Oleh Khalid Samad
Baru
baru ini kedengaran desakan supaya golongan ‘Anwarinas’ diusir keluar
daripada pimpinan PAS.Saya hairan dengan desakan tersebut kerana setahu
saya, tiada pimpinan PAS yang ‘Anwarinas’. Sudah pasti seorang
‘Anwarinas’ akan berada dalam PKR, bukan PAS.
Namun tidak
dinafikan dakwaan wujudnya golongan ‘Anwarinas’ dalam pimpinan PAS
dibuat agak sudah lama. Ia dimulakan seorang yang bernama Zul Nordin.
Masih
ingat siapa dia? Dia juga dikenali dengan gelaran ‘Mr. 101%’ apabila
menyatakan keyakinan menang kerusi Parlimen Shah Alam pada tahun 2013.
Seperti dakwaan dia akan menang terbukti palsu, begitu jugalah bagi saya dakwaannya adanya ‘Anwarinas’ dalam PAS.
Dia mengaku dirinya salah seorang peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim,
tetapi saya diberitahu dia hanya bantu angkat beg turun naik mahkamah,
menyibuk tanpa diundang. Tidak tahulah samada betul atau tidak.
Namun, pada saya dialah adalah orang yang pertama menggunakan istilah ‘Anwarinas’ ini.
Tetapi yang peliknya ada pula anak muridnya dalam PAS! Golongan
‘pengikut Zul Nordin’ dalam PAS ini sedang mengusahakan apa yang Zul
Nordin tidak mampu lakukan pada satu ketika dahulu.
Kalau
mereka terdiri daripada orang muda yang hanya berpandukan semangat saya
tidak hairan sangat. Tetapi amat malanglah kalau ada yang bergelar
ulama tetapi menjadi anak murid Zul Nordin dan sanggup pula membawa
agendanya.
Bagaimanapun, jika menyokong Anwar dalam keadaan
beliau ditindas dianggap ‘Anwarinas’, maka Almarhum Ustaz Fadhil adalah
‘Anwarinas’ yang pertama.
Diikuti pula dengan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Kalau bersama Anwar dalam usaha menjatuhkan Umno/BN dan memenangkan
gabungan parti politik baharu bersamanya samada di dalam BA atau PR
dianggap ‘Anwarinas’, maka ketahuilah semua Almarhum Ustaz Fadhil
adalah ‘Anwarinas yang pertama, diikuti dengan Almarhum Nik Aziz serta
Hadi.
Mereka menjawab, “Tidak! Tidak!” yang dimaksudkan adalah
yang menyokong semua yang dilakukan Anwar walaupun ianya bercanggah
dengan keputusan Jemaah.
Maka ditanya kembali “Apa dia yang
dilakukan Anwar yang bercanggah dengan keputusan jemaah yang disokong
pimpinan PAS ini?” Maka dijawab pula mereka:
1. Menyokong calon PKR di Kota Damansara
Kota Damansara adalah kerusi PKR. Itu keputusan Jemaah. Di peringkat
Negeri dan juga Pusat. Pada 2008 PAS Selangor atas permintaan PAS Subang
tukarkan Kota Damansara dengan Paya Jaras.
Pertukaran ini
dilakukan atas dasar suka sama suka. PKR menang di Kota Damansara dan
malangnya PAS kalah di Paya Jaras. Status kerusi ini tidak berubah
secara rasminya sehingga sekarang walau pun ada dakwaan seorang ‘ulama’
muda kerusi Kota Damansara adalah milik PAS.
Pada 2013, PAS
menang di Paya Jaras tetapi PKR kalah di Kota Damansara. Umno cukup
berterima kasih dengan calon PAS yang diturunkan di Kota Damansara
termasuk juga ‘ulama’ muda tersebut.
Maka menyokong PKR di Kota Damansara bukan alasan untuk mendakwa seseorang itu sebagai ‘Anwarinas’.
2. Menyokong Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor
PAS terus menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar
Selangor. Saya sendiri berbeza pandangan tetapi terpaksa akur dengan
keputusan Jemaah. Tetapi sokongan ini ditarik balik oleh PAS sebaik
sahaja Khalid dipecat dari PKR kerana tidak mematuhi disiplin partinya.
Oleh itu PAS tidak lagi menyokong Khalid selepas itu. Oleh itu menolak
Khalid sebagai MB selepas tarikh mesyuarat AJK PAS Pusat yang
bersetuju menukarnya tidak boleh digunakan sebagai alasan menuduh
seseorang sebagai ‘Anwarinas’.
3. Menyokong DSWA sebagai MB Selangor
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diputuskan sebagai salah seorang yang
dicalonkan oleh PAS untuk jawatan MB dalam mesyuarat AJK PAS Pusat
yang bertemu pada 17 Ogos 2014. Ianya keputusan sebulat suara. Cadangan
nama Wan Azizah sebagai calon pertama dan Azmin Ali sebagai calon
kedua dibawa oleh Hadi sendiri dan ianya diterima tanpa apa-apa
perbahasan lanjut.
Malangnya Azmin Ali memberi laluan kepada
Wan Azizah dan oleh itu Wan Azizah diterima PR sebagai calon tunggal
untuk jawatan MB Selangor. Ini menimbulkan reaksi melampau dari
golongan tertentu dalam PAS tetapi ianya hasil tindakan Azmin Ali bukan
mana-mana pimpinan PAS. Tetapi memang tidak dapat dinafikan, Azmin
adalah seorang ‘Anwarinas’.
Tetapi menyokong Wan Azizah sebagai
calon MB tidak boleh dikatakan sebagai membelakangi keputusan jemaah.
Sebaliknya ianya selari dengan keputusan rasmi jemaah. Maka ianya turut
tidak boleh digunakan sebagai alasan menuduh seseorang pimpinan
sebagai ‘Anwarinas’.
4. Menyokong Langkah Kajang
Persoalan Pilihan Raya kecil Kajang hasil tindakan Langkah Kajang
sememangnya tidak dibincang terlebih dahulu oleh PKR. Mereka menganggap
ianya urusan PKR kerana Adun Kajang pada ketika itu adalah dari PKR.
Oleh itu ianya terpulang kepada mereka samada ingin menukarkan Adun
mereka atau tidak. Samada PAS bersetuju atau tidak dengan lojik mereka
hakikatnya PKR terus bertindak. Dengan itu PAS Pusat bermesyuarat dan
diputuskan secara jamaai PAS kena membantu mereka di Kajang. Namun PAS
sebut dengan jelas, pendirian PAS, pertukaran MB tidak timbul pada
ketika itu.
Oleh itu menyokong PKR di Kajang adalah keputusan
Jemaah. Memulaukan pilihan raya kecil Kajang dengan tidak turun
bertugas adalah keputusan hawa nafsu. Menyokong PKR di Kajang juga
tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menuduh seseorang
‘Anwarinas’.
5. Konsensus nasional
Dikatakan ‘golongan Anwarinas’ menyokong ‘Konsensus Nasional’ kerana
ianya dibawa Anwar tetapi menolak ‘Unity Government’ yang dibawa Hadi.
Oleh itu mereka lebih sokong Anwar dari menyokong Hadi.
Konsensus Nasional dan Unity Government adalah dua perkara yang
berbeza. Konsensus Nasional hanya merupakan persetujuan bersama untuk
tidak mengeruhkan lagi suasana politik negara dengan membawa isu-isu
bersifat perkauman dan sebagainya.
Ianya bukan cadangan untuk
PR bersatu dengan BN. Ianya cadangan untuk menjadikan politik dan
demokrasi negara lebih baik dan matang maka apa masalah dengan
menyokongnya?
Unity Government merupakan cadangan untuk
menyatukan BN dan PR dalam satu kerajaan dan dengan itu tiada lagi
pembangkang dan semua berkerjasama untuk kebaikan Negara. Pada
dasarnya, ianya cadangan yang baik, seperti saya jelaskan dalam
tulisan asal saya pada sekitar Mac 2009.
Tetapi saya tidak yakin BN
akan bertindak adil terhadap PR dan sebaliknya akan menggunakannya
sebagai peluang membunuh masa depan politik PR.
Cadangan UG ini juga menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli. Ada yang menganggap ianya gabungan PAS dan Umno.
Kekeliruan ini terhasil dari usaha pihak tertentu pada tahun 2008
sebaik sahaja kita mencapai prestasi cemerlang melalui PRU12 pada tahun
itu. Sedangkan UG bukan sekadar PAS dan Umno, tetapi PR dan BN.
Namun, menolak UG dan menyokong KN tidak merupakan alasan untuk
menggelar mana-mana pihak sebagai ‘Anwarinas’ kerana kedua-duanya adalah
konsep yang berbeza.
Pandangan berbeza berhubung kedua-duanya
adalah berdasarkan hujah dan analisa masing-masing, bukan atas sikap
mengikut secara buta tuli terhadap mana-mana pihak.
6. Tawaran TPM dan jawatan menteri kepada Anwar dan PKR
Ada juga yang menimbulkan persoalan mengapa ‘golongan Anwarinas’ tidak
bersuara apabila didedahkan Anwar pernah ditawarkan jawatan TPM dan
beberapa jawatan menteri oleh Datuk Seri Najib Razak.
Adanya
tawaran bererti adanya tawar-menawar dakwa mereka. Sedangkan ‘golongan
Anwarinas’ ini begitu kecoh bila isu UG ditimbulkan dalam PAS.
Pertama, adanya tawaran tidak bererti semestinya adanya tawar-menawar.
Rasulullah (SAW) ditawarkan bermacam-macam oleh pihak Quraisy walaupun
Rasulullah tidak terlibat dalam usaha tawar-menawar dengan mereka.
Kedua, tawaran itu tidak diterima maka ingin buat bising buat apa?
Anwar pun difitnah lagi dan dipenjarakan maka jelas membuktikan tiada
usaha berdamai samada di pihak Umno atau PKR.
Ketiga, itu urusan parti PKR. Pimpinan PAS jaga PAS supaya PAS tidak tertipu dengan tipu-helah Umno.
Biar PKR dijaga oleh pimpinan PKR sahajalah. Pimpinan PAS mahu masuk
campur buat apa? Kalau PKR bodoh sangat sehingga sanggup terima tawaran
Umno, nasib merekalah. Maka kita lawan mereka pula selepas itu!
Namun, Alhamdulillah mereka menolak dan ini adalah bukti kesetiaan kepada PR.
Kalau Anwar terima awal-awal, mungkin kesnya pun ditarik-balik.
Tetapi, bukan sekadar tidak lari mencari suaka politik di Amerika, UK
atau Australia, tunggu di Malaysia sehingga dipenjarakan sekalipun.
Berapa ramai yang menanggung dosa kering atas buruk sangka mereka terhadap Anwar dalam kes ini?
Oleh itu, tidak mengutuk Anwar kerana beliau ditawarkan jawatan TPM
dan beberapa jawatan menteri juga bukan alasan untuk menuduh seseorang
itu ‘Anwarinas’.
Kesimpulan
Saya
sememangnya kecewa dengan sikap beberapa pimpinan PAS yang sanggup
membawa agenda mereka-reka seperti Zul Nordin, Hassan Ali dan
sebagainya di dalam PAS.
Begitu juga dengan budaya terpengaruh
dengan tulisan di alam maya oleh orang bacul yang bersembunyi di
sebalik nama samaran seperti Tok Usin Ceroi (TUC), Elharaki dan
sebagainya.
Dakwaan orang yang merahsiakan siapa diri mereka
sepatutnya terus dibakul sampahkan. Lainlah kalau yang dituduh itu
adalah pihak berkuasa yang boleh mendatangkan musibah ke atas diri
mereka. Ini tidak.
Yang difitnah pun sedang bergelut menentang
kezaliman BN dan menjadi mangsa kezaliman itu, ditambah pula dengan
fitnah yang dilemparkan tanpa bukti dan hujjah yang kukuh.
Saya tidak dapat menolak kemungkinan ini semua bertujuan untuk mencapai
sesuatu yang lama diinginkan beberapa pimpinan PAS iaitu untuk supaya
PAS keluar dari PR.
Untuk berhujah secara berdepan berhubung
kehendak mereka ini tidak mampu mereka lakukan maka mereka memilih
jalan pintas yang jahat dan tidak berakhlak.
Mereka memilih
untuk menuduh tahaluf siyasi ini menghasilkan banyak kerosakan dalam
PAS termasuk masalah wala’ dan kesetiaan serta kewujudan golongan
‘Anwarinas’ dan sebagainya.
Saya nyatakan dengan terus terang
di sini. Wala’ saya pada jemaah menuntut supaya saya berusaha untuk
mencapai kebaikan untuk jemaah ini.
Oleh itu sesiapa sahaja
yang ingin merosakkan jemaah melalui membawa agenda Zul Nordin, Hassan
Ali, TUC dan Elharaki akan saya tentang habis-habisan.
Semoga dengan itu akan saya kembali bertemu Allah kelak dalam keadaan redha dan diredhai insyaAllah.
Wallahu alam. –
* Penulis ialah ahli Parlimen Shah Alam.
Home »
Penulis Tamu
» Asal usul ‘Anwarinas’
Asal usul ‘Anwarinas’
Written By Unknown on Tuesday, 24 February 2015 | 13:59
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment