Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Daging kambing baik untuk kesihatan jantung

Entah mengapa ramai kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.

Sedangkan pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di banyak negara Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.

Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.

Kumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) yang terdiri daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn misalnya, turut mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.

KOMPOSISI KHASIAT

Kajian ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.


Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).

Melihat dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).

Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemaktak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.

BAIK UNTUK JANTUNG

Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.

Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurangkan keburukan itu dengan
menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.

Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.

"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.

SUSU BERKHASIAT

Semua kelebihan daging kambing dari segi kesihatan itu turut diakui oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Bab*****, Nigeria.

Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan kepentingan nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel mereka yang
diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.

Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.
Ia turut membincangkan kepentingan susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak yang lebih kecil dan mudah dihadamkan berbanding susu lembu.

"Sifat itu membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.

Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.

Artikel itu turut menjelaskan kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek zema atau jerawat.

"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," lapornya.

POTENSI PENTERNAKAN

Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.
Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.

Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.
Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan Hari Raya Aidiladha.


Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.

Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan dari pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko.

Diabetes pembunuh senyap

Oleh NURUL AINI MOHAMED ALI

ORANG ramai tidak sepatutnya terlalu panik jika sudah disahkan menghidap diabetes kerana ia mampu dikawal melalui pemakanan.

Kita sering dimomokkan dengan senario potong mana-mana anggota badan jika terkena penyakit ini tetapi hakikatnya ia boleh dikawal.

Doktor dan pakar perubatan hanya boleh memotong mana-mana anggota badan pesakit jika ia sudah parah dan tidak mampu diubati lagi.

Adalah penting bagi orang ramai peka dan mempunyai kesedaran lebih awal mengenai penyakit ini kerana ia menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik lain seperti masalah jantung, risiko untuk buta, strok, kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang.

Diabetes disebabkan oleh peningkatan kadar gula dalam darah akibat gangguan pada sistem metabolisme tubuh, di mana organ penting pankreas tidak mampu lagi menghasilkan hormon insulin.

Hormon insulin ini yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal kadar gula dalam darah yang sepatutnya memproses karbohidrat, lemak dan protein menjadi tenaga yang diperlukan dalam tubuh manusia.

Awasi tanda awal Orang ramai perlu peka dengan gejala atau tanda awal menghidap kencing manis kerana ia boleh dipantau di peringkat awal.

Antara tanda atau gejala kencing manis ialah:

1. Kekerapan membuang air kecil
2. Sering berasa dahaga yang luar biasa
3. Lapar yang berlebihan dan makan terlalu banyak dalam satu masa
4. Kehilangan berat badan tanpa mengetahui punca
5. Mengalami rabun secara tiba-tiba
6. Luka lambat sembuh
7. Mudah terkena jangkitan terutama pada bahagian kulit.

Kadar gula dalam darah manusia boleh dianggap normal jika bacaan antara empat hingga lapan miligram dan pesakit
yang mempunyai bacaan kandungan gula jauh lebih tinggi jika tidak dikawal.

Secara umumnya, sesiapa saja mempunyai risiko berhadapan dengan penyakit ini tetapi mereka yang datang daripada keturunan di mana ahlinya menghidap kencing manis dan mempunyai berat badan berlebihan terdedah dengan risiko.

Sebelum 1921, tiada ubat tertentu untuk merawat penyakit ini, tetapi kini masyarakat tidak perlu terlalu gusarmampu mengawal kencing manis dan penghidap boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

Adalah diingatkan fungsi ubat ini bukanlah boleh mengubat secara terus tetapi ia hanya mampu mengawal jumlah gula dalam darah dan pesakit sendiri mesti mematuhi diet dan mengawal pengambilan makanan, terutama mengehadkan  mengambilan makanan yang tinggi gula, lemak dan karbohidrat.

Ada juga pesakit yang terpaksa menyuntik insulin tetapi doktor akan memastikan terlebih dahulu rawatan yang bersesuaian dengan pesakit mengikut tahap keadaan penyakit.

Patuhi nasihat doktor Pesakit dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan yang diberi doktor dan tidak lupa untuk membuat pemeriksaan berkala sama ada di hospital atau klinik kesihatan berhampiran pada masa yangditetapkan untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan dari semasa ke semasa adalah sangat penting termasuk ujian air kencing dan darah bagi rawatan dan
kawalan kencing manis.

Tip pemakanan pesakit Kawalan pemakanan sangat penting dalam rawatan bagi penyakit kencing manis kerana jika pengambilan melebihi yang diperlukan, pelbagai risiko terpaksa dihadapi pesakit.

Apa salahnya kita mengurangkan pengambilan gula dalam kehidupan seharian dan tidak culas untuk melakukan aktiviti olahraga.

Makanan perlu dielakkan: gula tebu, gula kastor, gula melaka, madu, makanan segera (terdapat gula tersembunyi), gula pasir, jeruk, kuih-muih manis, susu pekat manis, buah-buahan dalam tin, minuman ringan, coklat dan jem.

Makanan yang perlu dihadkan Makanan mengandungi karbohidrat boleh diambil tetapi harus dikawal pengambilan dan diambil secara sederhana.

Antaranya ialah nasi, bijirin, biskut, kekacang, susu, pasta, semua jenis mi, semua jenis tepung, semua jenis uni, buah-buahan dan sayuran berkanji seperti labu, jagung, ubi dan serbuk coklat.

Penyelidik: Daun betik terbukti rawat denggi

Penggunaan daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu meningkatkan platelet dalam darah, menunjukkan kesan positif dan terbukti berkesan membantu merawat demam denggi.

Sebelum ini beberapa institusi menjalankan kajian terhadap daun betik yang pada awalnya untuk melihat keberkesanannya dalam merawat beberapa jenis penyakit termasuk diabetes, namun ia dilihat lebih sesuai untuk merawat demam denggi.

Seorang penyelidik dari AIMST University Dr VS Kathiresan berkata pihaknya memulakan penyelidikan pada 2008 untuk melihat bagaimana daun betik dapat meningkatkan platelet dalam darah tikus.

"Kajian kami dalam ujian praklinikal menunjukkan dalam tempoh empat jam, bilangan platelet dalam darah setiap tikus meningkat tiga kali ganda. Daun betik mempunyai banyak enzim yang membantu meningkatkan platelet darah.

"Penyelidikan ini sebenarnya pernah disiarkan dalam 'The Middle European Journal of Medicine' pada 2009, dan hasil penyelidikan ini sebenarnya menjadi asas kepada mereka yang menjalankan kajian berkaitan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di universiti itu dekat Sungai Petani.

Dr Kathiresan berkata walaupun kajian itu dilakukan lebih awal dan pernah dihebahkan menerusi media massa, namun tidak ramai yang berani mengamalkannya kerana belum lagi terbukti secara klinikal.

"Ia pernah disiarkan dalam akhbar The Star pada 31 Ogos 2011 dan mendapat liputan Bernama pada 2010, namun ramai yang beri reaksi negatif, tetapi bila Institut Penyelidikan Perubatan buat pendedahan, kita tahu yang ia tidak bahaya.

"Kajian awal yang kita jalankan tidak melibatkan masyarakat, namun ia kini terbukti secara klinikal. Selepas itu tidak ada susulan (selepas penyelidikan awal) sebab ujian praklinikal melibatkan tikus, tidak ada masalah, tetapi apabila ujian melibatkan manusia, terdapat peraturan tertentu yang perlu
dipatuhi,' katanya.

Dr Kathiresan berkata penggunaan daun betik untuk membantu merawat demam denggi adalah mudah kerana selain senang diperoleh, ia juga tidak perlu melalui proses yang rumit, sebaliknya boleh dimakan seperti ulam.

"Melalui ujian praklinikal, daun betik dikeringkan, dicarik kecil-kecil dan dikisar menjadi serbuk halus sebelum diuji ke atas tikus.

"Bagi manusia, kita boleh makan terus dan daun betik yang dimakan itu akan menunjukkan perbezaannya dalam tempoh empat jam. Bagaimanapun peningkatan platelet dalam darah boleh dilihat dalam tempoh sejam," katanya.

Dr Kathiresan berkata lebih 20 pesakit demam denggi pernah menghubunginya dan beliau menyarankan mereka supaya mengambil dua hingga tiga helai daun betik, dua kali sehari, untuk diamalkan dan ia tidak memberi kesan sampingan walaupun kepada kanak-kanak.

"Mereka menghubungi saya semula dan memaklumkan bahawa selepas makan selama tiga atau empat hari, mereka sudah sembuh. Bagi kes denggi, ia lebih sesuai untuk pesakit mengalami demam denggi peringkat awal.

"Perlu diingatkan, daun betik yang akan dimakan secara segar perlu dicuci getahnya sehingga bersih, dan daunnya pula tidak terlalu muda atau tidak terlalu tua," katanya.

Dr Kathiresan sudah melakukan lebih 30 penyelidikan, kebanyakannya melibatkan penggunaan bahan terbuang untuk dijadikan bahan berfaedah.

"Kami kini mengorak langkah untuk menguji dengan menyeluruh pohon, daun, kulit buah yang hijau dan kuning, batang serta akar betik. Kita akan lihat kesan semua bahagian ini, malah kita juga akan lihat dari segi variasi, buah tempatan dan buah dari negara lain," katanya.

- Bernama

Joging tidak bagus?

Mereka yang malas berjoging mungkin boleh tersenyum membaca laporan ini. Kajian menunjukkan mereka yang suka berjoging dan mereka yang langsung tidak bersenam, sama-sama mempunyai jangka hayat yang pendek berbanding mereka yang melakukan senaman secara sederhana.
Walaupun ramai yang berpendapat senaman hanya membuang masa, namun kajian terkini membuktikan joging berlebihan sebenarnya juga tidak sihat.

Menerusi satu laporan yang di www.mirror.co.uk, mengatakan bahawa para saintis di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang panjang umur adalah dalam kalangan yang melakukan senaman secara sederhana.

Sederhana yang dimaksudkan ialah berlari dalam masa dua hingga tiga jam dalam seminggu.
Namun, dalam kajian yang sama turut mendapati bahawa mereka yang tidak bersenam langsung juga mempunyai jangka hayat yang pendek.

Para saintis juga masih belum pasti mengapa mereka yang gemar berjoging mempunyai jangka hayat pendek, namun berpendapat ini kerana mungkin mempunyai masalah berkaitan kesihatan jantung.
Para penyelidik dari Institut Penyelidikan Kardiovaskular Lehigh Valley Health Network di Pennsylvania, AS, telah melakukan kajian tersebut ke atas 3,800 pelari.

Peserta yang terlibat terdiri daripada lelaki dan wanita yang mempunyai usia purata 46 tahun.
Hampir 70 peratus daripada peserta tersebut berkata, mereka berlari lebih dari 20 batu seminggu.
Para pengkaji turut menganalisis ubat-ubatan yang diambil peserta dan sama ada peserta mempunyai penyakit darah tinggi, kolesterol tinggi atau mempunyai sejarah menghisap rokok.

Mereka turut mendapati bahawa tiada satu pun di antara faktor berikut yang boleh menjelaskan kenapa mereka yang kuat berjoging mempunyai jangka hayat yang lebih pendek.

Dr. James O'Keefe, yang meneliti kajian tersebut mempercayai dapatan tersebut diperoleh akibat ‘kecederaan’ pada tubuh badan mereka yang gemar berlari.

Beliau turut mengambil kesempatan menasihatkan orang ramai yang gemar berjoging agar mengurangkan aktiviti tersebut secara perlahan-lahan dan berperingkat.

 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat