Oleh ZULKIFLI YAHAYA
BN
berura-ura (dan disahkan dengan kenyataan Najib Razak 25 Feb) tidak
akan menyertai pilihanraya kecil DUN Chempaka, ekoran pemergian Tuan
Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Jika ia benar-benar berlaku
maka ini bukanlah kali pertama BN tidak sertai pilihanraya kecil,
sekalipun rekod pencapaian BN dalam mana-mana PRK sering memihak kepada
mereka.
BN pernah pulaukan PRK Penanti tahun 2009 yang
diadakan ekoran peletakan jawatan ADUNnya yang juga selaku Timbalan
Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Alasan yang
diberikan kerana PRK itu tidak perlu diadakan kerana ia hanya untuk
menyelesai masalah dalaman PKR. Tidak wajar rakyat diheret sama dan PRK
hanya menghabiskan wang rakyat. Itu hujah BN.
KeADILan sekali
lagi mengheret rakyat menyelesaikan masalah dalaman mereka apabila ADUN
Kajang meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim (kemudiannya bertukar tangan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah
Ismail) sebagai calon. Berdasarkan prinsip yang dipegang pada PRK
Penanti, BN sepatutnya tidak sertai PRK Kajang tetapi fatwa politik BN
boleh berubah ikut selera mereka. Calon MCA yang mewakili BN kalah di
tangan Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
PRK Chempaka
sangat mudah untuk dijangka. Di hampir kesemua negeri yang bermajoriti
Melayu, peratus pengundi tegar sangat tinggi, tidak kira pengundi tegar
itu BN atau PAS. Chempaka adalah kawasan pengundi tegar PAS yang
diwakili Tok Guru sejak sekian lama. Satu kontena wang emas pun jika
dilabur BN belum tentu dapat mengubah pengundi tegar PAS untuk mengundi
BN. Kekalahan BN sudah dijangka sebelum ayam berkokok lagi.
BN
mempunyai pilihan, sertai pilihanraya sekadar untuk mengurangkan
majoriti PAS. Perkara itu tidaklah mustahil untuk dilakukan kerana
setiap kali PRK mereka turun dengan jentera kerajaan Pusat. Nampaknya ia
tidak jadi pilihan bagi BN kali ini.
Alasan yang diberikan di
sebalik cadangan tidak sertai PRK yang diberikan oleh para pemimpin Umno
ialah menghormati Almarhum Tok Guru. Alasan lain ialah mahu beri
penumpuan untuk pulihkan mangsa banjir di Kelantan. Kedua alasan sangat
lunak didengar. Tidak mengapalah, tak perlulah diulas alasan yang
diberikan kerana dalam politik apa saja alasan boleh dicipta, sekalipun
selepas keputusan dibuat.
Cuma malangnya apabila BN tidak
meletakkan calon dalam PRK adalah rakyat di kawasan tersebut. Mereka
hilang tuah untuk dapat nikmat pembangunan. Gurauan kasar rakyat
Malaysia yang sering didengar ialah “Tunggu wakil rakyat mati, barulah
kerajaan BN nak bantu rakyat.” Senario itu tidak dapat dinafikan oleh
sesiapa pun.
Apabila tiada PRK maka tiadalah
kementerian-kementerian yang turun dari Pusat untuk mengagihkan projek.
Projek yang turun pula bukan bertaraf untuk sebuah kawasan DUN tapi
biasanya peruntukan dari kementerian untuk sebuah negeri. Menteri akan
turun dari rumah ke rumah. Biasanya setiap kali PRK, kerajaan Pusat akan
menghabiskan puluhan juta ringgit. Siapa menang tidak penting tapi
rakyat dapat nikmat yang besar dan luarbiasa sekali. Contohnya untuk PRK
Anak Bukit 2002, rakyat dapat sebuah kompleks pentadbiran Persekutuan.
Untuk PRK Pendang, rakyat dapat jalan susur keluar dari lebuhraya PLUS
ke Pendang. Pilihanraya PRK Manek Urai, rakyat dapat sebuah jambatan
yang bernilai jutaan ringgit.
Semua tokoh politik, artis,
selebriti, ahli sukan dan pendakwah akan turun berkampung. Duit ditabur
macam daun getah kering. Setiap masalah rakyat dari sekecil perkara akan
selesai sekelip mata.
Dalam PRK Sungai Limau rakyat berpeluang membeli
gula, beras, minyak dan macam-macam keperluan harian dengan harga RM1
sekilogram. Apabila ditanya pada menteri, jawapannya “Memang sudah lama
dirancang, cuma kebetulan berlaku masa pilihanraya.” Betul, banyak
perkara kebetulan yang muncul dalam PRK. Rakyat suka semua perkara
kebetulan yang muncul itu. Jika BN tidak bertanding tentulah rakyat
tidak dapat apa-apa.
Apapun, PAS tidak harus leka dibuai
kenyataan lunak mengapa BN enggan sertai PRK Chempaka. Umno tetap Umno.
BN tetap BN. Perancangan atau strategi musuh politik, mesti cekap
dihidu. Tidak harus lurus bendul atau sekurang-kurangnya ambil sikap
berwaspada (hazar).
Keutamaan BN sekarang ialah memecahkan
Pakatan Rakyat. Pelbagai cara telah diteroka, sebahagiannya berjaya.
Dengan BN tidak bertanding di Chempaka, mereka cuba mewujudkan suasana
kondusif Umno-PAS. Sebaliknya dalam PRK Permatang Pauh, BN akan letak
calon mencabar PKR. BN akan hadapi PKR dengan agresif.
Ada pihak
mengandaikan akan terdapat kalangan pemimpin PAS yang tidak
bersungguh-sungguh membantu PKR di Permatang Pauh lantaran terhutang
budi di Chempaka. Sukar untuk berlaku kemungkinan itu tetapi ia boleh
dilihat sebagai satu percubaan Umno untuk merenggangkan parti-parti
komponen Pakatan Rakyat.
Bagi PAS, sama ada BN tidak sertai PRK
Chempaka atau sebaliknya; ia sama sahaja. Malahan sebahagian ahli yang
sempurna tarbiyah sangat mengharap berlaku PRK kerana ia medan terbaik
untuk menyumbang bakti kepada perjuangan Islam. Jika BN letak calon,
maka ia boleh membakar semangat jihad PAS.
Rakyat rugi jika BN tak bertanding Chempaka
Written By Unknown on Thursday, 26 February 2015 | 14:39
Labels:
Pendapat
Post a Comment