Oleh SHAMSURI RAHMAN
TAHNIAH kepada Proton kerana pelancaran model
terbarunya, Iriz. Kehadiran model ini membangkitkan semula semangat
pengeluar kereta nasional ini selepas lama sepi tanpa sebarang produk
baru yang benar-benar selari dengan perkembangan dunia automotif.
Saya
baru-baru ini berkesempatan berkunjung ke bilik pameran untuk melihat
sendiri model terbaru ini. Secara umumnya sebagai rakyat Malaysia
tentunya saya bangga dengan proton. Saya pernah memiliki beberapa model
proton dan menggunakannya sejak 1996 hingga 2013.
Namun pada
tahun 2007 saya mula membeli kereta dari Korea di samping masih
menggunakan proton. Saya tidak pernah memiliki jenama lain cuma banyak
kali berkesempatan memandu sahaja seperti produk Nissan, Perodua,
Volkswagen, Suzuki, dan Toyota.
Bermula tahun 2014, saya tidak lagi memiliki produk proton tetapi banyak kali memandu milik saudara-mara.
Secara
perbandingan, saya mendapati proton masih lagi ketinggalan dalam banyak
aspek berbanding pengeluar yang besar seperti dari Jepun. Jika
dibanding dengan produk korea pun proton masih ketinggalan.
Oleh
itu, saya mencadangkan agar proton mengambil kira beberapa aspek untuk
dipertingkatkan agar boleh bersaing khususnya di luar negara.
Pengguna
hari ini semakin bijak apabila turut mengambil kira mutu produk dengan
nilai wang yang dibelanjakan. Mereka juga memperoleh maklumat dari
serata dunia dan membuat perbandingan produk proton dengan produk luar.
Pengguna tidak akan bertolak ansur membeli sebuah kereta yang rendah mutunya dan mahal harganya secara relatif.
Pengguna
juga tahu bahawa harga kereta yang diimport sebenarnya lebih murah
berbanding proton – dan menjadi mahal kerana dikenakan cukai. Bagi
pengguna yang agak mampu, mereka lebih rela membeli kereta import kerana
tidak mahu pening kepala dengan masalah remeh seperti masalah cermin
pintu!
Mutu kereta yang dipasarkan di dalam negara mestilah sama
tinggi mutunya dengan kereta eksport. Barulah rakyat berasa bangga
dengan kereta nasional mereka.
Suatu masa dahulu, ketika mahu
membeli kereta, saya ditanya sama ada mahu membeli spesifikasi tempatan
atau eksport. Yang eksport lebih tinggi mutunya – terkedu dibuatnya.
Selain
itu, reka bentuk yang menawan juga menjadi aspek pemilihan sesuatu
produk. Syarikat automatif korea sanggup berbelanja besar untuk mendapat
khidmat seperti Peter Schreyer bagi mereka bentuk semula semua produk.
Terbukti, pelaburan mereka mendatangkan keuntungan yang lumayan.
Oleh
sebab harga minyak yang lebih kerap naik daripada turun (dalam konteks
Malaysia), saya mengesyorkan agar proton menjalankan kajian dan
pembangunan kereta hybrid secara intensif. Jika diusahakan sekarang,
mungkin dalam tempoh 10 ke 20 tahun lagi Malaysia menjadi pengeluar
kereta Hybrid yang murah dan bermutu tinggi di dunia.
Saya
mengambilkira sikap acuh tidak acuh kita dalam hal ini. Pada tahun 1989,
saya melihat demontrasi oleh Zul Design bagaimana sesebuah kereta itu
boleh dihidupkan dari luar dan menggerakkannya melalui kunci pintar.
Kereta yang dijadikan bahan demontrasi itu ialah model Proton Knight.
Jika
proton membuka matanya kepada pereka tempatan seperti Zul, saya pasti
sebelum tahun 2000 lagi semua produk proton telahpun menggunakan kunci
pintar.
Saya berharap kemunculan Iriz menjadi permula kepada
kebangkitan semula proton. Jadilah jaguh kampung dahulu kemudian
kepercayaan luar akan datang dengan sendirinya.
Home »
Surat Pembaca
» Cadangan untuk Proton
Cadangan untuk Proton
Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:23
Labels:
Surat Pembaca
Post a Comment