KUALA LUMPUR: Ibu
kanak-kanak berusia 12 tahun, Mohamad Arif Abdullah yang mencetus
fenomena gara-gara watak Buntat lakonannya dalam drama bersiri 7 Hari
Mencintaiku, bangga anaknya memiliki daya ingatan kuat.
Rosdiana Mastura Abdullah, 30, berkata biarpun berdepan masalah menyusun
ayat dan sukar menuturkan kata-kata seperti kanak-kanak normal, Arif
yang mengalami masalah disleksia, mempunyai daya ingatan kuat hingga
mampu menghafal skrip.
"Ketika penggambaran tidak ada masalah, cuma jika ada siaran langsung,
Arif agak kekok.
"Sebab itulah saya minta kalau boleh sebelum bersiaran, buat latihan
dulu. Bila kita tengok dia main-main dan tak serius, kita ingat dia tak
fokus. Jadi, buatkan kita risau. Sebaliknya, ingatan Arif sangat kuat
dan dia hafal apa yang dibaca.
"Nampak macam dia tak serius, sebaliknya, bila pergi ke set, saya agak
terkejut tengok dia boleh buat seperti apa yang diarahkan skrip,"
katanya.
Rosdiana berkata, dia terkejut apabila watak Buntat lakonan anaknya
menjadi viral.
"Adegan kematian Buntat menjadi babak kedua trending selepas adegan
Buntat datang ke Kuala Lumpur. Saya tak sangka babak kematian Buntat
memberi kesan kepada penonton," katanya yang berbangga dengan pencapaian
anaknya itu.
Rosdiana berkata, selepas ini, dia dan suami, Abdullah Kassim, 50, mahu
mengatur jadual Arif dan memilih watak yang sesuai dilakonkannya.
"Ini kerana saya tidak mahu dia melakonkan watak sama. Watak dalam filem
Jibam dan Buntat mempunyai persamaan, cuma berbeza daripada aspek
percakapan," katanya.
Berkongsi perkembangan terbaharu, Rosdiana berkata, anaknya sudah
mendapat tawaran berlakon sebuah lagi filem.
"Bagaimanapun, kita akan tengok kesesuaian watak yang perlu dilakonkan
dalam filem terbabit," katanya.
Ketika ditemui, Arif tidak kekok malah sentiasa mengukir senyuman
biarpun hanya melontarkan sepatah demi sepatah perkataan setiap kali
soalan diajukan.
Namun, Arif mesra dengan siapa saja yang mahu bergambar dengannya.
Buntat ada daya ingatan kuat
Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 10:49
Labels:
Hiburan
Post a Comment