Headlines News :

IKLAN B

Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Buntat ada daya ingatan kuat

KUALA LUMPUR: Ibu kanak-kanak berusia 12 tahun, Mohamad Arif Abdullah yang mencetus fenomena gara-gara watak Buntat lakonannya dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, bangga anaknya memiliki daya ingatan kuat.

Rosdiana Mastura Abdullah, 30, berkata biarpun berdepan masalah menyusun ayat dan sukar menuturkan kata-kata seperti kanak-kanak normal, Arif yang mengalami masalah disleksia, mempunyai daya ingatan kuat hingga mampu menghafal skrip.

"Ketika penggambaran tidak ada masalah, cuma jika ada siaran langsung, Arif agak kekok.
"Sebab itulah saya minta kalau boleh sebelum bersiaran, buat latihan dulu. Bila kita tengok dia main-main dan tak serius, kita ingat dia tak fokus. Jadi, buatkan kita risau. Sebaliknya, ingatan Arif sangat kuat dan dia hafal apa yang dibaca.

"Nampak macam dia tak serius, sebaliknya, bila pergi ke set, saya agak terkejut tengok dia boleh buat seperti apa yang diarahkan skrip," katanya.

Rosdiana berkata, dia terkejut apabila watak Buntat lakonan anaknya menjadi viral.

"Adegan kematian Buntat menjadi babak kedua trending selepas adegan Buntat datang ke Kuala Lumpur. Saya tak sangka babak kematian Buntat memberi kesan kepada penonton," katanya yang berbangga dengan pencapaian anaknya itu.

Rosdiana berkata, selepas ini, dia dan suami, Abdullah Kassim, 50, mahu mengatur jadual Arif dan memilih watak yang sesuai dilakonkannya.

"Ini kerana saya tidak mahu dia melakonkan watak sama. Watak dalam filem Jibam dan Buntat mempunyai persamaan, cuma berbeza daripada aspek percakapan," katanya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Rosdiana berkata, anaknya sudah mendapat tawaran berlakon sebuah lagi filem.

"Bagaimanapun, kita akan tengok kesesuaian watak yang perlu dilakonkan dalam filem terbabit," katanya.

Ketika ditemui, Arif tidak kekok malah sentiasa mengukir senyuman biarpun hanya melontarkan sepatah demi sepatah perkataan setiap kali soalan diajukan.

Namun, Arif mesra dengan siapa saja yang mahu bergambar dengannya.










Tindakan Awie Tuduh Rozana Lakukan Perbuatan Khurafat Makan Diri

KUALA LUMPUR: Rozana Misbun berkata, tindakan Awie menuduhnya melakukan amalan khurafat dan syirik yang bertentangan dengan perintah Allah adalah perbuatan terdesak bertujuan mengaibkan isteri sendiri.

Rozana, 37, berkata, tuduhan Awie melalui peguamnya di mahkamah dilakukan tanpa menyertakan bukti yang akhirnya memakan diri sendiri.

"Kenapa hanya selepas saya keluar dari rumah kami baru dia nak kata terjumpa macam-macam? Kenapa selama ini dia tidak dedahkan perkara itu?
"Bagi saya tindakan dia memburuk-burukkan saya dengan cara itu adalah tindakan terdesak," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah Tinggi Syariah di sini Rabu.


Gambar kenangan Awie, Rozana dan anak-anak mereka.

Terdahulu Rozana berjaya mengenepikan perintah sebelah pihak (ex-parte) hak jagaan sementara terhadap tiga anak mereka yang sebelum itu diserahkan kepada Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47.

Tiga anak hasil perkahwinan mereka itu ialah Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd Amran Mohd Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Awie turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000

Pada sesi penghujahan yang berlangsung pada Selasa lalu, peguam syarie yang mewakili Awie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu mahkamah, anak guamnya mempunyai bukti kukuh bahawa Rozana seorang pengamal perkara syirik, khurafat dan tahyul dengan penemuan beberapa barang di rumah kelamin mereka di Ukay Bestari, Ukay Perdana Ampang dekat sini.

Barang-barang berkenaan seperti darah, rambut dan tulang yang diletakkan di dalam botol kecil selain patung kemaluan lelaki diperbuat daripada emas tulen dan patung logam Buddha.

Dalam pada itu, Rozana berkata, dia tidak terkesan dengan tuduhan tidak berasas itu itu kerana akhirnya kebenaran akan menceritakan segala-galanya.

Malah kata Rozana, keputusan yang dibuat mahkamah terhadap kes berkenaan turut membuktikan alasan dikemukakan oleh Awie tidak munasabah.

"Saya tidak hidup dipuji mahupun mati kerana dikeji jadi biarlah apa juga yang ingin dikatakannya tentang saya.

"Sejak awal lagi dia memang berniat untuk mengaibkan saya, jadi biarkanlah," jelasnya.

Awie ketika hadir ke Mahkamah Majistret Ampang pada Rabu bagi perbicaraan kes pukulnya terhadap Rozana. Foto: Utusan Malaysia.

Sementara itu, Rozana berkata, dengan keputusan mahkamah tersebut dia akan berusaha untuk berjumpa anak-anaknya selepas ini.

Dia juga akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut  berhubung isu status sijil perkahwinan dan anak-anaknya.

"Sebelum ini saya tidak berjumpa anak-anak kerana lawatan perlu dilakukan di rumahnya selain talian telefon anak telah dimansuhkan.

"Dengan keputusan ini saya harap tiada lagi alasan untuk saya bertemu mereka dengan cara yang saya tentukan," ujarnya.

Awie dan Rozana, 36, dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.

Awie sebelum ini pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira pada Disember 1998 sebelum bercerai pada Oktober 2006.

Hasil perkahwinan pertamanya, Awie mendapat dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.

"Percintaan Kami Pulih, Jangan Besarkan Lagi" - Zizan Razak

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak mengesahkan percintaannya dengan aktres Emma Maembong sudah kembali pulih selepas dilaporkan putus pada awal bulan lalu.

Namun, Zizan atau nama sebenarnya Razizan Abdul Razak, 31, berkata, dia enggan berkongsi lanjut perkara itu kerana bimbang ia boleh mengeruhkan keadaan.

"Saya tidak mahu kongsi tentang perkara itu kerana bagi saya ia sudah selesai, kami sudah kembali bersama dan ia tidak perlu diperbesarkan lagi.

"Saya hanya harap yang terbaik dan minta semua peminat mendoakan kami. Sekarang masa saya untuk beri perhatian kepada kerjaya," ujarnya kepada mStar Online.

Zizan ditemui selepas pelancaran program Projek Ceria di Wad Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya adakah isu saman melibatkan dia dan bekas pengurus membabitkan tuntutan melebihi RM500,000 mempengaruhi percintaannya, Zizan memberitahu tidak mencampurkan urusan peribadi dan kerjaya.


mStar Default Image
Konflik hubungan Emma Maembong dan Zizan Razak masih menjadi tanda tanya.

Dia mengakui, biarpun kadang-kala berasa tertekan, namun dia perlu mengawal keadaan itu agar sentiasa kelihatan ceria di hadapan orang ramai.

"Kadang kala tertekan juga tetapi saya tidak boleh tunjukan perasaan itu kepada orang ramai yang mahu melihat saya gembira.

"Saya tidak boleh campurkan urusan peribadi dengan kerjaya," ujarnya.

Sementara itu, mengenai Projek Ceria, Zizan merupakan salah seorang selebriti terpilih untuk menunaikan impian kanak-kanak yang ingin bertemu dengannya.

Dalam program lima episod itu, Zizan bakal membuat kejutan dengan hadir ke rumah dua orang kanak-kanak yang menghidapi penyakit kronik.

"Ketika dipelawa untuk terlibat dengan program ini saya sangat berbesar hati kerana saya dapat membuat mereka tersenyum walaupun dalam keadaan mereka sakit.

"Sedikit sebanyak rasa gembira itu mengurangkan dan menjadi penawar penyakit mereka," ujarnya.

Tambah Zizan, dia sering melakukan aktiviti ini bukan sahaja melalui program sebaliknya datang sendiri menziarahi kanak-kanak kurang bernasib baik.

Dia juga pernah ditahan kerana disyaki melakukan penggambaran tanpa kebenaran pihak hospital sedangkan kunjungannya adalah untuk melawat mereka.

"Bukan untuk program ini sahaja tetapi saya sering datang sendiri melawat mereka di hospital.

"Ada satu ketika saya ditahan dan dihalang masuk kerana mereka fikir saya ingin mengadakan pengambaran tanpa memberitahu pihak hospital terlebih dahulu," ujarnya.

Program Projek Ceria akan mula disiarkan setiap hari Jumaat, pukul 7 malam bermula 30 Januari ini menerusi saluran Astro Ceria (611).

Antara artis yang turut terlibat ialah Datuk Aznil Nawawi, Hafiz Suip, Lisa Surihani dan Shahrol (Shiro).

Puteri Balqis Enggan Ke Sekolah Kerana Dibuli Rakan

PETALING JAYA: Pelakon cilik Puteri Balqis tidak pernah terbuka hati untuk belajar di sekolah seperti kanak-kanak lain berikutan mempunyai pengalaman dibuli rakan.

Balqis atau nama sebenranya, Puteri Balqis Azizi, 8, berkata, dia lebih selesa untuk belajar bersendirian di rumah kerana beranggapan ia lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru persendiriannya.

"Aqish (nama manjanya) lebih selesa belajar di rumah sahaja kerana kalau di sekolah Aqish rasa tersiksa bila kawan-kawan mempermainkan Aqish. Sampai bila-bila pun Aqish mahu belajar di rumah sahaja. Kalau tentang pelajaran berkaitan agama seperti mengaji Al-Quran, ibu Aqish yang ajar," ujar kepada mStar Online.

Menurut Puteri Balqis, dia sudah mula belajar secara persendirian dari rumah sejak berusia tiga tahun lagi dan pengalaman dibuli yang itu dilalunya semasa di perigkat Tadika.

Dalam pada itu, walaupun kurang mempunyai rakan-rakan seusianya, Puteri Balqis menjelaskan kehidupannya tidak pernah berasa sunyi.

Katanya, jadual kerja sebagai pelakon membataskan dia untuk bergaul dan bermain seperti kanak-kanak lain.

"Aqish memang tidak ada kawan-kawan rapat tapi Aqish ada kawan-kawan sekeliling. Kalau Aqish pergi ikut ayah dan ibu berniaga Aqish ada kawan di sana.

"Aqish tidak pernah rasa sunyi kerana Aqish seorang yang mudah berkawan dengan sesiapa sahaja," katanya.

Sementara itu ditanya tentang perasaanya ketika berhadapan dengan berita-berita negatif sepanjang bergelar artis, Puteri Balqis memberitahu dia kini banyak belajar untuk menjadi seorang yang penyabar.

Dia juga akan membaca dan mengetahui berita tersebut terlebih dahulu sebelum ibu bapanya.

"Dulu awal-awal kalau baca berita negatif Aqish akan cepat emosi dan menangis. Tetapi sekarang bila baca Aqish akan tanya pada ibu tentang kesahihanya.

"Tetapi kalau tentang perkara itu melibatkan ibu-bapa, Aqish tidak boleh terima dan akan menangis," katanya.

"Anak Saya Tak Pernah Ke Kelab Malam" - Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Rozita Che Wan kecewa apabila dipersalahkan dan dituduh tidak pandai menjaga anak gara-gara kenyataan suaminya Zain Saidin yang mengizinkan anak pelakon wanita itu iaitu Ammar Effendy, 18, keluar ke kelab malam di sebuah laman blog.

Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 41, berkata, kenyataan tersebut telah dimanipulasi sehingga memperlihatkan dirinya sebagai gagal memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.
"Saya marah apabila orang menuduh dan salahkan saya tidak pandai jaga anak, padahal mereka tidak tahu susah senang saya sebagai ibu tunggal membesarkan anak-anak sendiri.

"Saya sudah beri didikan yang sebaik mungkin hingga dia berjaya mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan menjadi pelajar terbaik di sekolah," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Rozita berkata demikian ketika diminta mengulas luahan rasa kecewanya yang dimuat naik di laman sosial Instagram pada Ahad lalu tentang tanggapan segelintir masyarakat terhadapnya.

Dia juga kecewa apabila ada pihak membandingkan anaknya dengan seorang remaja Ahmad Ammar yang mati syahid di Turki akhir tahun lalu.

Tegas Rozita, sebagai ibu kandung sudah tentu dia lebih mengetahui apa yang dilakukan oleh anak-anaknya berbanding suaminya  yang juga bapa tiri kepada anak lelakinya itu.

"Mereka sepatutnya tanya saya kerana saya ibu dia jadi saya lebih tahu kemana anak-anak saya pergi. Namun itu tidak bermakna dia tidak mengambil tahu dan peduli tentang mereka," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang isu membenarkan anak ke kelab malam, Rozita sekali lagi menyangkal dakwaan tersebut, malah anak sulungnya itu tidak pernah pergi ke pusat-pusat hiburan tersebut.

"Anak saya Ammar Effendy tidak pernah ke kelab malam, tentang keizinan itu memang dia sentiasa meminta izin untuk keluar termasuk pada waktu malam, itu pun kalau dia ingin lepak dan jumpa kawan-kawannya sahaja.

"Cuma selepas dia minta izin saya sudah tidak boleh pantau lagi dia pergi mana, namun saya harap kebebasan yang saya beri tidak disalahgunakan," ujarnya. Selain Ammar Effendy, Rozita turut mempunyai  seorang lagi anak lelaki hasil perkahwinannya terdahulu iaitu Aniq Ezzra, 16.

Emma Maembong Berpurdah Bukan Mahu Elak Diserbu

PETALING JAYA: Pelakon Emma Maembong berkata dia memakai purdah pada masa-masa tertentu mengikut keselesaannya pada ketika itu.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 22, bagaimanapun nafi berimej seperti itu di khalayak kerana mahu mengelak daripada diserbu peminat-peminatnya.

"Memang ada masanya saya berpurdah. Saja seronok nak cuba dan ia terpulang pada mood ketika itu.

"Saya tahu ada yang kata saya berpurdah kerana mahu elak daripada dikenali peminat. Taklah, mana ada. Memandangkan saya baru sahaja bertudung, jadi saya seronok mencuba pelbagai fesyen tudung untuk melihat kesesuaian," katanya kepada mStar Online.

Emma berkata demikian bagi mengulas dia kerap kelihatan berpurdah di tempat awam baru-baru ini.

Selain itu dia turut memuat naik beberapa keping gambar berpurdah ketika berada di kawasan umum di Instagram.



Emma Maembong mengakui berpurdah pada masa-masa tertentu.

Sementara itu, tambah Emma, walaupun dia berpurdah, ada juga beberapa peminat masih mengenalinya dan ingin bergambar bersama.

"Terkejut juga peminat datang menyapa 'Emma Maembong kan? Nak ambil gambar boleh?'. Kata mereka, saya boleh dikenali menerusi mata sahaja walaupun berpurdah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Emma baru sahaja muncul menerusi drama Astana Cinta Aleesa menerusi saluan TV9 setiap Selasa dan Rabu pukul 8.30 malam.

Selain itu, Emma turut sibuk menjalani beberapa penggambaran drama lain.

Kata kekasih pelawak Zizan Razak itu, dia bersyukur, walaupun sudah bertudung sejak dua bulan lalu, dia masih lagi menerima tawaran lakonan seperti biasa.

"Selama ini saya fikir, jika bertudung, rezeki lakonan mungkin akan terbatas, tetapi Alhamdullilah, saya masih lagi mendapat pelbagai tawaran lakonan. Semoga rezeki lakonan ini berkekalan InsyaAllah.

"Dalam pada itu, perniagaan tudung saya iaitu Hijab by Emma Maembong turut mendapat sambutan. Ada juga merancang untuk perluaskan lagi perniagaan, tengok dulu macam mana," tuturnya.

"Saya Tidak Pernah Cakap Nak Bersara" - Syamsul Yusof

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Syamsul Yusof menafikan dia mahu bersara daripada terus menghasilkan filem baharu gara-gara karya arahannya iaitu KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum ia ditayangkan pada Oktober tahun lalu.

Syamsul, 30, berkata, sepanjang dia berdiam diri hampir setahun, lalu dia tidak pernah memberikan sebarang kenyataan untuk berbuat demikian dan ia cuma andaian sesetengah pihak.

"Saya sebenarnya agak keliru apabila saya dikatakan merajuk dan enggan lagi menjadi pengarah kerana saya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.


Syamsul kembali bersemangat untuk meneruskan kariernya sebagai pelakon dan pengarah.

"Itu hanya presepsi orang lain dan bukannya datang daripada mulut saya sendiri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Menjelaskan lebih lanjut sikapnya yang mengambil langkah berdiam diri sebelum ini, Syamsul berkata, dia memerlukan waktu untuk memulihkan semangatnya ekoran kejadian itu kerana ia bukan isu ringan untuk terus dilupakan begitu sahaja.

Bagaimanapun kata Syamsul, sokongan dan dorongan daripada isteri iaitu Puteri Sarah Liyana selain kedua ibu bapanya banyak membantu untuk dia bangkit semula memperjuangkan cintanya terhadap dunia perfileman.

Dalam pada itu, Syamsul berkata, selepas sambutan Hari Raya Aidiladha, dia bakal kembali ke set penggambaran sebagai pengarah filem Munafik dan Tailong yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

Tambahnya lagi, sebelum kembali mengarah dia bakal membintangi sebuah filem arahan adiknya sendiri, Syafiq Yusof dan mengakui teruja untuk bekerjasama dengan pengarah muda itu.

"Alhamdulillah jadual saya kembali padat dengan pelbagai aktiviti lakonan dan pengarahan. Paling saya teruja adalah untuk berlakon dibawah arahan adik saya sendiri.

Syamsul bakal kembali mengarahkan dua filem terbaharunya. 


"Harapan saya semua peminat dan penyokong filem tempatan mendoakan saya dalam hasrat ingin memajukan industri perfileman pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Syamsul yang bakal muncul dalam Gerak Khas musim terbaharu berkata, dia mempunyai misi tersendiri dalam membawa siri popular itu ke tahap lebih tinggi agar lebih segar dan terkini.

Jelasnya lagi, selain berlakon dia juga bertindak sebagai pengarah bersama drama itu dan berjanji akan meneruskan legasi siri itu yang sudah bertahan selama 13 tahun.

"Sebelum ini sudah banyak kali bapa minta saya berlakon dalam Gerak Khas namun pada masa itu saya sibuk dengan perkara lain selain tidak yakin mampu membawakan watak sebagai anggota polis dengan baik.

"Alhamdulillah akhirnya dapat saya bekerjasama dengan bapa saya dalam drama bersiri itu dan kebetulan pula saya menyertai keluarga Gerak Khas pada usia 30 tahun sama seperti bapa saya dahulu," ujarnya.

Jelas Syamsul lagi, selepas menjalani penggambaran beberapa episod musim terbaharu siri itu, dia semakin selesa memegang watak sebagai Superitendan Jefri.

Dalam perkembangan lain, Syamsul berkata, dia dan Puteri Sarah kini berjinak-jinak dalam dunia fesyen dengan mengeluarkan label mereka sendiri iaitu Shara yang mengkususkan kepada pakaian jenis Abaya.

Jelas Syamsul, mereka berdua turut mereka sendiri pakaian berkenaan dan telah pun mengeluarkan enam rekaan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

"Alhamdulillah kami berdua dapat bekerjasama untuk mengeluarkan jenama pakaian kami sendiri dan seronok dapat sama-sama mengeluarkan idea dan rekaan untuk Shara.

"Setakat ini peminat yang ingin mendapatkan Abaya keluaran kami boleh buka Instagram dan Twitter kami untuk melihat rekaan dan membuat tempahan," katanya.

Tambah Syamsul, perancangan jangka panjang dia dan isterinya akan mengeluarkan Abaya untuk lelaki dengan rekaan yang lebih dinamik dan pelbagai.

Kenaikan Harga Minyak 'Bakar' Semangat Fizo Omar

PETALING JAYA:Pelakon Fizo Omar menjelaskan, beliau berpandangan positif terhadap isu kenaikan harga minyak kerana menyifatkan berita itu sebagai pembakar semangat untuk lebih berusaha bagi menambah pendapatan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 29 turut mengakui, tiada niatnya untuk menyokong mana-mana pihak atas kepentingan tertentu.

Malahan, katanya, pandangan itu untuk menaikkan semangat bukan sahaja dirinya, tetapi juga pembaca untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup.

"Kenaikan harga minyak bukan berita baik tetapi saya terpaksa berpandangan positif untuk menaikkan semangat saya sendiri, namun ia bukan bermakna saya menyokong mana-mana pihak.

"Sebagai rakyat yang turut terjejas, seharusnya kita mencari jalan bagi meningkatkan usaha dalam menambah pendapatan kerana kita tetap perlu harungi kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat," ujarnya ketika menghubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Fizo berkata demikian bagi mengulas pandangan pengikut-pengikutnya di Instagram yang tidak berpuas hati terhadap statusnya sebelum ini yang menyokong isu kenaikan harga minyak.

Rata-rata pengikutnya menganggap kenyataan pelakon itu sebagai mementingkan diri sendiri kerana tidak melihat kesan isu tersebut kepada golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Fizo berkata, sebagai golongan yang berpendapatan sederhana yang turut menjalankan perniagaan, dia juga turut terjejas dengan kenaikan tersebut.

"Sebagai orang yang berniaga saya lebih terjejas kerana terpaksa fikir tentang produk, pekerja dan berbagai perkara yang terpaksa meningkat kesan kenaikan ini.

"Namun jika saya berfikiran negetif dan mengeluarkan status yang bukan-bukan ianya tidak akan mengubah keputusan terhadap kenaikan minyak ini. Pada saya lebih baik kita fokus dan fikir bagaimana untuk menambah pendapatan," ujarnya.
 

IKLAN C

IKLAN D

Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat