Oleh Izmil Amri
Rumah
sudah siap, pahat masih berbunyi. Kenapa pahat masih berbunyi? Sebab
ada tukang pahat yang sibuk menarik perhatian. Entah benda apa yang
dipahatnya, bising sekali. Padahal
tukang cat, tukang bancuh simen, tukang pasang wayar, semuanya sudah
pulang ke rumah melayan anak isteri masing-masing.
Demikian
adanya "krisis" pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang minggu lalu
sudah membuat ramai orang menarik nafas lega. Lega kerana benda yang
dipanggil krisis ini nampaknya sudah bikin lelah ramai pihak, hatta apa
sahaja penyelesaian boleh diterima. Yang beriya tak mahu Azmin Ali
jadi menteri besar pun akhirnya mengalah.
Mengalah kerana
seperti juga rakyat yang lainnya, sudah tersangat letih dan malas fikir
banyak. Selagi tidak selesai isu Selangor, selagi itu lah kerja lain
tak boleh dibuat. Maka apa sahaja jalan selesai akan dipersetujui. Tak
perlu cakap banyak lagi.
Namun malangnya
ada tukang pahat ini, yang masih berbunyi-bunyi. Barangkali dia mahu
orang tahu dia pun bekerja juga. Atau dia mahu tunjuk rajinnya, yang
masih mahu memahat apa-apa yang boleh, supaya diiktiraf peranannya itu
dalam proses membina rumah.
Krisis MB Selangor memang berpunca dari
salah sukat teman-teman PKR. Nawaitu asalnya jelas mahu melengser Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan digantikan dengan orang lain. Cuma
sewaktu "Langkah Kajang" itu direncana, tidak ada kata putus tentang
siapa yang akan menggantikan Khalid. Jadi ada sedikit serabut di situ.
DAP sebagai rakan yang setia dan barangkali memahami kelaku PKR yang
suka buat benda pelik-pelik, sekadar menurut sahaja. Lagipun sudah
memang konsensus bersama kerusi MB Selangor itu milik PKR, jadi dia
punya pasallah apa dia nak buat.
DAP akur dengan setiap satu
kerenah PKR. Sebaik sahaja diumum Langkah Kajang, ia bergegas membuka
pusat operasi, dan menyatakan kesediaan membantu. Tak cakap banyak.
Setelah tempoh hari diputuskan Azmin yang jadi MB dan bukan Datuk Seri
Dr. Wan Azizah, DAP juga setia menyatakan persetujuan. Tak banyak
bunyi.
Bagi DAP, Khalid mesti dilengser.
Yang tidak
mahu Khalid dilengser ini PAS. Parti Islam tersebut ternyata
menghasilkan lebih banyak kerenah berbanding PKR, dan menambah rumit
kepada kerja yang sedia jenuh. PAS dengan cemerlang dan jayanya
berfungsi seperti tikus membaiki labu, sambil mempertontonkan kepada
umum betapa tunggang terbaliknya parti politik tersebut ketika
muktamarnya berlangsung. Inilah dia pahat yang masih bising itu.
Kekalutan PAS ini bermula saat bocor perbualan Whatsapp pimpinan
pusatnya, yang kemudian menimbulkan syak ramai pihak termasuk orang
kebanyakan tentang keikhlasan PAS dalam bertahalluf bersama DAP dan PKR.
Itu kemudiannya disambut dengan langkah dangkal menyerang kepimpinan
Ketua Menteri Pulau Pinang dalam soal terowong bawah laut, yang akhirnya
membuatkan Lim Guan Eng terpaksa memfailkan saman terhadap Ahli
Parlimen PAS Temerloh, Ustaz Nasrudin Hasan.
Tidak selesai itu,
beberapa kali pula pimpinan utama PAS melakukan aksi u-turn dalam soal
pencalonan MB, setelah mesyuarat memutuskan sebaliknya. Mulanya setuju
Dr. Wan Azizah, kemudian tidak jadi. Kemudian katanya calonkan Azmin
juga, namun akhirnya hantar nama Adun sendiri.
Tak habis lagi
di situ, bergaduh pula di muktamar sampai Pengerusi Tetap terpaksa
dikejarkan ke hospital kerana sakit dada dan sesak nafas melayan
kerenah perwakilan. Perwakilan pula ada yang tabur fitnah samakan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan Barisan Nasional, walhal perwakilan
itu Ahli Majlis MPPP.
Kemudian meracau lah kata kena buli dan
sebagainya. Eh, anak jantan kalau lari balik ke rumah mengadu kena
buli, pastilah ditampar di belakang kepala. Apa punya lembik.
Persoalannya sekarang, setelah PAS kelihatan begitu kucar kacir
(padahal PKR si pencetus masalah sudah berdamai dan maju ke depan) apa
sebenarnya yang PAS sedang kerjakan?
Di saat orang sedang penat
berkempen lawan Akta Hasutan, lawan politik ras, mendesak soal-soal
ekonomi dan sebagainya, PAS seakan khayal dengan sesuatu yang tidak
dapat kita pastikan.
Adakah masih wujud kelompok yang masih
berahi mahu menikah dengan Umno sehingga angau kala pulang ke rumah
Pakatan Rakyat? Kerana bibit-bibit serangan geng Kerajaan Perpaduan itu
dapat kita saksikan dengan rancaknya serangan-serangan teman-teman
dari PAS terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Malah sebenarnya kita
dapat lihat betapa ada kumpulan di dalam PAS yang seakan begitu
teringin mahu dihalau keluar dari rumah PR, demi berahinya terhadap
Umno.
Seandainya sikap ini tidak dibetulkan, dan tanzim PAS
tidak benar-benar muhabasah akan keadaan yang membelenggu parti ini,
nescaya tidak mustahil ramalan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang
Kelantan tidak lagi akan menjadi jajahan PAS.
Semalam ada
teman-teman di laman sosial berkongsi gambar pimpinan PR di Kedah
sama-sama bersarapan, dengan kapsyen bertulis "Kesepakatan kami sayang
PR". PR di Kedah nampaknya sudah insaf dan sedar tugas melawan Umno
hanya boleh dilakukan sekiranya ia dilakukan secara berjemaah.
Seandainya PAS gagal untuk menyedari hakikat keperluan bekerja secara
berjemaah serta untuk kembali kepada konsensus dan dasar bersama PR,
pastinya rakyatlah yang akan menanggung sengsara harus bertuankan Umno
untuk beberapa generasi lagi. Dan PAS akan terpaksa membina semula tapak
sokongannya yang roboh.
Jadi apa kerja PAS sekarang? Meraung
lari pulang mengadu kena buli, atau mengesat air mata dan membalut luka
untuk terus berjuang bersama PR demi kemaslahatan ummah? PAS fikirkan.
Takkan saya pula kena tolong jawab?
Apa kerja PAS hari ini?
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 02:55
Labels:
Kritikan
Post a Comment