Headlines News :
Home » » Islam tidak tersebar dengan sikap malas muslim

Islam tidak tersebar dengan sikap malas muslim

Written By Editor Bebas on Monday, 12 January 2015 | 15:17

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM 


SETIAP muslim/muslimah adalah disaran agar perlu melihat semula sumbangan mereka kepada Islam, mereka perlu menyelongkar serta mentelaah sejarah generasi silam khususnya dalam kalangan para sahabat yang pernah duduk dalam majlismajlis ilmu bersama Rasulullah s.a.w., bagaimana kesungguhan mereka dalam mencatat, memberi tumpuan agar setiap apa yang diungkapkan baginda tidak berlalu begitu sahaja.

Sesungguhnya suasana pembelajaran di zaman baginda Rasulullah s.a.w. penuh dengan nasihat, motivasi, kaunseling, peringatan tentang tujuan serta matlamat utama penciptaan manusia di dunia ini, misi dan visi dalam kehidupan mereka, peranan dakwah, tugas menyampaikan Amar Makruf Nahi Mungkar, peringatan tentang dosa pahala, halal haram, syurga neraka dan sebagainya. Kesemua itu diteliti oleh para sahabat dan menjadi bahan peringatan buat mereka, justeru catatan mengenainya adalah satu kemestian dan keperluan agar ia menjadi bahan modal untuk dikembangkan maklumatnya kepada saudara-saudara muslim yang lain, agar masing-masing mendapat peringatan yang disampaikan.

Perkara tersebut bertepatan dengan firman Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiaptiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu  mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Sesungguhnya gambaran suasana pembelajaran yang disertai oleh para sahabat itu memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mendapatkan pengisian rohani daripada baginda Rasulullah s.a.w., kemudian mereka sampaikan pula kepada saudara-saudara muslim yang terhalang daripada mengikuti tazkirah baginda, ia adalah arahan baginda agar yang hadir dapat menyampaikan apa yang mereka mendengar kepada yang tidak hadir.

Inilah kemuncak aktiviti para sahabat menyampaikan kepada saudara-saudara yang tidak hadir bukan hanya pada zaman kehidupan baginda Rasulullah, malah tindakan yang sama juga dilakukan selepas kewafatan baginda, jika mereka malas seperti kebanyakan umat Islam hari ini maka Islam tidak akan tersebar ke merata pelusuk dunia.

Bagi muslim hari ini, memang bagus mereka yang telah pergi ke masjid atau surau, tetapi yang menjadikan mereka lebih bagus lagi apabila mereka mencatat, mendengar dan berhasrat tinggi untuk mengembangkan apa yang mereka dengar kepada saudarasaudara muslim yang tidak berkesempatan ke masjid hingga mencecah puluhan tahun.

Sahabat yang banyak beramal pun mencurahkan sumbangan kepada Islam, kita bagaimana?
Sejarah telah membuktikan kepada kita bagaimana rata-rata generasi para sahabat berusaha gigih selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w. mencurahkan sumbangan bakti agama dengan menyampaikan risalah Islam walaupun terpaksa meredah padang-padang pasir hingga mencecah beribu-ribu kilometer semata-mata untuk memastikan maklumat Islam dapat dibawa keluar daripada Madinah seperti yang dilakukan oleh Sa’ad Bin Abi Waqqas ke negeri China, Mu’az Bin Jabal ke Yaman.

Mu’az Bin Jabal yang dianggap asing ketika sampai ke Yaman, tetap meneruskan misinya untuk menyebar-luaskan agama Islam, beliau yang dianggap sebagai sahabat yang memahami sedalamdalamnya tentang ilmu halal dan haram telah menyentak hati, konsenterasi orang-orang Yaman dengan kata-katanya yang masyhur : “Marilah duduk bersamaku untuk beriman kepada Allah walaupun satu saat.”

Dan banyak lagi contoh sumbangan para sahabat kepada Islam, ini menunjukkan bahawa dengan kesungguhan mereka itu maka Islam tersebar dengan jayanya, dengan kejayaan itu, maka Allah SWT menganugerahkan kepada mereka syurga-Nya, tetapi bagaimana pula sumbangan yang telah kita lakukan kepada Islam? Apakah benar kita telah melakukan sumbangan itu? Atau masih leka dengan janji-janji dunia yang melalaikan kita daripada berbuat demikian? Masing-masing tepuk dada tanya iman, kerana itulah sebaik-baik jawapan.

Sekurang-kurangnya pada era moden ini, kita ada beberapa contoh individu muslim yang berbakti kepada agamanya seperti Imam Syahid Hasan al-Banna, Saiyid Qutb, Abul ‘Ala al-Maududi, Zainab al-Ghazali, Maryam Jameelah (bekas gadis Yahudi), Hamza Yusuf di Amerika, Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik, mereka menghabiskan masa dengan mendalami ayat-ayat al-Quran, mengkaji, menjadikan hujah untuk menarik manusia kepada Islam, apakah usaha mereka itu tidak dinamakan sumbangan kepada Islam?

Tujuan menyampaikan risalah Islam kepada manusia, bukan sahaja untuk meraih pahala daripada Allah SWT, tetapi yang lebih penting adalah untuk memastikan agar ajaran Islam yang menjadi pusaka peninggalan baginda Rasulullah s.a.w. dapat diterima oleh segenap bangsa manusia di dunia ini tanpa mengira asal keturunan dan pegangan agama mereka, ia adalah untuk merealisasikan firman Allah yang bermaksud : “Tidak Kami utus kamu wahai Muhammad, melainkan membawa rahmat kepada sekalian alam.” Ayat 107 surah al-Anbiya’.

Justeru, tidak terdapat dalam kalangan sahabat baginda Rasulullah s.a.w. yang tidak menyumbang untuk Islam, kesemua mereka telah melakukan yang terbaik, maka sumbangan mereka itu pasti mendapat tempat di sisi Allah di dalam syurga-Nya, tetapi yang menjadi masalah kepada segelintir umat Islam hari ini ialah bukan sahaja tidak menyumbang untuk Islam dengan tenaga, pemikiran, kesungguhan, harta benda, jiwa raga, malah tidak bersedia pun ke arah itu.

Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila muslim hari ini tidak berminat untuk ke masjid/ surau untuk menimba ilmu-ilmu agama dengan pelbagai alasan yang tidak boleh diterima, ada yang mengatakan bahawa apa pentingnya kita belajar fardu ‘ain, orang-orang yang mempelajarinya tidak berjayapun dalam bidang yang mereka ceburi, dan pelbagai tanggapan negatif lain diberikan kepada ahli-ahli masjid/surau.

Apa pun bagi mereka yang masih berdegil tidak mengaktifkan diri mereka untuk menyumbang kepada Islam, hayatilah sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang-orang yang beriman, empat puluh hari sahaja tidak duduk dalam majlis ilmu bersama ulama’, maka mereka aka menghadapi dua implikasi, pertama hati mereka akan menjadi keras (yang menyukarkannya mendapatkan petunjuk Allah) dan kedua berani melakukan dosa-dosa besar, kerana ilmu (agama) itu adalah penyuluh hati.”
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat