Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Surat Pembaca. Show all posts
Showing posts with label Surat Pembaca. Show all posts

Barangan tidak bermutu banjiri pasaran

Oleh SM MOHAMED IDRIS 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati barangan tidak bermutu termasuk kunci, peralatan menulis, beg sekolah, jam, barangan elektrik, kasut, dan alat permainan menbanjiri pasaran ketika tinjauan ke pasaran dilakukan baru-baru ini.

Sesetengah barangan ini berharga serendah RM2, harganya adalah sebahagian kecil daripada produk sama dengan kualiti yang lebih baik tetapi kelihatan popular dalam kalangan pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah.

CAP berpendapat adalah sama ada produk ini memenuhi keperluan keselamatan produk kerana tiada gunanya harga yang murah jika ia tidak selamat untuk penggunaan pengguna.

Produk ini yang kebanyakannya berasal dari China dan Thailand dijual di tempat-tempat seperti pasar raya, pasar mini, pasar lambak, pasar malam, kedai tertentu di pusat beli-belah, dan kedai perkakasan.

Tinjauan kami menunjukkan produk import ini sering dilabelkan dalam bahasa asing dan tidak di dalam Bahasa Melayu.

Persoalannya ialah sama ada produk ini selamat digunakan dan bermutu baik. Pengguna sering mengadu walaupun produk ini murah, ia jarang bertahan untuk selama sebulan penggunaannya. Bahagian plastiknya mudah pecah dan meninggalkan bahagian tepi bergerigi yang membahayakan atau jika ia alat permainan, bahagian kecilnya boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik jika mutunya buruk.

Pengguna yang mendapatkan barangan murah akan berakhir dengan berbelanja lebih banyak apabila mereka membeli barangan gantian bagi barangan yang rosak atau pecah. Lebih-lebih lagi, produk murah ini tidak terjamin mutunya dan dengan itu tidak dapat dipulangkan selepas dijual.

Di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 fasal 32 (1) dan fasal 32 (2) (a), barangan yang dibekalkan kepada pengguna seharusnya merupakan jaminan bahawa barangan itu adalah bermutu, bebas daripada kecacatan, selamat dan tahan lama.

CAP hairan bagaimana produk berkualiti buruk seperti itu boleh membanjiri pasaran, terutama sekali barangan elektrik yang sepatutnya diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM sebelum ia boleh dipertimbangkan untuk diimport. Jelas sistem semasa tidak berfungsi; tidak hanya tidak mempunyai pelekat ‘SIRIM’, malah ia berjaya melepasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sepatutnya tidak membenarkan sebarang barangan elektrik diimport tanpa kelulusan SIRIM.

Sering dipamerkan di kedai bahawa “Barangan yang dijual tidak boleh dipulangkan”. Ini bertentangan dengan Seksyen 42 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memerlukan pembekal untuk “menyediakan bayaran balik bagi setiap wang yang dibayar” jika “pembekal tidak dapat memperbaiki atau menggantikan barangan”. Pengguna dipastikan barangan “bermutu” dan “layak bagi tujuan tertentu” dalam Seksyen 32 dan 33 Akta itu.

Oleh sebab itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk campur tangan dan menguatkuasakan Akta itu dengan segera kerana penjualan produk bermutu rendah walaupun murah amat berleluasa dan mungkin mendedahkan ancaman kepada kesihatan dan keselamatan pengguna. Ia juga menjadikan Malaysia tempat longgokan barangan yang tidak bermutu.

Antara Rosmah buat rambut dengan BR1M

Oleh Rakyat Prihatin,KL

Sebagai rakyat yang hidup aman damai di bumi Malaysia yang dicintai ini, saya mahu mengajak semua pihak merenung laporan di bawah sebagai persediaan menghadapi keputusan kerajaan yang akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April depan.

Di bawah ini adalah petikan laporan portal berita The Malaysian Insider, semalam dengan tajuk 'Rosmah merungut terpaksa bayar RM1,200 dandan rambut'.

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor saran Putrajaya pertimbang penguatkuasaan kawalan harga caj perkhidmatan di rumah.

Isteri kepada perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melahirkan kebimbangan tiadanya kawalan bagi caj perkhidmatan di rumah menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Yang Di‎pertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) berkata, ketika ini, caj perkhidmatan di rumah seperti khidmat tempahan baju, solekan dan pendandan rambut mengenakan harga yang sangat tinggi dan tidak masuk akal.

Kebimbangan itu diluahkan Rosmah ketika dalam program cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bersama Bakti apabila mendakwa terpaksa membayar RM1,200 setiap kali menggunakan khidmat pendandan rambut.

"Sekarang ini bila saya nak warnakan rambut dekat rumah, dia (peniaga) dah caj RM1,200, amboi mahalnya.

"Bila kita tanya dia (peniaga) cakap dekat kedai caj berlainan, yang ini mahal sebab 'home service' (perkhidmatan rumah) ini yang anda (Putrajaya) harus teliti," katanya pada majlis penerangan GST Bakti di Bangunan Sri Hasmah di Petaling Jaya.

BR1M

Kerajaan terus memberi tumpuan kepada rakyat apabila, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2015 mengumumkan kadar BR1M sebelum ini iaitu RM650 dinaikkan kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Bagaimanapun bantuan tersebut akan dibayar sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

Manakala isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, akan menerima sebanyak RM750.

Cara pembayarannya adalah sebanyak RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September.

Tingkah laku kitalah yang menggagalkan perjuangan

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 

PADA hari inilah dalam tahun 1303 telah tercatat satu tarikh pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu. Satu kenyataan yang tidak harus kita lupa Islam telah menjadi sistem yang berdaulat di bumi Malaysia 97 tahun sebelum pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara.

Sejarah membuktikan sistem dan kedaulatan Islam yang telah sekian lama bertapak di bumi ini dihapuskan oleh penjajahan sedikit demi sedikit dengan cukup terancang dan sistematik. Bermula dengan penaklukan Portugis di Melaka pada 1511, Belanda pada 1641, seterusnya campur tangan Inggeris pada 1786 menyempurnakan permulaan tindakan menyahkan Islam dari system kenegaraan bumi Malaysia.

Inggeris yang datang menguasai bumi ini dengan permulaan Perjanjian Pangkor tidak sekaligus menyahkan Islam dari takhta kedaulatan. Sedikit demi sedikit dan secara halus usaha dirancang dan dilaksanakan agar dapat diterima oleh masyarakat Islam.

Sultan yang dahulunya memegang kuasa politik dan pemerintahan disogok dengan keamanan dan damai atas takhta tanpa diganggu gugat dengan syarat baginda hanya berkuasa kepada hal-ehwal Islam dalam negeri. Apa maknanya hal-ehwal Islam di mata Inggeris pada waktu itu?

Islam hanya mula dijadikan upacara rasmi kerajaan dengan Inggeris terus memelihara tulisan jawi sebagai pengantara utama. 1830 telah mula diperkenal Undang-undang Sivil di negeri-negeri selat yang kemduiannya dipaksa untuk diterima oleh negeri-negeri bersekutu pada 1937.

Urusniaga perdagangan mula dihalakan menurut cara mereka dan tidak lagi cara syariah. Pada masa yang sama telah mula diperkenal jabatan yang menjaga hal-ehwal Islam dengan harapan orang Islam merasa bangga betapa Islam ada jabatan yang menjaganya.

Islam kian diinstitusikan menurut cara pemerintah. Islam tidak lagi berada pada tahap menguasai pemerintahan sebagaimana sistem kesultanan awal sebelum penjajahan.

Itu hanya sebahagian kecil teknik dan taktik penjajah dalam usaha mereka mensekularkan Malaysia yang dulu dipanggil Tanah Melayu. Kini sistem sekular dalam perundangan telah kejap dan jitu berada pada tampuk penguatkuasaan.

Selaku umat Islam, tentunya amat malang bila kita hanya mengenang nostalgia batu bersurat Terengganu tanpa dituruti usaha yang bermatian agar Islam kembali berdaulat. Cukup terasa sayu bila mengenangkan cita-cita umat Islam ini di tengah-tengah gelora yang melanda badan siasah memperjuangkan Islam di Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia, PAS.

Cukup saya akui mana bumi yang tidak ditimpa hujan, mana laut yang tidak bergelora, mana pantai yang tidak dihempas badai. Tidak harus kita lupa juga bersama-sama kita ada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias untuk dituruti sebagai panduan.

Kenapa kita mudah goyah dengan hujan, gelora dan badai kerana itu semua sunnah yang telah ditentukan Allah S.W.T? hujan yang mebasahi bumi, gelora menggila di lautan dan badai ombak di pantai pasti berhenti bila tiba masanya. Demikian juga setiap perselisihan dan pertikaian telah disediakan ubat penawarnya dalam kitab Allah dan tinggalan Rasul Allah S.A.W.

Terkadang saya tertanya sendiri apakah sukar bagi kita pendukung jalan jihad ini untuk kembali bersemuka kerana Allah? Merapatkan persaudaraan dan mengatur gerak bersama demi mendaulatkan Islam yang telah lama dinyah penjajahan?

Rasul Allah S.A.W. telah cukup mengajar kita dalam perjuangan besar ini. Tarbiah, dakwah dan kebajikan dirangkum bersama agar serasi untuk menaut hati-hati manusia yang diciptakan Allah Tuhan yang satu. Kenapa kita terlalu degil menerima hakikat bahawa perjuangan ini mendambakan kebersamaan gerak kerja dalam setiap langkahan?

Meletakkan Islam agar kembali berdaulat bukan sekadar retorik untuk diulang dari zaman ke zaman. Ia adalah satu tanggungjawab besar yang wajip dipikul di bawah satu kepimpinan. Kesempurnaan Islam pada hari ini bukan menunggu tahap demi tahap untuk dilaksanakan. Ia mesti digempur dari segenap sudut dan ruang di medan sebenar.

PAS sebenarnya telah punyai kekuatan untuk menguasai medan jika ketaatan difokuskan hanya pada satu arahan dan kepimpinan. Kita telah punyai tokoh ulama yang ramai dan tenaga profesional yang cukup bersedia mendokong cita-cita jihad ini. Hanya sikap enggan sahajalah yang akan terus menggagalkan usaha ini dengan keangkuhan keakuan yang ada pada setiap dari kita.

Tingkah laku kita hari ini hanya akan mengekalkan tinggalan penjajah tanpa mengubah sistem sekular dan negara. Kembalilah kepada Allah dan beristiqamahlah dengan ajaran tinggalan Rasulullah S.A.W agar pertolongan Allah akan bersama mengiringi perjuangan getir ini.

Minggu nestapa buat rakyat Malaysia

Oleh Dian Anais

Anwar Ibrahim dipenjara. Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia. Ini adalah minggu nestapa, bukan sahaja buat pembangkang, tapi juga buat rakyat Malaysia.

Memang, ini adalah minggu kenestapaan. Kita tidak lagi dapat mendengar alunan retorika ketua umum PKR, setidaknya buat sementara ini. Kita juga tidak lagi dapat memandang wajah jernih Tok Guru, buat selama-lamanya.


Semua ini telah lenyap, dengan pemenjaraan dan pemergian mereka. Jasad mereka tidak lagi bersama kita. Tubuh mereka tidak lagi hadir untuk berkomunikasi langsung dengan kita.

Namun, nanti dulu. Sapu dahulu air mata kita.

Di sebalik air mata ini, terdapat sebuah berita gembira: Anwar dan Nik Abdul Aziz masih lagi bebas dan masih lagi hidup. Tatap sajalah media massa: sampai saat ini, nama dan tindakan mereka terus hidup. Mereka, dalam bahasa komunikasi, rupa-rupanya tidak pernah dipenjara dan tidak pernah meninggal dunia.

Sebab, komunikasi– tentang mereka–boleh saja terus berkesinambungan meski tanpa memerlukan kehadiran sosok tubuh. Pemenjaraan Anwar, rupa-rupanya, hanyalah melanjutkan lagi sebuah komunikasi politik yang berantaian.

Bagi saya, disumbatnya Anwar ke penjara Sungai Buloh hanyalah merancakkan lagi komunikasi politik di Malaysia. Rancak kerana politik kini telah ditambah dengan perisa babak-babak dramatik. Dan, di sinilah politik terus berkomunikasi dengan rancaknya.

Hemat saya, untuk membunuh politik Anwar, itu bukanlah dengan memenjarakannya. Malah, bukan juga dengan membebaskannya. Kini, yang menjadi tanda-tanya musuhnya: bagaimanakah caranya untuk membunuh karier politiknya? Malangnya, memang tidak ada cara.

Paradoks komunikasi

Tidak ada cara, kecuali: dengan menjadikan Anwar tidak lagi dikomunikasikan. Dan, ini sama sekali tidak mungkin. Jadi, di sinilah paradoks komunikasi.

Untuk tidak mengkomunikasikan Anwar, maka kita perlu menghentikan segala pembicaraan masyarakat mengenai Anwar. Sudah tentu, ini adalah tidak mungkin, lebih-lebih lagi di era masyarakat bermaklumat ini.

Anwar, namanya dan tindakannya, akan terus-menerus menjadi buah mulut. Penjaranya hanya menjadikan setiap hingar dalam masyarakat bertukar menjadi suara kepada langkah-langkah politiknya. Bagi saya, di sinilah cemerlangnya Anwar sebagai seorang politikus moden.

Dalam sosoknya, tidak sekadar terdapat ciri-ciri Machiavellian. Hatta, lebih dari itu, terzahir juga paparan seorang pemimpin politik yang berprinsip teguh. Malah, saya juga yakin beliau sanggup untuk mati (secara jasad), sekiranya tindakan itu dapat mengubah Malaysia ke arah yang lebih baik.

Dengan kematiannya, mungkin, Anwar hanyalah ingin mendambakan kesejahteraan buat negara kita: yakni, demi untuk melihat Malaysia yang lebih baik. Ini adalah sebuah kejujuran Anwar yang dapat kita rasai dalam sanubari kita.

Lalu, dengan kematian ini, komunikasi tentangnya akan terus harum. Malah, itu hanya akan menjadikan Anwar sebagai manusia yang abadi, yang terus-menerus, sepanjang zaman, dibicarakan dalam politik tanah air.

Mungkin kata-kata ini berlebihan. Tapi, marilah kita ambil pemergian Nik Abdul Aziz sebagai contoh.

Sebagai seorang ahli politik yang luar biasa, jenazahnya telah pun diring khalayak dari seluruh pelosok tanah air. Beliau dicintai, bukan sahaja oleh pengikut-pengikutnya, tapi juga dihormati oleh musuh-musuhnya.

Tak pernah mati

Nik Abdul Aziz, dalam hal ini, adalah sebuah sosok yang inklusif, yang merangkumi sama ada: sisi politik mahupun sisi apolitik.

Sebagai Mursyidul Am PAS, kehilangan Nik Aziz sudah tentu ditangisi oleh ahli-ahli PAS. Mereka kehilangan seorang ahli politik yang berkarisma. Ia memang tidak diragukan lagi adalah seorang politikus teladan untuk semua yang bercita-cita menjadi ahli politik unggul.

Tapi, di sebalik itu, mereka yang tidak berparti politik juga mencintai Nik Abdul Aziz. Dan, ini adalah sebuah terobosan yang menarik dalam politik di Malaysia. Kerana itu, bagi saya, kehilangan Nik Abdul Aziz adalah kehilangan buat semua.

Namun, apakah Nik Abdul Aziz memang pergi buat selama-lamanya? Tidak juga.

Nik Abdul Aziz, sama seperti Anwar Ibrahim, masing-masing terus hidup. Nama-namanya akan terus berkumandang. Cerita-ceritanya akan terus didendang. Ternyata, komunikasi mereka terus menebar. Ia ditebarkan oleh kita, yang memuji dan juga mungkin mencelanya. Kitalah (termasuklah musuh-musuhnya!) yang sebenarnya menjadikan mereka terus hidup abadi.

Sudah jadi lumrah, manusia-manusia besar memang sentiasa hidup dalam masyarakat. Kita tidak pernah kehilangan mereka. Mereka tidak pernah mati. Sama ada mereka dipenjara mahupun meninggal dunia, kita memang tidak terdaya untuk menghentikan komunikasi tentang mereka.

Jadi, apa yang dapat kita belajar dari minggu nestapa ini? Kita belajar bahawa sebenarnya terdapat sebuah cara untuk kita hidup selama-lamanya di dunia ini. Untuk hidup abadi, kita hendaklah meninggalkan sebuah bakti untuk masyarakat terbanyak.


DIAN ANAIS adalah seorang suri rumah sepenuh masa dan boleh dihubungi menerusi dian.anais@yahoo.com

K-Pop: Teguran atau pengaiban

Oleh Nor Nazarima Mohd Nasir

Sedih dan kasihan. Ini merupakan perasaan yang tidak dapat saya elakkan, apabila berbicara mengenai perkara yang sedang hangat diperkatakan rakyat Malaysia, berikutan tersebarnya satu video pendek dalam sebuah konsert K-Pop di Malaysia baru-baru ini.

Saya tidak menafikan kekhilafan yang dilakukan gadis-gadis di atas pentas tersebut - barangkali atas keterujaan melihat idola di depan mata. Besar harapan saya, agar mereka dapat mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan menjauhi sikap fanatik melampau terhadap sesuatu perkara atau seseorang. Ia mampu membuatkan kita hilang pertimbangan. Saya juga berdoa agar mereka tabah menghadapi akibat kejadian ini.

Namun yang lebih membimbangkan saya adalah reaksi masyarakat kita terhadap perkara ini. Mereka dicerca dengan begitu dahsyat atas kesilapan tersebut. Bahkan tajuk video yang diviralkan juga lebih bersifat provokatif; seolah-olah sengaja mahu merendah-rendahkan dan menghina, bukan ke arah menegur dan membaiki secara berhikmah.

Tambahan pula, komen makian dan cacian tersebut datang daripada mereka yang yakin mereka sedang mempertahankan kesucian Islam. Perkara ini pada pandangan saya, sangat bertentangan dengan adab dan nilai islam itu sendiri dan tidak sepatutnya kita mempunyai rasa "Saya lebih baik daripada anda". Firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 125:"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara lebih baik", jelas menunjukkan prinsip yang perlu kita pegang apabila mengajak dan menegur manusia kearah kebaikan.
Sensitiviti masyarakat kita dalam membaiki umat, perlulah dipandu dan dilorongkan agar usaha  pembaikan itu dapat dilakukan selari dengan kefahaman, dan bukannya pula atas dasar takut untuk dimalukan. Usaha menerapkan kefahaman yang pastinya memakan masa ini bermula dengan diri sendiri, dan kita seharusnya sedar bahawa cacian tidak akan menjadi pemangkin perubahan, sebaliknya hanya akan membantutkan usaha dan niat murni tersebut.

Justeru saya menyeru agar kita bersama berusaha ke arah pembaikan diri, seperti dendangan lagu

Michael Jackson, Man in the Mirror :
I'm Starting With The Man In
The Mirror
I'm Asking Him To Change
His Ways
And No Message Could Have
Been Any Clearer
If You Wanna Make The World
A Better Place
Take A Look At Yourself, And
Then Make A Change

Masyarakat hendaklah sedar dan tidak terus dilalaikan dengan budaya hiburan melampau, khususnya bagi muslim. Selain itu, bagi mengelakkan kejadian ini berulang lagi, saya menyeru agar para penganjur lebih sensitif dengan penganjuran dan perjalanan tentatif program mereka.

Semoga kita dapat bersama terus membaiki masyarakat Malaysia, dan negara Malaysia dapat terus menuju ke arah negara rahmah. –

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/k-pop-teguran-atau-pengaiban-nor-nazarima-mohd-nasir#sthash.vv2jeY9C.dpuf

Kekuatan, keampunan di sebalik musibah

PERISTIWA banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung tanah air pada ketika ini menunjukkan tanda kekuasaan dan Allah SWT Yang Maha Berkuasa menjadikan segala sesuatu.

Walau bagaimanapun, semua bentuk bencana atau musibah yang melanda, pada hakikatnya memiliki peranan yang besar dalam mendidik jiwa kita. Selain itu, musibah juga merupakan peringatan daripada Allah S.W.T, sebagai ujian keimanan dan setiap musibah itu tidak selamanya tanda kemurkaan Allah SWT.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada setiap peristiwa yang terjadi. Oleh itu, siapapun yang dilanda musibah ataupun melihat musibah hendaklah merenungkan tuntunan Islam dalam terjadinya musibah.

 Setiap orang harus beriman dengan ketetapan Allah sehingga wajib menerima ketentuan Allah tersebut dengan hati yang tenang dan berlapang dada

MOHAMAD ARIFF DZOLKIPLE
Universiti Sains Islam Malaysia

Minyak naik: Umno BN tidak boleh diharap bela rakyat

Oleh AHMAD FADHLI SHAARI 

 Berita berkenaan kenaikan harga minyak atas nama rasionalisasi subsidi hakikatnya mengejutkan banyak pihak. Namun, jika dilihat kepada gaya berbelanja kerajaan Umno/Barisan Nasional, tidak ada yang pelik dengan tindakan mengurangkan subsidi ini yang menyebabkan harga minyak RON95 dan diesel mengalami kenaikan sebanyak 20 sen.

Tindakan ini wajib dikutuk pada saat rakyat sedang terbeban dengan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang sedang diperkenalkan.


Tidak ada sebarang sebab musabab ia diperkenalkan pada saat ini kecuali sebagai satu hadiah kepada rakyat khususnya di Pengkalan Kubur kerana terus memberikan kemenangan kepada calon Umno 25 September yang lepas.

Jika sebelum ini, kerajaan kebiasaannya mewar-warkan bahawa kenaikan minyak berlaku selaras dengan kenaikan minyak dunia. Namun, pada kali ini, kenaikan minyak dunia tidak boleh dijadikan alasan. Semakan di laman http://www.infomine.com/ mendapati bahawa harga minyak dunia bukan setakat tidak mengalami kenaikan bahkan mengalami penurunan ketara semenjak akhir-akhir ini.

Untuk rekod, pada 1 Oktober 2013 yang lalu, minyak mentah (crude oil) direkodkan pada harga USD108 / barrel. Namun pada 30 September 2014 iaitu semalam, harga minyak mentah ditutup dengan harga USD97.14 / barrel. Adakah kerajaan Umno mahu menggunakan alasan penurunan harga minyak menyebabkan perniagaan Petronas kurang untung sehingga menyebabkan pengurangan subsidi?

Kerajaan perlu bertindak selaras dengan kemampuan rakyat. Hakikatnya, bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang nampak popular tetapi mengakibatkan kenaikan harga minyak wajib dipertimbangkan semula.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri pada 2 September 2013 yang lepas sewaktu mengumumkan pengurangan subsidi minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, kerajaan berjaya jimatkan sebanyak RM1.1 billion. Ia boleh dirujuk di akhbar Utusan Malaysia pada 3 September 2013. Ini bermakna, pengurangan subsidi sebabnyak 20 sen menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1.1 billion!

Walaupun tidak dinyatakan angka penjimatan kerajaan untuk kenaikan minyak pada kali ini, namun berdasarkan pemotongan subsidi sebanyak 20 sen, boleh dianggarkan bahawa penjimatan kerajaan pun sekitar RM1.1 billion.

Malangnya, untuk Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2014, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.6 bilion bagi diberikan seacara tunai kepada rakyat. Bayangkan jika BR1M ini tidak dilaksanakan, di atas kertas kerajaan boleh meningkatkan subsidi minyak sebanyak 80 sen (20 sen = RM1.1 billion)!

Kita bukannya anti terhadap BR1M, namun jika untuk memberikan bantuan one-off seperti itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga minyak berlipat kali ganda, sewajibnya kerajaan Umno/Barisan Nasional bertindak dengan akal yang waras. Perlu diingatkan, kenaikan harga minyak tidak dapat tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang kesemuanya bergerak menggunakan minyak.

Rakyat perlu bangkit. Sedar dan insaf bahawa Umno/Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk menjadi pembela rakyat. Walaupun mereka menghulurkan ketuhar microwave secara percuma pada hari pengundian, ia sebenarnya tidak lebih melainkan hanya untuk memanggang rakyat sendiri di kemudian hari!

Lakukan bantahan. Jika boleh berkempen, lakukan. Jika boleh sebarkan risalah maka sebarlah. Dan selemah-lemah bantahan ialah menolak Umno/Barisan Nasional di kertas undi nanti

Harga minyak: 17 kali naik, sekali turun

Oleh NIK NASRI NIK MALEK

Ayat al-Quran di antaranya menegaskan tentang keadilan pemerintah. Adil bererti meletakkan sesuatu di tempatnya.

Hadis Nabi pula di antaranya menekankan sumber dan hasil negara yang diurus dengan baik. Sirah perjalanan Nabi SAW dan para khulafa ar-Rasyidin dipenuhi dengan pemerintahan yang sangat mesra rakyat dalam pelbagai sudut.

Kaedah fiqh pula menyebut ‘tindak-tanduk pemerintah dikaitkan dengan kepentingan rakyat’.

Namun, pemerintahan BN berlandaskan apa? Al-Quran? jauh rasanya. Hadis Nabi SAW? Tak juga. Sirah perjalanan Nabi dan khulafa ar-Rasyidin? Tak nampak jalan juga.

Hakikatnya kerajaan BN terus gagal dalam sejarah pemerintahannya mengurus segala sumber asli dan lain-lain nikmat yang Allah berikan untuk kepentingan rakyat teramai.

Saya bukan ahli ekonomi, namun petunjuk dari al-Quran dan Hadis yang menjadi panduan buat seorang yang mengaku Islam nampaknya tidak diikuti dalam menguruskan ekonomi negara, termasuk dalam isu subsidi petrol dan diesel yang dikurangkan kelmarin, sekaligus menjadikan kos hidup dan pelbagai kos lain meningkat dan akan meningkat.

Ada orang yang membuat analisis kronologi harga minyak di Malaysia sebelum tahun 1990 (RM0.89 seliter) hingga 2 Okt 2014 (RM2.30 seliter).

Ia mengalami 17 kali kenaikan dan hanya sekali penurunan. Yang lawaknya pula ialah di saat dunia luar memperkatakan tentang harga minyak yang jatuh, tetiba dalam negara tumpah tanahnya darahku ini, subsidi petrol dan diesel dikurangkan atas nama rasionalisasi yang tak berapa nampak rasional.

Bagi yang berpendapatan tinggi, bergaji mahal, barang kali boleh absorb kesan pengurangan subsidi ini.

Namun bagi mereka yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan malam, ia hanya menambahkan sengsara hidup mereka.

BR1M hanyalah seperti panadol buat menghilangkan sakit kepala rakyat buat sementara.  Negara tanah tumpahnya darahku ini sudah bertukar tema: ‘negara tanah naiknya darahku’.

KRONOLOGI HARGA MINYAK MALAYSIA

Sebelum 1990 – RM0.89
Tahun 1990 – RM1.10 (kenaikan RM0.21)
01/10/2000 – RM1.20 (kenaikan RM0.10)
20/10/2001 – RM1.30 (kenaikan RM0.10)
01/05/2002 – RM1.32 (kenaikan RM0.02)
31/10/2002 – RM1.33 (kenaikan RM0.01)
01/03/2003 – RM1.35 (kenaikan RM0.02)
01/05/2004 – RM1.37 (kenaikan RM0.02)
01/10/2004 – RM1.42 (kenaikan RM0.05)
05/05/2005 – RM1.52 (kenaikanRM 0.10)
31/07/2005 – RM1.62 (kenaikan RM0.10)
28/02/2006 – RM1.92 (kenaikan RM0.30)
04/06/2008 – RM2.70 (kenaikan RM0.78)
01/09/2009 – RM1.80 (TURUN RM0.90)
16/07/2010 – RM1.85 (kenaikan RM0.05)
04/12/2010 – RM1.90 (kenaikan RM0.05)
03/09/2013 – RM2.10 (kenaikan RM0.20)
02/10/2014 – RM2.30 (kenaikan RM0.20)

Berita luar negara mengenai harga minyak (ketika harga minyak mula naik di Malaysia malam semalam):

1) Kejatuhan harga minyak baik untuk pemandu – Telegraph UK

2) Harga minyak dijangka turun pada paras plg rendah dlm lingkungan suku tahun sejak 2012 – Bloomberg

3) Harga minyak mentah jatuh teruk dalam tempoh 4 tahun – Wall Street

4) Menteri minyak risau harga minyak yang rendah akan mengurangkan pelaburan – Reuters UK

5) Harga minyak jatuh teruk kerana lebihan penawaran – The Globe and Mail

6) Saham tenaga jatuh kerana harga minyak turun – Edmonton Journal

7) Bank Negara Rusia bersedia dengan keadaan harga minyak yang dijangka turun – Daily Mail

8) Harga minyak turun dan ekonomi dunia semakin mapan – Business Week

Penghapusan subsidi: Apakah alternatif pengguna

Oleh  PIARAPAKARAN S

PENGHAPUSAN subsidi akan sentiasa mempunyai pelbagai reaksi dari semua peringkat pihak berkepentingan. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) ingin ketepikan isu-isu yang berkaitan dengan kos. Mari kita lihat kepada realiti, apakah alternatif yang ada atau boleh disediakan untuk rakyat and sektor perniagaan apabila penghapusan subsidi dilaksanakan? Adakah kerajaan dan agensi-agensinya bergerak lebih dekat menuju ke penyelesaian-penyelesaian ini?

Mari kita lihat beberapa statistik. Pada tahun 2012, sektor pengangkutan di Malaysia menggunakan tenaga sebanyak 17,180 kilo tan bersamaan minyak (kilo tonne oil equivalent) mengikut Panduan Statistik Tenaga Malaysia 2014. Ia adalah 36.78% daripada jumlah penggunaan tenaga akhir. Sektor pengangkutan telah menggunakan jumlah tenaga yang lebih tinggi daripada sektor industri sejak tahun 2008. Berdasarkan laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Malaysia melepaskan sebanyak 1,494 kg CO2 (karbon dioksida) per kapita bagi sektor pengangkutan pada tahun 2010 dan AWER mengunjurkan pelepasan karbon daripada sektor Pengangkutan di bawah senario Tiada Perubahan (Business as Usual-BAU) pada tahun 2030 adalah kira-kira 2,272.83 kg CO2 per kapita.

Kini, bagaimana kita mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor pengangkutan? Mengurangkan pelepasan karbon juga bermakna kita akan dapat mengurangkan kos yang berkaitan dengan penggunaan tenaga dalam sektor pengangkutan.

Pengangkutan Awam

Apabila AWER merujuk kepada pengangkutan awam, kami tidak mengambil kira teksi. Pengangkutan awam mesti berupaya untuk membawa satu kumpulan besar orang dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Berdasarkan kajian soal selidik peringkat kebangsaan terkini yang dijalankan oleh AWER, kami mendapati fakta yang menarik mengenai pengangkutan awam. 4.17% rakyat Malaysia adalah pengguna harian pengangkutan awam, 24.75% rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam beberapa kali dalam seminggu, 51.64% rakyat Malaysia jarang menggunakan pengangkutan awam dan 19.43% rakyat Malaysia langsung tidak menggunakan pengangkutan awam. Berdasarkan data ini, kita dapat lihat bahawa ada kecenderungan untuk menggunakan pengangkutan awam tetapi mengapa penggunaan pengangkutan awam tidak dioptimumkan?

Apabila kami bertanya kepada responden apakah masalah utama pengangkutan awam di kawasan mereka, 41.18% rakyat Malaysia menjawab bahawa pengangkutan awam sentiasa penuh pada waktu puncak. Sebanyak 36.16% menjawab bahawa pengangkutan awam tidak mengikut jadual dan 14.54% menjawab bahawa perkhidmatan pengangkutan awam adalah jauh dari kawasan perumahan mereka. 7.92% pula mengadu bahawa tidak ada sistem pengangkutan awam di kawasan mereka.

Apabila kami bertanya adakah mereka akan mengambil pengangkutan awam lebih kerap jika perkhidmatan pengangkutan awam ditambahbaik untuk menjadi lebih berkesan, 52.78% rakyat Malaysia berkata mereka akan beralih kepada pengangkutan awam. Pada masa ini, pembahagian modal (modal share) yang dirancang bagi Lembah Klang adalah 20% pengangkutan awam dan 80% kenderaan persendirian. Maka, terdapat potensi yang besar untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada 50%. Adakah kerajaan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik?

Projek MRT dan laluan tambahan LRT tertumpu kepada Lembah Klang sahaja. Pelaksanaan sistem pengangkutan awam secara tidak menyeluruh gagal menyelesaikan permintaan kepada sistem perkhidmatan pengangkutan awam sebenar yang diperlukan oleh rakyat Malaysia. Jika liputan pengangkutan awam adalah rendah, pengguna cenderung untuk memandu ke destinasi yang dikehendaki oleh mereka. Jaringan di antara bandar-bandar, pekan-pekan dan kawasan luar bandar serta negeri-negeri adalah penting untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Apakah keberkesanan sistem pengangkutan awam semasa dan yang dicadangkan untuk membawa pengguna ke lokasi yang dikehendaki oleh mereka?

Tambahan pula, dalam kes MRT dan LRT, di manakah laporan penilaian impak trafik? Saya telah menerima beberapa maklum balas daripada pembaca di blog saya mengenai isu MRT. Adakah ia benar-benar perlu untuk meletakkan stesen MRT atau LRT di lokasi yang padat dan sesak? Adakah pemilik projek takut bahawa pengguna tidak akan mengambil pengangkutan awam apabila stesen yang mempunyai kemudahan tempat letak kereta dan jaringan bas yang lebih baik terletak di lokasi yang jauh sedikit? Dengan meletakkan stesen di lokasi yang sudah sesak, aliran trafik ke lokasi ini akan menjadi lebih teruk. Ini akan menghalang penggunaan pengangkutan awam kerana ia bukan satu laluan mudah untuk diambil walaupun dengan menggunakan bas. Maka, kita akan kembali kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan pengangkutan awam yang telah diketengahkan oleh hasil kajian kami.

Reka Bentuk Jalan Raya yang Menyebabkan Kesesakan Lalu Lintas yang Teruk

Tol Sunway Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Petaling Jaya adalah contoh klasik reka bentuk trafik yang mengerikan. Lorong tunai dan SmartTAG ditempatkan secara bertentangan dan dipisahkan oleh lorong 'Touch and Go' di tengah. Ini menyebabkan aliran trafik bertembung untuk mengambil jalan keluar ke Sunway atau menuju ke arah Petaling Jaya. Pertembungan sebegini melambatkan aliran trafik. Di Malaysia, lebuh raya pada asasnya direka untuk mengeluarkan aliran kenderaan yang tinggi dari satu lokasi dan melonggokkannya di lokasi yang lain. Bagaimana aliran trafik keluar dari sana adalah persoalan berasingan. Berapa laporan penilaian impak trafik telah dilakukan untuk memastikan lebuhraya benar-benar berfungsi untuk mengurangkan kesesakan? Berapa banyak projek lebuhraya sebenarnya mencapai objektif untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas?

Mewujudkan terlalu banyak pusingan-U dan laluan "alternatif" juga satu lagi masalah yang memberi kesan kepada aliran trafik. Penyelenggaraan jalan adalah juga satu lagi masalah sebenar yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak diingini. Kegagalan dalam reka bentuk jalan raya sebenarnya menyebabkan kesesakan lalu lintas dan membazir bahan api. Mengapa masalah-masalah ini tidak ditangani secara holistik?

Ada pihak juga akan mengatakan bahawa jika anda tidak mahu membayar tol, anda boleh ambil jalan alternatif. Tetapi, apabila jalan raya tidak bertol ditukar kepada lebuhraya bertol, ia sudah tidak ada jalan alternatif. Walaupun terdapat jalan alternatif, jalan alternatif tersebut adalah terlalu jauh untuk perjalanan dan membazir petrol serta diesel kerana laluan ini juga sesak disebabkan oleh pelbagai sebab. Maka, adakah pengguna jalan raya benar-benar diberi alternatif?

Piawaian Minima Prestasi Tenaga (Minimum Energy Performance Standard - MEPS) dan Pelabelan Kecekapan Tenaga untuk Kenderaan

Bagaimana pula dengan mendapatkan kenderaan yang lebih cekap tenaga (EEV)? Ia  berbunyi seperti idea yang hebat kerana kita boleh menjadi mesra alam dan mengurangkan kos bahan api. AWER telah banyak kali mengutarakan isu ini untuk memastikan MEPS (kecekapan bahan api dan kriteria pelepasan karbon) dilaksanakan untuk kenderaan (termasuk kenderaan perdagangan) yang dijual di Malaysia. Dengan cara ini, pemilik persendirian atau pemilik kenderaan perdagangan akan diberi jaminan bahawa mereka akan membeli kenderaan yang bergerak jarak lebih jauh dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah.

Keadaan ini adalah sama dengan pengenalan jenis bahan api yang lebih baik. Kini, kami menggunakan bahan api jenis EURO2 tetapi banyak model kenderaan baru telah direka untuk bahan api EURO4. EURO4 mengurangkan kesan pelepasan gas rumah hijau dalam sektor pengangkutan dengan ketara. Mengubahsuai kenderaan tertentu ke penggunaan EURO2 juga meningkatkan kos penyelenggaraan kenderaan. Pelaksanaan penggunaan bahan api jenis EURO4 perlu dipercepatkan. Ini akan membantu kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon dengan ketara dan membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan. Gabungkan langkah ini dengan penggunaan EEV dengan MEPS, ia adalah hasil gabungan dasar yang akan membantu rakyat Malaysia untuk menghadapi penghapusan subsidi bagi bahan api. Ini adalah alternatif yang paling cepat yang boleh ditawarkan pada masa ini.

Berhati-hati dengan Dakwaan Kenderaan Elektrik "Sifar" Pelepasan atau Mesra Alam

Terdapat sekumpulan individu menggambarkan bahawa kenderaan elektrik mempunyai "sifar" pelepasan dan lebih mesra alam. Ini bukan satu kenyataan yang betul secara saintifik. Pengeluaran bateri bagi kenderaan elektrik mempunyai satu siri kesan alam sekitar. Kesan alam sekitar daripada pengeluaran bateri ditambah pula dengan kesan alam sekitar daripada sektor penjanaan elektrik menjadikan kenderaan elektrik tidak layak sebagai penyelesaian sebenar untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG). Peningkatan dalam penggunaan arang batu untuk penjanaan tenaga elektrik serta pelanjutan operasi loji janakuasa yang lebih tua dengan kecekapan penjanaan yang lebih rendah menyebabkan peningkatan pelepasan GHG bagi tenaga elektrik. Secara keseluruhan, penggunaan kenderaan elektrik akan menyumbang kepada pelepasan GHG yang lebih berbanding kereta atau bas konvensional. Beberapa kajian Penilaian Kitar Hayat (LCA) yang dirujuk oleh AWER juga membuat kesimpulan yang sama.

Adakah kerajaan melaksanakan dasar yang tepat apabila terdapat isu yang serius dalam campuran bahan api di sektor penjanaan elektrik? Walaupun sesetengah pihak akan memberikan alasan bahawa kenderaan elektrik boleh mengurangkan pelepasan karbon di lokasi yang sesak, meletakkan kenderaan elektrik di atas jalan raya tidak mengurangkan kesesakan lalu lintas. Meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi boleh mengalahkan (out beat) dakwaan "sifar" pelepasan oleh kenderaan elektrik pada bila-bila masa. Kami percaya kerajaan perlu memberi keutamaan dan melaksanakan langkah yang berkesan dan bukannya percaya dakwaan "sifar" pelepasan kenderaan elektrik yang tidak terbukti.

Kesimpulan

Terdapat lima elemen yang boleh mengurangkan kebergantungan tenaga daripada sektor pengangkutan, iaitu pengangkutan awam yang berkesan, reka bentuk jalan (reka bentuk trafik), bahan api jenis EURO 4, EEV dan MEPS untuk kenderaan. Pelaksanaan bahan api jenis EURO 4, EEV dan MEPS untuk kenderaan mesti dipercepatkan kerana ia adalah penyelesaian jangka masa pendek yang dapat memberi hasil serta merta. Pengangkutan awam perlu menjadi penyelesaian jangka masa sederhana dan pegubahsuai semula reka bentuk jalan (reka bentuk trafik) sebagai penyelesaian jangka masa panjang. –

Piarapakaran S. Ialah Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

Cadangan untuk Proton

Oleh SHAMSURI RAHMAN

TAHNIAH kepada Proton kerana pelancaran model terbarunya, Iriz. Kehadiran model ini membangkitkan semula semangat pengeluar kereta nasional ini selepas lama sepi tanpa sebarang produk baru yang benar-benar selari dengan perkembangan dunia automotif.

Saya baru-baru ini berkesempatan berkunjung ke bilik pameran untuk melihat sendiri model terbaru ini. Secara umumnya sebagai rakyat Malaysia tentunya saya bangga dengan proton. Saya pernah memiliki beberapa model proton dan menggunakannya sejak 1996 hingga 2013.

Namun pada tahun 2007 saya mula membeli kereta dari Korea di samping masih menggunakan proton. Saya tidak pernah memiliki jenama lain cuma banyak kali berkesempatan memandu sahaja seperti produk Nissan, Perodua, Volkswagen, Suzuki, dan Toyota.

Bermula tahun 2014, saya tidak lagi memiliki produk proton tetapi banyak kali memandu milik saudara-mara.

Secara perbandingan, saya mendapati proton masih lagi ketinggalan dalam banyak aspek berbanding pengeluar yang besar seperti dari Jepun. Jika dibanding dengan produk korea pun proton masih ketinggalan.

Oleh itu, saya mencadangkan agar proton mengambil kira beberapa aspek untuk dipertingkatkan agar boleh bersaing khususnya di luar negara.

Pengguna hari ini semakin bijak apabila turut mengambil kira mutu produk dengan nilai wang yang dibelanjakan. Mereka juga memperoleh maklumat dari serata dunia dan membuat perbandingan produk proton dengan produk luar.

Pengguna tidak akan bertolak ansur membeli sebuah kereta yang rendah mutunya dan mahal harganya secara relatif.

Pengguna juga tahu bahawa harga kereta yang diimport sebenarnya lebih murah berbanding proton – dan menjadi mahal kerana dikenakan cukai. Bagi pengguna yang agak mampu, mereka lebih rela membeli kereta import kerana tidak mahu pening kepala dengan masalah remeh seperti masalah cermin pintu!

Mutu kereta yang dipasarkan di dalam negara mestilah sama tinggi mutunya dengan kereta eksport. Barulah rakyat berasa bangga dengan kereta nasional mereka.

Suatu masa dahulu, ketika mahu membeli kereta, saya ditanya sama ada mahu membeli spesifikasi tempatan atau eksport. Yang eksport lebih tinggi mutunya – terkedu dibuatnya.

Selain itu, reka bentuk yang menawan juga menjadi aspek pemilihan sesuatu produk. Syarikat automatif korea sanggup berbelanja besar untuk mendapat khidmat seperti Peter Schreyer bagi mereka bentuk semula semua produk. Terbukti, pelaburan mereka mendatangkan keuntungan yang lumayan.

Oleh sebab harga minyak yang lebih kerap naik daripada turun (dalam konteks Malaysia), saya mengesyorkan agar proton menjalankan kajian dan pembangunan kereta hybrid secara intensif. Jika diusahakan sekarang, mungkin dalam tempoh 10 ke 20 tahun lagi Malaysia menjadi pengeluar kereta Hybrid yang murah dan bermutu tinggi di dunia.

Saya mengambilkira sikap acuh tidak acuh kita dalam hal ini. Pada tahun 1989, saya melihat demontrasi oleh Zul Design bagaimana sesebuah kereta itu boleh dihidupkan dari luar dan menggerakkannya melalui kunci pintar. Kereta yang dijadikan bahan demontrasi itu ialah model Proton Knight.

Jika proton membuka matanya kepada pereka tempatan seperti Zul, saya pasti sebelum tahun 2000 lagi semua produk proton telahpun menggunakan kunci pintar.

Saya berharap kemunculan Iriz menjadi permula kepada kebangkitan semula proton. Jadilah jaguh kampung dahulu kemudian kepercayaan luar akan datang dengan sendirinya.

Anak muda risau tanggung beban GST

Oleh MOHD BUKHARI MANSIN 

Selesai sudah kemelut perlantikan Menteri Besar Selangor, semoga semua parti dalam Pakatan Rakyat dapat berlapang dada menerimanya.

Fokus kini pada membela nasib rakyat. Saya kira dengan pelaksanaan GST pada April tahun depan, ekonomi rakyat akan sedikit sesak nafasnya. Parti politik seperti Pakatan Rakyat perlu membulatkan tenaga untuk terus mengasak Kerajaan untuk menangguhkan GST kerana masanya tidak sesuai.

Saya faham GST ada kebaikannya, namun perlu dilihat secara lebih menyeluruh soal ketelusan, amanah dan tiada rasuah serta penyelewangan dana kerajaan untuk rakyat sebelum melaksanakn GST.

Belanjawan kerajaan Malaysia sudah banyak tahun mengalami defisit. Dalam keadaan seperti itupun, belanja mengurus pada setiap tahun meningkat. Ada peningkatannya sehingga 8 peratus.

Soalnya, pada setiap kenaikan belanja mengurus itu, gaji rakyat kebanyakan tidak juga meningkat dengan baik. Di sini yang kita hairan, kemana duit itu dibelanjakan dan dikeluarkan. Rakyat bertanya, namun jawapan kadang kadang diberi agak mengecewakan.

Laporan audit negara setiap tahun mengalami kebocoran dan ketirisan yang bukan sedikit. Beberapa tahun dahulu saya masih ingat, beberapa bulan selepas bajet dibentang, ada sebuah kementerian memohon bajet tambahan beberapa belas billion. Cepatnya duit habis!!

Saya menonton berita di TV3, wartawan mewawancara Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkenaan pelaksanaan GST, Gabenor Bank itu menjawab, kadar inflasi akan naik berkadar 3.1% hingga 3.2% dan akan mengambil masa untuk pulih dalam kadar 1-2 tahun.

Dalam keadaan seperti ini, rakyat perlu dbekalkan dengan "human empowerment" untuk menangani kadar inflasi, pengetahuan tentang soal pengurusan kewangan perlu didedahkan. Yang paling merisaukan ialah anak muda yang menanggung beban.

Penulis ialah mahasiswa fakulti Usul Fiqah.
 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat