Kenapa Najib masih berkeliaran di Putrajaya lagi? Kesalahan yang macam mana yang membolehkan
seseorang Perdana Menteri dan kabinetnya meletakkan jawatan? Tidak kah
cukup lagi dalil-dalil dan sebab-sebab kenapa Najib dan seluruh barisan
kabinetnya yang gagal sekarang ini untuk meletakkan jawatan?
Najib mempunyai imej seorang Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab kerana beliau tidak mempunyai roh kepimpinan yang betul dan secocok dengan kemahuan negara dan rakyatnya. Najib telah gagal segagal-gagalnya untuk mentadbir politik dan negara walaupun beliau telah melalui segala-gala laluan dalam kepimpinan parti sejak memasuki politik pada tahun 1976 yang lalu.
Datang dari keluarga yang pejuang pun dan di tambah dengan pelajaran
luar negara sekali pun tidak dapat menggilap beliau sebagai pemimpin
yang mempunyai roh yang sesuai dan secocok untuk negara yang
kosmopolitan ini. Najib tidak mampu untuk belajar baik dari kesilapan
sendiri mahu pun dari kesilapan orang lain dan pendeknya beliau hanya
mempunyai kulit yang cantik dan kehidupan yang senang dari keluarga
seorang Perdana Menteri.
Segala yang dilaungkan dan dilancarkan secara ‘ambitious’ untuk
kemajuan negara semuanya gagal dilaksanakan dan beliau tidak dapat
menghampiri cita-citanya untuk menunjukan kelainan dari pimpinan
terdahulu. Beliau tidak dihormati oleh rakyat kerana beliau sendiri
tidak mampu untuk menghormati diri beliau sendiri sebagai seorang
pemimpin yang sepatutnya bertanggungjawab dan prihatin terhadap kemahuan
dan keperluan rakyat pimpinannya dan kerajaan yang diketuainya.
Jika sudah sampai ketahap ini maka tidak ada sebab untuk beliau dan
pimpinan dalam kabinet beliau kekal dan masih berkeliaran di Putrajaya
melakukan semua yang tidak digemari rakyat. Mereka ini menjadi masalah
kepada negara dan tidak tahu bagaimana mereka boleh dan mampu untuk
menyelesaikan masalah rakyat dan negara sedangkan mereka sendiri adalah
penyumbang kepada masalah yang negara hadapi kini.
Najib telah gagal dalam segala-galanya dan untuk terus menjadi ketua
kerajaan merupakan satu tindakan yang menzalimi rakyat dan dirinya
sendiri. Jika Najib bersara ia boleh membuka ruang bagi mencari
penggantinya yang boleh dianggap mempunyai 'stature' yang baik untuk
meneruskan mentadbir dan membina negara ini ketahap yang lebih tinggi
lagi.
Jika Najib bersara tentulah ia diikuti oleh barisan kepimpinan dalan
kabinet sekali kerana kegagalan Najib itu juga adalah kegagalan
keseluruhan barisan kabinet itu. Itu sememangnya biasa kerana kabinet
yang ada itu adalah lantikan Perdana Menteri yang gagal itu. Kegagalan
Najib itu adalah kegagalan seluruh ahli-ahli jemaah kabinet itu. Itu
adalah ‘collective responsibility’ yang digunapakai oleh kebanyakan
kerajaan di negara-negara maju.
Najib sendiri mesti mencari ‘instruments’ demokrasi yang ada jika
mahukan perubahan dan ianya perlu dilakukan oleh Najib sendiri jika
beliau mempunyai jiwa yang besar dan ingin melihat negaranya maju ke
hadapan. Jika beliau mempunyai jiwa yang besar beliau tidak akan
membiarkan negara menjadi begini kucar kacir dan membawa kerosakan
negara semata-mata kerana tidak mahu berganjak dari jawatan yang
disandangnya sekarang ini.
Adalah wajar bagi Najib dan barisan kabinetnya untuk mengembalikan
kuasa kerajaan kepada Majlis Raja-Raja misalnya dan Majlis Raja-Raja
memilih sesiapa yang beliau anggap sebagai orang yang di yakini baginda
untuk mentadbir negara buat sementara bagi memulakan sebuah negara baru
dan akhirnya membawa negara kepada ‘ambience’ politik yang baru dengan
semangat yang baru untuk rakyat mengharapkan perubahan dan meninggalkan
masalah-masalah yang mereka hadapi sekarang jauh dibelakang.
Mungkin Ahli-Ahli Dewan Rakyat boleh memainkan peranan yang besar dalam
perubahan yang amat diperlukan ini. Lupakan cara pemilihan seorang
Perdana Menteri secara konvensyen sekarang ini, dalam mana sesiapa
sahaja yang menjadi Presiden UMNO itu adalah otomatik menjadi Perdana
Menteri. Perlembagaan memperuntukan seseorang Ahli Dewan Rakyat yang
mendapat sokongan majoriti walaupun dengan ‘simple majority’ itu boleh
dijadikan Perdana Menteri termasuk yang menjadi ahli UMNO itu sendiri.
Perubahan ini amat diperlukan kerana jika tidak ada perubahan dalam
jangka masa yang terdekat ini, ramai merasakan kita akan ditadbir oleh
mereka yang tidak berjiwa seperti kita dipimpin oleh hanya jasad yang
tidak berjiwa lagi. Kita semua tahu apa yang akan berlaku selepas ini
jika tidak ada perubahan itu.
Kita mahu melihat seseorang yang mampu melakukan sesuatu yang tepat
dalam kita menghadapi kejatuhan ringgit Malaysia yang sangat mengerikan
ini. Kita mahu di pimpin oleh seseorang yang mahir dalam mengendalikan
negara dalam waktu kejatuhan harga minyak yang mendadak sejak dua bulan
lepas. Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang berpijak diatas bumi yang
nyata.
Kita mahu dipimpin oleh seseorang yang ‘realist’ dan mengakui kita
wajar hidup dalam keadaan aman bersama-sama rakyat berbilang kaum yang
saling hormat menghormati di antara satu dengan yang lain. Kita mahukan
negara menjadi sebuah negara dalam mana ia tetap dengan perjuangan yang
‘ultimate’ iaitu untuk mencapai ‘national unity’ yang abadi tanpa ada
sesiapa yang mempersoalkan budaya dan hidup beragama masing-masing.
Yang lebih penting lagi kita mahu seorang yang memimpin negara yang
boleh mendidik pimpinan yang rasuah itu adalah satu budaya dan kerja
yang amat hina di sisi apa sekali pun lebih-lebih lagi di sisi agama dan
budaya kita. Kita mahukan pemimpin yang memahami dalam erti kata yang
sebenarnya yang rasuah itu adalah lebih hina dari seseorang yang memakan
daging saudaranya sendiri.
Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh mengisi kembali roh keluhuran
dalam mentadbir negara. Kita perlu mencari pemimpin yang tidak merelakan
pimpinan negara di setiap peringkat mengambil yang salah itu sebagai
benar dan mengambil yang benar sebagai salah.
Kita perlukan kepimpinan baru yang mampu untuk kembali kepada ‘basic’
kepimpinan. Semuanya tidak ada dalam ‘set’ kepimpinan hari ini dan untuk
kembali kepada yang ‘basic’ itu tadi. Ia memerlukan pengorbanan yang
besar dari semua pihak termasuk dari mereka yang sedang enak dengan
kuasa dan glamor sekarang ini.
Post a Comment