Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Bicara Islam. Show all posts
Showing posts with label Bicara Islam. Show all posts

Ubat penyakit cintakan dunia

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad 

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut 'wahn' iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan.

Dunia membawa makna 'dekat' dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.
Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu.

Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit 'wahn' yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat.

Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong.

Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.  

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud.

Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat.

Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.  
Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh.

Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia. Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri.

Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu.

Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media IKIM

Nourdeen Wilderman: Dari hidup ateis kepada Islam

PEMBERITAAN media Barat mengenai Islam yang cenderung negatif, tidak membuatkan pemuda Belanda berusia 26 ini langsung percaya. Begitulah awal ia mengenal Islam dan membuatnya tertarik untuk mengetahui lebih jauh tentang Islam. Hingga akhirnya ia mengucap dua kalimah syahadah pada 9 Disember 2007.

"Saya mengenal Islam sejak empat atau lima tahun sebelum saya bersyahadat. Itupun secara tidak sengaja. Saya membaca media massa dan Islam kala itu menjadi isu yang ramai dibincangkan di media massa Eropah," kata Nourdeen Wilderman memulakan cerita perjalanannya menjadi seorang Muslim.

"Buku pertama mengenai Islam yang saya baca sangat akademik dan sukar difahami. Saya lalu mencari buku lain dan saya terus membaca buku-buku tentang Islam. Setelah membaca buku-buku itu, Islam ternyata tidak seperti yang saya duga. Pada dasarnya, banyak pendapat-pendapat dalam Islam yang sama dengan apa yang pada umumnya saya yakini," tutur Nourdeen dipetik laman web Eramuslim.

Ia juga akhirnya mengetahui bahawa pemberitaan media massa yang mengatakan bahawa Islam menindas perempuan, salah total.

"Saya mendapati bahawa Islam adalah agama yang rasional, ilmiah, mendorong umatnya untuk mempelajari apa yang ada di sekitarnya, bermeditasi. Islam adalah agama yang kritis," ujar Nourdeen.

Sebelum mengenal Islam, Nourdeen selalu berfikir bahawa hidup sebagai ateis sangat mudah kerana orang Kristian boleh melakukan apa saja yang dikehendaki. Tapi secara peribadi, Noudeen mengkritik gaya hidup seperti itu. Hingga pada suatu masa, kesedaran tentang Tuhan mula muncul. Hingga ia mengenal Islam, mempelajarinya dan merasakan kebenaran hakiki dalam al-Quran dan sunah-sunah Rasulullah Muhammad SAW.

Menurut Nourdeen, dia tidak pernah melakukan hubungan dengan imam atau sahabat-sahabatnya yang Muslim dalam proses mengenal Islam. Semuanya ia tahu dari buku-buku yang dibacanya. Bahkan pengetahuan Nourdeen tentang Islam kadang lebih luas berbanding teman-teman Muslimnya.

Nourdeen beruntung kerana ia tidak menghadapi halangan bermakna dari keluarganya ketika ia memutuskan masuk Islam. Ayah Nourdeen seorang atheis dan ibunya penganut Kristian. Untuk mengetahui reaksi ibu bapanya, Nourden menanyakan pendapat mereka jika ia ingin memeluk agama lain, misalnya Islam.

Dan ibu bapa Nourden menjawab, "Hidupmu adalah milik anda. Sepanjang engkau tidak mengganggu orang lain, engkau tidak menentukan".

Meski demikian, kata Nourdeen, ibunya menyarankan agar ia menjadi seorang Kristian sahaja kerana lebih mudah. Nourdeen menjawab cadangan ibunya dengan mengatakan bahawa ia bukan mencari agama yang mudah, tetapi agama yang paling benar. Sementara ayah Nourdeen tidak mengulas apa-apa lagi, bahkan yang membuatnya bahagia, sang ayah menemaninya saat ia bersyahadat dan merakam momen bersejarah itu ke dalam video.

"Dalam menyokong saya, ayah punya konsep bahawa biar bagaimanapun saya adalah sebahagian dari dirinya dan Islam akan menjadi sebahagian dari diri saya, untuk itu ayah menerima saya dan keislaman saya," tambah Nourdeen.

Ia juga tidak menemui kesulitan dalam kehidupan profesionalnya setelah menjadi seorang Muslim. Setelah mengucapkan syahadat, Nourdeen langsung menghantar emel pada bosnya di pejabat dan mengkhabarkan bahawa ia sudah menjadi seorang Muslim. Dalam emelnya, Nourden menulis beberapa mata untuk diketahui atasannya, antara lain:

Adakah saya memanjangkan janggut? Tidak

Adakah saya bersalaman dengan perempuan? Ya

Adakah saya berkata pada para pelanggan bahawa saya Muslim? Tidak

Adakah saya mengambil cuti semasa perayaan hari besar Muslim? Ya

"Alhamdulillah, Saya tidak dipecat. Saya malah dapat bonus di akhir tahun dari hasil penilaian saya. Bos saya bilang, selain prestasi saya bagus sepanjang tahun, Saya juga sudah membuat keputusan yang sukar dengan menjadi seorang Muslim," kata Nourdeen.

Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, Nourdeen ikut dalam pelbagai aktiviti dan forum-forum Muslim. Ia bertemu banyak Muslim lain dan meminta mereka mengajarkannya salat.

"Mereka menggalakkan saya untuk sembahyang di masjid. Perlu waktu satu bulan buat saya untuk berani datang ke masjid. Awalnya saya sangat takut ke masjid, seperti anak kecil yang baru pertama kali ke kolam renang," ungkap Nourdeen.

Tapi sekarang, Nourdeen selalu menyempatkan diri untuk salat ke masjid. Ia juga sudah banyak mempunyai teman Muslim dan sesama mualaf. Nourdeen juga mempelajari al-Quran dan tafsirnya di Dar al 'Ilm di Belanda.

Ditanya tentang buku Islam apa yang paling mempengaruhinya, Nourdeen menyebut buku berjudul "In the Footsteps of the Prophet" yang ditulis Tariq Ramadan, seorang cendekiawan Muslim kelahiran Mesir yang kini tinggal di Switzerland. Ramadan juga cucu dari tokoh Ikhwanul Muslimin Mesir, Hassan Al-Banna. Ia menyukai buku ini, kerana buku itu ditulis dengan pendekatan untuk warga Muslim yang tinggal di Barat.

Sekarang, Nourdeen Wilderman sedang sibuk mengerjakan projek "Cari Masjid yang Paling Sesuai untuk anda". Dalam projek ini, ia mengumpulkan semua data dan maklumat masjid-masjid yang ada di Belanda dan memuatnya di internet. Saat ini, projek Nourdeen sudah berjaya mengumpul data dan maklumat lengkap 160 masjid dari beratus-ratus masjid yang tersebar di seluruh Belanda.

Islam tidak tersebar dengan sikap malas muslim

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


SETIAP muslim/muslimah adalah disaran agar perlu melihat semula sumbangan mereka kepada Islam, mereka perlu menyelongkar serta mentelaah sejarah generasi silam khususnya dalam kalangan para sahabat yang pernah duduk dalam majlismajlis ilmu bersama Rasulullah s.a.w., bagaimana kesungguhan mereka dalam mencatat, memberi tumpuan agar setiap apa yang diungkapkan baginda tidak berlalu begitu sahaja.

Sesungguhnya suasana pembelajaran di zaman baginda Rasulullah s.a.w. penuh dengan nasihat, motivasi, kaunseling, peringatan tentang tujuan serta matlamat utama penciptaan manusia di dunia ini, misi dan visi dalam kehidupan mereka, peranan dakwah, tugas menyampaikan Amar Makruf Nahi Mungkar, peringatan tentang dosa pahala, halal haram, syurga neraka dan sebagainya. Kesemua itu diteliti oleh para sahabat dan menjadi bahan peringatan buat mereka, justeru catatan mengenainya adalah satu kemestian dan keperluan agar ia menjadi bahan modal untuk dikembangkan maklumatnya kepada saudara-saudara muslim yang lain, agar masing-masing mendapat peringatan yang disampaikan.

Perkara tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiaptiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu  mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Sesungguhnya gambaran suasana pembelajaran yang disertai oleh para sahabat itu memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mendapatkan pengisian rohani daripada baginda Rasulullah s.a.w., kemudian mereka sampaikan pula kepada saudara-saudara muslim yang terhalang daripada mengikuti tazkirah baginda, ia adalah arahan baginda agar yang hadir dapat menyampaikan apa yang mereka mendengar kepada yang tidak hadir.

Inilah kemuncak aktiviti para sahabat menyampaikan kepada saudara-saudara yang tidak hadir bukan hanya pada zaman kehidupan baginda Rasulullah, malah tindakan yang sama juga dilakukan selepas kewafatan baginda, jika mereka malas seperti kebanyakan umat Islam hari ini maka Islam tidak akan tersebar ke merata pelusuk dunia.

Bagi muslim hari ini, memang bagus mereka yang telah pergi ke masjid atau surau, tetapi yang menjadikan mereka lebih bagus lagi apabila mereka mencatat, mendengar dan berhasrat tinggi untuk mengembangkan apa yang mereka dengar kepada saudarasaudara muslim yang tidak berkesempatan ke masjid hingga mencecah puluhan tahun.

Sahabat yang banyak beramal pun mencurahkan sumbangan kepada Islam, kita bagaimana?
Sejarah telah membuktikan kepada kita bagaimana rata-rata generasi para sahabat berusaha gigih selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. mencurahkan sumbangan bakti agama dengan menyampaikan risalah Islam walaupun terpaksa meredah padang-padang pasir hingga mencecah beribu-ribu kilometer semata-mata untuk memastikan maklumat Islam dapat dibawa keluar daripada Madinah seperti yang dilakukan oleh Sa’ad Bin Abi Waqqas ke negeri China, Mu’az Bin Jabal ke Yaman.

Mu’az Bin Jabal yang dianggap asing ketika sampai ke Yaman, tetap meneruskan misinya untuk menyebar-luaskan agama Islam, beliau yang dianggap sebagai sahabat yang memahami sedalamdalamnya tentang ilmu halal dan haram telah menyentak hati, konsenterasi orang-orang Yaman dengan kata-katanya yang masyhur : “Marilah duduk bersamaku untuk beriman kepada Allah walaupun satu saat.”

Dan banyak lagi contoh sumbangan para sahabat kepada Islam, ini menunjukkan bahawa dengan kesungguhan mereka itu maka Islam tersebar dengan jayanya, dengan kejayaan itu, maka Allah SWT menganugerahkan kepada mereka syurga-Nya, tetapi bagaimana pula sumbangan yang telah kita lakukan kepada Islam? Apakah benar kita telah melakukan sumbangan itu? Atau masih leka dengan janji-janji dunia yang melalaikan kita daripada berbuat demikian? Masing-masing tepuk dada tanya iman, kerana itulah sebaik-baik jawapan.

Sekurang-kurangnya pada era moden ini, kita ada beberapa contoh individu muslim yang berbakti kepada agamanya seperti Imam Syahid Hasan al-Banna, Saiyid Qutb, Abul ‘Ala al-Maududi, Zainab al-Ghazali, Maryam Jameelah (bekas gadis Yahudi), Hamza Yusuf di Amerika, Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik, mereka menghabiskan masa dengan mendalami ayat-ayat al-Quran, mengkaji, menjadikan hujah untuk menarik manusia kepada Islam, apakah usaha mereka itu tidak dinamakan sumbangan kepada Islam?

Tujuan menyampaikan risalah Islam kepada manusia, bukan sahaja untuk meraih pahala daripada Allah SWT, tetapi yang lebih penting adalah untuk memastikan agar ajaran Islam yang menjadi pusaka peninggalan baginda Rasulullah s.a.w. dapat diterima oleh segenap bangsa manusia di dunia ini tanpa mengira asal keturunan dan pegangan agama mereka, ia adalah untuk merealisasikan firman Allah yang bermaksud : “Tidak Kami utus kamu wahai Muhammad, melainkan membawa rahmat kepada sekalian alam.” Ayat 107 surah al-Anbiya’.

Justeru, tidak terdapat dalam kalangan sahabat baginda Rasulullah s.a.w. yang tidak menyumbang untuk Islam, kesemua mereka telah melakukan yang terbaik, maka sumbangan mereka itu pasti mendapat tempat di sisi Allah di dalam syurga-Nya, tetapi yang menjadi masalah kepada segelintir umat Islam hari ini ialah bukan sahaja tidak menyumbang untuk Islam dengan tenaga, pemikiran, kesungguhan, harta benda, jiwa raga, malah tidak bersedia pun ke arah itu.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila muslim hari ini tidak berminat untuk ke masjid/ surau untuk menimba ilmu-ilmu agama dengan pelbagai alasan yang tidak boleh diterima, ada yang mengatakan bahawa apa pentingnya kita belajar fardu ‘ain, orang-orang yang mempelajarinya tidak berjayapun dalam bidang yang mereka ceburi, dan pelbagai tanggapan negatif lain diberikan kepada ahli-ahli masjid/surau.

Apa pun bagi mereka yang masih berdegil tidak mengaktifkan diri mereka untuk menyumbang kepada Islam, hayatilah sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang-orang yang beriman, empat puluh hari sahaja tidak duduk dalam majlis ilmu bersama ulama’, maka mereka aka menghadapi dua implikasi, pertama hati mereka akan menjadi keras (yang menyukarkannya mendapatkan petunjuk Allah) dan kedua berani melakukan dosa-dosa besar, kerana ilmu (agama) itu adalah penyuluh hati.”

Bergembiralah orang yang sabar

Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN

KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji oleh-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.

Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya. Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: …Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar: 10)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam Al-Auza’i: “Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira banyaknya)."

Sentiasa menguji

Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan. (riwayat al-Bukhari)
Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya. (riwayat Muslim)

Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh diri dan sebagainya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya balasan (pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah." (riwayat al-Tirmizi)

Buat kebaikan semasa hidup


MENJADI seorang yang beramal, beriman dan bertakwa sangatlah payah jika tidak mempunyai ilmu. Justeru, ilmu memandu kita ke arah kejayaan di dunia dan juga di akhirat.

Agama Islam adalah agama yang menganjurkan kepada penganutnya untuk berfikir dan mendorong mereka agar berbuat kebaikan dalam semua perkara. Justeru, sebagai umat Islam perlu bersyukur kerana diberikan nikmat iman dan Islam.

Nikmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia adalah kesihatan tubuh badan, keamanan dan kemakmuran, iman, Islam dan kemerdekaan serta kesempurnaan fizikal dan mental.

Berkaitan dengan Islam, Sufyan bin Abdullah berkata: Ya Rasulullah, terangkan kepadaku tentang Islam. Aku tidak akan bertanya lagi kepada orang lain." Lalu Rasulullah SAW menjawab: Ikrarkanlah (katakan): Aku beriman kepada Allah, kemudian berlakulah jujur (istiqamah). (riwayat Muslim)

Melakukan kebaikan juga adalah ibadat. Banyak jenis amal kebaikan atau ibadat, daripada sekian banyak ibadat itu tidak sama pahalanya. Ada yang tergolong kecil sedikit pahalanya dan ada yang tergolong sederhana dan ada yang lebih besar pahalanya. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang memberi petunjuk kepada kebaikan sama pahalanya seperti orang yang melakukannya. (riwayat Bukhari)

Ada jenis amal kebaikan dan ibadat yang dijanjikan dengan balasan syurga, ada ibadat yang dikerjakan akan menghapuskan dosa dan banyak lagi fadilat atau kegunaan lainnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa melapangkan kesusahan (kesempitan) untuk seorang mukmin di dunia, maka Allah akan melapangkan baginya kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat dan barang siapa memudahkan kesukaran seseorang maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan akhirat.

Menutup aib

Barang siapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah selalu menolong hamba yang suka menolong kawannya. Barang siapa menempuhi jalan menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan ke syurga. Suatu kaum yang berkumpul dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah, bertilawah al-Quran dan mempelajarinya bersama, maka Allah akan menurunkan ketenteraman dan menaungi mereka dengan rahmat. Para malaikat mengitari mereka dan Allah menyebut-nyebut mereka dalam kalangan para malaikat di sisi-Nya. Barang siapa lambat dengan amalan-amalannya maka tidak dapat dipercepat dengan mengandalkan keturunannya. (riwayat Muslim)

Oleh itu, dalam melakukan amalan yang baik kita sepatunya menyegerakannya. Segala kebaikan yang kita lakukan pastinya mendapat balasan pahala daripada Allah SWT. Telah dijelaskan kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya sedikit.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang membuat kebaikan untuk Islam, maka baginya pahala orang yang melakukan setelahnya dan pahala mereka tidak dikurangi sedikit pun. Dan barang siapa yang membuat keburukan untuk Islam, maka baginya dosa dan dosa mereka tidak dikurangi sedikit pun. (riwayat Imam Muslim)

Jangan sesekali kita melakukan keburukan, kerana keburukan itu bukan sahaja menambahkan dosa, malah menjadikan seseorang itu sukar untuk berbuat kebaikan kepada dirinya dan juga orang lain. Antara dosa besar yang mesti dihindari, menghina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa, menipu dan berbohong, mencuri dan merompak, riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, mengumpat dan memfitnah.

Sementara, dosa besar yang membawa kehancuran umat antaranya minum arak dan menagih dadah, melakukan zina, menuduh zina, liwat dan musahaqah, dan membunuh diri yang mesti dijauhi.

PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.

4 golongan lelaki ditarik wanita ke neraka

Pertama Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anakanak perempuannya di dunia, dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya, dia membiarkan anakanak perempuannya tidak menutup aurat... tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja, maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua Suaminya
Apabila seorang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya, bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan golongan lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiamkan diri...walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh kepada abang-abang dan juga adikadik lelakinya ...jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat.

Keempat Anak lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak... nantilah tarikan ibunya.
Maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat tarikannya begitu hebat., maka golongan lelaki yang bergelar ayah/ suami/ abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar agar tidak melakukan kesilapan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Lelaki itu pemimpin ke atas wanita” (Al-Maidah:34). Firman- Nya lagi – “Hai anak Adam peliharalah diri kamu serta ahlimu daripada api neraka, di mana bahan pembakarnya ialah manusia dan batu-batu...” “Hai wanita, kasihanilah ayah anda, suami anda, abangabang (adik-adik lelaki) anda serta anak-anak lelaki anda... kasihanilah mereka dan diri kamu sendiri......jalankan perintah Allah SWT dengan bersungguhsungguh dan dengan ikhlas.

Akhir kata, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat daripada ditarik dan tertarik… oleh mana-mana pihak.

Harga seseorang Muslim adalah sangat berharga. Allah SWT nilaikan seseorang Muslim dengan syurga… semua Muslim masuk syurga... janganlah kita membuang atau tidak mengendahkan janji Allah SWT. Semoga kita semua tergolong dari ahli syurga yang memasukinya tanpa hisab.

Perbaharui iman, dekati Allah

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 

KEMULIAAN seseorang berkait rapat dengan kesungguhannya dalam menambah dan meningkatkan

iman. Ingatlah perkara paling berpotensi untuk menambah dan menguatkan iman adalah melalui ‘ilmu’, kemudian amal salih dan zikrullah. Iman ada pasang surutnya, sekejap meningkat naik dan pada masa yang lain pula merundum jatuh, ketika ia jatuh, ia boleh memusnahkan diri manusia kerana pada ketika itu yang menguasainya adalah nafsu, bukannya iman.

Maka tiap kali seorang hamba menambah ilmu dan amal salihnya bererti dia sedang memperbaharui imannya dan inilah yang dimaksud oleh hadis Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu, baginda ditanya: “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami, beliau menjawab: “Perbanyakkanlah mengucapkan kalimat laa Ilaha Illallah.” (riwayat Ahmad: 8944 dan Al Hakim: 7766)

Memperbaharui iman sangat penting bagi setiap Muslim, apalagi para aktivis dakwah dan para mujahid fisabilillah.

Sebabnya ialah kesibukan dengan tugas harian, sering kali didapati kesibukan dalam menjalankan tugas-tugas dakwah, ditambah lagi kesibukan mencari nafkah atau mengurus rumah tangga, para aktivis dakwah dan mujahid tidak sempat untuk mengurus hatinya yang terkadang-kadang melekat padanya warna hitam yang terpalit dosa yang tidak disedarinya.

Ramadan yang dilalui sebulan lalu, penuh dengan tarbiyah dan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengapa tidak, Ramadan sinonim dengan tadarus al-Quran, solat tarawih, berqiyamullail, ada Lailatulqadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, zakat dan seumpamanya, semua itu adalah amalan yang boleh menaikkan iman sekali gus mendekatkan diri kepada Maha Pencipta.

Justeru Rasulullah mengingatkan kita dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu.

Dan apabila dia terus melakukan dosa bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam kitabnya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka.” (Surah al- Mutaffifin ayat 14). (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati (kalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang melakukan dosa/maksiat, maka ada satu titik hitam menodai kalbunya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itu menutupi kalbunya. Jika sudah tertutup dengan banyak titik hitam, kalbu yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin; dengan demikian, kepekaan spiritual yang biasa dilakukannya, akan lenyap daripada dirinya.

Jika sudah seperti itu, jangankan dosa kecil, apalagi sekadar berbuat makruh dan melakukan banyak hal mubah yang melalaikan, dosa besar sekalipun tidak lagi dianggap besar. Jangankan meninggalkan hal sunnah, meninggalkan kewajipan pun sudah dianggap perkara biasa. Akhirnya, kepekaan kalbunya akan hilang; tidak lagi mampu mengenali dosa, apalagi dosa yang dianggap kecil.

Arahan baginda s.a.w. untuk memperbaharui iman bertujuan mengikat kalbu dan hati manusia kepada Allah, Tuhan Yang Mencipta alam ini dan segala yang ada di antara langit dan bumi, terutama golongan pendakwah, motivator, ustaz, pensyarah, pemerintah dan apa sahaja namanya, kesemua mereka dituntut untuk sentiasa memperbaharui iman.

Kenapa perlu perbaharui iman?





 Justeru baginda s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadisnya yang mafhumnya kita boleh fahami, bahawa berpagi-pagi seseorang Muslim itu sebagai seorang Muslim, dan ketika berpetangpetang dia menjadi kafir. Begitulah sebaliknya, ini menunjukkan bahawa seseorang Muslim itu tanpa disedari melakukan kesalahan yang melibatkan persoalan agama.


Sebagai contoh, pada waktu pagi bersolat subuh, tengah hari di pejabat menerima sogokan atau rasuah daripada seseorang untuk mengeluarkan lesen dan sebagainya.

Mari kita renung persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu fardu ‘ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalamdalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya.

Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah:

1. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba- Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.

2. Setiap Muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisaa yang bermaksud: “Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.”

3. Semestinya setiap Muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh daripada rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.

4. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa dosadosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari mememasuki api neraka.
Sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”

5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat. Ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekali gus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan dari sifat-sifat mazmumah.

6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai Muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir yang bermaksud: “Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.
 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat