Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Kritikan. Show all posts
Showing posts with label Kritikan. Show all posts

Drama calon PM sementara belum berakhir

Oleh Timmy Say

November 12:
Di konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang pertama, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menegaskan calon perdana menteri sebelum terbebasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ditentukan segera.

“Siapa dia? Konvensyen ini akan putuskan dalam apa cara sekalipun,” kata beliau yang dipetik Malaysia Dateline.

 Di sinilah bermulanya cadangan diadakan jawatan PM sementara.

Disember 15:
Malaysiakini melaporkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula mengesahkan PH akan mengadakan mesyuarat khas untuk menentukan calon PM pakatan pembangkang.
Namun begitu, sebelum mesyuarat sempat diadakan…

Disember 16:
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dipetik China Press sebagai berkata PH sudahpun mencapai kata sepakat pada 13 Disember mengenai calon PM and timbalan PM sementara. Kit Siang juga memetik nama Presiden Amanah Mohamad Sabu untuk menguatkan hujahnya.

“Seperti Mat Sabu sebut tadi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menjadi calon yang baik untuk perdana menteri sementara. Saya akan menambah, dengan perjanjian yang dicapai antara Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada hari Selasa untuk pakatan pilihan raya bagi mengalahkan Umno/BN dalam pilihan raya umum akan datang, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi calon yang sesuai untuk jawatan timbalan perdana menteri sementara,” kata Kit Siang ketika menghadiri majlis makan malam kutipan dana anjuran Jawatankuasa Perhubungan DAP Parlimen Bukit Gelugor.
Betul ke PH dah bincang?

Disember 20:
Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah pula muncul menafikan kata-kata Kit Siang dengan menegaskan bahawa PH tidak pernah berbincang untuk melantik Muhyiddin sebagai calon timbalan perdana menteri, lapor Free Malaysia Today.

Melihat kelam-kabutnya PH dalam isu ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tidak dapat menahan diri lalu masuk ke dalam perdebatan ini.

Disember 21:
“Lebih banyak kita bercakap mengenai siapa yang akan jadi perdana menteri, kita akan hilang sokongan rakyat yang kita perlukan undi mereka. Saya tidak ada pendapat (mengenai) siapa yang akan jadi perdana menteri, saya hanya fikir (perbincangan) ini perlu dihentikan,” tegas Rafizi seperti yang dilapor Malaysiakini.
Nada Rafizi seolah-olah tidak dipersetujui Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Salahuddin.

Disember 22:
Dalam membalas teguran Rafizi, Khalid menegaskan calon perdana menteri bagi PH perlu ditentukan untuk mengelakkan berlakunya perebutan kuasa dan memastikan PH dapat bertahan selepas pilihanraya, lapor Antarapos.

Salahuddin pula memberi amaran kegagalan PH memuktamadkan calon perdana menteri seolah-olah mengulangi kesilapan pakatan pembangkang dalam PRU13 pada 2013 yang lalu.

“Kali ini, kita mesti berani untuk menamakan siapa yang patut menjadi perdana menteri,” tegas beliau.

Melihat situasi yang semakin tegang ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah mencadangkan agar Muhyiddin menjadi calon PM pembangkang pula bersuara.

Disember 23:
“Ia patut diumumkan oleh gabungan pakatan pembangkang. Jika mereka umumkan (awal), ada pihak yang akan kecewa sekali gus menyebabkan perdebatan antara kami. Buat masa ini kami tidak boleh umum perdana menteri,” tegas Tun Mahathir ketika ditanya mengenai isu calon PM pembangkang di dalam Forum Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dianjurkan Malaysiakini.

Sejurus Tun Mahathir membuat kenyataan, Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Mohd Tahir pula menyuarakan nada yang berbeza dengan pimpinan Amanah yang pernah mengeluarkan kenyataan mengenai isu calon PM sebelum ini.

Laporan Sinar Harian berkata Anuar menegaskan Amanah mengambil sikap yang sama dengan Dr Mahathir dan “parti itu tidak akan ‘menari ikut rentak’ pihak lain” kerana ini bukanlah keutamaan mereka.

Kalau betul, mengapa pula pendirian antara pimpinan berbeza-beza?

Sebagai setiausaha agung Amanah, sudah tentu suara Anuar mewakili pendirian parti yang akhirnya menyebabkan Khalid membuat satu lagi kenyataan pada keesokan harinya.

Disember 24:

“Yang terpenting ialah dasar-dasar yang hendak dilaksanakan (sekiranya menang PRU14). Itu yang perlu kita putuskan. Soal calon perdana menteri (pembangkang) ini kita ada masa untuk tentukan kemudian.

“Dasar-dasar itu kita persetujui dahulu, siapa jadi perdana menteri pun dasar-dasar utama yang hendak dilaksanakan itu yang paling penting,” kata Khalid yang dipetik oleh Antarapos.
Begitulah tamatnya isu calon PM PH bagi musim pertama ini.
Musim kedua drama ini akan bermula di 2017. Ia bakal menjadi lebih menarik, lebih mendebarkan dan memeningkan.

Untuk mengurangkan rasa kecewa dan juga penghinaan terhadap daya fikir anda, anda dinasihatkan untuk meninggalkan otak anda ketika mengikuti drama ini. Anggaplah ia sebagai satu bentuk hiburan.

PAS, ingatlah Fadzil Noor

Oleh Faisal Tehrani

Ada seorang Pemuda PAS bertanya kepadaku, mengapakah aku kelihatannya rimas dengan Abdul Hadi Awang, memandangkan Hadi banyak membela Syiah dalam kuliah-kuliahnya. Aku menjawab, “Kerana dia meruntuhkan apa yang dibina arwah ustaz Fadzil.”

Sebagai orang muda yang tidak pernah merasai kenikmatan menemui dan belajar daripada arwah Fadzil Noor, dia memang terpinga-pinga. Dia tidak pernah bertemu Ustaz Fadzil.

Untuk penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Akidah dan Perjuangan' oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor (13 Mac 1937 – 23 Jun 2002) yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda PAS adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Almarhum Ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Pada tahun 1974 ustaz Fadzil turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah.

Beliau menonjol dalam bidang kepimpinan ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, ketika itu Ustaz Fadzil Noor diamanah menjadi pemangku presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap aku, pada hujung tahun 1970-an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kampung Seberang Takir, Terengganu, pihak polis telah mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah arwah Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Oleh kerana kedegilan ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap.

Penangkapan itu telah meledakkan kemarahan orang di Kuala Terengganu. Kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera.

Hasil perundingan dengan pihak polis, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan. Kemudian, beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah.

Seingatku ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan Umno mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama yang dipertua (YDP) PAS kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin.

Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan.

Apakah yang telah dibina oleh alMarhum Fadzil Noor dan diruntuhkan oleh Hadi Awang? Ada empat tunjang yang ditegakkan oleh gemulah ustaz Fadzil dan kini menjadi tebusan.

Dahulukan rakyat semua kaum

Pertama, tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban PAS paling besar. Beliau perlu mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengah-tengah tragedi Memali.

Sebagai antara pembantu Profesor Zulkifli Muhammad beliau sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan bukan Islam. Profesor Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzillah maka beliau menggerakkan pakatan Majlis Perundingan Cina (CCC), di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam.

Politik melampaui zaman

Kedua, idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan terus menguasainya sehingga hari ini. Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan.

Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat “membantu” Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Beliau adalah orang yang menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK), dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru.

Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara. Ketika Wan Azizah Wan Ismail 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir Mohamad, ustaz Fadzil merintis kerjasama ini.

Pendek kata Ustaz Fadzil menyelamatkan Parti Keadilan Nasional dari hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.

Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini".

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dalam pilihan raya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Lain daripada itu, kebijaksanaan ustaz Fadzil telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam.

Ia sekali gus menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

Tak lupa sejarah

Ketiga, kepintaran almarhum bermain dengan tahaluf siyasi itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini.

Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu bahawa PAS adalah berakar umbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.

Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya mampu dijadikan model baharu bagi perjuangan PAS.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Aku berpandangan idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA.

Poros Islam

Empat, kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengetengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS bawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islamlah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang gila syariah. Beliau, dengan penuh bijak bangkit menjuarai Islam aktual yang berteraskan waqi atau keadaan setempat.

Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju dengan Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana:

(a) Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; (b) Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; (c) Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan (d) PAS perlu bekerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS dengan itu telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Kesimpulan; tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin PAS hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi' yang menjadi keutamaan.

Hari ini PAS bergelut untuk menentukan sikap dan kedudukan politiknya. Syariah telah mengatasi keadilan. Dan fikah mengatasi akhlak. Peri perjuangan Rasulullah SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak telah berakhir.

Adalah menyedihkan, apa yang pernah dibina oleh arwah Fadzil Noor itu diruntuhkan sekelip mata oleh Hadi Awang (seorang alumni Saudi).

Hari ini PAS mendahulukan hudud dari rakyat Malaysia berbilang kaum. PAS mengundur zaman. Bahkan PAS sama sekali mengenepikan sejarah penubuhan dan kebijaksanaan pimpinan terdahulu.

PAS malah tidak lagi komited dengan idea-idea murni dalam Manifesto Bersama Barisan Alternatif seperti dikemukakan ketika pilihan raya tahun 1999.

Lebih menyayat hati PAS kini dikenal orang bukan Islam bukan lagi sebagai parti Islam, tetapi sebagai parti khianat dan lebai mungkir janji.

Duhai ulama Pas jangan jadi macam ular Tedung

Oleh Mohd Sayuti Omar

Dewan Ulamak Pas telah mengadakan Multaqa Ulamak se-Malaysia II, semacam persidanganlah, sehari suntuk di Serdang Selangor hari ini (21/2/2014). Persidangan itu katanya disertai kalangan ulama dan agamawan, yang mendominasinya dewan ulama dalam Pas.

Saya tidak mengikut keseluruhan isi serta hasil dicapai dalam Multaqa berkenaan. Saya hanya membaca laporan dalam protal berita mengenai ucaptama berserta beberapa resolusi dan butiran perbincangan (perbahasan) di sekitar Multaqa tersebut. Boleh tahan juga lidah para ulama apabila bersuara, ia persis seperti "lawi ayam" berkarat.


Yang jelasnya Multaqa itu bukan membincangkan atau membuat ijtihad mengenai hukum hakam (syariah) yang kabur sebelum ini dan masih "berjibuh" dalam pemikiran ummah, atau pun mencari solusi bagi menyelesaikan berbagai masalah ummah yang kian bercelaru dan hiru biru muasir ini disebabkan disodor pelbagai isme dan pemikiran.

Isu-isu berkaitan ekonomi, politik, pendidikan, budaya, bangsa dan sebagainya yang boleh melemahkan agama masih banyak bergeliwat di sekeliling kita, tetapi sayang ia tidak menjadi tumpuan atau dimasukan dalam rangka perbahasan dalam Multaqa berkenaan.

Sebaliknya Multaqa itu lebih kepada forum satu pihak dalam Pas untuk "mengetik" dan "mengekah" satu pihak lain dalam parti itu. Sedar atau tidak berlaku penyalahgunaan ruang dan forum di sini, dan juga perogolan terhadap istilah-istilah Arab yang kelihatan berunsurkan agama, tetapi dibelangi dengan elemen politik jalang. Justeru jadilah Multaqa itu sebuah halaqah kosong yang merugikan masa dan ia sebuah muzakarah sempit.

Lebih malanglah majlis itu satu himpunan untuk memadukan suara yang retak agar Presiden parti itu dihormati sampai ke langit. Saranan pengagungan (kultus) kepada sesama manusia atau semacam memuja busut jantan telah dilakukan dalam Multaqa itu. Ada acara hendak mengkeramatkan busut jantan dalam Pas ke belakangan ini.

Betapa tidak Multaqa itu membuat ketetapan supaya Pas mengambil tindakan kepada mana-mana ahli dan pemimpinnya yang terlibat dengan Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia (PasMa). Cadangan ini dibuat oleh Pemangku Ketua Dewan Ulamak, Ahmad Yaakub yang juga MB Kelantan.

Tidak cukup itu, beliau juga mencadangkan agar ketetapan diambil terhadap pelanggaran ketetapan MSU dan keputusan-keputusan dibuat Presiden secara peribadi sebagai kesalahan mandatori mengikut perlembagaan Pas. Pas juga nampaknya hendak wujudkan Akta Hasutan dalam parti agama itu. Kedua-dua cadangan Ahmad itu yang disarankan dalam ucaptamanya kemudian menjadi resolusi kepada Multaqa berkenaan dan diterima sebulat suara.

Apabila dicadangkan ahli Pas yang mengkritik presiden dipecat, memberi gambaran seolah-olah dosa besar kepada mereka yang mengkritik presiden. Dalam kepala Ahmad Yaakub presiden tidak boleh dikritik dan secara tidak langsung beliau meletakkan presiden sebagai "lembu suci" dan tiada terkhilaf dalam aktiviti politiknya. Atau pun Ahmad sudah begitu "semabul" melihat segala tindakan Abdul Hadi itu sebagai satu sunnah yang perlu diikuti tanpa ada batas kerana ia dijelmakan menerusi wahyu?

Tidak sangka peluang Ahmad memangku Ketua Dewan Ulamak telah memberi kesempatan kepadanya untuk menaikkan darjat dan martabat seorang presiden sebuah parti politik setiggi itu. Apakah Abdul Hadi sudah memberi jasa besar buatnya dan tindakan beliau itu sebagai membalas jasa? Ini kena disiasat sebab sebelum ini ada terdengar maklumat-maklumat berbau demikian, bahawa penggantian Nik Aziz sebagai MB dibuat secara persekongkolan.

Atau pun juga apakah mesej beliau berbuat begitu agar kedudukan beliau sebagai MB Kelantan juga haram dikritik? Ada kemungkinan sebab belum sampai lima tahun mentadbir Kelantan sudah berbakul-bakul kritikan dilempar kepadanya. Dalam diam MB ini juga alergik dengan kritikan.

Paling ketara sekali kelemahannya menguruskan bah emas (banjir) yang melanda Kelantan baru-baru. Kelemahan Ahmad ini kalau mengikut Adun Kok Lanas, Alwi Che Amat diperkatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Najib Razak. Dalam satu taklimat banjir menurut Alwi, Najib merunggut dan kesal atas "kebodohan" Ahmad Yaakub dalam menangani masalah banjir. Najib merunggut selepas mendengar taklimat daripada Ahmad sebagai MB.

"Saya tidak sangka MB Kelantan begitu sekali "mamainya", begitulah kata Najib beritahu Alwi. Mamai yang membawa maksud tidak tahu apa benda. Dalam bahasa bombastiknya "bodoh".

Ucaptama Ahmad Yaakub itu diulas oleh timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah. Mohd Amar memberi penekanan dan peringatan bahawa Putrajaya bukan matlamat Pas. Pas mahukan kemenangan yang diredha. Ertinya kalau Pakatan Rakyat memperolehi Putrajaya tetapi ia tidak mendapat keredhaan Allah, maka itu tidak penting bagi Pas.

"Pas tidak seperti parti politik lain seperti PKR, DAP dan Umno. Pas merupakan gerakan Islam yang mempunyai matlamat lebih tinggi dan lebih mulia, iaitu keredhaan Allah. (Aduh sombong dan penuh retorikanya Nik Amar).

"Itulah perbezaan jelas Pas antara parti politik lain. Kita mahu menang tapi biarlah kemenangan itu diredhai Allah," tegas Nik Amar seperti mana dilapor. Nik Amar seakan mahu pandangannya itu menjadi satu  "dogma" kepada ahli-ahli Pas. Maksudnya kalau Pas gagal untuk menguasai Malaysia, menjadi kerajaan, tidak menjadi kesalahan dan kerugian kerana perjuangan Pas ialah mengharap keredhaan Allah.

Sayang Mohd Amar tidak menyebut apakah kemenangan BN (Umno) selama ini tidak mendapat keredhaan Allah dan desas desus yang Pas Kelantan tergila dan pelahap hendak berbaik dengan Umno itu sebagai satu keredhaan Allah? Sekiranya kemenangan BN (Umno) tidak mendapat keredhaan Allah bererti semua rakyat Malaysia kini termasuk Nik Amar sendiri berada dalam kekufuran?

Selain dari resolusi itu, sehari sebelum berlangsung Multaqa itu, Presiden Pas Abdul Hadi Awang telah menghuraikan mengenai ba'iah dan wala' dalam perjuangan menerusi klik video yang dimuat turunkan dalam Facebooknya.

Kata Abdul Hadi, apabila menyebut tentang bai'ah ia berkaitan dengan janji kepada perjuangan Islam yang pernah dilakukan Rasul bagi mengukuhkan seseorang ahli jemaahnya dan kesetiaanya.

Apa yang terpenting dalam bai'ah itu menurutnya memelihara yang tersirat dalam hati, keimanan dan keikhlasan kepada Allah dan perjuangan menegakkan Islam.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Abdul Hadi itu ialah agar ahli Pas istiqamah berpegang kepada bai'ah, janji untuk berjuang bersama Pas serta mentaati pemimpin itu. Ia adalah mesej sebagai memberi iktibar kepada perkembangan yang berlaku dalam Pas kini yang ada hubung kait dengan kritikan diterimanya.

Kerana klik video itu dibuat awal, tujuannya adalah memberi isyarat kepada para hadirin Multaqa itu agar memfokuskan dan memberi perhatian kepada soal bai'ah dan wala.

Ini dibuat mungkin kerana beliau merasakan kepimpinannya kini sedang diperkatakan umum dalam Pas terutamanya mengenai kemampuannya memimpin Pas. Integritinya sebagai presiden sebuah parti agama yang mendapat sanjungan ramai dua tiga tahun lalu, kini sudah terjejas apabila beliau bersikap "kluk klik"... macam ikan keli dalam besen. Bukan sahaja tidak istiqamah dengan keputusan diambil bersama tetapi berdolak dalih dengan keputusan yang dibuat. Abdul Hadi mempunyai air liur seperti pelangi.

Dan mesej diberikan Abdul Hadi itu seakan disambut apabila Ahmad Yaakub menekankan kepada soal wala' kepada pemimpin sehingga mencadangkan agar mereka (PasMa) yang mempertikaikan Abdul Hadi dipecat daripada Pas. Cadangan Ahmad itu disambut pula oleh golongan "IS" di dalam Pas yang bersiap sedia melakukan perang terbuka dalam Pas termasuk membakar.

Apa yang berlaku dalam Multaqa itu serta resolusi yang diambil seperti melancarkan perang kepada PasMa satu tindakan yang tidak bijak, jauh sekali bersikap "rangsang politik."  Ia lebih kepada membuka medan perang sesama sendiri dalam Pas. Multaqa seperti itu yang dikayuh secara emosional boleh memecah belahkan Pas serta menimbulkan keadaan skeptikal sesama sendiri.

Sebagai majlis dianggotai oleh orang merasakan mereka ulama dan agamawan, berkopiah tebal dan serban panjang, janggut secekak, seharusnya mencari jalan murni bagi mengheningkan keadaan dalam Pas kini. Pas tidak seharusnya bergomol dengan PasMa, atau mana-mana individu yang vokal dalam Pas (menegur untuk kebaikan secara profesional) sebaliknya menerima PasMa dan mereka sebagai rakan proaktif dalam menampung Pas menuju ke Putrajaya atau mencapai keredhaan Allah.

Daripada apa yang berlaku dan terpamer, tidak boleh dinafikan Multaqa itu membawa agenda politik tertentu khasnya dalam kalangan mereka yang menganggap diri mereka agamawan dan ulama. Multaqa itu tidak lain dan tidak bukan untuk mengukuhkan kedudukan dan penguasaan mereka dalam Pas pada muktamar Jun nanti. Mereka ini juga adalah orang yang tidak yakin dan dikejar bayangan sendiri. Kerana kalau mereka bersikap "tasamuh" dan "tawakus" mereka akan memiliki dua kecemerlangan sekaligus, agama dan ilmu profesional.

Multaqa itu juga tidak mencerminkan majlis dianjurkan agamawan kerana ia disualmi dengan kecaman dan perlontaran idea dibenihi syaitan. Misalnya ada yang tanpa berlapik mencadangkan supaya para pemimpin kanan Pas yang mempersoalkan Abdul Hadi Awang keluar sahaja daripada Pas. Suara itu menunjukkan tahap pengkultuskan kepada Abdul Hadi sudah melampau dan meletakkan Abdul Hadi sebagai maksum yang tidak boleh dikritik. Ia juga menggambarkan mereka yang membuat cadangan itu sudah dirasuk fanatisma dan egoisme Baduwiah.

Hal ini wajar kalau ada pemimpin parti rakan Pas melebelkan Abdul Hadi sebagai "lembu suci". Penghinaan ini sesuatu yang dikesali dan ia tidak akan terjadi kalau ia bukan kerana rakusnya sesetengah ahli Pas sendiri khasnya yang bernaung dibawah Dewan Ulama bersikap taksub kepada pemimpin sehingga tidak nampak apa yang ada di hadapan mata lagi.

Diingatkan mereka yang taksub kepada mana-mana pemimpin, doktrin citapaan manusia, dan sebagainya ia samalah dengan ular Tedung yang apabila kepalanya mengembang menyebabkan kedua belah matanya tidak kelihatan apa-apa lagi. Ketika itu usah ceritalah sebisa mana si Tedung itu ia akan mudah dicekup kemudian dimasukkan ke dalam guni dan dijual kira kati.

Nah, ada ciri-ciri Tendung dalam parti agama itu kini. Kedua-dua matanya telah tertutup oleh keegoan yang tinggi. Si Tedung inilah yang akan memporakperandakan parti agama itu. Saatnya jika muktamar Jun nanti mereka berjaya takluki parti Pas, maka parti akan mengulangi tragedi menyedihkan yang dialami tiga dekad lalu.
http://msomelayu.blogspot.com/

Pakatan: Retak menunggu belah

Oleh TOK KI

ISU hudud antara DAP dan Pas semakin memuncak. Ia adalah gambaran jelas tahaluf siyasi sukar terlaksana kerana kedua-dua parti politik itu mempunyai ideologi yang tidak sama dan asas perjuangan yang tidak serupa.


DAP berorientasi sosialis demokrat yang anti negara Islam dan hudud, sementara Pas ingin menegakkan negara Islam dan hudud. Bezanya seperti bumi dengan langit. Walaupun suatu ketika Pas bersetuju untuk memperjuangkan negara berkebajikan ternyata ia hanya digunakan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk maksud politik masing-masing.

DAP perlukan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk strategi jangka panjang melemahkan majoriti umat Melayu. Apa saja yang disetujui oleh Anwar akan disokong oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hatta kepada penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Guan Eng mendapat dukungan Anwar.

PKR menggunakan Pas untuk melemahkan UMNO dan umat Melayu. Ternyata akhirnya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula memahami siapa sebenarnya Anwar dalam gerak kerja politik semasa dan hubungannya dengan pihak luar. Hadi semacam mula renggang dengan Anwar.
Hadi sudah tidak datang ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang lebih enam bulan. Kalau alasan tidak sihat diberikan Hadi boleh pergi ke luar negara kerana urusan tertentu. Ia menyebabkan Guan Eng lantang mengkritiknya dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang membuat kenyataan kebimbangannya nasib pakatan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
Ironinya, Enakmen Hudud Pas Kelantan meminta kerjasama Kerajaan Pusat. Anwar dan Guan Eng bertambah menyinga dengan kerjasama ini tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan kepimpinan pakatan.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menyatakan isu hudud ini adalah nyawa perjuangan Pas. Kalau itulah juga pendirian Pas, jalan keluar Hadi-Guan Eng mengenai hudud menjadi bertambah payah. Apakah ini bakal menjadi sebab Pas akan berundur daripada pakatan pembangkang dan tahaluf siyasi hanya tinggal kenangan?

Baik DAP-PKR-Pas janganlah berpura-pura menjalin tahaluf siyasi ibarat tidur sebantal mimpi lain-lain. Berpijaklah di bumi nyata bahawa DAP ada strategi jangka panjang dalam politik Malaysia. Anwar tahu itu tetapi hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri masih belum padam dan memerlukan dukungan DAP.

Pas tahu cara politik Anwar dan sikap DAP terhadap negara Islam dan hudud. Tapi apakan daya musuh yang ingin ditumbangkan UMNO masih bertahan. Bukan mustahil UMNO dan BN bakal memenangi PRU-14 dengan majoriti dua pertiga.

Telah sekian lama pakatan pembangkang mengambil sikap membenci UMNO dan kerajaan dengan tuduhan dan persepsi melampau. Kini pembangkang sedang menghadapi masalah dalaman yang serius. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Banyak masa dan hayat perjuangan Pas terbazir kerana silap mencari regu perjuangan. Disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Lebih-lebih lagi Pas sedang menghadapi krisis dalaman yang serius antara golongan ulama dan profesional hingga melahirkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Walaupun kepimpinan ulama Pas memberi amaran supaya ahlinya jangan menyertai Pasma tetapi ahli Pas masih berjinak-jinak dengan Pasma. Pemimpin Pasma terus mengkritik Hadi dan kepimpinan ulama. Apakah Pasma bakal menggantikan Pas dalam pakatan takdirnya mereka disingkirkan daripada Pas?

Apa yang berlaku seharusnya membawa kepimpinan Pas berfikir dengan mendalam dan jujur bahawa nasib orang Melayu dalam politik akan terus tercabar sekiranya Pas tidak mengambil langkah bijaksana.

Cukuplah dengan politik emosi dan persepsi dan kembalilah kepada politik realiti dengan jiwa besar ke arah menyatukan umat Melayu. Penyatuan umat Melayu bukan bermakna kita harus bersikap rasis dan zalim terhadap bukan Melayu. Sekian lama orang bukan Melayu memiliki kebebasan beragama, menikmati merit dalam pencapaian pendidikan dan memiliki ekuiti besar dalam ekonomi.

Sekiranya penyatuan terjadi, masa tidak terbuang dengan isu-isu yang saling melemahkan kesatuan umat. Malaysia memerlukan perimbangan yang bijaksana supaya setiap kaum memiliki ekuiti dan peluang seimbang supaya tidak wujud jarak penguasaan ekonomi yang terlalu jauh. Bayangkan jika Pas bersama dalam usaha ini (penubuhan JK Teknikal Jenayah Syariah menjadi contoh) tidaklah lagi kita menagih sokongan daripada orang lain untuk memerintah negara.
 

Kemelut dalam Harakah, kebebasan akhbar satu "utopia"

Oleh Ku Seman Ku Hussain 

Saya sangat bersimpati dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman yang diminta meletakkan jawatan kerana masalah “kesihatan” oleh Lembaga Pengarah lidah rasmi Pas itu. Tetapi pada masa yang sama saya tidak terkejut perkara itu berlaku kepada akhbar termasuk Harakah.

Secara peribadi yang berlaku ke atas Ahmad Lutfi adalah suatu yang mengecewakan kerana beliau seorang penulis yang kritis, ada pemikiran dan lantang. Walaupun kami kerap berbeza prinsip dan pandangan tetapi kebolehan beliau tidak dinafikan.

Bagaimanapun yang berlaku ke atas beliau adalah bukti kuasa politik bebas mencampuri hal ehwal editorial.

Keadaan politik negara kita berbeza dengan beberapa negara lain seperti Britain atau Australia. Di sana bukan politik yang mengawal akhbar tetapi taikun akhbar yang mengawal orang politik.

Taikun seperti Rupert Murdoch misalnya berkuasa mengatur kemenangan parti tertentu. Dalam pilihan raya umum 1992 misalnya, akhbar Sun milik Murdoch secara terang-terang mengaku menyumbang kemenangan kepada Konservatif.

Tetapi situasi di negara kita berbeza, akhbar selalunya terpaksa mengalah kepada politik. Saya percaya Ahmad Lutfi juga menyedari hakikat ini.

Ini membuktikan bahawa gagasan sesetengah pihak memperjuangkan kebebasan akhbar mutlak tidak lebih sebagai modal politik. Kebebasan sebagaimana yang diperjuangkan itu tidak wujud, ia satu utopia.

Tetapi penyokong tegar sesebuah parti termakan rasukan bahawa akhbar langsung tidak ada kebebasan dan semuanya dikawal oleh parti. Saya harap apa yang berlaku ke atas editorial Harakah membawa mereka berpijak di bumi nyata.

Kawalan politik ke atas akhbar berlaku di mana-mana. Jangan terpengaruh kepada idealisme gerombolan yang turun ke jalan raya memperjuangkan kebebasan akhbar cara mereka, itu kerja sia-sia. Mereka tidak tahu apa-apa tentang kebebasan akhbar.

Kontroversi Harakah kini menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong dan ahli Pas. Mereka macam tidak percaya Pas bertindak sedemikian. Maka ada yang bangkit menyuarakan bantahan. Saya tidak berminat untuk mengulas politiking dalam Pas dan Harakah.

Saya membangkit isu ini sebagai satu kajian kes yang membuktikan kawalan politik ke atas editorial suatu perkara biasa. Pemimpin editorial bukan sahaja perlu “menjaga” parti tetapi juga golongan tertentu yang dominan dalam parti.

Daripada beberapa sumber, kontroversi “ubah” Ketua Pengarang itu tercetus akibat beberapa tulisan kolumnis yang juga penyair dan aktivis budaya, Che Shamsudin Othman (Dinsman) yang mengkritik golongan ulama dalam Pas. Ironinya kerajaan BN memberikan kebebasan kepada Harakah tetapi Pas pula mencengkam akhbarnya sendiri.

Sebelum Ahmad Lutfi, dua pengarang kanan Harakah telah ditamatkan perkhidmatan. Yang Dipertua Pas kawasan Batu, Ishak Surin membantah pemecatan “terhormat” Ahmad Lutfi serta dua pengarang kanan, dan menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan sikap sebuah parti Islam. Beliau mungkin terlupa bahawa Pas sebuah parti politik.

Saya percaya pemimpin politik pun tidak mahu kebebasan akhbar. Yang dilaungkan itu hanya drama sahaja. Akhbar digunakan untuk memperlahankan musuh dalam dan luar parti. Tetapi perkara ini tidak banyak diketahui oleh penyokong.

Saya selalu ditanya oleh rakan-rakan yang totok Pas tentang kebebasan akhbar. Tetapi jawapan saya tidak menggembirakan kerana menganggap mereka telah tersihir oleh kepetahan orang berjaja di pasar politik. Di situlah munculnya dakwaan sesetengah akhbar dikawal oleh parti tertentu. Ada yang betul dan juga tidak dalam soal ini.

Kebebasan

Rasanya lebih elok kalau penyokong Pas atau PKR bertanya kepada ketua mereka Anwar Ibrahim tentang kebebasan akhbar. Beliau lebih mahir terutama ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dahulu. Tanya juga bagaimana cara dia mengawal editorial akhbar dan media elektronik untuk menonjolkan diri dan memperlahankan dan sekali gus “membunuh” musuh politiknya dalam UMNO.

Tetapi bagi saya yang dilakukan Anwar bukanlah salah atau luar biasa. Ini perkara biasa. Malah dihalalkan dalam etika berpolitik negara ini. Maka dalam konteks isu kontroversi Harakah, ia memperjelaskan kepada kita bahawa kawalan politiklah yang membunuh gagasan kebebasan akhbar. Ini bukan sahaja berlaku di Harakah malah di akhbar-akhbar lain yang dinaungi parti. Di bawah naungan taikun pun tidak ada kebebasan juga kerana taikun ada agenda.

Saya ingin mengatakan bahawa yang melanda Harakah tidak sepatutnya menjadi isu. Saya percaya Ahmad Lutfi pun sedar hakikat Pas ialah sebuah parti politik. Maka sifatnya sama dengan parti politik lain yang memastikan kelangsungan parti dan orang politiknya.

Penyokong-penyokong Pas tidak boleh terlalu ideal melihat Harakah bebas daripada campur tangan politik, tidak kira sama ada politik dalam atau luar Pas. Ini kerana musuh orang politik datang dari dua sudut, dalam dan luar parti.

Tengoklah, walaupun Harakah tidak menyokong UMNO, Ketua Pengarangnya dinasihatkan meletakkan jawatan. Sebabnya mungkin beliau kurang disenangi dengan golongan tertentu dalam Pas sendiri.

Ini dapat dilihat apabila ada pemilihan parti wujud puak-puak tertentu. Walaupun parti yang sama tetapi jangan terkejut kalau kumpulan yang menguasai akhbar menggunakannya untuk “membunuh” musuh sesama parti. Saya ingin menyarankan kepada ahli-ahli parti politik atau penyokong supaya melihat parti dari pelbagai saluran maklumat. Penyokong Pas tidak boleh bergantung kepada Harakah sahaja untuk melihat dan menilai Pas dan pemimpin-pemimpinnya. Mereka perlu melihat dari sudut pandangan “cermin belakang” iaitu akhbar yang tidak dikuasai oleh Pas.

Sudah tentu yang kurang baik tentang pemimpin Pas tidak ada dalam Harakah dan mungkin ada dalam akhbar lain walaupun secara prinsipnya mereka sangat menyampah. Kenalah membezakan rasa menyampah dengan fakta yang tidak ada dalam Harakah.

Begitu juga penyokong parti-parti lain, mereka boleh sahaja mengutip kritikan dalam Harakah untuk melihat kepincangan parti dan pemimpin-pemimpinnya. Itupun kalau mereka sanggup menerima kenyataan yang pahit.-www.utusan.com.my

Jangan hanya salahkan PAS dalam kemelut PR

Oleh Mohd Azrul Azuan Idris

Baru baru ini  kecoh dengan berita sebuah badan NGO anak muda, Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) yang berhimpun di hadapan Pejabat Agung PAS dan menyerahkan memo teguran kepada PAS agar mengambil tindakan terhadap kelompok dalam PAS yang terus menerus mewujudkan konflik dalam Pakatan Rakyat (PR).

Saya setuju dengan usaha mengukuhkan PR. Saya juga terbuka dengan gesaan beberapa pihak kepada PAS supaya memperbanyakkan usaha mengukuhkan PR. Diakui bahawa PAS ada kesilapan dalam kemelut yang melanda PR sejak kebelakangan ini terutamanya dalam isu Selangor.

Sepatutnya jika tidak setuju Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB, pendirian itu harus dinyatakan sejak 17 Ogos atau lebih awal. Dengan itu, PAS akan kelihatan tetap pendirian walaupun bercanggah dengan PKR dan DAP. Pendirian ini tidak salah kerana PAS juga berhak menyatakan pandangannya.


Tetapi, apabila pendirian ini tidak dinyatakan dari awal, ia menimbulkan konflik dan tanggapan umum bahawa PAS kerap berubah pendirian. Ia bertambah buruk apabila pendirian yang diubah seminggu selepas mesyuarat 17 Ogos itu, tidak dipersetujui sebilangan AJK Pas Pusat yang kemudiannya diketahui ramai.

Apa yang berlaku ini memang menjejaskan imej PAS.

Cuma, bagi saya gesaan kepada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil. Ini adalah kerana yang menyumbang kepada porak perandanya PR bukan PAS sahaja. Dua lagi rakan dalam PR pun dua kali lima, malah turut sama-sama memburukkan keadaan.

Ramai memerhatikan bahawa PAS agak "spoil" pada pertengahan isu, terutama dalam menetapkan pendirian samada menyokong calon MB pilihan PKR dan DAP. Tetapi jangan lupa juga pihak yang menjadi punca kepada semua kekacauan ini, juga pihak yang "play safe", tetapi sama-sama menyokong PKR dalam membuat tindakan yang membelakangkan rakan.

Jadi, jika ingin desak agar parti dalam PR memperbanyakkan usaha mengukuhkan PR, maka perlu desak ketiga-tiga parti. Desak PKR supaya jangan berlagak seperti abang besar yang boleh sesuka hati memaksa rakan mengikut telunjuknya, walaupun pemimpin mereka bekas TPM.

Perangai "umum dahulu kemudian bincang" yang menjadi amalan PKR sudah menimbulkan banyak masalah sebelum ini. Perkara yang seharusnya mendapat konsensus semua pihak, diputuskan sendirian, kemudian membuat strategi agar PAS mesti terima keputusannya. Jika perangai ini berterusan, saya percaya ia akan menambah barah yang sedia ada, dan akan mempercepatkan tarikh kematian PR.

Desak juga DAP supaya berperanan dengan bijak apabila PAS dan PKR bergaduh, bukannya bersikap berat sebelah dan langsung tidak meraikan pihak satu lagi.

Apabila sudah tamat krisis Selangor pun, bertindaklah untuk mendamaikan, bukannya mengeluarkan kata hukuman kepada PAS. Bukan juga membuat majlis dan mengangkat dua Adun PAS yang akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin sebagai hero.

Ya, DAP berhak menyatakan pandangan tentang tindakan dua Adun tersebut. Saya di sini bukan ingin membicarakan adakah benar mereka hero atau tidak, masing-masing ada pandangan sendiri.

Tetapi, bagi saya DAP tidak perlu membuat tindakan berlebihan seolah-olah mencabar PAS. DAP seharusnya menumpukan kepada usaha pendamaian dan biarkan PAS menguruskan masalah dalamannya sendiri. Apa sahaja yang diputuskan terhadap mereka, biarkan rakyat yang menilainya.

Jika mahu PR kukuh semula, semua pihak harus berubah. Perangai suka tuding jari antara satu sama lain perlu dihentikan. Jika hanya desak PAS berubah, tetapi dua lagi rakan tidak diingatkan untuk berubah, malah kekal dengan perangai masing-masing, PR tidak akan kukuh selamanya. Kesedaran untuk berbaik-baik perlu ada pada ketiga-tiga parti, barulah PR boleh bangun semula.

Jadi, saya harap Lensa akan melakukan desakan yang sama kepada PKR dan DAP. Saya harapkan ianya berlaku, walaupun saya tahu Lensa sudah menjatuhkan hukum bahawa PAS yang bersalah dalam krisis Selangor

Apa kerja PAS hari ini?

Oleh Izmil Amri 

Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Kenapa pahat masih berbunyi? Sebab ada tukang pahat yang sibuk menarik perhatian. Entah benda apa yang dipahatnya, bising sekali. Padahal tukang cat, tukang bancuh simen, tukang pasang wayar, semuanya sudah pulang ke rumah melayan anak isteri masing-masing.

Demikian adanya "krisis" pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang minggu lalu sudah membuat ramai orang menarik nafas lega. Lega kerana benda yang dipanggil krisis ini nampaknya sudah bikin lelah ramai pihak, hatta apa sahaja penyelesaian boleh diterima. Yang beriya tak mahu Azmin Ali jadi menteri besar pun akhirnya mengalah.

Mengalah kerana seperti juga rakyat yang lainnya, sudah tersangat letih dan malas fikir banyak. Selagi tidak selesai isu Selangor, selagi itu lah kerja lain tak boleh dibuat. Maka apa sahaja jalan selesai akan dipersetujui. Tak perlu cakap banyak lagi.


Namun malangnya ada tukang pahat ini, yang masih berbunyi-bunyi. Barangkali dia mahu orang tahu dia pun bekerja juga. Atau dia mahu tunjuk rajinnya, yang masih mahu memahat apa-apa yang boleh, supaya diiktiraf peranannya itu dalam proses membina rumah.

Krisis MB Selangor memang berpunca dari salah sukat teman-teman PKR. Nawaitu asalnya jelas mahu melengser Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan digantikan dengan orang lain. Cuma sewaktu "Langkah Kajang" itu direncana, tidak ada kata putus tentang siapa yang akan menggantikan Khalid. Jadi ada sedikit serabut di situ.

DAP sebagai rakan yang setia dan barangkali memahami kelaku PKR yang suka buat benda pelik-pelik, sekadar menurut sahaja. Lagipun sudah memang konsensus bersama kerusi MB Selangor itu milik PKR, jadi dia punya pasallah apa dia nak buat.

DAP akur dengan setiap satu kerenah PKR. Sebaik sahaja diumum Langkah Kajang, ia bergegas membuka pusat operasi, dan menyatakan kesediaan membantu. Tak cakap banyak. Setelah tempoh hari diputuskan Azmin yang jadi MB dan bukan Datuk Seri Dr. Wan Azizah, DAP juga setia menyatakan persetujuan. Tak banyak bunyi.

Bagi DAP, Khalid mesti dilengser.

Yang tidak mahu Khalid dilengser ini PAS. Parti Islam tersebut ternyata menghasilkan lebih banyak kerenah berbanding PKR, dan menambah rumit kepada kerja yang sedia jenuh. PAS dengan cemerlang dan jayanya berfungsi seperti tikus membaiki labu, sambil mempertontonkan kepada umum betapa tunggang terbaliknya parti politik tersebut ketika muktamarnya berlangsung. Inilah dia pahat yang masih bising itu.

Kekalutan PAS ini bermula saat bocor perbualan Whatsapp pimpinan pusatnya, yang kemudian menimbulkan syak ramai pihak termasuk orang kebanyakan tentang keikhlasan PAS dalam bertahalluf bersama DAP dan PKR.

Itu kemudiannya disambut dengan langkah dangkal menyerang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang dalam soal terowong bawah laut, yang akhirnya membuatkan Lim Guan Eng terpaksa memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen PAS Temerloh, Ustaz Nasrudin Hasan.

Tidak selesai itu, beberapa kali pula pimpinan utama PAS melakukan aksi u-turn dalam soal pencalonan MB, setelah mesyuarat memutuskan sebaliknya. Mulanya setuju Dr. Wan Azizah, kemudian tidak jadi. Kemudian katanya calonkan Azmin juga, namun akhirnya hantar nama Adun sendiri.

Tak habis lagi di situ, bergaduh pula di muktamar sampai Pengerusi Tetap terpaksa dikejarkan ke hospital kerana sakit dada dan sesak nafas melayan kerenah perwakilan. Perwakilan pula ada yang tabur fitnah samakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Barisan Nasional, walhal perwakilan itu Ahli Majlis MPPP.

Kemudian meracau lah kata kena buli dan sebagainya. Eh, anak jantan kalau lari balik ke rumah mengadu kena buli, pastilah ditampar di belakang kepala. Apa punya lembik.

Persoalannya sekarang, setelah PAS kelihatan begitu kucar kacir (padahal PKR si pencetus masalah sudah berdamai dan maju ke depan) apa sebenarnya yang PAS sedang kerjakan?

Di saat orang sedang penat berkempen lawan Akta Hasutan, lawan politik ras, mendesak soal-soal ekonomi dan sebagainya, PAS seakan khayal dengan sesuatu yang tidak dapat kita pastikan.

Adakah masih wujud kelompok yang masih berahi mahu menikah dengan Umno sehingga angau kala pulang ke rumah Pakatan Rakyat? Kerana bibit-bibit serangan geng Kerajaan Perpaduan itu dapat kita saksikan dengan rancaknya serangan-serangan teman-teman dari PAS terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Malah sebenarnya kita dapat lihat betapa ada kumpulan di dalam PAS yang seakan begitu teringin mahu dihalau keluar dari rumah PR, demi berahinya terhadap Umno.

Seandainya sikap ini tidak dibetulkan, dan tanzim PAS tidak benar-benar muhabasah akan keadaan yang membelenggu parti ini, nescaya tidak mustahil ramalan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang Kelantan tidak lagi akan menjadi jajahan PAS.

Semalam ada teman-teman di laman sosial berkongsi gambar pimpinan PR di Kedah sama-sama bersarapan, dengan kapsyen bertulis "Kesepakatan kami sayang PR". PR di Kedah nampaknya sudah insaf dan sedar  tugas melawan Umno hanya boleh dilakukan sekiranya ia dilakukan secara berjemaah.

Seandainya PAS gagal untuk menyedari hakikat keperluan bekerja secara berjemaah serta untuk kembali kepada konsensus dan dasar bersama PR, pastinya rakyatlah yang akan menanggung sengsara harus bertuankan Umno untuk beberapa generasi lagi. Dan PAS akan terpaksa membina semula tapak sokongannya yang roboh.

Jadi apa kerja PAS sekarang? Meraung lari pulang mengadu kena buli, atau mengesat air mata dan membalut luka untuk terus berjuang bersama PR demi kemaslahatan ummah? PAS fikirkan. Takkan saya pula kena tolong jawab?

PAS 'menang boo, jawatan tergadai'

Oleh Fathi Aris Omar 

PAS tidak percaya kemerosotan undinya di Pengkalan Kubor angkara tiada sokongan Pakatan Rakyat. Bagi pemimpinnya Tuan Ibrahim Tuan Man, penambahan majoriti BN disebabkan gula-gula politik dan pengundinya dari luar daerah yang tidak kembali ke Kelantan.

Kerusi ini kembali ke tangan PAS atas alasan PKR tiada jentera di situ; lagi pula ia "dipinjamkan" kepada sekutunya. Demikian hujah PAS sewaktu PKR di Kelantan dan Terengganu berasa disisihkan dalam gabungan itu.

PAS percaya jika ia bertanding, ia boleh mengurangkan majoriti BN di kubu kuat Umno itu. Namun, akhirnya kerusi yang ditagihnya tidak membawa kesan positif, sebaliknya menjadi beban pula.

Apa pun hujahnya, seperti disuarakan oleh naib presiden PAS, ia tidak dapat mengelakkan tanggapan umum bahawa kemerosotan itu juga boleh disandarkan pada reputasi PAS dan Pakatan yang tercalar dalam krisis Selangor.

PAS juga dilihat tidak istiqamah dengan keputusan awalnya dalam krisis menteri besar - walaupun muktamar di tengah-tengah krisis tersebut berslogankan 'Terus Beristiqamah'.

Presidennya Abdul Hadi Awang mengambil tiga keputusan yang "pelik" – daripada mencalonkan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Azmin Ali kepada "akur keputusan istana" tetapi kemudian mencalonkan wakil-wakil rakyatnya sendiri.

Sikap sebegini mengundang kecaman dari dalam PAS dan menjolok keberangan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya yang pro-Anwar Ibrahim dan setia bersama keputusan calon tunggal PKR.

Kritikan terbuka atau tersembunyi dari dalam PAS pula dijawab kumpulan pro-Abdul Hadi, termasuk sorakan mengejek 'boo' di muktamar, yang memanaskan lagi pertemuan di Batu Pahat. Sikap presiden dan riuh-rendah muktamar itu mencalarkan lagi imej parti.

Biarpun pada awalnya ‘Langkah Kajang’ itu ciptaan PKR bagi menyelesaikan persaingan dalaman, akhirnya perseteruan ketara muncul dalam PAS. Seolah-olahnya PKR hanya terkena selesema untuk beberapa hari tetapi jangkitan itu menyebab PAS demam kura berbulan-bulan.

Nasihat timbalan mursyidul am

Untuk mengurangkan kepanasan muktamar, tokoh ulama parti Haron Din berpesan pada perwakilan agar tidak membangkitkan isu-isu yang hanya boleh merekahkan lagi luka-luka di antara dua kumpulan dalam PAS.

Sebagai menghormati nasihat timbalan mursyidul am, perwakilan pada sebelah petang Jumaat dan barisan pemimpin atasannya pada esoknya cuba meredakan keadaan.

Namun, muktamar itu berakhir dengan ucapan ‘barua’ dan ‘broker’ Abdul Hadi. Ucapan yang pedas dan penuh emosi itu mengejutkan banyak pihak, dalam dan luar PAS, sekali gus membuka semula rekah dalam yang dideritai parti itu.

Sasarannya pada watak-watak utama yang pro-PKR sewaktu cuba menyelesaikan krisis Selangor, termasuk dua wakil rakyatnya Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Panas dengan serangan Abdul Hadi, Saari mencabar presidennya agar mendatangkan bukti beliau telah dibeli oleh PKR untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Wan Azizah.

Mantan tahanan ISA itu turut mengulangi pendirian sedia dipecat daripada PAS jika Abdul Hadi mempunyai bukti beliau telah dibeli dan bersedia didakwa di mahkamah jika benar terlibat dalam politik wang.

"Saya tak tahu apa maksud 'broker', 'barua', dicuri dan dibeli. Jadi PAS perlu jelaskan sebab sebelum ini tidak pernah dengar saya ini 'broker' atau 'barua' dan dibeli," Saari dipetik sebagai berkata.

"Dibeli ini, adakah dengan cara jual beli pantun macam itu, atau pun melibatkan wang ringgit?"

Hari ini, PAS kehilangan satu jawatan exco (daripada empat kepada tiga) pula akibat jumlah kerusinya yang "berkurangan".

Walaupun pemimpin PAS mendapat jawatan timbalan Speaker, menggantikan kuota PKR, menariknya kehilangan kerusi exco itu disabitkan dengan jumlah kerusi PAS kini dianggap "13 saja."

Umum melihat PKR yang paling kecil jumlah kerusinya di Selangor setelah Khalid Ibrahim dipecat – daripada 14 kepada 13 kerusi. Sementara DAP dan PAS masing-masing menguasai 15 kerusi dalam pilihan umum Mei 2013.

Namun, dalam krisis menteri besar Selangor, kuasa PAS berjaya dikurangkan sedikit kerana dua wakil rakyatnya, Saari dan Hasnul, dianggap telah berpaling menyokong calon PKR, Dr Wan Azizah.

PAS di barisan tercorot

Jadi, apabila presiden PKR berundur di saat-saat akhir dengan memberi laluan kepada timbalannya Azmin, maka menteri besar baru ini dengan "automatis" mengambil sokongan 30 wakil rakyat pro-Dr Wan Azizah. Malah, termasuk sokongan tambahan daripada "13 wakil rakyat PAS" yang menolak tokoh wanita itu.

DAP, yang selama ini mengekori sahaja keputusan PKR dalam krisis menteri besar, dengan senang hati menerima perubahan saat akhir rakan kongsinya – ia turut menggantikan Dr Wan Azizah dengan Azmin.

Akibat perpecahan dalaman PAS, PKR muncul sebagai parti terutuh di Selangor – dan sekali gus melayakkan ia mendapat empat kerusi exco dan jawatan eksekutif teratas.

Sewaktu PAS masih mengubat luka perpecahan akibat krisis Selangor, PKR pula cuba merapatkan saf dengan membawa masuk tokoh-tokoh muda yang berseberangan kepentingan.

Bekas timbalan speaker Nik Nazmi Nik Ahmad, yang bertembung dengan Amirudin Shari (Batu Caves) dan dianggap pendukung geng 'Langkah Kajang', dibawa bersama pasukan Azmin.

Berbeza dengan PAS, proses "penyatuan" dalam PKR lebih mudah dicapai kerana parti itu bertelagah kebanyakannya di belakang tabir media. Kelicikan kumpulan Azmin dan silat politik lawannya Saifuddin Nasution Ismail atau Rafizi Ramli tidak disorot media.

Tetapi tokoh-tokoh PAS melancarkan perang terbuka di media; pengikut masing-masing bersuara lantang di muktamar dan media sosial.

PKR juga berkongres di tengah-tengah kegawatan krisis Selangor tetapi ia tidak menjadikan persidangan itu pentas melancarkan perang terbuka. Malah kongres PKR dianggap lesu dan beku gara-gara sebilangan perwakilan dan penyokong membantah kumpulan 'Langkah Kajang'.

Dalam babak-babak ini, PAS muncul di barisan tercorot, sementara PKR mengatasi rakan kongsinya. Tetapi semua ini bukanlah lambang kepintaran politik PKR.

Semua ini lambang kesasauan politik PAS yang sarat dengan intrig politik dan pertarungan maut yang tidak selesai-selesai sejak 2008 – persaingan “kumpulan Erdogan” dan puak pro-ulama.

Persaingan sengit muncul setahun sebelum pemilihan tahun lepas dan muktamar di Johor baru-baru ini dijadikan pula gelanggang baru untuk persaingan jawatan di pemilihan berikutnya.

Jangan salahkan PKR apabila ia mengambil lebih kuasa di Selangor – PAS harus muhasabah, perpecahan dalaman hanya menatijahkan jegela Pak Kaduk, ‘menang sorak, kampung tergadai’.



FATHI ARIS OMAR, seorang editor di Malaysiakini, mengikuti dengan dekat krisis Selangor walaupun sedikit saja maklumat diluahkan dalam tulisan-tulisannya.

Jangan sampai rakyat menyampah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

PIHAK Istana akhirnya memutuskan Timbalan Presiden KeADILan, Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu Selangor selepas peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ia menamatkan kemelut yang berlarutan sejak beberapa bulan apabila terdapat usaha di peringkat tertinggi KeADILan mahu menyingkirkan Khalid.

Menukar seorang menteri besar bagi sebuah gabungan parti politik yang mempunyai majoriti dua pertiga sepatutnya berlangsung dengan mudah tanpa sebarang masalah. Namun kerana parti yang mahu menukarkan Menteri Besar itu adalah parti yang sarat dengan masalah maka habis semua pihak yang asalnya tiada kena mengena pun, terbabit dengan masalah.

Seperti kata Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, isu pertukaran Menteri Besar Selangor itu bukan masalah PAS tapi masalah rakan tahaluf (KeADILan). “PAS tidak pelahap jawatan Menteri Besar Selangor,” tegasnya. Malangnya, PAS pula yang terima akibat paling buruk ekoran kemelut Selangor itu. Semua orang nampak perpecahan besar PAS, tidak mampu disembunyikan lagi.

Sebahagian besar masa Muktamar Tahunan ke-60 PAS menumpu kepada isu yang satu itu. Isu lain yang muncul sudah jadi tidak menarik sehingga tiada perwakilan yang sudi membahas usul di muktamar secara mendalam, pro dan kontra. Mungkin kerana isu rakyat yang terkandung dalam usul itu tiada kena mengena dengan isu yang satu itu. Ia mengocak perpaduan dalam PAS.

Mazlan Aliman yang banyak memperjuangkan isu-isu rakyat risau kerana kemelut yang berpanjangan itu boleh menyebabkan rakyat melihat PAS banyak beretorik sedangkan tidak mampu menangani masalah sebenar rakyat.

“Jangan kita lupa rakyat mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela mereka, harapan mereka perlu kita penuhi.

“Jika ini kita tidak lakukan, abaikan mereka bagaimana kita ingin mendapat perhatian mereka pada pilihan raya yang akan datang,” kata beliau.

Ketua Pemuda, Suhaizan Kaiat, mendesak kemelut diatasi dengan segera. Berilah tumpuan untuk tangani masalah dalaman sebanyak 30 peratus sahaja dan 70 peratus untuk isu-isu rakyat.

“Kita perlu segera menyelesaikan krisis yang kita hadapi sekarang ini, ja ngan kita leka dengan permasalah an dalaman sehinggakan kita lupa memikirkan masa hadapan,” ujarnya.

Kini punca yang membawa kepada perbalahan dalam PAS dan Pakatan, iaitu isu Menteri Besar Selangor, telah pun ditamatkan oleh kuasa Sultan.

Baginda tidak memilih calon daripada parti minoriti iaitu BN, sebaliknya daripada Pakatan yang mendapat mandat dua pertiga dalam PRU13 lalu.

Jika selepas pengesahan menteri besar baharu oleh pihak Istana ini masih ada yang bertelagah, tidak puas hati atau membantah maka Pakatan nampaknya sedang melakukan provokasi membakar kemarahan rakyat. Rakyat terbanyak akan bertanya, sampai bila nak selesai? Sampai bila nak bertelagah?

Bagi pihak PAS, keputusan pemilihan menteri besar dibuat sebaik sahaja berakhirnya muktamar tahunan. Tiada perkara panas terkini yang tidak dibincangkan dalam muktamar. Agenda selepas muktamar seharusnya ialah memperkuatkan parti dan mengatur gerak kerja sebanyak-banyaknya sehingga berakhirnya sesi bagi para pemegang jawatan. Bukan lagi masa untuk berpolemik tidak sudah-sudah.

PAS kini bukan macam PAS lebih tiga dekad lalu yang tidak pernah dipedulikan oleh rakyat terbanyak. Zaman itu jika PAS adakan muktamar tiada siapa tahu kecuali ahli PAS. Masyarakat umum tidak tahu senarai kepimpinan tertinggi PAS. Hari ini PAS mendapat perhatian sama seperti parti-parti politik lain dalam negara. Setiap keputusan yang dibuat oleh PAS akan mempengaruhi sentimen pasaran politik negara.

Dahulu agenda panjang lebar PAS pun tidak menjadi bahan berita.

Kini perkataan seringkas ‘barua’ dan ‘broker’ ‘diviralkan’ di mana- mana dan dibincangkan jutaan umat berhari-hari lamanya. Itulah ‘keramat’nya mulut pemimpin PAS masa kini.

Masyarakat terbanyak nampak jika PAS muncul memperjuang serta menyelesaikan masalah rakyat, menyantuni kebajikan masyarakat terpinggir, menjadi pendesak yang lantang menyanggah kezaliman dan ketidakadilan kerajaan.

Masyarakat turut nampak jika PAS gagal menguruskan konflik, mempamerkan wajah keangkuhan, menzahirkan perbezaan ketara di kalangan kepimpinan tertinggi, gagal menyatukan fikrah ahli-ahli bawahan dan meredakan konflik dalaman.

Oleh kerana semua itu adalah intipati dalam membina persepsi rakyat maka segalanya harus diselesaikan segera! Jangan biar bertunggak.

Adakah selepas muktamar ketegangan semakin reda? Adakah selepas pelantikan Menteri Besar baharu Selangor, semuanya diam berpuas hati?

Atau masih ada suara-suara sumbang yang cuba memanjangkan cerita?

Dalam PAS atau di kalangan Pakatan Rakyat; semua kena memikir dengan serius untuk bertolak ansur bagi mengelak mudarat besar.

Kalau terpaksa memilih mudarat, pilihlah yang kecil. Mudarat yang paling besar bagi parti politik ialah apabila rakyat menyampah dan menolaknya dalam pilihan raya.

Pakatan Rakyat Perlukan Komitmen Baru

Oleh Mohammad Agus Yusoff


Saya mulai ragu sama ada PR boleh kuat seperti dulu. Sikap PAS dalam kes MB Selangor dan sikap PKR dan DAP yang tidak turun berkempen untuk PAS dalam PRK Pengkalan Kubor menunjukkan hubungan PAS dalam PR ini seperti retak menunggu belah.
Apakah puncanya?

Jika mengikut PAS, Langkah Kajanglah puncanya. Ini kerana Langkah Kajang dibuat oleh PKR tanpa terlebih dahulu berbincang dengannya. Jika mengikut PKR, sikap PAS dalam kes pelantikan MB Selangorlah puncanya.

Krisis PAS-PKR ini telah membuatkan rakyat yang ingin melihat PR menjadi saingan kepada BN kecewa dan hilang harapan. Belum pun ke Putrajaya, banyak sangat krisis yang timbul.

Dalam PAS pula ada pemimpin yang mahu membentuk kerjasama dengan UMNO, tetapi apabila diminta berbuat demikian tidak mahu pula. Apabila diminta untuk erat bekerjsama dalam PR, berlaku pula tuduh menuduh. Berpakat apakah seperti ini?

Dengan kalahnya PAS di Pengakalan Kubor dan dengan semakin sedikitnya Exco PAS dalam kerajaan Selangor, apakah PR akan seperti dulu lagi?

Pada saya PR sudah seperti hidup segan mati tidak mahu. Ini kerana masih adanya pemimpin yang cetek ilmu tolak ansur dalam politik. Semoga PRK Pengkalan Kubor memberi pengajaran kepada setiap pemimpin dalam PR untuk memperbaharui semula komitmen kerjasama mereka.

Tanpa komitmen baru, pemimpin baru dan idea baru, impian PR untuk ke Putrajaya hanya sekadar bahan lawak sahaja. Lebih malang lagi, apabila lawak itu ialah lawak yang tidak nakal.
 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat