Oleh Mohd Azrul Azuan Idris
Baru baru ini kecoh dengan berita sebuah badan NGO anak muda, Lensa Anak Muda Malaysia
(Lensa) yang berhimpun di hadapan Pejabat Agung PAS dan menyerahkan
memo teguran kepada PAS agar mengambil tindakan terhadap kelompok
dalam PAS yang terus menerus mewujudkan konflik dalam Pakatan Rakyat
(PR).
Saya setuju dengan usaha mengukuhkan PR. Saya juga terbuka
dengan gesaan beberapa pihak kepada PAS supaya memperbanyakkan usaha
mengukuhkan PR. Diakui bahawa PAS ada kesilapan dalam kemelut yang
melanda PR sejak kebelakangan ini terutamanya dalam isu Selangor.
Sepatutnya
jika tidak setuju Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi MB,
pendirian itu harus dinyatakan sejak 17 Ogos atau lebih awal. Dengan
itu, PAS akan kelihatan tetap pendirian walaupun bercanggah dengan PKR
dan DAP. Pendirian ini tidak salah kerana PAS juga berhak menyatakan
pandangannya.
Tetapi, apabila pendirian
ini tidak dinyatakan dari awal, ia menimbulkan konflik dan tanggapan
umum bahawa PAS kerap berubah pendirian. Ia bertambah buruk apabila
pendirian yang diubah seminggu selepas mesyuarat 17 Ogos itu, tidak
dipersetujui sebilangan AJK Pas Pusat yang kemudiannya diketahui ramai.
Apa yang berlaku ini memang menjejaskan imej PAS.
Cuma,
bagi saya gesaan kepada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil.
Ini adalah kerana yang menyumbang kepada porak perandanya PR bukan PAS
sahaja. Dua lagi rakan dalam PR pun dua kali lima, malah turut
sama-sama memburukkan keadaan.
Ramai memerhatikan bahawa PAS
agak "spoil" pada pertengahan isu, terutama dalam menetapkan pendirian
samada menyokong calon MB pilihan PKR dan DAP. Tetapi jangan lupa juga
pihak yang menjadi punca kepada semua kekacauan ini, juga pihak yang
"play safe", tetapi sama-sama menyokong PKR dalam membuat tindakan yang
membelakangkan rakan.
Jadi, jika ingin desak agar parti dalam
PR memperbanyakkan usaha mengukuhkan PR, maka perlu desak ketiga-tiga
parti. Desak PKR supaya jangan berlagak seperti abang besar yang boleh
sesuka hati memaksa rakan mengikut telunjuknya, walaupun pemimpin
mereka bekas TPM.
Perangai "umum dahulu kemudian bincang" yang
menjadi amalan PKR sudah menimbulkan banyak masalah sebelum ini.
Perkara yang seharusnya mendapat konsensus semua pihak, diputuskan
sendirian, kemudian membuat strategi agar PAS mesti terima
keputusannya. Jika perangai ini berterusan, saya percaya ia akan
menambah barah yang sedia ada, dan akan mempercepatkan tarikh kematian
PR.
Desak juga DAP supaya berperanan dengan bijak apabila PAS
dan PKR bergaduh, bukannya bersikap berat sebelah dan langsung tidak
meraikan pihak satu lagi.
Apabila sudah tamat krisis Selangor
pun, bertindaklah untuk mendamaikan, bukannya mengeluarkan kata hukuman
kepada PAS. Bukan juga membuat majlis dan mengangkat dua Adun PAS yang
akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin sebagai hero.
Ya,
DAP berhak menyatakan pandangan tentang tindakan dua Adun tersebut.
Saya di sini bukan ingin membicarakan adakah benar mereka hero atau
tidak, masing-masing ada pandangan sendiri.
Tetapi, bagi saya
DAP tidak perlu membuat tindakan berlebihan seolah-olah mencabar PAS.
DAP seharusnya menumpukan kepada usaha pendamaian dan biarkan PAS
menguruskan masalah dalamannya sendiri. Apa sahaja yang diputuskan
terhadap mereka, biarkan rakyat yang menilainya.
Jika mahu PR
kukuh semula, semua pihak harus berubah. Perangai suka tuding jari
antara satu sama lain perlu dihentikan. Jika hanya desak PAS berubah,
tetapi dua lagi rakan tidak diingatkan untuk berubah, malah kekal
dengan perangai masing-masing, PR tidak akan kukuh selamanya. Kesedaran
untuk berbaik-baik perlu ada pada ketiga-tiga parti, barulah PR boleh
bangun semula.
Jadi, saya harap Lensa akan melakukan desakan
yang sama kepada PKR dan DAP. Saya harapkan ianya berlaku, walaupun
saya tahu Lensa sudah menjatuhkan hukum bahawa PAS yang bersalah dalam
krisis Selangor
Jangan hanya salahkan PAS dalam kemelut PR
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 02:57
Labels:
Kritikan
Post a Comment