Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
BEBERAPA bulan dulu Mufti Ismail Menk,
pendakwah dan Ketua Jabatan Fatwa Majlis Sarjana Islam Zimbabwe
(Majlisul Ulama Zimbabwe) menyebut sebuah hadis pada 'wall' Facebook
saya, secara 'literal' boleh diterjemahkan sebagai ‘jangan jatuh ke
dalam lubang yang sama lebih daripada sekali…”
Justeru
maksudnya kita sebagai manusia dan lebih-lebih lagi sebagai umat Islam
diperingatkan supaya tidak membuat kesilapan serupa lebih daripada
sekali. Jika diertikan sebagai antara undang-undang Islam, maka
maksudnya kita diwajibkan mengambil iktibar dan pengajaran daripada
kesilapan masa lalu dan berdosa sekiranya membiarkan ia berlaku sekali
lagi apatah lagi berulang-ulang.
Apa yang dimaksudkan kesilapan
di sini bukanlah kesilapan mendarab 23 dengan 24, atau kesilapan
memasukkan kata laluan bagi e-mel peribadi dan sebagainya. Sebagai
seorang bervisi menjangkau zaman, Nabi Muhammad s.a.w. memaksudkan jauh
daripada sekadar kesilapan seperti itu.
Misalnya sekiranya
sesebuah negara mudah ditimpa sesuatu masalah bencana alam, maka
perlulah dilakukan sesuatu atau diatasi apa juga masalah yang
mengakibatkan berlakunya bencana alam tersebut dan bukannya dibiar
berulang tahun demi tahun sehingga dunia kiamat.
Sebagai contoh
ambil sahaja negara kita, Malaysia. Dari segi geografi fizikal separuh
daripada keluasan tanah Semenanjung mempunyai purata ketinggian melebihi
150 meter di atas paras laut dan boleh dikatakan tidak ada mana-mana
kawasan baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak yang mengalami
ketinggian di bawah paras laut.
Angin bermusim Monsun Timur Laut
sudah bertiup di Malaysia sejak sebelum era Perak Man lagi (dikatakan
di antara 10,000 hingga dua juta tahun dulu) dan begitu juga banjir di
pantai Timur Semenanjung terutama di tempat yang kini kita kenali
sebagai Kelantan dan Terengganu.
Tentulah bodoh bagi
sesiapa untuk melawan keadaan semula jadi. Namun kita boleh mencipta
sistem amaran awal sebagaimana yang dilakukan oleh Gerald Bradley, Ketua
Pentadbir Inggeris bagi daerah Kuala Krai (1927-1955).
Bagi mengetahui kedudukan paras air ketika musim hujan monsun,
Bradley telah mengarahkan pembinaan 79 anak tangga dengan jumlah
ketinggian 31 meter pada sebuah lokasi di tebing Sungai Krai pada 1927.
Tangga ini dinamakan Tangga Bradley (kini Tangga Kuala Krai) dan
pernah digunakan sebagai sistem amaran awal bagi membuat keputusan
mengenai ancaman banjir di Kelantan.
Hari ini tangga
berkenaan tidak lagi digunakan untuk tujuan tersebut. Peredaran zaman,
kemajuan sains dan teknologi membolehkan kita memiliki sistem kaji
cuaca canggih dan meramalkan dengan agak tepat kekuatan angin monsun
yang bakal bertiup bagi sesuatu musim serta keadaan banjir yang bakal
berlaku.
Namun pengkaji cuaca hanya boleh
memberitahu apa yang bakal berlaku dan tidak mampu mengawal baik angin
mahupun banjir. Malah tidak sesiapapun yang boleh. Begitupun kita masih
boleh melakukan dan tidak melakukan banyak perkara bagi mengelakkan
keadaan semula jadi alam (yang kita ketahui berlaku setiap tahun)
daripada menjadi bencana dan tragedi yang seolah-olah kita tidak tahu
kedatangannya sama sekali.
Pada Januari 2014 lalu
seramai 19 orang ahli sains dari universiti dan IPT berprestij di dunia,
termasuk pakar kaji cuaca terkemuka dunia, Profesor Nigel Arnell dari
Reading University dan Robert Muir-Wood perunding kaji cuaca yang
menjadi penasihat kepada PBB dan OECD telah bermesyuarat dan merumuskan;
“Cuaca (perubahan cuaca) BUKAN punca utama banjir. Sebaliknya
pembinaan (bangunan, rumah dan sebagainya) di atas dataran serta
penebangan hutan dan pokok adalah antara punca paling utama.” (The Daily
Mail, menerusi Mail Online edisi 22 Januari 2014)
Sebenarnya rumusan ini bukanlah penemuan baru tetapi sekadar mengesahkan
apa yang telah diperkatakan oleh para saintis di seluruh dunia mengenai
banjir luar biasa yang melanda pelbagai tempat di seluruh dunia sejak
sedekad lalu.
Maknanya kita di Malaysia sudah pun
maklum akan hal ini. Ditambah pula dengan pemimpin kerajaan Umno-BN
yang sentiasa berdegar mengatakan Malaysia serba pandai itu dan ini dan
menjadi contoh kepada negara lain termasuk negara maju, tentulah tidak
mungkin kita tidak mengetahui pembangunan, penebangan hutan, pembalakan,
pembinaan empangan yang dilakukan di lokasi lain boleh mengakibatkan
banjir di lokasi lain akibat pergerakan tanah dan sebagainya.
Namun, kita tidak pernah mahu mengambil iktibar dan
memperbetulkan hal ini walaupun banjir berskala besar berlaku saban
tahun. Dalam lain perkataan pemimpin Umno-BN dengan sengaja
memperlekehkan dan mengabaikan hadis berkenaan. Jika tak kisah dengan
dosa, itu mereka punya pasal. Tapi yang merana dan sengsara adalah
rakyat yang tidak berdosa,
Post a Comment