Oleh Subky Latif
SAYA
tidak tahu apa yang Perdana Menteri Najib buat dan pakai ketika
menghadiri perayaan Thaipusam, tetapi saya tertarik dengan komen dan
nasihat Dr. Maza tentang apa yang Perdana Menteri dan pegawainya patut
buat dan tidak patut buat sebelum dan semasa hadir ke perayaan Hindu
itu.
Dari apa yang tersiar, Dr. Maza yang baru sekali lagi jadi
Mufti Perlis itu telah memberi pandangan dan nasihat yang tepat amat
munasabah buat Perdana Menteri dan orang-orangnya dalam apa jua
kegiatan dan tindakan.
Kenyataan pertamanya sebagai Mufti
kali kedua itu boleh dikira sebagai satu kritik agama yang serius
tetapi saya lebih mudah mengiranya ia satu nasihat yang perlu sesuai
dengan Islam itu adalah agama nasihat.
Dengan tegurannya itu
saya kira Dr. Maza lebih tepat jadi Penasihat Agama Perdana Menteri,
bukannya sekali lagi jadi Mufti Perlis. Jadi Mufti Perlis amat sesuai
dengan pegangan Islamnya daripada jadi mufti lain-lain negeri tetapi
lebih elok jika menjadi Penasihat Agama Perdana Menteri, satu jawatan
yang diwujudkan oleh Dr. Mahathir dulu.
Setakat ini jawatan
di JPM itu dirasakan sebagai hendak beri jawatan saja, bukanlah sangat
dilihat untuk memberi panduan kepada Perdana Menteri. Penjawatnya
setakat ini dilihat lebih banyak menerima nasihat Perdana Menteri
daripada memberi nasihat kepada Perdana Menteri.
Jika
penasihat diwujudkan dengan mengambil contoh Rumah Putih, peranannya
ialah mencorakkan apa Presiden Amerika daripada parti yang berkuasa
patut buat. Ia diwujud dan digaji bagi membantu Presiden membuat dasar
dan tindakan dalam bidang berkenaan.
Sebagai penasihat
agama Perdana Menteri kedudukannya lebih kanan daripada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Jakim dan lain-lain institusi Islam dalam
kerajaan. Di samping semua jabatan itu adalah seperti penasihat kepada
Perdana Menteri tetapi ia adalah jentera yang melaksanakan apa jua dasar
daripada Perdana Menteri. Di Rumah Putih dia kadang-kadang dilihat
lebih berpengaruh daripada Presiden.
Walaupun penasihat itu
bergaji tetapi dia bukan seorang yang makan gaji. Sama ada dia jadi
penasihat yang berwibawa atau makan gaji ia kerana orangnya, bukan
jawatannya.
Dr. Maza dikira seorang yang berwatak tidak
makan gaji dan dia rasanya ada wibawa dan keupayaan memberi apa yang
sepatutnya diperlukan oleh Perdana Menteri, kerajaan dan Islam.
Jika Perdana Menteri mahukan nasihat yang bebas tentang Islam ambillah
Dr. Maza kerana ia alim tentang semua mazhab. Mungkin termasuk mazhab
Syiah. Cuma yang Perdana Menteri kena cerdik sikit ialah supaya tidak
terlucut daripada pegangan mazhab Syafie yang menjadi pegangan umum bagi
semua dan menjadi faktor penyatu bagi umat Islam Malaysia.
Jika Perdana Menteri pandai mengimbangi antara ajaran fiqah Syafiah
dengan yang lain, maka orang yang terikat kepada gaji seperti Dr. Maza
adalah orang yang terbaik bagi memandu Perdana Menteri menyelaraskan
dasar Islam kerajaan.
Dr. Maza setakat ini tidak terikiat
dengan habuan daripada kerajaan dan tidak terikat dengan fikiran
kerajaan dan orang memimpin kerajaan baik pusat mahu pun negeri. Tetapi
tidak seperti TG Nik Aziz, TG Haji Hadi dan Ustaz Azhar Idrus, Dr. Maza
sedia jadi mufti.
Sebagai Mufti Perlis jika ilmu dan
wibawanya dapat memberi panduan Islam yang terbaik, maka lingkungan
pengaruhnya cuma berkisar dalam sempadan Perlis saja. Manfaatnya tidak
seperti yang boleh dimainkan oleh seorang penasihat Perdana Menteri yang
meliputi atmosfera nasional. Sebagai penasihat PM, Dr. Maza elakkan
jadi imam solat Subuh.
Dr Maza elok jadi penasihat agama PM
Written By Unknown on Sunday, 15 February 2015 | 15:10
Labels:
Pendapat
Post a Comment