Oleh Dr Nik Roskiman
Abdul Samad
Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat
apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam
yang disebut 'wahn' iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.
Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak
mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang
sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan.
Dunia membawa makna 'dekat' dan apabila manusia melihat segala perhiasan
dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada
memandang akhirat.
Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM),
Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata
inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.
Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat
kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar
sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Penyakit wahn
Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada
jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri
berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia
itu.
Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit 'wahn' yang
disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang
integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa,"
katanya.
Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana
kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa
yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat.
Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta
tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang
munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong.
Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk,
hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit
hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.
Beza nama, erti sama
Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin
tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul
nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama
wujud.
Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal
darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila
ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal
darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai
pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf
adalah sebahagian daripada syariat.
Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan
bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf
serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.
Timbulkan kesedaran
Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian
kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak
dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan
remeh temeh.
Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh
kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang
menyekat manusia. Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan
undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri.
Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana
takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah
SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu.
Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak
seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan
penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.
* Penulis ialah Pengarah Pusat Media IKIM
Home »
Bicara Islam
» Ubat penyakit cintakan dunia
Ubat penyakit cintakan dunia
Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 12:00
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment