataan lunak mengapa BN enggan sertai PRK Chempaka. Umno tetap Umno. BN tetap BN. Perancangan atau strategi musuh politik, mesti cekap dihidu. Tidak harus lurus bendul atau sekurang-kurangnya ambil sikap berwaspada (hazar).

Keutamaan BN sekarang ialah memecahkan Pakatan Rakyat. Pelbagai cara telah diteroka, sebahagiannya berjaya. Dengan BN tidak bertanding di Chempaka, mereka cuba mewujudkan suasana kondusif Umno-PAS. Sebaliknya dalam PRK Permatang Pauh, BN akan letak calon mencabar PKR. BN akan hadapi PKR dengan agresif.

Ada pihak mengandaikan akan terdapat kalangan pemimpin PAS yang tidak bersungguh-sungguh membantu PKR di Permatang Pauh lantaran terhutang budi di Chempaka. Sukar untuk berlaku kemungkinan itu tetapi ia boleh dilihat sebagai satu percubaan Umno untuk merenggangkan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, sama ada BN tidak sertai PRK Chempaka atau sebaliknya; ia sama sahaja. Malahan sebahagian ahli yang sempurna tarbiyah sangat mengharap berlaku PRK kerana ia medan terbaik untuk menyumbang bakti kepada perjuangan Islam. Jika BN letak calon, maka ia boleh membakar semangat jihad PAS.

Apa jadi selepas Mac

 Oleh Sakmongkol AK47

Ini mungkin fiksi atau mungkin juga ianya akan jadi fakta. Kata pendita, wallahu-'alam bissawab.Kita tengok apa jadi bulan March 2015 ini. Kita mahu lihat sama ada ucapan Dr Mahathir ‘beware the ides of March’ akan berlaku.

Dalam sejarah Rom, the ides of March ialah tarikh Caesar dibunuh oleh konspirator–konspirator yang terdiri dari lebih kurang 60 senator. Tidak sukar untuk membaca, bila Dr Mahathir menyebut mengenai ‘ides of March,’ ianya sebagai tempoh Najib disingkir dari jadi PM.

Kita pun hendak lihat jika Najib bukan PM, sama ada dunia akan kiamat. Dunia tidak kiamat ketika Dr Mahathir berhenti. Dan Najib bukan sama kualiti dengan Dr Mahathir.

Kita mahu lihat sama ada Najib boleh bertahan selepas Mach 2015.

Adakah kita ingat keberanian Sirul mahu mendedahkan bahawa dia bertindak atas arahan itu sebagai suatu kebetulan atau coincidence?

Kengganan Sirul berkata apa–apa semasa di bicarakan sangat difahami. Manalah tahu, seperti yang disebut oleh Razak Baginda, berlaku pula ‘custodial death’ keatas Sirul.

Ini bukan saya kata, ini Razak Baginda yang kata dan Razak Baginda is ‘an honourable man.’

Dan ia menakjubkan belum pun lagi Sirul berkata apa–apa, ketua polis negara berkata Sirul mungkin dipengaruhi untuk bercakap bohong? Jika ya, rakyat mahu tahu dari polis Malaysia yang ‘super–efficient,’ siapa yang mempengaruhi Sirul?

Dan oleh kerana tidak ada orang Malaysia yang ada akses kepada Sirul, maka bolehlah kita membuat konklusi bahawa orang yang mempengaruhi Sirul mestilah orang Australia.

Celaka betul orang Australia ini kan?

Tapi, boleh atau tidak kita buang keberangkalian, sebelum Sirul cabut lari ke Australia, dia telah bertemu dengan orang–orang yang berpengaruh dan menceritakan apa sebenarnya berlaku dan mungkin pula membuat kenyataan dan deposisi bertulis? Apa kita hendak buat ketika itu apabila deposisi tersebut, signed dan disaksikan oleh orang–orang yang ‘impeccable’ peribadi mereka, timbul pada bulan Mach ini?

Seperti kata arwah Pak Sako, wow!

Dan yang Dato Najib tidak semena–mena mengsampahkan kenyataan Sirul mengapa? Ini kes pembunuhan yang mudah seperti yang disebut oleh Razak Baginda dan tidak perlu mengundang respons daripada PM.

Kita semua tidak lupa, ketika perbicaraan Sirul dan ketua inspector dijalankan, peguam negara dengan segera mengistiharkan tidak ada siapa lagi yang terlibat.

Jadi mengapa Dato Najib melatah mengatakan apa yang Sirul kata ialah ‘rubbish’?

Adalah tidak kena ‘Chief Constable’ negara kita dan PM mendahului sesiapa daripada mendengar apa yang Sirul mahu katakan.

Orang yang pasti dimatikan, mungkin mahu menyelamatkan rohnya.

Kita kena beri peluang kepada Sirul.

Dr Maza elok jadi penasihat agama PM

Oleh Subky Latif 


SAYA tidak tahu apa yang Perdana Menteri Najib buat dan pakai ketika menghadiri perayaan Thaipusam, tetapi saya tertarik dengan komen dan nasihat Dr. Maza tentang apa yang Perdana Menteri dan pegawainya patut buat dan tidak patut buat sebelum dan semasa hadir ke perayaan Hindu itu.

Dari apa yang tersiar, Dr. Maza yang baru sekali lagi jadi Mufti Perlis itu telah memberi pandangan dan nasihat yang tepat amat munasabah buat Perdana Menteri dan orang-orangnya dalam apa jua kegiatan dan tindakan.

Kenyataan pertamanya sebagai Mufti kali kedua itu boleh dikira sebagai satu kritik agama yang serius tetapi saya lebih mudah mengiranya ia satu nasihat yang perlu sesuai dengan Islam itu adalah agama nasihat.

Dengan tegurannya itu saya kira Dr. Maza lebih tepat jadi Penasihat Agama Perdana Menteri, bukannya sekali lagi jadi Mufti Perlis. Jadi Mufti Perlis amat sesuai dengan pegangan Islamnya daripada jadi mufti lain-lain negeri tetapi lebih elok jika menjadi Penasihat Agama Perdana Menteri, satu jawatan yang diwujudkan oleh Dr. Mahathir dulu.

Setakat ini jawatan di JPM itu dirasakan sebagai hendak beri jawatan saja, bukanlah sangat dilihat untuk memberi panduan kepada Perdana Menteri. Penjawatnya setakat ini dilihat lebih banyak menerima nasihat Perdana Menteri daripada memberi nasihat kepada Perdana Menteri.

Jika penasihat diwujudkan dengan mengambil contoh Rumah Putih, peranannya ialah mencorakkan apa Presiden Amerika daripada parti yang berkuasa patut buat. Ia diwujud dan digaji bagi membantu Presiden membuat dasar dan tindakan dalam bidang berkenaan.

Sebagai penasihat agama Perdana Menteri kedudukannya lebih kanan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jakim dan lain-lain institusi Islam dalam kerajaan. Di samping semua jabatan itu adalah seperti penasihat kepada Perdana Menteri tetapi ia adalah jentera yang melaksanakan apa jua dasar daripada Perdana Menteri. Di Rumah Putih dia kadang-kadang dilihat lebih berpengaruh daripada Presiden.

Walaupun penasihat itu bergaji tetapi dia bukan seorang yang makan gaji. Sama ada dia jadi penasihat yang berwibawa atau makan gaji ia kerana orangnya, bukan jawatannya.

Dr. Maza dikira seorang yang berwatak tidak makan gaji dan dia rasanya ada wibawa dan keupayaan memberi apa yang sepatutnya diperlukan oleh Perdana Menteri, kerajaan dan Islam.

Jika Perdana Menteri mahukan nasihat yang bebas tentang Islam ambillah Dr. Maza kerana ia alim tentang semua mazhab. Mungkin termasuk mazhab Syiah. Cuma yang Perdana Menteri kena cerdik sikit ialah supaya tidak terlucut daripada pegangan mazhab Syafie yang menjadi pegangan umum bagi semua dan menjadi faktor penyatu bagi umat Islam Malaysia.

Jika Perdana Menteri pandai mengimbangi antara ajaran fiqah Syafiah dengan yang lain, maka orang yang terikat kepada gaji seperti Dr. Maza adalah orang yang terbaik bagi memandu Perdana Menteri menyelaraskan dasar Islam kerajaan.

Dr. Maza setakat ini tidak terikiat dengan habuan daripada kerajaan dan tidak terikat dengan fikiran kerajaan dan orang memimpin kerajaan baik pusat mahu pun negeri. Tetapi tidak seperti TG Nik Aziz, TG Haji Hadi dan Ustaz Azhar Idrus, Dr. Maza sedia jadi mufti.

Sebagai Mufti Perlis jika ilmu dan wibawanya dapat memberi panduan Islam yang terbaik, maka lingkungan pengaruhnya cuma berkisar dalam sempadan Perlis saja. Manfaatnya tidak seperti yang boleh dimainkan oleh seorang penasihat Perdana Menteri yang meliputi atmosfera nasional. Sebagai penasihat PM, Dr. Maza elakkan jadi imam solat Subuh.

Altantuya dibunuh: Segalanya belum selesai sehingga rakyat berkata ianya selesai!

Oleh Francis Paul Siah 


Mungkin Malaysia perlu menggaji detektif Hercule Poirot, Matlock atau Jessica Fletcher di dalam merungkai misteri pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu.

Tetapi di negara ini, di mana yang mustahil boleh berlaku, mungkin pakar siasatan yang disebut di atas akan turut berdepan kesulitan.

Kes Altantuya dibunuh sudah tentu dianggap berprofil tinggi dan telah berlaku hampir sedekad yang lalu. Ia mencuri tumpuan semua pihak kerana melibatkan personaliti dengan hubungan politik tertentu.

Pendek kata, kes wanita Mongolia itu dibunuh amat aneh, tragik dan diselubungi misteri. Adakah wanita itu datang ke Malaysia bagi menuntut sejumlah wang yang banyak? Yang tentu, tubuhnya diletupkan.

Sudah pasti pihak polis juga sukar melakukan penyiasatan kerana dua orang rakan sejawat mereka terlibat sama.

Rakyat Malaysia sangsi dengan PDRM apatah lagi apabila bahan letupan C4 dapat dicuri daripada ibupejabat polis bagi digunakan di dalam jenayah tersebut.

Datuk Zaid Ibrahim betul apabila berkata rakyat menggesa jawapan diberi di dalam merungkai misteri Altantuya dibunuh. Kita mahu tahu mengapa wanita itu diletupkan di kawasan hutan Bukit Cerakah.

Saya membaca tulisan Zaid dan amat bersetuju dengan perkara yang ditimbulkan beliau.
Zaid berpendapat hukuman ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korporal Sirul Azhar Umar memberi sedikit keadilan kepada Altantuya, tetapi luka yang dirasai keluarganya tidak akan terubat.
Pastinya sukar menerima berita seorang anak perempuan, ibu, dan rakan kita dibunuh kejam walaupun ia berlaku sembilan tahun dahulu.

Malah rakyat Malaysia merasa marah, kecewa, sakit hati dan turut menderita.

Pihak berkuasa mungkin tidak sedar bahawa cara kes ini ditangani mencetus kemarahan rakyat. Cuba kunjungi laman-laman berita dan anda tentu faham maksud saya.

Pendapat Zaid perlu dipandang serius kerana beliau berkata “pendakwaraya sudah pasti mahu cerita sebenar, kerana hanya orang gila membunuh tanpa sebarang motif.”

“Negara kita akan dianggap cuai kerana tidak berjaya menemukan kebenaran di dalam kes pembunuhan Altantuya.”

“Buat masa ini kita tahu dua orang didapati bersalah. Mungkinkah sebenarnya lebih ramai terlibat?”

Datuk Zaid Ibrahim tidak bersendirian di dalam berkata bahawa rakyat amat kecewa dengan cara kes berprofil tinggi ini ditangani oleh pihak berkuasa Malaysia.

Kepada pihak yang terlibat: Jangan ingat rakyat Malaysia semuanya bodoh! Kes ini belum selesai selagi rakyat tidak mendapat jawapan sebenar!

Kemelut dalam Pakatan boleh selesai

Oleh Abd Shukur Harun 

Walaupun dilihat kemelut dalam Pakatan Rakyat (PR), terutamanya antara pemimpin PAS dan DAP berterusan, tetapi ada perkembangan baru yang melegakan hati yang memungkinkan keharmonian wujud kembali dalam PR.Dalam masa yang sama, sudah ada tanda PAS dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), tidak lagi dilihat dalam suasana permusuhan.

Pada peringkat bawahan, yakni akar umbi, antara pendukung PasMa dan PAS kelihatan tidak ada masalah, justeru mereka dari keluarga besar yang tidak mungkin dipisahkan hanya kerana perbezaan pendapat.

Sementara itu, ada perkembangan yang menarik di peringkat akar umbi PAS dan DAP yang tercetus ketika banjir merempuh Kelantan dan negeri lain baru-baru ini.

Pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng datang sendiri ke Kelantan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, di mana Lim Kit Siang yang turut mengharungi banjir sudah 3 kali ke sana.

Beliau berada di Kota Baru bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Penerangan dan Warisan Phee Boon Poh diiringi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Haji Mohamad Sabu.

Delegasi pemimpin DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang itu disambut Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad.

Pelbagai bantuan DAP Pulau Pinang itu diserahkan kepada pimpinan PAS dalam majlis penyerahan ringkas baru-baru ini.

Sementara itu, penyelaras bantuan banjir DAP Selangor, Eddie Ng Tien Chee pula menghantar trak UBAH ke Gua Musang berisi barangan bantuan untuk mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Selain itu, DAP melancarkan Tabung Bencana Banjir DAP di mana semua kutipan derma untuk itu diminta dimasukkan dalam satu akaun khas iaitu ‘Tabung Dana Kecemasan’ (Ambank 8881002244649).

Ini usaha sangat murni atas dorongan rasa kemanusiaan yang melimpah dan sewajarnya boleh menjadi pemangkin meredakan ketegangan politik antara DAP dan PAS. Malah ia mampu meruntuhkan tembok perkauman setebal mana pun.

Sementara itu, satu perkembangan lain yang juga sangat menarik ialah suasana ‘Kenduri Rakyat’ atas inisiatif PAS Kuala Kedah di mana di majlis itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tetamu khas dan duduk bersama YDP kawasan tersebut, Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga Presiden PasMa.  Beliau juga Adun Pengkalan Kundur.

Majlis itu yang juga dihadiri pemimpin PAS Kedah memperlihatkan keharmonian dan hubungan antara mereka, isyarat jelas tidak ada masalah untuk membina hubungan antara PAS dan PasMa.

Pada pendapat saya, PasMa bukanlah musuh PAS. Ia ditubuhkan hanya mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat, iaitu untuk memastikan PAS terus bersama Pakatan Rakyat dan juga memastikan keutuhannya.

Di peringkat akar umbi, nampaknya, tidak ada masalah. Pendukung PAS dan PasMa dari akar yang sama, mempunyai matlamat yang sama, maka tidak ada sebab untuk bermusuh. Mereka sama-sama makan gulai kawah, nasi dagang dan gulai asam pedas, malah boleh sama-sama bertakbir di majlis yang perlu bertakbir.

Adapun yang menjadi masalah ialah segelintir golongan fanatik, yang penuh emosi, prejudis dan fikiran tidak terbuka di dalam PAS sendiri. Golongan ini, saya kira, jumlahnya kecil saja di dalam PAS dan sudah tentu ia bukan mainstream di dalam PAS.

Golongan minoriti ini tidak dapat menerima hakikat berlainan pendapat, malah dengan mudah saja memainkan isu wala’ (kesetiaan) kepada pemimpin. Maka berbeza pendapat dianggap menentang pemimpin.

Jika menurut pemikiran waras, wala’ itu bukan saja kepada jamaah. pemimpin utama dan tertentu, tetapi juga kepada semua AJK PAS Pusat yang dipilih Muktamar Tahunan PAS.

Malang sungguh jika isu wala’ disalahgunakan, nescaya ia boleh memecahbelahkan jamaah kerana menimbulkan syak wasangka, malah fitnah. Maka itu, berhati-hatilah apabila menurunkan ‘cop mohor wala’ dan tidak wala’ itu. Jangan sewenang-wenang membubuh label ini jika mahu melihat peraduan di dalam jamaah PAS.

Berbeza pendapat sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad dan tidak ada masalah, malah Nabi Muhammad menerima pendapat yang berbeza dalam beberapa peristiwa seperti yang dirakam dalam sirah Nabi. Inilah jiwa besar Baginda yang sangat perlu dicontohi.

Ketakutan golongan tertentu di dalam PAS untuk menerima perbezaan pendapat itu, walau apa hujah pun, adalah daripada watak yang lemah, kurang membaca, kurang berfikir dan kurang pemahaman terutama erti demokrasi dan pra-syarat dalam menangani politik kontemporari. 

Sementara itu, sesuatu yang ‘mengerikan’ apabila ada unsur pemikiran perkauman atau assabiyah apabila tercetusnya isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Isu Cina ramai di bandar tidak timbul kerana orang Melayu sudah ramai di bandar, berbeza dengan suasana zaman berlakunya 13 Mei 1969 dulu. Keadaan sudah berubah sama sekali.

Malah masyarakat sivil, khususnya generasi baru hari ini, sudah melupakan peristiwa hitam itu dan. Kini sejarah 13 Mei itu hanya menjadi bahan akademik.

Masyarakat sivil dan generasi baru yang semakin ramai di bandar mahukan pilihan raya – sama ada parlimen, negeri dan PBT – diadakan secara telus dan adil.

Rakyat akan memilih calonnya yang terbaik, peduli rakyat, amanah, jauh daripada rasuah dan penyelewengan, tanpa mengira calon itu datang daripada kaum mana pun.  Inilah asas yang diperlukan oleh masyarakat madani.

Dari itu tidak wajar persoalan calon pilihan raya, walau dalam apa peringkat pun, dilihat dari sudut kaum. Justeru yang penting ialah kualiti calon itu dari mana pun datangnya.

Boleh disimpulkan semua masalah dan isu yang berbangkit boleh saja diselesaikan dengan harmoni.  Syaratnya, pemimpin dan ahli yang mendukung Pakatan Rakyat, berfikiran terbuka, bersikap rasional dan mempunyai advanced thinking.

Dengan elemen itu, Pakatan Rakyat boleh diperkukuh. Maka dengan peristiwa yang saya sebutkan di atas tadi, antaranya – bantuan banjir dari DAP dan PAS-PasMa – boleh menjadi pendorong utama ke arah itu.

Bolehkah Salahuddin ambil alih sebagai presiden PAS dan bawa kestabilan kepada Pakatan?

Oleh Cecilia Jeyanthi Victor 


Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub mungkin merupakan pilihan yang lebih baik untuk menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS, semata-mata kerana beliau adalah salah seorang daripada pemimpin yang kurang kontroversi dalam parti itu.

Bekas ahli majlis eksekutif Pemuda PAS, Zulhazmi Shariff baru-baru ini telah mencadangkan bahawa Hadi tidak dicalonkan semula pada pemilihan parti Jun ini.

Selama bertahun-tahun, Salahuddin mengelak dari terlibat dalam konflik dalaman parti, dan kekal setia kepada parti itu sejak usia mudanya.

Adakah beliau benar-benar dapat mengukuhkan parti Islam itu dengan DAP dan PKR, selepas isu-isu berkaitan undang-undang hudud telah merenggangkan hubungan antara ketiga-tiga sekutu Pakatan Rakyat itu?

Atau adakah beliau akan tunduk kepada Umno? Sebagai bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian di Kelantan, beliau dikenali kerana mempunyai hubungan yang baik dengan Umno Kelantan.

Jika benar beliau rapat dengan Umno Kelantan, maka Pakatan mempunyai banyak sebab untuk berasa tidak selesa.

Sejak PAS merancang untuk melaksanakan hudud, DAP khususnya telah menyatakan bantahan yang kuat terhadap PAS.

Disember lepas, Ahli Parlimen DAP-Puchong, Gobind Singh dilaporkan berkata bahawa jika PAS masih berkeras mahu melaksanakan hudud, kedua-dua parti beliau dan PKR tidak mempunyai pilihan selain menggantung semua hubungan kerja mereka dengan PAS.

Tindak balas Gobind itu dibuat berdasarkan niat PAS untuk membentangkan sebuah Rang Undang-Undang di Parlimen bagi melaksanakan hudud.

Bagaimanapun, pelan ini terbatal setelah banjir dahsyat melanda pantai timur, termasuk Kelantan pada bulan Disember. Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak dapat bertemu kerana ia telah dibanjiri. Tiada tarikh baru telah ditetapkan untuk sesi khas itu.

"Adalah sangat jelas bahawa rang undang-undang itu tidak mempunyai sokongan Pakatan Rakyat," kata Gobind.

Beliau juga berkata yang PAS melanggar Buku Jingga, (rangka kerja dasar bersama pakatan itu), yang menyebabkan rakyat hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Pakatan.

Ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar membalas dengan menempelak DAP, menyuruh parti itu menjaga tepi kain sendiri.

Mahfuz dipetik sebagai berkata dalam portal berita The Mole bahawa DAP perlu berhenti campur tangan dalam hal ehwal PAS, dan mula menegakkan semangat demokrasi.

"Saya cadangkan mereka berhenti campur tangan dalam urusan PAS," Mahfuz dilaporkan berkata sebagai tindak balas kepada kenyataan pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang telah berkata bahawa mereka akan merenggangkan hubungan antara satu sama lain dan "mengancam" untuk meninggalkan Pakatan jika kem Ulama dalam PAS menguasai parti itu selepas pilihan raya pada bulan Jun.

Isu hudud telah lama tercetus. Sekiranya PAS memutuskan hubungannya dengan DAP dan PKR, ia akan mula merobohkan Pakatan Rakyat.

Jadi, adakah Salahuddin akan dapat menstabilkan Pakatan? Kewujudan bersama secara aman antara tiga ahli itu akan menentukan sama ada ia akan kekal kuat dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kalau Najib benar berjiwa besar dan sayangkan negaranya, berundurlah!

Oleh Aspan Alias

Kenapa Najib masih berkeliaran di Putrajaya lagi? Kesalahan yang macam mana yang membolehkan
seseorang Perdana Menteri dan kabinetnya meletakkan jawatan? Tidak kah cukup lagi dalil-dalil dan sebab-sebab kenapa Najib dan seluruh barisan kabinetnya yang gagal sekarang ini untuk meletakkan jawatan?
Cuba kita sebutkan apakah yang baik yang telah Najib lakukan yang membolehkan beliau kekal duduk di Sri Perdana itu?
 Najib mempunyai imej seorang Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab kerana beliau tidak mempunyai roh kepimpinan yang betul dan secocok dengan kemahuan negara dan rakyatnya.  Najib telah gagal segagal-gagalnya untuk mentadbir politik dan negara walaupun beliau telah melalui segala-gala laluan dalam kepimpinan parti sejak memasuki politik pada tahun 1976 yang lalu.
Datang dari keluarga yang pejuang pun dan di tambah dengan pelajaran luar negara sekali pun tidak dapat menggilap beliau sebagai pemimpin yang mempunyai roh yang sesuai dan secocok untuk negara yang kosmopolitan ini. Najib tidak mampu untuk belajar baik dari kesilapan sendiri mahu pun dari kesilapan orang lain dan pendeknya beliau hanya mempunyai kulit yang cantik dan kehidupan yang senang dari keluarga seorang Perdana Menteri.
Segala yang dilaungkan dan dilancarkan secara ‘ambitious’ untuk kemajuan negara semuanya gagal dilaksanakan dan beliau tidak dapat menghampiri cita-citanya untuk menunjukan kelainan dari pimpinan terdahulu. Beliau tidak dihormati oleh rakyat kerana beliau sendiri tidak mampu untuk menghormati diri beliau sendiri sebagai seorang pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab dan prihatin terhadap kemahuan dan keperluan rakyat pimpinannya dan kerajaan yang diketuainya.
Jika sudah sampai ketahap ini maka tidak ada sebab untuk beliau dan pimpinan dalam kabinet beliau kekal dan masih berkeliaran di Putrajaya melakukan semua yang tidak digemari rakyat. Mereka ini menjadi masalah kepada negara dan tidak tahu bagaimana mereka boleh dan mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara sedangkan mereka sendiri adalah penyumbang kepada masalah yang negara hadapi kini.
Najib telah gagal dalam segala-galanya dan untuk terus menjadi ketua kerajaan merupakan satu tindakan yang menzalimi rakyat dan dirinya sendiri. Jika Najib bersara ia boleh membuka ruang bagi mencari penggantinya yang boleh dianggap mempunyai 'stature' yang baik untuk meneruskan mentadbir dan membina negara ini ketahap yang lebih tinggi lagi.
Jika Najib bersara tentulah ia diikuti oleh barisan kepimpinan dalan kabinet sekali kerana kegagalan Najib itu juga adalah kegagalan keseluruhan barisan kabinet itu. Itu sememangnya biasa kerana kabinet yang ada itu adalah lantikan Perdana Menteri yang gagal itu. Kegagalan Najib itu adalah kegagalan seluruh ahli-ahli jemaah kabinet itu. Itu adalah ‘collective responsibility’ yang digunapakai oleh kebanyakan kerajaan di negara-negara maju.
Najib sendiri mesti mencari ‘instruments’ demokrasi yang ada jika mahukan perubahan dan ianya perlu dilakukan oleh Najib sendiri jika beliau mempunyai jiwa yang besar dan ingin melihat negaranya maju ke hadapan. Jika beliau mempunyai jiwa yang besar beliau tidak akan membiarkan negara menjadi begini kucar kacir dan membawa kerosakan negara semata-mata kerana tidak mahu berganjak dari jawatan yang disandangnya sekarang ini.
Adalah wajar bagi Najib dan barisan kabinetnya untuk mengembalikan kuasa kerajaan kepada Majlis Raja-Raja  misalnya dan Majlis Raja-Raja memilih sesiapa yang beliau anggap sebagai orang yang di yakini baginda untuk mentadbir negara buat sementara bagi memulakan sebuah negara baru dan akhirnya membawa negara kepada ‘ambience’ politik yang baru dengan semangat yang baru untuk rakyat mengharapkan perubahan dan meninggalkan masalah-masalah yang mereka hadapi sekarang jauh dibelakang.
Mungkin Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh memainkan peranan yang besar dalam perubahan yang amat diperlukan ini. Lupakan cara pemilihan seorang Perdana Menteri secara konvensyen sekarang ini, dalam mana sesiapa sahaja yang menjadi Presiden UMNO itu adalah otomatik menjadi Perdana Menteri. Perlembagaan memperuntukan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti walaupun dengan ‘simple majority’ itu boleh dijadikan Perdana Menteri termasuk yang menjadi ahli UMNO itu sendiri.
Perubahan ini amat diperlukan kerana jika tidak ada perubahan dalam jangka masa yang terdekat ini, ramai merasakan kita akan ditadbir oleh mereka yang tidak berjiwa seperti kita dipimpin oleh hanya jasad yang tidak berjiwa lagi. Kita semua tahu apa yang akan berlaku selepas ini jika tidak ada perubahan itu.
Kita mahu melihat seseorang yang mampu melakukan sesuatu yang tepat dalam kita menghadapi kejatuhan ringgit Malaysia yang sangat mengerikan ini. Kita mahu di pimpin oleh seseorang yang mahir dalam mengendalikan negara dalam waktu kejatuhan harga minyak yang mendadak sejak dua bulan lepas. Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang berpijak diatas bumi yang nyata.
Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang ‘realist’ dan mengakui kita wajar hidup dalam keadaan aman bersama-sama rakyat berbilang kaum yang saling hormat menghormati di antara satu dengan yang lain. Kita mahukan negara menjadi sebuah negara dalam mana ia tetap dengan perjuangan yang ‘ultimate’ iaitu untuk mencapai ‘national unity’ yang abadi tanpa ada sesiapa yang mempersoalkan budaya dan hidup beragama masing-masing.
Yang lebih penting lagi kita mahu seorang yang memimpin negara yang boleh mendidik pimpinan yang rasuah itu adalah satu budaya dan kerja yang amat hina di sisi apa sekali pun lebih-lebih lagi di sisi agama dan budaya kita. Kita mahukan pemimpin yang memahami dalam erti kata yang sebenarnya yang rasuah itu adalah lebih hina dari seseorang yang memakan daging saudaranya sendiri.
Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh mengisi kembali roh keluhuran dalam mentadbir negara. Kita perlu mencari pemimpin yang tidak merelakan pimpinan negara di setiap peringkat mengambil yang salah itu sebagai benar dan mengambil yang benar sebagai salah.
Kita perlukan kepimpinan baru yang mampu untuk kembali kepada ‘basic’ kepimpinan. Semuanya tidak ada dalam ‘set’ kepimpinan hari ini dan untuk kembali kepada yang ‘basic’ itu tadi. Ia memerlukan pengorbanan yang besar dari semua pihak termasuk dari mereka yang sedang enak dengan kuasa dan glamor sekarang ini.
Bagi Najib dan barisan kepimpinan hari ini, mereka hanya ada satu cara sahaja untuk menunjukan yang mereka sanggup berkorban untuk negara, iaitu berundur dan memberikankan kepada yang berkelayakan untuk menjadi pemimpin negara dan negeri.-aspanaliasnet.blogspot.com

Patutkah biarkan Sirul bergerak bebas?

Oleh Hazlan Zakaria


“Tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” ini adalah prinsip umum yang diamalkan oleh kebanyakan sistem keadilan moden, termasuk Malaysia.Prinsip ini meletakkan beban pembuktian kepada penuduh atau pendakwa, bukannya defendan.

Menjadi tugas penuduh untuk membuang segala keraguan berhubung kesalahan suspek.Begitu juga apabila sabitan individu itu digugurkan, beliau secara automatik kembali menjadi manusia yang bebas.

Begitulah apa yang terjadi dalam kes dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Mereka berdua dituduh dalam kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Mereka disabit bersalah dan dihukum gantung, namun dibebaskan selepas proses rayuan.

Orang ramai mungkin mempunyai pandangan sendiri sama ada mereka bersalah atau tidak. Namun dalam sistem keadilan Malaysia, selepas sahaja Mahkamah Rayuan mengenepikan sabitan, mereka telah bebas.

Ini mungkin kerana prinsip keadilan yang tertanam dalam kehakiman sebelumnya – wang denda boleh dikembalikan, namun masa dalam kehidupan seseorang tidak boleh ditukar ganti.
Potensi manusia tiada had sifatnya. Walaupun hakikat bahawa kebanyakan kita membazirkan kedua-duanya; masa dan potensi diri.

Namun begitu, saya tertanya-tanya sama ada seseorang yang sedang menunggu rayuan untuk kes yang serius seperti pembunuhan, patut diberi kebebasan penuh sehingga boleh ke luar negara.

Terutama ketika rayuan terhadap pengguguran sabitan itu masih berjalan. Bukankah kemungkinan untuk ke luar negara adalah sesuatu yang perlu diambil kira?

Apatah lagi dalam kes ini, Sirul tidak hadir ketika Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya dan Azilah. Sirul dilaporkan berada di luar negara pada ketika ini.

Saya menjangkakan mahkamah mempunyai kuasa untuk menghadkan pergerakan mereka yang terlibat dalam kes yang masih berjalan, terutama bagi kes seserius ini.

Sementara menahan mereka di penjara adalah bertentangan dengan keadilan asasi seperti yang dihujahkan sesetengah pihak, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk meletakkan mereka dalam perhatian – KIV. Bukannya “tiada tindakan lanjut”, seperti yang didakwa sering terjadi kepada kertas-kertas siasatan di sini.

Atau paling kurang, saya menjangkakan PDRM kita yang sering kelihatan hebat serta Unit Cawangan Khas mereka sentiasa bersedia, bukan baru sekarang mengesan lokasi Sirul.

Bukankah politikus British abad ke-19 Leonard H Courtney pernah berkata, “harga bagi keamanan adalah dengan kawalan yang berkekalan”.

Memang, saya tidak akan salah jika mengatakan polis agak cekap dalam mengesan aktivis dan politikus pembangkang; mungkin mereka patut menunjukkan kecekapan yang sama terhadap individu yang didapati bersalah membunuh yang sedang menunggu keputusan rayuan oleh mahkamah.

Kata-kata yang saya petik di atas memiliki banyak variasi dan dikreditkan kepada ramai pemimpin lain. Antaranya “kawalan berkekalan adalah harga bagi kebebasan,” yang sering dikatakan daripada pemimpin Revolusi Amerika.

Namun apa yang kita tidak inginkan adalah jika ia difahami begini – harga untuk BN kekal berkuasa adalah kawalan berkekalan terhadap penentang mereka.

Saya pasti ia tidak akan berlaku, namun ia mungkin dilihat begitu jika kawalan tidak dilaksanakan secara adil dan liberal. Apabila saya berkata liberal, maksud saya adalah “dilaksanakan secara meluas”, bukannya ideologi “liberal” yang menjadi musuh nombor satu 1Malaysia hari ini.

Jika 20 polis boleh diarahkan untuk menahan seorang peguam hak asasi manusia bernama Eric Paulsen, mungkin kawalan seperti itu juga perlu untuk kes Sirul.

Namun, seseorang itu sememangya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Mungkin keputusan untuk tidak menghadkan kebebasan tanpa sebarang sebab itu adalah langkah yang betul.

Namun apabila melihat kembali, prinsip itu mungkin ada kelompongannya, kalau pun tidak gagal sepenuhnya. Bukankah dalam kes ini, mahkamah memutuskan “cara” dan “peluang” sudah cukup bagi satu pembunuhan. Tanpa memerlukan “motif”. Mungkin inilah cara Malaysia. Boleh “kao tim”.

Pahit getir golongan ‘tanpa rumah’ di Malaysia

Oleh Hazlan Zakaria 

Saya masih tidak memiliki rumah sendiri walaupun bakal menjengah usia 40-an tidak lama lagi. Benar, saya beruntung kerana tidak menjadi salah seorang gelendangan mahu pun golongan miskin tegar di Lembah Klang. Namun secara teknikalnya, saya adalah seorang yang “tidak berumah” dan sentiasa berpindah randah untuk menyesuaikan keperluan diri dengan pendapatan boleh guna yang kian mengecil.

Secara peribadi, saya mungkin pernah membuat beberapa pilihan yang kurang cermat selama 11 tahun kehidupan saya, sebelum menjadi wartawan lima atau enam tahun lalu. Maka, keadaan kewangan saya mungkin sedikit bermasalah untuk membolehkan saya mencari rumah sebelum ini. Namun selepas menstabilkan kewangan, saya kembali menjengah pasaran hartanah.
Rupa-rupanya, bukanlah saya seorang dalam usia sebegini yang menghadapi kesukaran mencari rumah untuk dibeli. Ramai kawan berhadapan masalah sama, walaupun ada antara mereka yang lebih cermat daripada saya.
Ia ternyata bukan satu isu terpencil, namun dialami banyak, kalau pun tidak majoriti, isi rumah berpendapatan sederhana.
Pada masa ini, golongan berpendapatan sederhana yang ingin memiliki rumah berhadapan keadaan yang amat sukar.
Bukan saya seorang sahaja yang mengatakannya, namun inilah yang benar-benar terjadi di luar sana. Artikel-artikel di media dan perbualan antara kawan, malah dengan orang yang tidak dikenali di kedai kopi menyuarakan kisah yang sama.
Bagi kebanyakan kes, golongan berpendapatan sederhana boleh melupakan sahaja hasrat memiliki sebuah rumah yang selesa dan berpatutan, kecuali mereka sanggup tinggal jauh daripada tempat kerja atau berpuas hati dengan rumah yang lebih murah dan kecil.
Kerajaan telah mencuba untuk menyelesaikan isu ini, namun ia hanya boleh disifatkan sebagai langkah “perhubungan awam” atau melepaskan batuk di tangga – menunjuk seolah-olah mereka sedang menanganinya, namun tanpa apa-apa penyelesaian jangka panjang.
Langkah-langkah yang kononnya bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah bukan sahaja terhad dari segi skop, tetapi juga kebergunaannya.
Ia menjadi satu liputan berita yang baik namun tidak menyelesaikan isu rumah mampu milik. Kecuali kepada beberapa ribu yang bertuah, terpilih untuk mendapat bantuan.
Ia gagal menyelesaikan isu ini untuk berjuta rakyat yang lain.
Lebih memburukkan keadaan, kerajaan kelihatan terlalu longgar dengan pemaju dan tidak memulakan dasar bagi memastikan rumah mampu milik.
Terlibat dengan industri pembangunan hartanah beberapa lama sebelum menjadi wartawan politik, saya melihat sendiri peranan sokongan politik dan sumbangan dana daripada entiti komersil terhadap tokoh politik.
Program bantuan kerajaan seperti skim perumahan kos rendah  suatu ketika dahulu juga tidak banyak mengubah keadaan. Ia menjadi kawasan yang sesak, dan kebanyakannya bukan diperoleh golongan yang memerlukan, namun dibeli “pelabur” yang mahu menyewakannya.
Dan dalam program kerajaan, korupsi menyebabkan meritokrasi dan malah kuota kaum tidak dijaga. Sebaliknya, rumah yang murah jatuh ke tangan pihak yang mempunyai “kabel” untuk pelaburan dan menambah kekayaan.
Sememangnya seluruh industri ini bertujuan untuk mengaut keuntungan dan bukannya memenuhi keperluan. Ia bukanlah satu kesalahan. Tetapi ini adalah satu isu yang memerlukan dasar yang sebenar daripada kerajaan, bukannya program jangka pendek bersifat acuh tak acuh atau skim yang tidak bermakna.
Masalah yang berlaku adalah pemaju ingin mengaut keuntungan maksimum dengan mengabaikan keperluan orang ramai dan hanya menumpukan golongan kaya dengan menyediakan “rumah impian” dan kediaman berkonsep.
Apa lagi cara terbaik untuk meninggikan harga rumah, berbanding melaksanakan projek dengan nama dan konsep yang kedengaran hebat?
Permintaan untuk rumah mampu milik sentiasa ada dan tinggi. Namun bagi pemaju-pemaju ini, menjual rumah kepada golongan kaya lebih menguntungkan, dan mereka boleh membina lebih banyak rumah mewah.
Saban hari, saya sentiasa terlihat iklan skim perumahan terbaru di media, di corong radio mahu pun pada papan tanda. Kebanyakannya mengikut trend perumahan terbaru.
Sama ada berkonsep “hijau”, berpagar, bangunan pintar, atau apa yang dipanggil sebagai reka bentuk istimewa dengan arkitek yang kedengaran seperti dari Eropah.
Pasaran hartanah kita mengamalkan pasaran bebas. Maka pemaju boleh memilih untuk hanya menyediakan rumah kepada golongan tertentu, sementara kita semua menerima takdir untuk “tidak berumah”.
Kitaran ini tidak akan berakhir, walaupun kerajaan kononnya terus berusaha mencari penyelesaiannya. Selagi mana hubungan antara politikus yang berkuasa dalam kerajaan dengan “tauke” pemaju perumahan yang kaya-raya berterusan.
Kerana selagi mana keuntungan menjadi “raja”, masalah perumahan golongan berpendapatan sederhana tidak akan berakhir. Bukankah ini sebabnya mengapa kita mempunyai kerajaan, untuk memastikan layanan saksama kepada semua, kalau pun tidak sama atau adil seluruhnya.
Ada waktunya, pasaran bebas atau “laissez-faire” perlu diimbangi dengan politik keadilan sosial. Selagi perniagaan wujud hanya demi keuntungan dan menjadi alat mengkayakan diri oleh politikus dan kroni, keadaan akan menjadi semakin buruk buat rakyat.
Kecuali kerajaan memiliki iltizam yang cukup untuk melaksanakan dasar yang mampu menyelesaikannya. Pertama, kenakan kuota membina perumahan mampu milik bagi setiap permit atau lesen pembangunan. Kedua, perkenalkan undang-undang agar perumahan mampu milik itu selesa, dan bukannya seperti setinggan seperti yang dibina pemaju pada masa ini.
Dan tentulah, satu lagi masalah dalam tadbir urus negara ini adalah pelaksanaannya.  Namun itu adalah soal yang lain pula.

Hazlan Zakaria adalah salah seorang daripada pasukan Theantdaily. Beliau suka membaca, menulis dan memerhati keanehan dunia.
 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat