Headlines News :
Home » » Patutkah biarkan Sirul bergerak bebas?

Patutkah biarkan Sirul bergerak bebas?

Written By Unknown on Thursday, 15 January 2015 | 12:29

Oleh Hazlan Zakaria


“Tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” ini adalah prinsip umum yang diamalkan oleh kebanyakan sistem keadilan moden, termasuk Malaysia.Prinsip ini meletakkan beban pembuktian kepada penuduh atau pendakwa, bukannya defendan.

Menjadi tugas penuduh untuk membuang segala keraguan berhubung kesalahan suspek.Begitu juga apabila sabitan individu itu digugurkan, beliau secara automatik kembali menjadi manusia yang bebas.

Begitulah apa yang terjadi dalam kes dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Mereka berdua dituduh dalam kes pembunuhan berprofil tinggi warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Mereka disabit bersalah dan dihukum gantung, namun dibebaskan selepas proses rayuan.

Orang ramai mungkin mempunyai pandangan sendiri sama ada mereka bersalah atau tidak. Namun dalam sistem keadilan Malaysia, selepas sahaja Mahkamah Rayuan mengenepikan sabitan, mereka telah bebas.

Ini mungkin kerana prinsip keadilan yang tertanam dalam kehakiman sebelumnya – wang denda boleh dikembalikan, namun masa dalam kehidupan seseorang tidak boleh ditukar ganti.
Potensi manusia tiada had sifatnya. Walaupun hakikat bahawa kebanyakan kita membazirkan kedua-duanya; masa dan potensi diri.

Namun begitu, saya tertanya-tanya sama ada seseorang yang sedang menunggu rayuan untuk kes yang serius seperti pembunuhan, patut diberi kebebasan penuh sehingga boleh ke luar negara.

Terutama ketika rayuan terhadap pengguguran sabitan itu masih berjalan. Bukankah kemungkinan untuk ke luar negara adalah sesuatu yang perlu diambil kira?

Apatah lagi dalam kes ini, Sirul tidak hadir ketika Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya dan Azilah. Sirul dilaporkan berada di luar negara pada ketika ini.

Saya menjangkakan mahkamah mempunyai kuasa untuk menghadkan pergerakan mereka yang terlibat dalam kes yang masih berjalan, terutama bagi kes seserius ini.

Sementara menahan mereka di penjara adalah bertentangan dengan keadilan asasi seperti yang dihujahkan sesetengah pihak, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk meletakkan mereka dalam perhatian – KIV. Bukannya “tiada tindakan lanjut”, seperti yang didakwa sering terjadi kepada kertas-kertas siasatan di sini.

Atau paling kurang, saya menjangkakan PDRM kita yang sering kelihatan hebat serta Unit Cawangan Khas mereka sentiasa bersedia, bukan baru sekarang mengesan lokasi Sirul.

Bukankah politikus British abad ke-19 Leonard H Courtney pernah berkata, “harga bagi keamanan adalah dengan kawalan yang berkekalan”.

Memang, saya tidak akan salah jika mengatakan polis agak cekap dalam mengesan aktivis dan politikus pembangkang; mungkin mereka patut menunjukkan kecekapan yang sama terhadap individu yang didapati bersalah membunuh yang sedang menunggu keputusan rayuan oleh mahkamah.

Kata-kata yang saya petik di atas memiliki banyak variasi dan dikreditkan kepada ramai pemimpin lain. Antaranya “kawalan berkekalan adalah harga bagi kebebasan,” yang sering dikatakan daripada pemimpin Revolusi Amerika.

Namun apa yang kita tidak inginkan adalah jika ia difahami begini – harga untuk BN kekal berkuasa adalah kawalan berkekalan terhadap penentang mereka.

Saya pasti ia tidak akan berlaku, namun ia mungkin dilihat begitu jika kawalan tidak dilaksanakan secara adil dan liberal. Apabila saya berkata liberal, maksud saya adalah “dilaksanakan secara meluas”, bukannya ideologi “liberal” yang menjadi musuh nombor satu 1Malaysia hari ini.

Jika 20 polis boleh diarahkan untuk menahan seorang peguam hak asasi manusia bernama Eric Paulsen, mungkin kawalan seperti itu juga perlu untuk kes Sirul.

Namun, seseorang itu sememangya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Mungkin keputusan untuk tidak menghadkan kebebasan tanpa sebarang sebab itu adalah langkah yang betul.

Namun apabila melihat kembali, prinsip itu mungkin ada kelompongannya, kalau pun tidak gagal sepenuhnya. Bukankah dalam kes ini, mahkamah memutuskan “cara” dan “peluang” sudah cukup bagi satu pembunuhan. Tanpa memerlukan “motif”. Mungkin inilah cara Malaysia. Boleh “kao tim”.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat