Headlines News :

IKLAN B

Hamid dedah Hamzah mahu guna Cawangan Khas untuk kepentingan politik

 


Bekas ketua polis negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan kisah di sebalik dakwaan bahawa Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.

Hamid dipetik MalaysiaGazette mendakwa wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri itu untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas (PCK) Bukit Aman.

Jelas Hamid, langkah itu dibuat bagi tujuan karier politik Hamzah, menyebabkan Cawangan Khas tidak senang dengan tindak tanduk menteri berkenaan yang dirujuknya sebagai "MDN" (Menteri Dalam Negeri).

“Saya dimaklumkan MDN telah memaksa JCK melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.

“Saya tidak boleh dedahkan operasi apa kerana setiap operasi JCK adalah rahsia tapi cukuplah untuk mengatakan bahawa objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada JCK untuk memelihara serta menguruskan keselamatan negara,” Hamid dipetik sebagai berkata.

Hamzah sebelum ini mengaku adalah individu dalam rakaman audio yang membincangkan pelantikan pegawai kanan polis.

Hamid, menurut laporan itu mendakwa Cawangan Khas telah menolak untuk turut serta dalam operasi tersebut sebelum melaporkannya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, Muhyiddin bersetuju agar Jabatan Cawangan Khas (JCK) tidak boleh terlibat dalam kerja-kerja politik menyebabkan menteri terbabit marah.

Selepas itu katanya, Hamzah cenderung bekerjasama dengan bekas pegawai kanan JCK yang telah tamat kontrak tahun lalu.

“‘Menteri berkenaan dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan ‘budaknya’ (bekas pegawai kanan JCK) menyandang jawatan PCK Bukit Aman kerana individu itu mudah mengikut arahan menteri.

“Sebagai bukti, pada 16 Februari lalu PCK sedia ada telah dipanggil oleh Ketua Setiausaha KDN sebelum meminta beliau mengakhiri kontraknya secara sukarela, jika tidak notis sebulan bagi pemberhentian kontrak akan diberikan.

“Menteri tersebut seolah-olah tidak sabar meletakkan ‘budaknya’ mengisi jawatan tersebut sedangkan kontrak PCK akan berakhir pertengahan Jun ini,” dakwa Hamid.

Hamid berkata, isu tersebut turut dibawa kepada pengetahuan Muhyiddin sebelum pengarah Cawangan Khas Bukit Aman diarahkan untuk terus berkhidmat.

Mohamed Farid Abu Hassan merupakan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dan dilantik memegang jawatan itu pada Jun 2019.

Hamid bersara sebagai Ketua Polis Negara semalam dan tempatnya digantikan oleh timbalannya, Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam kenyatannya semalam, Hamid berikrar akan terus berjuang dengan pasukan polis "dengan caranya sendiri" meskipun telah bersara. 

Malaysiakini telah menghubungi Hamzah untuk mendapatkan respons.

Agar tidak dibenci orang

 


Sejak enam bulan yang lalu, sudah dua kali kami disaman kerajaan. Kedua-keduanya adalah kesalahan nyata yang kami lakukan.

Pertama adalah kerana merokok di kawasan awam, dan yang keduanya kerana memasang nombor plat yang tidak mengikut peraturan pada kereta Kancil turbo kuning kebanggaan kami.

Tidak ada sebarang kekesalan atas saman kedua-dua kesalahan tersebut kerana kami memang melakukanya dalam keadaan sedar.

Yang menjadi kekesalan ialah betapa setiap kali ditahan untuk disaman, tidak berlaku kemesraan di antara kami dan pegawai yang menyaman.

Semuanya berlangsung dalam suasana yang keras, tegang dan autoritas. Kami selalu bertanya kepada diri sendiri akan ke mana hilangnya kelakar umat hari ini.

Bila agaknya tarikh tepat kita semua menjadi manusia yang serius dan hilang kemanusiaan.

Kamu bayangkan, sedang kami menikmati sebatang rokok setelah lama memandu; sedang kami dibuai khayalan yang menyenangkan, dan ketika hampir masuk ke alam sebalik mata, kebahagian kami sebagai seorang pencandu diragut.

Tangan kami dipegang dan tidak mahu dilepaskan seolah-olahnya jika tidak dipegang kemas, kami akan melarikan diri.

Betul kami pernah mewakili rumah sukan sekolah dalam acara lari 100 meter dengan rekod 15.3 saat, namun dengan usia sebegini dan dengan tar penuh di dada, kalau dibakar mati pun kami tidak akan bergerak ke mana-mana.

Bimbang saman berganda

Kami syak pegawai penguat kuasa berkenaan memerlukan bahan bukti - yakni rokok yang ada di tangan kami - maka beliau bertindak demikian.

Setelah reda panik dan bera kerana ditahan di tempat awam, kami pun mula menenangkan diri. Dek selamanya menyangka yang kami ini kelakar orangnya, kami pun mula berbual dengan pegawai tersebut.

Namun cubaan kami untuk menjadi kawan - walaupun disaman - tidak berjaya. Beliau masih bermasam muka dan tidak mahu berbual. Dimintanya kad pengenalan daripada kami dan beliau mula menulis.

Apabila melihat tangan beliau terketar-ketar menulis saman, kami pun bertanya: "Tangan lenguh tu banyak tulis saman ke? Ke, takut kat saya?"

Pegawai berkenaan mengecilkan mata dan bertambah marah. Lalu kami pun diam dan tidak tersenyum kerana bimbang disaman berganda.

Dimintanya kami menandatangani surat saman berkenaan dan setelah itu menghulurkan kepada kami helaian kertas itu tanpa sebarang kata-kata.

Sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih kepada kami yang telah membenarkan tugas beliau - yakni jurusaman - menyaman. Sebaliknya kami pula yang mengucapkan terima kasih kepada beliau.

Biar pun terasa sedikit bodoh, akhlak mulia yang diajar sejak kecil kepada kami membenarkan ucapan baik yang kami tuturkan itu.

Gambar hiasan

Pegawai-pegawai kerajaan yang ada kuasa mengeluarkan saman sepatutnya lebih berhemah, malah seeloknya kelakarlah sedikit. Orang yang disaman biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan dan sengaja mengambil risiko atas sebab-sebab tertentu.

Dalam kes kami, seperti mana-mana orang kaya, kami tahu kami mampu membayar denda yang dikenakan. Jadi tidaklah kami hairan apabila disaman.

Saman RM300 kerana menghisap sebatang rokok - yang dalam perkiraan kami bersamaan dengan saman RM60,000 kepada selebriti yang bernikah dan menjemput 1,000 tetamu termasuk menteri - tidak akan membekas atau menjadikan kami miskin.

Buka baju akan bergaduh

Ketika disaman kerana menggunakan nombor plat fancy untuk Kancil kuning turbo, kami cuba merayu dan cuba juga menjelaskan kepada pegawai polis berkenaan betapa sebuah kereta yang secantik itu - dengan sayap belakang warna keemasan dan rim 16 inci tayar terkeluar - tentu tidak sesuai jika menggunakan nombor plat standard.

Agak memalukan apabila ekzos gajah mengawan kami disertakan dengan nombor plat cap kerajaan. Ini tentu akan menjatuhkan imej Kelab Kancil Turbo Wilayah Tengah (Kakiturbo) yang mana kami adalah bendaharinya.

Namun setelah berkata: "Huh! Nak jadi raja ya?" Pegawai berkenaan terus mendiamkan diri dan tidak tersenyum lalu mengeluarkan saman tanpa sepatah kata.

Kata-kata "nak jadi raja" diucapkan pegawai berkenaan merujuk kepada nombor plat yang kami lilit dengan kain kuning hadiah daripada guru kami, Tuan Guru Haji Kebal Fauzi al-Oslaini. Bukan kerana kami berlagak bagai anak raja.

Kami terluka. Bukan kerana disaman, tetapi kerana kemesraan dan keramahan yang kami tawarkan dibalas dengan bentakan hanya kerana kami melanggar undang-undang nombor plat negara.

Tidak dapat kami bayangkan apa akibatnya jika kami ini dituduh bersalah membunuh orang, misalnya.

Nampaknya kita semua sudah lupa akan hal bermuamalat dengan betul.

Setiap kali tular tindakan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) memunggah gerai-gerai haram juga mendatangkan kehairanan kepada kami.

Mengapa perlu dilakukan dengan penuh kekerasan? Mengapa perlu sampai bergaduh? Pernah sekali rasanya tular pegawai PBT sampai membuka baju mengajak peniaga bergaduh.

Gambar hiasan

Lawa betul badan beliau. Dan kami syak memang itu pun sebabnya - dia nak menunjuk badan lawa. Inilah akibatnya bila kamu terlebih makan steroid.

Peniaga gerai tidak berlesen ini biasanya tahu akan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka sudi mengambil risiko tersebut mungkin kerana di kawasan tersebut terkenal ramai pelanggan dan mereka pun memperjudikan nasib untuk mencari sedikit pendapatan.

Apa yang perlu dilakukan oleh pegawai-pegawai jurusaman itu ialah mengeluarkan saman dan balik. Izinkan peniaga terbabit menghabiskan jualan.

Kita perlu faham betapa banyaknya masa, tenaga dan wang ringgit yang dihabiskan oleh para peniaga itu. Mereka bersusah-payah bangun pagi-pagi untuk menyediakan jualan sambil berharap ia akan mendatangkan sedikit untung.

Esok jika mereka masih berniaga di tempat sama, pegawai saman cuma perlu datang lagi, senyum, dan saman lagi. Cukup tiga atau empat kali, para peniaga itu akan serik rasanya.

Memanglah akan nampak seperti banyak kerja namun kamu akan setuju jika kami katakana bahawa ini adalah cara lebih baik berbanding nak bergaduh tak tentu hala.

Ini tidak, kamu angkut kerana kamu berkuasa. Tentu saja peniaga yang dari awal pagi tadi belum berehat itu akan menjadi marah. Ditambah pula oleh hasutan "kedai Cina dia tak kacau" itu , maka berlakulah kebodohan.

Bergaduh bergasaklah kamu tidak tentu pasal. Tak pasal-pasal Cina yang baik hati itu kamu salahkan.

Yang menyaman ialah pegawai biasa yang gajinya tak sampai pun RM10,000 sebulan manakala yang disaman juga merupakan orang biasa yang perniagaan mereka bukanlah untung sampai berjuta-juta setiap tahun.

Tunggu diskaun saman

Sama-sama cari makan, sama-sama bukan kluster kayangan, maka gunakan sedikit budi bicara dalam menjalankan tugas. Kita dari kelompok yang sama, yakni kelompok berkerja.

Bukan kelompok menteri atau selebriti yang lahir istimewa bak dewa itu.

Jika seorang mak cik sedang menggoreng keropok di luar masa yang dibenarkan, maka datang kepada beliau dan cari alasan supaya kamu tidak perlu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Masukkan ke kepala otak kamu bahawa itu orang sedang menggoreng keropok yang nanti akan dijual tiga keping RM1. Lihat keliling dan congak berapa pendapatan beliau sekiranya semuanya habis dijual dan tanya diri sendiri apakah mak cik tadi mampu membayar jika disaman sampai RM50,000.

Sedikit masa yang diambil untuk bertimbang rasa tentu akan membuahkan kesejahteraan untuk semua orang. Dan yang paling penting, nanti apabila kamu sudah bersara, sudah pencen dan tidak lagi mempunyai kuasa, kamu tidak dibenci orang. Senang mahu bertaubat.

Untuk rekod, kami diberi layanan yang sangat memuaskan di pejabat kesihatan semasa membayar saman kerana menghisap rokok. Pegawai yang bertugas berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari jalan agar saman RM300 itu dapat dikurangkan .

Bermula dengan beliau sendiri berjumpa dengan pegawai atasan dan kemudian datang kepada kami dengan sekeping kertas kosong dan mengajar kami bagaimana menulis surat rayuan.

Setelah itu beliau sendiri membawa surat berkenaan kepada pegawai atasannya. Apabila pegawai tersebut bersetuju mengurangkan jumlah denda kami setelah dua kali rayuan, beliau datang kepada kami dengan wajah puas hati.

Kami hanya perlu membayar denda sebanyak RM125. Jika tidak kerana bimbang dituduh memberi rasuah, mahu saja kami beri wang RM175 lebihan daripada jumlah asal RM300 itu kepada beliau.

Sememangnya sejak awal kami sudah sediakan wang RM300 untuk saman tersebut. Saman plat kuning pula belum kami jelaskan kerana menunggu tawaran potongan 50 peratus oleh pihak berkuasa.

Apabila difikir-fikir lagi, jarang sebenarnya ada negara yang berniaga dengan rakyat sendiri. 


ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pemandu aksi lasak Kancil.

Secangkir kopi, sepiring politik


Oleh Muhaimin Sulam

 Kewujudan kedai kopi di kampung tidak sekadar memenuhi keperluan ekonomi penduduk setempat malah merupakan pusay masyarakat bersosial.

Di kedai-kedai kopi itulah berlakunya perbincangan secara santai tentang pelbagai masalah yang dihadapi penduduk kampung setiap hari.

Hampir setiap kampung mempunyai kedai kopi. Ada yang beroperasi dari pagi hingga ke malam, ada yang hanya dibuka pada waktu sarapan saja. Ada dijalankan secara sepenuh masa dan ada sekadar untuk menambah pendapatan keluarga.

Banyak keputusan politik dibuat di kedai kopi ketika bersembang sesama rakan-rakan. Keputusan politik yang asli, tepat dan ikhlas lahir dalam suasana santai.

Mesyuarat di pejabat atau markas hanya medan rasmi untuk mengabsahkan perbincangan tidak rasmi di kedai kopi. Kadangkala keputusan mesyuarat yang rasmi dirombak semula di kedai kopi.

Oleh itu, perkembangan pensejarahan kedai kopi perlu diambil kira dalam memahami politik setempat.

Lazimnya penduduk kampung akan melepak di kedai kopi sebelum pergi kerja, pada waktu petang dan lepas sembahyang Isyak dan ia boleh berlarutan hingga ke malam.

Menjadi pemimpin politik, kedai kopi adalah salah satu destinasi 'wajib hadir' dalam sesuatu kunjungan bagi mewujudkan hubungan mesra dengan orang kampung.

Pemimpin politik dan wakil rakyat biasanya akan mengunjungi banyak kedai kopi dalam satu hari.

Mesti kena ada TV

Di sesetengah tempat, kedai kopi mempunyai pendekatan bebas daripada pegangan mana-mana parti politik. Namun sebahagiannya sudah menjadi tempat kepada berkumpulnya satu-satu kelompok sahaja.

Pun begitu usaha mengesan pensejarahan kedai kopi di sesebuah kampung tidaklah mudah kerana tidak banyak yang mampu bertahan beberapa kali pilihan raya umum.

Dalam kajian politik kampung di Sungai Manik, beberapa kedai kopi terpilih saja dijadikan bahan pemerhatian kerana di kedai-kedai kopi itulah dapat dikesan kecenderungan dan pengaruh politik seseorang atau sesebuah parti.

Tahun-tahun sebelum perang, berhampiran stesen kereta api dan jeti tepi sungai terdapat kedai-kedai kopi yang membentuk sebuah pekan kecil. Kedatangan orang luar akan mudah dikenal pasti oleh orang tempatan.

Stesen kereta api seperti di Degong, Chikus, Tukang Sidin dan Sungai Kerawai adalah pekan tempat orang kampung berkumpul. Pertemuan dan program penerangan politik pula diadakan di kawasan berhampiran.

Kini tempat tersebut sudah berubah.

Semasa teknologi siaran massa diperkenalkan dalam masyarakat, kedai-kedai kopi mesti mempunyai televisyen bagi memastikan pelanggan sentiasa ada.

Ketika itu teknologi televisyen sampai ke kampung-kampung walaupun bekalan elektrik belum ada. Tuan punya kedai kopi terpaksa menggunakan generator atau bateri kereta bagi menjana elektrik dan menghidupkan televisyen.

Pada masa sama propaganda kerajaan lebih kuat dibangunkan di kampung berbanding prasarana yang berjalan macam siput. Rakyat misalnya didendangkan dengan lagu Hindi yang mengasyikkan dan penderitaan hidup pun tenggelamlah dalam khayalan masing-masing.

Biasanya pada hari minggu dan waktu siaran cerita Melayu, Hindi dan gusti, kedai kopi akan penuh. Orang kampung akan berbondong-bondong sama ada dengan berbasikal atau berjalan menuju ke kedai yang mempunyai televisyen.

Kini keadaan tidak banyak berbeza. Kedai-kedai kopi kampung masih 'wajib' memiliki televisyen yang menyiarkan rancangan sama ada Astro atau Neflix.

Diusahakan tiga generasi

Dari satu rancangan ke satu rancangan, pencandu kedai kopi akan setia di situ membincangkan seribu satu masalah. Termasuk masalah negara.

Berdekatan dengan surau simpang tiga Sungai Manik yang merangkap Markas PAS Sungai Manik juga ada kedai kopi. Kedai kopi Kak Leha memang terkenal kerana kepelbagaian kuih-muihnya.

Kedai Kak Leha mula dibuka sejak pagi lagi hingga ke petang. Ia menjadi tempat berkumpulnya penduduk berhampiran simpang tiga itu. Oleh kerana di situ hanya kedai Kak Leha saja yang ada, ramailah berkumpul di situ.

Biasanya mereka bersarapan di situ sebelum turun ke bendang atau kebun.

Di Parit 3B yang tidak jauh dari situ pula ada kedai kopi Man Bilal. Dia mendirikan warung kecil di hadapan rumahnya. Kedai yang beroperasi sejak awal 2000 itu diusahakan bagi menambahkan pendapatan.

Tidak jauh dari situ ada kedai kopi Narihan yang lebih lama beroperasi. Sudah tiga generasi keluarganya mengusahakan kedai kopi tersebut. Di ruang hadapan kedai pernah diadakan ceramah politik kecil-kecilan. Namun yang lebih berkesan dalam politik adalah bersembang.

Dari agenda menukar kepimpinan negara sehinggalah menukar pemimpin parti sendiri ia ada dibincangkan di kedai kopi secara terbuka dan telus.

Kedai Mat Ayam ataupun Tom Yam Bollywood di Simpang Empat Balai Polis Chenderong Balai pula menjadi tempat tumpuan sesetengah penduduk kampung setempat.

Walaupun Mat Ayam penyokong PKR, kedainya tetap dikunjungi oleh semua orang. Selain kedai kopi itu di Simpang Empat Balai Polis memang terdapat banyak kedai makan. Masing-masing mempunyai pelanggan sendiri.

Kedai makan Mokhtar di pekan Chenderong Balai sudah berpuluh-puluh tahun beroperasi. Ahli politik kerap makan bersama-sama dengan rakan-rakan mereka di situ. Kedainya menjual roti canai di samping menu lain.

Tempat selesaikan masalah

Bersebelahannya pula ialah rumah bekas setiausaha PAS Pasir Salak, Zuki Yusuf, dan sebelahnya pula bekas kedai runcit milik Puzi Harun, bekas Setiausaha Pemuda PAS Pasir Salak.

Oleh itu, kedai makan Mokhtar sangat strategik untuk pimpinan PAS bertemu dengan. Bagaimanapun kedai Mokhtar tetap dikunjungi pelbagai pelanggan. Ini menjadikan ia sebagai satu tempat yang agak selesa.

Bekas Adun Sungai Manik, Yusuf Maidin, membina pengaruh antaranya melalui kedai kopi miliknya. Itulah pejabat tidak rasmi Yusuf. Di situlah dia bertemu dengan orang ramai tanpa sebarang jurang. 

Selepas bersara daripada tentera, dia membuka kedai kopi di pekan Chenderong Balai. Pada masa sama, Yusuf dilantik sebagai ketua kampung Chenderong Balai.

Keadaan itu menjadikan kedai kopinya sebagai tempat dia menyelesaikan masalah dan berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Di pekan Langkap pula kedai mamak sering menjadi tempat tumpuan pimpinan politik bertemu penyokong. Di Chui Chak yang terletak bersebelahan Langkap, sebuah kedai kopi berdekatan dengan pejabat PKR sering dijadikan tempat bertemu dan berceramah politik.

Orang Cina biasanya akan memenuhi kedai-kedai tersebut hampir setiap masa - dari pagi, petang hingga ke tengah malam. 

Sama seperti kedai kopi kampung lain, ia adalah 'parlimen' untuk orang biasa menyuarakan pandangan dan meluahkan pandangan sesama sendiri sambil melayan mahjung.

Oleh kerana sebahagian besar kaum Cina di Chui Chak tidak begitu fasih dalam bahasa Melayu, sembang politik tidaklah rancak jika ia melibatkan orang Melayu. 

Sesi berada di kedai kopi hanyalah lebih bersifat mewujudkan keserasian dalam hubungan antara pimpinan parti dengan penduduk tempatan.

Perbincangan di kedai kopi lebih telus berbanding perbincangan di markas yang lebih formal. Orang kampung lebih senang berinteraksi tanpa protokol dan peraturan seperti dalam mesyuarat.

Kadangkala mereka tidak pandai bercakap di hadapan orang ramai tetapi tiada masalah untuk bercakap di kedai kopi.

Jika melibatkan perbincangan serius dan rahsia, kedai kopi di pekan Teluk Intan akan menjadi pilihan. Jika sangat serius dan penting, buat di Kuala Lumpur atau mungkin juga ke Jakarta atau London. Tetapi itu tentunya bukan orang kampung.

Oleh sebab itu, sebelum atau selepas mesyuarat di pejabat parti, akan ada mesyuarat yang lebih merincikan keputusan-keputusan semasa mesyuarat di pejabat. 

Bahkan kadangkala ia lebih kemas dan menarik. Hal-hal itu biasanya berlaku di kedai kopi.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.

Menodai datuk


Oleh Mohd Mizan Aslam

 Negara dikejutkan dengan banyaknya kejadian tangkapan berkaitan jenayah.

Syabas kepada pihak PDRM, SPRM, imigresen, kastam, Aksem dan lain-lain agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang bertungkus lumus melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Jenayah merentasi disiplin termasuklah perjudian, pengubahan wang haram (Amla), pelacuran, dadah, penyeludupan, penipuan atas talian (scam), bunuh, rogol, rasuah dan dokumen palsu.

Setiap tangkapan yang dilakukan ini membawa kepada nilai rampasan dalam bentuk aset dan wang ringgit hingga ratusan juta.

Apa yang menariknya kebanykkan mereka yang terlibat dengan aktiviti jenayah ini mempunyai gelar berupa Tan Sri, Datuk/Datuk Seri dan Datuk/Datuk.

Tak payah sebutlah pingat kecil-kecil yang mereka tak pandang pun.

Yang menjadi sasaran mereka adalah gelaran ‘datukship’ ini yang sepertinya mempunyai kekebalan, imuniti ala-ala cerita survival.

Diringkaskan cerita, panggilan kepada penyamun ini yang bergelar ini, cukup sebagai Datuk sajalah.

Mereka kenal dari undang-undang, mempunyai daulat melakukan jenayah tanpa disentuh dan disanjung ramai termasuk kartel dalam agensi penguatkuasaan sebagaimana yang didedahkan ketua polis negara sebalum ini.

Dengan daulat yang mereka miliki ini, maka segelintir kecil menerima laba dan sejumlah besar pula menanggung derita. Ditipu, ditindas, dihina, dimaki, sebagaimana bodyguard tempoh hari.

Malah yang lebih menyedihkan apabila ramai orang miskin dan kurang terpelajar yang menjadi mangsa ketagihan dadah, menghancurkan masa depan mereka dan produktiviti negara amnya.

Satu kelompok lagi menangisi kehilangan wang ringgit, simpanan hari tua dan lain-lain lagi akibat penipuan oleh golongan scammers ini.

Persoalannya dimanakah daulatnya gelaran datuk ini? Bagaimanakah terlalu mudahnya kelompok penjenayah ini memiliki gelaran datuk? Apa muslihat yang mereka miliki, siapa broker dan magic apakah yang dimainkan mereka?

Banyak laluan

Gelaran datuk sudah hilang daulatnya, senang dimiliki oleh kelompok yang mempunyai wang ringgit terutamanya penjenayah.

Golongan yang berbakti kepada negara terkadang dinafikan hak mereka kepada gelaran tersebut, akan tetapi bagi golongan penjenayah ini mereka bebas memilikinya tanpa sekatan.

Banyak laluan memiliki gelaran tersebut. Malah seperti satu kemestian, jika kejahatan mereka sudah sampai ke kemuncaknya, maka tahap tertinggi yang diperlukan adalah gelaran Datuk ini.

Maka lengkaplah sudah episod kejahatan mereka di muka bumi ini.

Sudah sampai masa istana menyatakan dengan jelas kod etika dan kedaulatan datukship ini.

Walaupun tersurat dan tersirat sudah jelas bahawa setiap yang dianugerahkan gelaran tersebut harus mematuhi kod etika tertentu, tidak boleh manjatuhkan aib dan daulat gelar kurniaan duli-duli tuanku, akan tetapi akhirnya malaun ini hanya bersikap acuh tak acuh.

Sudah sampai masanya pematuhan yang jelas kepada kedaulatan datuk ini, apabila anda terkait sahaja (walaupun bukan tersabit), tetapi ia sudah cukup untuk si penerimanya ditarik kelayakan tersebut.

Walaupun bunyinya agak keras dan ada yang tak bersetuju atas prinsip presumption of innocent, akan tetapi inilah jalannya untuk mendaulatkan datuk.

Siapa sahaja terkena, secara automatisnya gelaran itu digantung hinggalah proven not guilty. Maka barulah ada akal, bukan hanya dapat Datuk dan suka hati nak buat apa pun.

Tetapi bila dapat Datuk maka sebaliknya mereka harus insaf dan mendaulatkannya di kedudukan yang paling tinggi. Gelar Datuk bukan lagi mudah diinjak, tetapi dijulang umpama tanjak.

Sudah terjadi, penjenayah mula berselindung di sebalik ahli politik, penguat kuasa mahupun NGO.

Tidak mustahil pada masa yang akan datang, penjenayah pula merupakan wakil rakyat ‘YB”, penjenayah juga adalah ‘Pak Aji’ dan penjenayah juga adalah ‘ustaz/father/sami’ dan sebagainya.

Jika hari ini mereka mendanai, pada masa depan mereka adalah sebahagian dari sistem tersebut sebagaimana yang berlaku di India, Itali dan Jepun.

Daulat kejahatan mereka menyebar umpama sotong kurita, menakluki semua ruang yang dimiliki hingga tidak dapat dipisahkan yang mana hak dan yang mana batil.

Angkatlah daulatnya datuk

Angkatlah daulatnya datuk. Golongan yang bersusah payah mendapatkan gelar datuk ini akan mendaulatkannya dan menjadi dinding dari jenayah.

Golongan ini sanggup mati kerana mendaulatkan datuk kerana ia adalah kurniaan duli tuanku.

Sebagai rakyat marhaen, kami tahu ‘nilai’ atas setiap kurniaan duli tuanku.

Manakala golongan yang mendapatkan datuk dengan curang, mereka inilah yang akan menodai kedaulatan datuk, tiada harga dan nilai pengkhianat dan penjenayah ini.

Ingatlah “perkara yang susah dapat, payah hilangnya, tetapi yang senang dapat, cepat sirnanya”.


MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik.

 

Reformasi IGP gagal?


Oleh Mohd Mizan Aslam

 Ketua Polis Negara (IGP) Hamid Bador telah menelanjangkan apa yang sebenarnya berlaku dalam institusi kepolisian negara.

Isu kartel yang dibongkarkan KPN umpama sel kanser yang sedang menghancurkan seluruh sistem keselamatan negara.

Bukan hanya PDRM, malah kanser ini juga terlihat dalam agensi penguatkuasaan lainnya termasuk kastam, imigresen, Aksem, Maritim, KPDNHEP, dan seumpamanya.

Memang tak dapat dinafikan bahawa sebagai agensi penguatkuasaan, kelompok ini paling terdedah kepada unsur-unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Malah tukang cuci, pemandu lori dan apa-apa sahaja pekerjaan pun boleh dirasuah jika kena pada tempat dan masanya, asalkan kepentingan pihak-pihak berkaitan terpenuhi.

Bukit Aman, gambar hiasan

Dalam semua agensi ini, hanya IGP yang kelihatannya gagah berani membuka pekung di dada agensi beliau sendiri.

Ini satu pengakuan yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah seluruh dunia. Agensi keselamatan sebuah negara dikawal oleh kartel jenayah terancang?

Tetapi harus diingat, bukan sahaja Malaysia, banyak lagi negara lain yang turut sama mempunyai masalah sedemikian rupa termasuklah India, Venezuela, Mexico, Afrika dan Jepun.

Tidak ada sesiapun yang sanggup memberi sesuatu dalam kuantiti yang sedikit atau banyak kepada penguat kuasa jika tiada berkepentingan.

Kerana kuasa yang dimiliki, undang-undang yang dijunjungi maka merekalah menjadi sasaran penjenayah ini. Jika tiada kuasa tak ada yang ingin mendekati.

Oleh itu, mahu tidak mahu mereka yang berkuasa ini perlu amanah dan dikawal sebaiknya, yang si penjenayah pula perlu dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Reform oleh IGP? Tetapi setakat mana keberanian beliau ini akan diteruskan? Malah beliau juga mengakui ada pula kartel yang mahu menjatuhkan beliau kerana reform dan komitmen beliau menghapuskan kerosakkan dalaman PDRM.

Ini parah, reform yang dibawa beliau pasti gagal kerana ada pihak dalaman yang mahukan ia gagal dan berusaha agar ia gagal.

Percaturan wakil rakyat

Anggota sendiri yang bersekongkol dengan penjenayah mahu IGP dijatuhkan, cuma nasib menyebelahi mereka kerana tempoh perkhidmatan IGP tamat semalam.

Yang lebih ditakuti adalah reform IGP ini juga cuba digagalkan oleh pihak luar terutamanya ahli politik?

Ya, tidak mustahil penjenayah akan mendekati wakil rakyat ini yang bertanggungjawab membuat pelbagai percaturan termasuk menggubal undang-undang.

Suara berani IGP tidak bersahut pun, mana suara menteri berkaitan? Mana juga suara perdana menteri? Ini saatnya reform yang dibawa ini diberikan kesinambungan bersifat infniti.

Dalam sejarah negara, Hamid Bador sahaja setakat ini yang berani mendedahkan kartel dalam institusi polis.

Ini tidak bermakna PDRM bawah KPN sebelum ini bersih. Akan tetapi keberanian panglima seperti Hamid Bador ini jarang dimiliki.

Ramai yang mengambil pendekatan senyap, tutup mata dan “aku dipenghujung servis, buat apa nak pening kepala”- sindrom biasa dalam agensi awam.

Walaupun dipujuk dan ada suara-suara yang mahukan IGP kekal, akan tetapi nampaknya penglima ini tekad mahu pergi.

Ada yang suka dan ada yang bakal meratapi kehilangannya. Apa yang bakal berlaku seterusnya?

Kerana isu kartel ini belum selesai, ia baru dibongkarkan, masih ramai yang belum dibawa kemuka pengadilan. Adakah kartel akan kembali menguasai PDRM?

Anggota yang dibawa ke JIPS akan ditukarkan tanpa hukuman di mahkamah terbuka? Reform yang disuarakan akan lenyap seumpama kabus di pagi hari atau reform ini hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam?

Perlantikkan IGP yang baru adalah sangat penting, diharapkan reform yang telah diinisiatifkan oleh Hamid Bador dapat diteruskan.

Jika tidak, sia-sialah panglima bertempik, membuka langkah silat dan berpencak di kala yang lainnya hanya mencemuh dan menghambur kata nista.

Setakat ini, kelihatannya Ayob Khan, ketua polis Johor yang berani mengambil pendekatan di luar kebiasaan.

Ayob Khan

Adakah yang bakal meneruskan legasi Tan Sri Hamid Bador? Ketegasan Ayob memang terserlah, keengganan beliau menyerahkan nama kepada Jips menunjukkan ‘stand’ yang berbeza dimilikinya.

Ayob akan ditekan?

Komitmen terhadap pasukan PDRM sejak mengetuai bahagian E8, Counter-Terrorism jelas digeruni.
Akan tetapi reform Ayob senada seirama dengan IGP ini, persoalannya adakah reform ini mampu diteruskan dengan sokongan Bukit Aman? Atau Ayob akan menerima tekanan dan sebagainya?

Banyak perkara dalam PDRM ini yang masih belum selesai. Reform IGP dan Ayob ini jelas pada masa ini, kita meyakini IGP yang baru nanti mampu meneruskannya, posisi Acryl Sani sebagai nombor dua sebelum ini sedikit membataskan keserlahannya.

Acryl Sani

Jika diizinkan Allah SWT, Acryl Sani sebagai IGP yang baru akan meneruskan legasi Hamid Bador, malah diyakini Acryl akan melakukan reform yang lebih serius.

Bukan sahaja, Hamid Bador dan Ayob Khan, malah Acryl Sani juga akan termasuk dalam senarai panglima yang berpencak dan menghunus pedang melawan kebejatan gila si kartel.

Hapuskan kartel untuk kemajuan negara dan rakyat umumnya.


MOHD MIZAN ASLAM (PhD) berkhidmat di Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme, Naif Arab University for Security Sciences di Riyadh, Arab Saudi.

 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat