Oleh Abd Shukur Harun
Walaupun dilihat kemelut dalam Pakatan Rakyat (PR), terutamanya antara pemimpin PAS dan
DAP berterusan, tetapi ada perkembangan baru yang melegakan hati yang
memungkinkan keharmonian wujud kembali dalam PR.Dalam masa yang sama,
sudah ada tanda PAS dan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa),
tidak lagi dilihat dalam suasana permusuhan.
Pada peringkat
bawahan, yakni akar umbi, antara pendukung PasMa dan PAS kelihatan
tidak ada masalah, justeru mereka dari keluarga besar yang tidak
mungkin dipisahkan hanya kerana perbezaan pendapat.
Sementara
itu, ada perkembangan yang menarik di peringkat akar umbi PAS dan DAP
yang tercetus ketika banjir merempuh Kelantan dan negeri lain baru-baru
ini.
Pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng
datang sendiri ke Kelantan memberikan bantuan kepada mangsa banjir, di
mana Lim Kit Siang yang turut mengharungi banjir sudah 3 kali ke sana.
Beliau berada di Kota Baru bersama Exco Kerajaan Tempatan dan
Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow, Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan
Tanah, Penerangan dan Warisan Phee Boon Poh diiringi Pesuruhjaya PAS
Pulau Pinang Haji Mohamad Sabu.
Delegasi pemimpin DAP dan
kerajaan negeri Pulau Pinang itu disambut Adun Salor, Datuk Husam Musa
dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad.
Pelbagai bantuan DAP Pulau Pinang itu diserahkan kepada pimpinan PAS dalam majlis penyerahan ringkas baru-baru ini.
Sementara itu, penyelaras bantuan banjir DAP Selangor, Eddie Ng Tien
Chee pula menghantar trak UBAH ke Gua Musang berisi barangan bantuan
untuk mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Selain itu, DAP
melancarkan Tabung Bencana Banjir DAP di mana semua kutipan derma untuk
itu diminta dimasukkan dalam satu akaun khas iaitu ‘Tabung Dana
Kecemasan’ (Ambank 8881002244649).
Ini usaha sangat murni atas
dorongan rasa kemanusiaan yang melimpah dan sewajarnya boleh menjadi
pemangkin meredakan ketegangan politik antara DAP dan PAS. Malah ia
mampu meruntuhkan tembok perkauman setebal mana pun.
Sementara
itu, satu perkembangan lain yang juga sangat menarik ialah suasana
‘Kenduri Rakyat’ atas inisiatif PAS Kuala Kedah di mana di majlis itu
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai tetamu khas dan duduk
bersama YDP kawasan tersebut, Phahrolrazi Mohd Zawawi yang juga
Presiden PasMa. Beliau juga Adun Pengkalan Kundur.
Majlis itu
yang juga dihadiri pemimpin PAS Kedah memperlihatkan keharmonian dan
hubungan antara mereka, isyarat jelas tidak ada masalah untuk membina
hubungan antara PAS dan PasMa.
Pada pendapat saya, PasMa
bukanlah musuh PAS. Ia ditubuhkan hanya mahu memperkukuhkan Pakatan
Rakyat, iaitu untuk memastikan PAS terus bersama Pakatan Rakyat dan
juga memastikan keutuhannya.
Di peringkat akar umbi, nampaknya,
tidak ada masalah. Pendukung PAS dan PasMa dari akar yang sama,
mempunyai matlamat yang sama, maka tidak ada sebab untuk bermusuh.
Mereka sama-sama makan gulai kawah, nasi dagang dan gulai asam pedas,
malah boleh sama-sama bertakbir di majlis yang perlu bertakbir.
Adapun yang menjadi masalah ialah segelintir golongan fanatik, yang
penuh emosi, prejudis dan fikiran tidak terbuka di dalam PAS sendiri.
Golongan ini, saya kira, jumlahnya kecil saja di dalam PAS dan sudah
tentu ia bukan mainstream di dalam PAS.
Golongan minoriti ini
tidak dapat menerima hakikat berlainan pendapat, malah dengan mudah
saja memainkan isu wala’ (kesetiaan) kepada pemimpin. Maka berbeza
pendapat dianggap menentang pemimpin.
Jika menurut pemikiran
waras, wala’ itu bukan saja kepada jamaah. pemimpin utama dan tertentu,
tetapi juga kepada semua AJK PAS Pusat yang dipilih Muktamar Tahunan
PAS.
Malang sungguh jika isu wala’ disalahgunakan, nescaya ia
boleh memecahbelahkan jamaah kerana menimbulkan syak wasangka, malah
fitnah. Maka itu, berhati-hatilah apabila menurunkan ‘cop mohor wala’
dan tidak wala’ itu. Jangan sewenang-wenang membubuh label ini jika
mahu melihat peraduan di dalam jamaah PAS.
Berbeza pendapat
sudah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad dan tidak ada masalah, malah
Nabi Muhammad menerima pendapat yang berbeza dalam beberapa peristiwa
seperti yang dirakam dalam sirah Nabi. Inilah jiwa besar Baginda yang
sangat perlu dicontohi.
Ketakutan golongan tertentu di dalam
PAS untuk menerima perbezaan pendapat itu, walau apa hujah pun, adalah
daripada watak yang lemah, kurang membaca, kurang berfikir dan kurang
pemahaman terutama erti demokrasi dan pra-syarat dalam menangani
politik kontemporari.
Sementara itu, sesuatu yang
‘mengerikan’ apabila ada unsur pemikiran perkauman atau assabiyah
apabila tercetusnya isu Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Isu Cina ramai di bandar tidak timbul kerana orang Melayu sudah ramai
di bandar, berbeza dengan suasana zaman berlakunya 13 Mei 1969 dulu.
Keadaan sudah berubah sama sekali.
Malah masyarakat sivil,
khususnya generasi baru hari ini, sudah melupakan peristiwa hitam itu
dan. Kini sejarah 13 Mei itu hanya menjadi bahan akademik.
Masyarakat sivil dan generasi baru yang semakin ramai di bandar mahukan
pilihan raya – sama ada parlimen, negeri dan PBT – diadakan secara
telus dan adil.
Rakyat akan memilih calonnya yang terbaik,
peduli rakyat, amanah, jauh daripada rasuah dan penyelewengan, tanpa
mengira calon itu datang daripada kaum mana pun. Inilah asas yang
diperlukan oleh masyarakat madani.
Dari itu tidak wajar
persoalan calon pilihan raya, walau dalam apa peringkat pun, dilihat
dari sudut kaum. Justeru yang penting ialah kualiti calon itu dari mana
pun datangnya.
Boleh disimpulkan semua masalah dan isu yang
berbangkit boleh saja diselesaikan dengan harmoni. Syaratnya, pemimpin
dan ahli yang mendukung Pakatan Rakyat, berfikiran terbuka, bersikap
rasional dan mempunyai advanced thinking.
Dengan elemen itu,
Pakatan Rakyat boleh diperkukuh. Maka dengan peristiwa yang saya
sebutkan di atas tadi, antaranya – bantuan banjir dari DAP dan
PAS-PasMa – boleh menjadi pendorong utama ke arah itu.
Kemelut dalam Pakatan boleh selesai
Written By Unknown on Tuesday, 27 January 2015 | 23:55
Labels:
Pendapat
Post a Comment