Oleh Mohd Sayuti Omar
Dewan Ulamak Pas telah mengadakan Multaqa Ulamak se-Malaysia II, semacam persidanganlah,
sehari suntuk di Serdang Selangor hari ini (21/2/2014). Persidangan
itu katanya disertai kalangan ulama dan agamawan, yang mendominasinya
dewan ulama dalam Pas.
Saya tidak mengikut keseluruhan isi
serta hasil dicapai dalam Multaqa berkenaan. Saya hanya membaca laporan
dalam protal berita mengenai ucaptama berserta beberapa resolusi dan
butiran perbincangan (perbahasan) di sekitar Multaqa tersebut. Boleh
tahan juga lidah para ulama apabila bersuara, ia persis seperti "lawi
ayam" berkarat.
Yang jelasnya Multaqa itu bukan
membincangkan atau membuat ijtihad mengenai hukum hakam (syariah) yang
kabur sebelum ini dan masih "berjibuh" dalam pemikiran ummah, atau pun
mencari solusi bagi menyelesaikan berbagai masalah ummah yang kian
bercelaru dan hiru biru muasir ini disebabkan disodor pelbagai isme dan
pemikiran.
Isu-isu berkaitan ekonomi, politik, pendidikan,
budaya, bangsa dan sebagainya yang boleh melemahkan agama masih banyak
bergeliwat di sekeliling kita, tetapi sayang ia tidak menjadi tumpuan
atau dimasukan dalam rangka perbahasan dalam Multaqa berkenaan.
Sebaliknya Multaqa itu lebih kepada forum satu pihak dalam Pas untuk
"mengetik" dan "mengekah" satu pihak lain dalam parti itu. Sedar atau
tidak berlaku penyalahgunaan ruang dan forum di sini, dan juga perogolan
terhadap istilah-istilah Arab yang kelihatan berunsurkan agama, tetapi
dibelangi dengan elemen politik jalang. Justeru jadilah Multaqa itu
sebuah halaqah kosong yang merugikan masa dan ia sebuah muzakarah
sempit.
Lebih malanglah majlis itu satu himpunan untuk
memadukan suara yang retak agar Presiden parti itu dihormati sampai ke
langit. Saranan pengagungan (kultus) kepada sesama manusia atau semacam
memuja busut jantan telah dilakukan dalam Multaqa itu. Ada acara
hendak mengkeramatkan busut jantan dalam Pas ke belakangan ini.
Betapa tidak Multaqa itu membuat ketetapan supaya Pas mengambil
tindakan kepada mana-mana ahli dan pemimpinnya yang terlibat dengan
Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia (PasMa). Cadangan ini dibuat oleh
Pemangku Ketua Dewan Ulamak, Ahmad Yaakub yang juga MB Kelantan.
Tidak cukup itu, beliau juga mencadangkan agar ketetapan diambil
terhadap pelanggaran ketetapan MSU dan keputusan-keputusan dibuat
Presiden secara peribadi sebagai kesalahan mandatori mengikut
perlembagaan Pas. Pas juga nampaknya hendak wujudkan Akta Hasutan
dalam parti agama itu. Kedua-dua cadangan Ahmad itu yang disarankan
dalam ucaptamanya kemudian menjadi resolusi kepada Multaqa berkenaan dan
diterima sebulat suara.
Apabila dicadangkan ahli Pas yang
mengkritik presiden dipecat, memberi gambaran seolah-olah dosa besar
kepada mereka yang mengkritik presiden. Dalam kepala Ahmad Yaakub
presiden tidak boleh dikritik dan secara tidak langsung beliau
meletakkan presiden sebagai "lembu suci" dan tiada terkhilaf dalam
aktiviti politiknya. Atau pun Ahmad sudah begitu "semabul" melihat
segala tindakan Abdul Hadi itu sebagai satu sunnah yang perlu diikuti
tanpa ada batas kerana ia dijelmakan menerusi wahyu?
Tidak
sangka peluang Ahmad memangku Ketua Dewan Ulamak telah memberi
kesempatan kepadanya untuk menaikkan darjat dan martabat seorang
presiden sebuah parti politik setiggi itu. Apakah Abdul Hadi sudah
memberi jasa besar buatnya dan tindakan beliau itu sebagai membalas
jasa? Ini kena disiasat sebab sebelum ini ada terdengar
maklumat-maklumat berbau demikian, bahawa penggantian Nik Aziz sebagai
MB dibuat secara persekongkolan.
Atau pun juga apakah mesej
beliau berbuat begitu agar kedudukan beliau sebagai MB Kelantan juga
haram dikritik? Ada kemungkinan sebab belum sampai lima tahun mentadbir
Kelantan sudah berbakul-bakul kritikan dilempar kepadanya. Dalam diam
MB ini juga alergik dengan kritikan.
Paling ketara sekali
kelemahannya menguruskan bah emas (banjir) yang melanda Kelantan
baru-baru. Kelemahan Ahmad ini kalau mengikut Adun Kok Lanas, Alwi Che
Amat diperkatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Najib Razak. Dalam satu
taklimat banjir menurut Alwi, Najib merunggut dan kesal atas
"kebodohan" Ahmad Yaakub dalam menangani masalah banjir. Najib
merunggut selepas mendengar taklimat daripada Ahmad sebagai MB.
"Saya tidak sangka MB Kelantan begitu sekali "mamainya", begitulah kata
Najib beritahu Alwi. Mamai yang membawa maksud tidak tahu apa benda.
Dalam bahasa bombastiknya "bodoh".
Ucaptama Ahmad Yaakub itu
diulas oleh timbalannya Mohd Amar Nik Abdullah. Mohd Amar memberi
penekanan dan peringatan bahawa Putrajaya bukan matlamat Pas. Pas
mahukan kemenangan yang diredha. Ertinya kalau Pakatan Rakyat
memperolehi Putrajaya tetapi ia tidak mendapat keredhaan Allah, maka
itu tidak penting bagi Pas.
"Pas tidak seperti parti politik
lain seperti PKR, DAP dan Umno. Pas merupakan gerakan Islam yang
mempunyai matlamat lebih tinggi dan lebih mulia, iaitu keredhaan Allah.
(Aduh sombong dan penuh retorikanya Nik Amar).
"Itulah
perbezaan jelas Pas antara parti politik lain. Kita mahu menang tapi
biarlah kemenangan itu diredhai Allah," tegas Nik Amar seperti mana
dilapor. Nik Amar seakan mahu pandangannya itu menjadi satu "dogma"
kepada ahli-ahli Pas. Maksudnya kalau Pas gagal untuk menguasai
Malaysia, menjadi kerajaan, tidak menjadi kesalahan dan kerugian kerana
perjuangan Pas ialah mengharap keredhaan Allah.
Sayang Mohd
Amar tidak menyebut apakah kemenangan BN (Umno) selama ini tidak
mendapat keredhaan Allah dan desas desus yang Pas Kelantan tergila dan
pelahap hendak berbaik dengan Umno itu sebagai satu keredhaan Allah?
Sekiranya kemenangan BN (Umno) tidak mendapat keredhaan Allah bererti
semua rakyat Malaysia kini termasuk Nik Amar sendiri berada dalam
kekufuran?
Selain dari resolusi itu, sehari sebelum berlangsung
Multaqa itu, Presiden Pas Abdul Hadi Awang telah menghuraikan mengenai
ba'iah dan wala' dalam perjuangan menerusi klik video yang dimuat
turunkan dalam Facebooknya.
Kata Abdul Hadi, apabila
menyebut tentang bai'ah ia berkaitan dengan janji kepada perjuangan
Islam yang pernah dilakukan Rasul bagi mengukuhkan seseorang ahli
jemaahnya dan kesetiaanya.
Apa yang terpenting dalam bai'ah itu
menurutnya memelihara yang tersirat dalam hati, keimanan dan
keikhlasan kepada Allah dan perjuangan menegakkan Islam.
Mesej
yang hendak disampaikan oleh Abdul Hadi itu ialah agar ahli Pas
istiqamah berpegang kepada bai'ah, janji untuk berjuang bersama Pas
serta mentaati pemimpin itu. Ia adalah mesej sebagai memberi iktibar
kepada perkembangan yang berlaku dalam Pas kini yang ada hubung kait
dengan kritikan diterimanya.
Kerana klik video itu dibuat awal,
tujuannya adalah memberi isyarat kepada para hadirin Multaqa itu agar
memfokuskan dan memberi perhatian kepada soal bai'ah dan wala.
Ini dibuat mungkin kerana beliau merasakan kepimpinannya kini sedang
diperkatakan umum dalam Pas terutamanya mengenai kemampuannya memimpin
Pas. Integritinya sebagai presiden sebuah parti agama yang mendapat
sanjungan ramai dua tiga tahun lalu, kini sudah terjejas apabila beliau
bersikap "kluk klik"... macam ikan keli dalam besen. Bukan sahaja tidak
istiqamah dengan keputusan diambil bersama tetapi berdolak dalih
dengan keputusan yang dibuat. Abdul Hadi mempunyai air liur seperti
pelangi.
Dan mesej diberikan Abdul Hadi itu seakan disambut
apabila Ahmad Yaakub menekankan kepada soal wala' kepada pemimpin
sehingga mencadangkan agar mereka (PasMa) yang mempertikaikan Abdul
Hadi dipecat daripada Pas. Cadangan Ahmad itu disambut pula oleh
golongan "IS" di dalam Pas yang bersiap sedia melakukan perang terbuka
dalam Pas termasuk membakar.
Apa yang berlaku dalam Multaqa itu
serta resolusi yang diambil seperti melancarkan perang kepada PasMa
satu tindakan yang tidak bijak, jauh sekali bersikap "rangsang
politik." Ia lebih kepada membuka medan perang sesama sendiri dalam
Pas. Multaqa seperti itu yang dikayuh secara emosional boleh memecah
belahkan Pas serta menimbulkan keadaan skeptikal sesama sendiri.
Sebagai majlis dianggotai oleh orang merasakan mereka ulama dan
agamawan, berkopiah tebal dan serban panjang, janggut secekak,
seharusnya mencari jalan murni bagi mengheningkan keadaan dalam Pas
kini. Pas tidak seharusnya bergomol dengan PasMa, atau mana-mana
individu yang vokal dalam Pas (menegur untuk kebaikan secara
profesional) sebaliknya menerima PasMa dan mereka sebagai rakan proaktif
dalam menampung Pas menuju ke Putrajaya atau mencapai keredhaan Allah.
Daripada apa yang berlaku dan terpamer, tidak boleh dinafikan Multaqa
itu membawa agenda politik tertentu khasnya dalam kalangan mereka yang
menganggap diri mereka agamawan dan ulama. Multaqa itu tidak lain dan
tidak bukan untuk mengukuhkan kedudukan dan penguasaan mereka dalam Pas
pada muktamar Jun nanti. Mereka ini juga adalah orang yang tidak yakin
dan dikejar bayangan sendiri. Kerana kalau mereka bersikap "tasamuh"
dan "tawakus" mereka akan memiliki dua kecemerlangan sekaligus, agama
dan ilmu profesional.
Multaqa itu juga tidak mencerminkan
majlis dianjurkan agamawan kerana ia disualmi dengan kecaman dan
perlontaran idea dibenihi syaitan. Misalnya ada yang tanpa berlapik
mencadangkan supaya para pemimpin kanan Pas yang mempersoalkan Abdul
Hadi Awang keluar sahaja daripada Pas. Suara itu menunjukkan tahap
pengkultuskan kepada Abdul Hadi sudah melampau dan meletakkan Abdul
Hadi sebagai maksum yang tidak boleh dikritik. Ia juga menggambarkan
mereka yang membuat cadangan itu sudah dirasuk fanatisma dan egoisme
Baduwiah.
Hal ini wajar kalau ada pemimpin parti rakan Pas
melebelkan Abdul Hadi sebagai "lembu suci". Penghinaan ini sesuatu yang
dikesali dan ia tidak akan terjadi kalau ia bukan kerana rakusnya
sesetengah ahli Pas sendiri khasnya yang bernaung dibawah Dewan Ulama
bersikap taksub kepada pemimpin sehingga tidak nampak apa yang ada di
hadapan mata lagi.
Diingatkan mereka yang taksub kepada
mana-mana pemimpin, doktrin citapaan manusia, dan sebagainya ia samalah
dengan ular Tedung yang apabila kepalanya mengembang menyebabkan kedua
belah matanya tidak kelihatan apa-apa lagi. Ketika itu usah ceritalah
sebisa mana si Tedung itu ia akan mudah dicekup kemudian dimasukkan ke
dalam guni dan dijual kira kati.
Nah, ada ciri-ciri Tendung
dalam parti agama itu kini. Kedua-dua matanya telah tertutup oleh
keegoan yang tinggi. Si Tedung inilah yang akan memporakperandakan
parti agama itu. Saatnya jika muktamar Jun nanti mereka berjaya takluki
parti Pas, maka parti akan mengulangi tragedi menyedihkan yang dialami
tiga dekad lalu.
http://msomelayu.blogspot.com/
Duhai ulama Pas jangan jadi macam ular Tedung
Written By Unknown on Tuesday, 24 February 2015 | 13:50
Labels:
Kritikan
Post a Comment