Oleh ZULKIFLI YAHAYA
PENGARAH Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki meramalkan akan berlaku perpecahan selepas muktamar tahunan 2015 yang dijangka berlangsung 1 Jun ini.
Beliau mendakwa, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sedang
berusaha menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan
direalisasikan melalui muktamar tahun ini.
“Jika mereka
tidak berjaya, saya jangka Pasma akan jadi sebuah parti dan bakal
menggantikan PAS dalam Pakatan Rakyat,” ujar Dr Zuhdi. Walaupun beliau
seorang tokoh akademik tapi dalam isu “perpecahan PAS” ini kenyataannya
bukanlah satu kajian akademik.
Mungkin kenyataan politik, untuk
melahirkan rasa waspada dalam kalangan ahli-ahli supaya berbeza jangan
sampai berpecah. Dalam politik, banyak kaedah boleh digunakan untuk
menyedarkan ahli-ahli.
Tidak munasabah untuk Pasma jadi pemangkin
perpecahan PAS, kerana NGO itu tidaklah sekuat mana pun. Ahlinya di
seluruh negara mungkin tidak sampai 100 orang. Tiada kepimpinan
peringkat pusat bahkan kepimpinan negeri yang sertai Pasma. Sebahagian
dari kepimpinan yang ada dianggap sebagai ahli PAS yang “bermasalah.”
Dalam road show yang diadakan di seluruh negara, tiada sambutan dari
ahli-ahli PAS sendiri. Justeru, dakwaan bahawa Pasma sedang berusaha
menguasai PAS dengan cuba menyusun barisan kepimpinan dan direalisasikan
melalui muktamar tahun ini, adalah tidak masuk akal.
Pasma
menjadi gah dan seolaholah satu ancaman kepada PAS kerana publisiti
berlebihan yang diberikan terhadapnya. Tanpa publisiti Pasma akan pupus
begitu saja.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali sendiri lantas menafikan kenyataan Dr Zuhdi tersebut.
“Setakat yang ada ni saya tahu tak ada yang sanggup nak cabar kedudukan
presiden, masing-masing masih berharap Tuan Guru kita masih kekal
menyangdang jawatan itu,” kata Dato’ Mustafa.
Kenyataan beliau tepat
sekali.
Tokoh PAS yang berada dalam Dewan Harian PAS Pusat sejak
40 tahun itu sangat bijak menangani kemelut dalaman. Beliau turut
menyangkal dakwaan Dr Zuhdi bahawa usaha menjatuhkan Presiden PAS, Dato’
Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermula sejak 1998 lagi. “Tak betul
fakta Zuhdi, 1998 Presiden PAS masih Ustaz Fadzil Noor,” ujar Dato’
Mustafa.
Apa yang terjadi dalam isu “menjatuhkan Presiden PAS”
sebenarnya hanyalah cetusan rasa panik yang tidak menentu sekalangan
anggota PAS. Mereka khuatir Tuan Guru jatuh dan jati diri PAS sebagai
sebuah gerakan Islam akan hilang. Kekhuatiran yang tulus ikhlas itu
adalah hasil kecintaan mendalam terhadap perjuangan Islam.
Realiti yang berlaku adalah Tuan Guru Presiden masih mantap pada
kedudukannya. Dakwaan ada gerakan untuk menjatuhkannya boleh dipertikai.
Kerana untuk menjatuhkan pemimpin nombor satu parti itu, ia perlukan
calon pesaing untuk merebut jawatan dalam muktamar. Ia mesti dibuat
secara terbuka sebelum mesyuarat agung tahunan PAS kawasan bermula.
Kawasan yang akan mencalonkan presiden.
Tengku Razaleigh Hamzah
ketika mahu mencabar Dr Mahathir Mohamad selaku presiden Umno mengambil
masa agak lama untuk menggerakkan usaha merebut jawatan tersebut,
sekalipun Dr Mahathir lemah dan banyak musuh ketika itu. Inikan pula
mahu menyaingi Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang masih kuat. Muktamar PAS
Pusat akan diadakan kira-kira tiga bulan sahaja lagi. Jika hingga ke
peringkat ini, langsung tiada desas desus presiden akan dicabar maka
usahlah cemas melampaulampau bahawa presiden akan digulingkan.
Mungkin terdapat segelintir anggota yang mengkritik presiden, maka
tindakan itu belum boleh dijadikan bukti bahawa presiden hendak
digulingkan.
Ketakutan yang melampau jika tidak diuruskan dengan
betul boleh membawa kesan negatif terhadap PAS. Antara kesan ketakutan
melampau, ialah membuat kenyataan terbuka kononnya terdapat individu
yang berkomplot guling presiden, mendedahkan isi memorandum dalaman
kepada media dan berdemonstrasi secara terbuka untuk menyerang pemimpin
tertentu dalam parti. Tidak perlulah sampai ke tahap itu kerana imej PAS
akan rosak. Sedangkan imej tersebut yang hendak digunakan sama ada
dalam kerja dakwah atau pilihan raya.
Yakinlah dengan kenyataan
Dato’ Mustafa Ali bahawa, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan
kekal sebagai presiden tidak ada mana-mana individu mahu menyainginya.
Saya mengandaikan jika ada individu yang mencabar presiden dalam
muktamar kali ini, mungkin akan senasib dengan Zul Hazmi Sharif yang
mendapat tujuh undi dalam pemilihan ketua Pemuda PAS pada muktamar dua
tahun lalu.
Apa yang digambarkan sebagai konflik dalaman PAS itu
sebenarnya tidaklah terlalu besar sehingga PAS berpecah. Ramalan bahawa
PAS akan berpecah itu pun boleh bawa impak negatif terhadap PAS.
Melabel
dan membuat cabaran terbuka sesama anggota jemaah, khususnya pada tahap
kepimpinan juga boleh bawa kesan buruk. Di media sosial perdebatan
tiada kesudahan perihal perbezaan dalaman sehingga ke peringkat
menyerang sesama sendiri, memaki hamun dan mencarut juga buruk padahnya.
Matlamat ahli-ahli PAS ialah mahu mendapatkan keredaan Allah. Tiada
guna menang pilihan raya tetapi Allah tidak reda kerana menolak
pelaksanaan Islam. Waktu kalah pun begitu.
Allah tidak reda jika
asyik bertelagah, menolak musyawarah atau tolak teguran secara hikmah
sesama anggota jemaah, menggelar buruk, memaki hamun atau hilang
ukhuwah. Biar kalah atau menang; biarkan kita berakhlak dan berprinsip
dengan yang Allah redai.
Semua anggota jemaah dari pemimpin aras
atas hingga akar umbi, masing-masing ada kelemahan atau kesilapan. Tugas
pemimpin yang sedar untuk melakukan tarbiyah semula membetulkannya.
Jangan ada idea penyingkiran, asal silap mesti diusir keluar parti.
Semoga pascamuktamar PAS Jun nanti, PAS tidak berpecah malah akan lebih
mantap sambil memperbaiki kelemahan masing-masing. Biarlah ulama dan
profesional yang layak untuk memimpin jemaah berada pada kedudukan
masing-masing.
Jangan panik, PAS tidak akan berpecah
Written By Unknown on Monday, 9 March 2015 | 15:24
Labels:
Pendapat
Post a Comment