Oleh Timmy Say
November 12:
Di konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang pertama, Timbalan Presiden
Amanah Salahuddin Ayub menegaskan calon perdana menteri sebelum
terbebasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ditentukan segera.
“Siapa dia? Konvensyen ini akan putuskan dalam apa cara sekalipun,” kata beliau yang dipetik Malaysia Dateline.
Di sinilah bermulanya cadangan diadakan jawatan PM sementara.
Disember 15:
Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula
mengesahkan PH akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan calon PM
pakatan pembangkang.
Namun begitu, sebelum mesyuarat sempat diadakan…
Disember 16:
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dipetik China Press sebagai berkata PH
sudahpun mencapai kata sepakat pada 13 Disember mengenai calon PM and
timbalan PM sementara. Kit Siang juga memetik nama Presiden Amanah
Mohamad Sabu untuk menguatkan hujahnya.
“Seperti Mat Sabu sebut tadi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
akan menjadi calon yang baik untuk perdana menteri sementara. Saya akan
menambah, dengan perjanjian yang dicapai antara Pakatan Harapan dan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada hari Selasa untuk pakatan pilihan
raya bagi mengalahkan Umno/BN dalam pilihan raya umum akan datang, maka
Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi calon yang sesuai untuk jawatan
timbalan perdana menteri sementara,” kata Kit Siang ketika menghadiri
majlis makan malam kutipan dana anjuran Jawatankuasa Perhubungan DAP
Parlimen Bukit Gelugor.
Betul ke PH dah bincang?
Disember 20:
Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah pula muncul menafikan
kata-kata Kit Siang dengan menegaskan bahawa PH tidak pernah berbincang
untuk melantik Muhyiddin sebagai calon timbalan perdana menteri, lapor
Free Malaysia Today.
Melihat kelam-kabutnya PH dalam isu ini, Naib Presiden PKR Rafizi
Ramli tidak dapat menahan diri lalu masuk ke dalam perdebatan ini.
Disember 21:
“Lebih banyak kita bercakap mengenai siapa yang akan jadi perdana
menteri, kita akan hilang sokongan rakyat yang kita perlukan undi
mereka. Saya tidak ada pendapat (mengenai) siapa yang akan jadi perdana
menteri, saya hanya fikir (perbincangan) ini perlu dihentikan,” tegas
Rafizi seperti yang dilapor Malaysiakini.
Nada Rafizi seolah-olah tidak dipersetujui Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Salahuddin.
Disember 22:
Dalam membalas teguran Rafizi, Khalid menegaskan calon perdana menteri
bagi PH perlu ditentukan untuk mengelakkan berlakunya perebutan kuasa
dan memastikan PH dapat bertahan selepas pilihanraya, lapor Antarapos.
Salahuddin pula memberi amaran kegagalan PH memuktamadkan calon
perdana menteri seolah-olah mengulangi kesilapan pakatan pembangkang
dalam PRU13 pada 2013 yang lalu.
“Kali ini, kita mesti berani untuk menamakan siapa yang patut menjadi perdana menteri,” tegas beliau.
Melihat situasi yang semakin tegang ini, Pengerusi PPBM Tun Dr
Mahathir Mohamad yang pernah mencadangkan agar Muhyiddin menjadi calon
PM pembangkang pula bersuara.
Disember 23:
“Ia patut diumumkan oleh gabungan pakatan pembangkang. Jika mereka
umumkan (awal), ada pihak yang akan kecewa sekali gus menyebabkan
perdebatan antara kami. Buat masa ini kami tidak boleh umum perdana
menteri,” tegas Tun Mahathir ketika ditanya mengenai isu calon PM
pembangkang di dalam Forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
1971 yang dianjurkan Malaysiakini.
Sejurus Tun Mahathir membuat kenyataan, Setiausaha Agung Amanah Mohd
Anuar Mohd Tahir pula menyuarakan nada yang berbeza dengan pimpinan
Amanah yang pernah mengeluarkan kenyataan mengenai isu calon PM sebelum
ini.
Laporan Sinar Harian berkata Anuar menegaskan Amanah mengambil sikap
yang sama dengan Dr Mahathir dan “parti itu tidak akan ‘menari ikut
rentak’ pihak lain” kerana ini bukanlah keutamaan mereka.
Kalau betul, mengapa pula pendirian antara pimpinan berbeza-beza?
Sebagai setiausaha agung Amanah, sudah tentu suara Anuar mewakili
pendirian parti yang akhirnya menyebabkan Khalid membuat satu lagi
kenyataan pada keesokan harinya.
Disember 24:
“Yang terpenting ialah dasar-dasar yang hendak dilaksanakan (sekiranya
menang PRU14). Itu yang perlu kita putuskan. Soal calon perdana menteri
(pembangkang) ini kita ada masa untuk tentukan kemudian.
“Dasar-dasar itu kita persetujui dahulu, siapa jadi perdana menteri
pun dasar-dasar utama yang hendak dilaksanakan itu yang paling penting,”
kata Khalid yang dipetik oleh Antarapos.
Begitulah tamatnya isu calon PM PH bagi musim pertama ini.
Musim kedua drama ini akan bermula di 2017. Ia bakal menjadi lebih menarik, lebih mendebarkan dan memeningkan.
Untuk mengurangkan rasa kecewa dan juga penghinaan terhadap daya
fikir anda, anda dinasihatkan untuk meninggalkan otak anda ketika
mengikuti drama ini. Anggaplah ia sebagai satu bentuk hiburan.
Drama calon PM sementara belum berakhir
Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 11:11
Labels:
Kritikan
Post a Comment