Headlines News :
Home » » Barangan tidak bermutu banjiri pasaran

Barangan tidak bermutu banjiri pasaran

Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 10:44

Oleh SM MOHAMED IDRIS 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati barangan tidak bermutu termasuk kunci, peralatan menulis, beg sekolah, jam, barangan elektrik, kasut, dan alat permainan menbanjiri pasaran ketika tinjauan ke pasaran dilakukan baru-baru ini.

Sesetengah barangan ini berharga serendah RM2, harganya adalah sebahagian kecil daripada produk sama dengan kualiti yang lebih baik tetapi kelihatan popular dalam kalangan pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah.

CAP berpendapat adalah sama ada produk ini memenuhi keperluan keselamatan produk kerana tiada gunanya harga yang murah jika ia tidak selamat untuk penggunaan pengguna.

Produk ini yang kebanyakannya berasal dari China dan Thailand dijual di tempat-tempat seperti pasar raya, pasar mini, pasar lambak, pasar malam, kedai tertentu di pusat beli-belah, dan kedai perkakasan.

Tinjauan kami menunjukkan produk import ini sering dilabelkan dalam bahasa asing dan tidak di dalam Bahasa Melayu.

Persoalannya ialah sama ada produk ini selamat digunakan dan bermutu baik. Pengguna sering mengadu walaupun produk ini murah, ia jarang bertahan untuk selama sebulan penggunaannya. Bahagian plastiknya mudah pecah dan meninggalkan bahagian tepi bergerigi yang membahayakan atau jika ia alat permainan, bahagian kecilnya boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik jika mutunya buruk.

Pengguna yang mendapatkan barangan murah akan berakhir dengan berbelanja lebih banyak apabila mereka membeli barangan gantian bagi barangan yang rosak atau pecah. Lebih-lebih lagi, produk murah ini tidak terjamin mutunya dan dengan itu tidak dapat dipulangkan selepas dijual.

Di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 fasal 32 (1) dan fasal 32 (2) (a), barangan yang dibekalkan kepada pengguna seharusnya merupakan jaminan bahawa barangan itu adalah bermutu, bebas daripada kecacatan, selamat dan tahan lama.

CAP hairan bagaimana produk berkualiti buruk seperti itu boleh membanjiri pasaran, terutama sekali barangan elektrik yang sepatutnya diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga dan SIRIM sebelum ia boleh dipertimbangkan untuk diimport. Jelas sistem semasa tidak berfungsi; tidak hanya tidak mempunyai pelekat ‘SIRIM’, malah ia berjaya melepasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang sepatutnya tidak membenarkan sebarang barangan elektrik diimport tanpa kelulusan SIRIM.

Sering dipamerkan di kedai bahawa “Barangan yang dijual tidak boleh dipulangkan”. Ini bertentangan dengan Seksyen 42 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memerlukan pembekal untuk “menyediakan bayaran balik bagi setiap wang yang dibayar” jika “pembekal tidak dapat memperbaiki atau menggantikan barangan”. Pengguna dipastikan barangan “bermutu” dan “layak bagi tujuan tertentu” dalam Seksyen 32 dan 33 Akta itu.

Oleh sebab itu, CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk campur tangan dan menguatkuasakan Akta itu dengan segera kerana penjualan produk bermutu rendah walaupun murah amat berleluasa dan mungkin mendedahkan ancaman kepada kesihatan dan keselamatan pengguna. Ia juga menjadikan Malaysia tempat longgokan barangan yang tidak bermutu.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat