Headlines News :
Home » » Pahit getir golongan ‘tanpa rumah’ di Malaysia

Pahit getir golongan ‘tanpa rumah’ di Malaysia

Written By Unknown on Wednesday, 14 January 2015 | 14:48

Oleh Hazlan Zakaria 

Saya masih tidak memiliki rumah sendiri walaupun bakal menjengah usia 40-an tidak lama lagi. Benar, saya beruntung kerana tidak menjadi salah seorang gelendangan mahu pun golongan miskin tegar di Lembah Klang. Namun secara teknikalnya, saya adalah seorang yang “tidak berumah” dan sentiasa berpindah randah untuk menyesuaikan keperluan diri dengan pendapatan boleh guna yang kian mengecil.

Secara peribadi, saya mungkin pernah membuat beberapa pilihan yang kurang cermat selama 11 tahun kehidupan saya, sebelum menjadi wartawan lima atau enam tahun lalu. Maka, keadaan kewangan saya mungkin sedikit bermasalah untuk membolehkan saya mencari rumah sebelum ini. Namun selepas menstabilkan kewangan, saya kembali menjengah pasaran hartanah.
Rupa-rupanya, bukanlah saya seorang dalam usia sebegini yang menghadapi kesukaran mencari rumah untuk dibeli. Ramai kawan berhadapan masalah sama, walaupun ada antara mereka yang lebih cermat daripada saya.
Ia ternyata bukan satu isu terpencil, namun dialami banyak, kalau pun tidak majoriti, isi rumah berpendapatan sederhana.
Pada masa ini, golongan berpendapatan sederhana yang ingin memiliki rumah berhadapan keadaan yang amat sukar.
Bukan saya seorang sahaja yang mengatakannya, namun inilah yang benar-benar terjadi di luar sana. Artikel-artikel di media dan perbualan antara kawan, malah dengan orang yang tidak dikenali di kedai kopi menyuarakan kisah yang sama.
Bagi kebanyakan kes, golongan berpendapatan sederhana boleh melupakan sahaja hasrat memiliki sebuah rumah yang selesa dan berpatutan, kecuali mereka sanggup tinggal jauh daripada tempat kerja atau berpuas hati dengan rumah yang lebih murah dan kecil.
Kerajaan telah mencuba untuk menyelesaikan isu ini, namun ia hanya boleh disifatkan sebagai langkah “perhubungan awam” atau melepaskan batuk di tangga – menunjuk seolah-olah mereka sedang menanganinya, namun tanpa apa-apa penyelesaian jangka panjang.
Langkah-langkah yang kononnya bantuan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah bukan sahaja terhad dari segi skop, tetapi juga kebergunaannya.
Ia menjadi satu liputan berita yang baik namun tidak menyelesaikan isu rumah mampu milik. Kecuali kepada beberapa ribu yang bertuah, terpilih untuk mendapat bantuan.
Ia gagal menyelesaikan isu ini untuk berjuta rakyat yang lain.
Lebih memburukkan keadaan, kerajaan kelihatan terlalu longgar dengan pemaju dan tidak memulakan dasar bagi memastikan rumah mampu milik.
Terlibat dengan industri pembangunan hartanah beberapa lama sebelum menjadi wartawan politik, saya melihat sendiri peranan sokongan politik dan sumbangan dana daripada entiti komersil terhadap tokoh politik.
Program bantuan kerajaan seperti skim perumahan kos rendah  suatu ketika dahulu juga tidak banyak mengubah keadaan. Ia menjadi kawasan yang sesak, dan kebanyakannya bukan diperoleh golongan yang memerlukan, namun dibeli “pelabur” yang mahu menyewakannya.
Dan dalam program kerajaan, korupsi menyebabkan meritokrasi dan malah kuota kaum tidak dijaga. Sebaliknya, rumah yang murah jatuh ke tangan pihak yang mempunyai “kabel” untuk pelaburan dan menambah kekayaan.
Sememangnya seluruh industri ini bertujuan untuk mengaut keuntungan dan bukannya memenuhi keperluan. Ia bukanlah satu kesalahan. Tetapi ini adalah satu isu yang memerlukan dasar yang sebenar daripada kerajaan, bukannya program jangka pendek bersifat acuh tak acuh atau skim yang tidak bermakna.
Masalah yang berlaku adalah pemaju ingin mengaut keuntungan maksimum dengan mengabaikan keperluan orang ramai dan hanya menumpukan golongan kaya dengan menyediakan “rumah impian” dan kediaman berkonsep.
Apa lagi cara terbaik untuk meninggikan harga rumah, berbanding melaksanakan projek dengan nama dan konsep yang kedengaran hebat?
Permintaan untuk rumah mampu milik sentiasa ada dan tinggi. Namun bagi pemaju-pemaju ini, menjual rumah kepada golongan kaya lebih menguntungkan, dan mereka boleh membina lebih banyak rumah mewah.
Saban hari, saya sentiasa terlihat iklan skim perumahan terbaru di media, di corong radio mahu pun pada papan tanda. Kebanyakannya mengikut trend perumahan terbaru.
Sama ada berkonsep “hijau”, berpagar, bangunan pintar, atau apa yang dipanggil sebagai reka bentuk istimewa dengan arkitek yang kedengaran seperti dari Eropah.
Pasaran hartanah kita mengamalkan pasaran bebas. Maka pemaju boleh memilih untuk hanya menyediakan rumah kepada golongan tertentu, sementara kita semua menerima takdir untuk “tidak berumah”.
Kitaran ini tidak akan berakhir, walaupun kerajaan kononnya terus berusaha mencari penyelesaiannya. Selagi mana hubungan antara politikus yang berkuasa dalam kerajaan dengan “tauke” pemaju perumahan yang kaya-raya berterusan.
Kerana selagi mana keuntungan menjadi “raja”, masalah perumahan golongan berpendapatan sederhana tidak akan berakhir. Bukankah ini sebabnya mengapa kita mempunyai kerajaan, untuk memastikan layanan saksama kepada semua, kalau pun tidak sama atau adil seluruhnya.
Ada waktunya, pasaran bebas atau “laissez-faire” perlu diimbangi dengan politik keadilan sosial. Selagi perniagaan wujud hanya demi keuntungan dan menjadi alat mengkayakan diri oleh politikus dan kroni, keadaan akan menjadi semakin buruk buat rakyat.
Kecuali kerajaan memiliki iltizam yang cukup untuk melaksanakan dasar yang mampu menyelesaikannya. Pertama, kenakan kuota membina perumahan mampu milik bagi setiap permit atau lesen pembangunan. Kedua, perkenalkan undang-undang agar perumahan mampu milik itu selesa, dan bukannya seperti setinggan seperti yang dibina pemaju pada masa ini.
Dan tentulah, satu lagi masalah dalam tadbir urus negara ini adalah pelaksanaannya.  Namun itu adalah soal yang lain pula.

Hazlan Zakaria adalah salah seorang daripada pasukan Theantdaily. Beliau suka membaca, menulis dan memerhati keanehan dunia.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat