Oleh Lanh
SELAMAT
Tahun Baharu 2017. Pada tahun ini negara kita akan meraikan Hari
Kemerdekaan ke-60. Pada usia 60 tahun, kakitangan kerajaan bersara
wajib; jadi kita berpendapat pada usia negara ke-60 inilah sewajarnya
Umno-BN ‘dibersarakan’ daripada memerintah negara kerana ia sudah
selayaknya mendapat status ‘pesara’. Jadi pada tahun 2017 ini selamat
bersara, Umno-BN!
Persoalannya sekarang apakah Umno-BN mahu atau terpaksa pencen setelah 60 tahun memerintah negara? Kalaulah komponen parti ini kalah pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 (PRU) yang jika diadakan pada 2017, maka menjadi realitilah Umno-BN pencen selepas memerintah negara ini selama 60 tahun.
Namun sudah tentu Umno-BN tidak mahu pencen setelah 60 tahun
memerintah. Ada pekerja pun tidak mahu pencen pada usia 60 tahun. Oleh
itu ada ura-ura melanjutkan tempoh pencen kepada 62 tahun. Masih muda,
kata kebanyakannya, terutama daripada sektor awam. Masih banyak boleh
disumbangkan kepada agama, bangsa dan negara, dakwa sesetengahnya.
Demikianlah betapa banyak alasan diberi sedangkan jika mereka tidak
pencen, macam mana ada kekosongan bagi membolehkan anak cucu masuk dalam
dunia pekerjaan. Itulah antara sebabnya puluhan ribu graduan kini
menganggur! Ini kerana di ofis berlaku lambakan ‘datuk’ dan ‘nenek’!
Jika ada pekerja yang ‘tiada kepentingan sangat’ enggan pencen pada
usia 60 tahun tentunya Umno-BN tidak mahu kerusi empuk yang didudukinya
direnggut selepas 60 tahun memerintah negara. Banyak ‘keistimewaan’
dan ‘habuan’ sudah dinikmatinya, jadi buat apa bersara secara sukarela.
Nampaknya, tiada jalan lain, pesaingnya perlu 'sehati sejiwa'
menjatuhkannya secara ‘paksa-rela’!
Berdasarkan semangat Persidangan Agung Umno (PAU) hujung tahun lalu
(2016) jelas sekali Umno-BN tidak sedia bersara pada usia 60 tahun ini.
Kalau boleh ia mahu melanjutkan lagi mandat pemerintahan ke angka 70,
80, 90 dan 100 tahun. Atau lebih baik lagi dulu, kini dan selamanya
sejajar dengan slogan keramatnya.
Apabila Umno-BN tidak sedia pencen pada usia 60 tahun ini (berdasarkan
propaganda hebat dilancarkannya terutama melalui media massa), apakah
rakyat boleh berterusan berdiam diri?
Seorang kakitangan (pekerja) yang mahu usia persaraannya (dulu ada
pilihan untuk bersara pada usia lebih awal seperti 58 tahun) dilanjutkan
sehingga 60 tahun mestilah menunjukkan prestasi baik bahawa dia masih
boleh menyumbang bakti sekali pun badannya sudah sakit sana sakit sini.
Tidak guna ‘sign’ kontrak bersara umur 60 tahun tetapi tahun-tahun
terakhir bekerja dipenuhi MC, terlantar di wad hospital, ponteng,
termenung sana termenung sini kerana kaki sudah dipotong kerana
diabetes, tak larat bekerja dan sebagainya yang pasti menjejaskan
operasi jabatan atau syarikat. Hal ini akan menyusahkan pihak pengurusan
dan rakan-rakan sekerja. Lebih buruk lagi, dalam usia senja itu
terbabit pula dalam amalan buruk seperti rasuah.
Jika seorang pekerja boleh disemak rekodnya sama ada dia layak bekerja
sehingga umur 60 tahun, Umno-BN juga boleh diperiksa prestasinya sama
ada ia layak dipencenkan selepas memerintah negara selama 60 tahun.
Akhir-akhir ini apabila Umno-BN sudah ada tanda-tanda ‘kena pencen’, ia
semakin gelisah sehingga terpaksa ‘masuk bakul angkat sendiri’.
Maklumlah takut dipencenkan pada ‘usia muda’ kononnya! Tukang kempennya
seperti media massa sarat dengan puji-pujian melangit, membodek Umno-BN
sebaliknya menjadi kaki kutuk paling dahsyat terhadap lawannya.
Jika kita tengok TV, hampir setiap masa rakyat disogokkan dengan
kejayaan PM dan projeknya seperti MRT, BR1M, Kedai 1-Malaysia, Klinik
1-Malaysia dan program membeli undi rakyat lainnya. Beritanya sarat
dengan propaganda murahan sehingga rakyat ‘tidak ghairah’ lagi ‘membuka’
TV atau menatap akhbar arus perdana.
Hakikatnya tubuh badan Umno-BN sudah rosak teruk, menjadi sarang
penyakit, oleh itu bersaralah wahai Umno-BN selepas memerintah negara
selama 60 tahun; kalau tak, rakyat akan memaksa anda! Percayalah jika
pilihan raya diadakan secara telus pada 2017 ini seperti dituntut
Bersih, anda akan tersenarai sebagai seorang pesara! Selamat bersara
Umno-BN!~~http://lanh14.blogspot.my
Post a Comment