Penggunaan daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu meningkatkan platelet dalam darah, menunjukkan kesan positif dan terbukti berkesan membantu merawat demam denggi.
Sebelum ini beberapa institusi menjalankan kajian terhadap daun betik
yang pada awalnya untuk melihat keberkesanannya dalam merawat beberapa
jenis penyakit termasuk diabetes, namun ia dilihat lebih sesuai untuk
merawat demam denggi.
Seorang penyelidik dari AIMST University Dr
VS Kathiresan berkata pihaknya memulakan penyelidikan pada 2008 untuk
melihat bagaimana daun betik dapat meningkatkan platelet dalam darah
tikus.
"Kajian kami dalam ujian praklinikal menunjukkan dalam
tempoh empat jam, bilangan platelet dalam darah setiap tikus meningkat
tiga kali ganda. Daun betik mempunyai banyak enzim yang membantu
meningkatkan platelet darah.
"Penyelidikan ini sebenarnya
pernah disiarkan dalam 'The Middle European Journal of Medicine' pada
2009, dan hasil penyelidikan ini sebenarnya menjadi asas kepada mereka
yang menjalankan kajian berkaitan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di universiti itu dekat Sungai Petani.
Dr Kathiresan berkata walaupun kajian itu dilakukan lebih awal dan
pernah dihebahkan menerusi media massa, namun tidak ramai yang berani
mengamalkannya kerana belum lagi terbukti secara klinikal.
"Ia pernah disiarkan dalam akhbar The Star pada 31 Ogos 2011 dan mendapat liputan Bernama pada
2010, namun ramai yang beri reaksi negatif, tetapi bila Institut
Penyelidikan Perubatan buat pendedahan, kita tahu yang ia tidak bahaya.
"Kajian awal yang kita jalankan tidak melibatkan masyarakat, namun ia
kini terbukti secara klinikal. Selepas itu tidak ada susulan (selepas
penyelidikan awal) sebab ujian praklinikal melibatkan tikus, tidak ada
masalah, tetapi apabila ujian melibatkan manusia, terdapat peraturan
tertentu yang perlu
dipatuhi,' katanya.
Dr Kathiresan
berkata penggunaan daun betik untuk membantu merawat demam denggi
adalah mudah kerana selain senang diperoleh, ia juga tidak perlu
melalui proses yang rumit, sebaliknya boleh dimakan seperti ulam.
"Melalui ujian praklinikal, daun betik dikeringkan, dicarik kecil-kecil
dan dikisar menjadi serbuk halus sebelum diuji ke atas tikus.
"Bagi manusia, kita boleh makan terus dan daun betik yang dimakan itu
akan menunjukkan perbezaannya dalam tempoh empat jam. Bagaimanapun
peningkatan platelet dalam darah boleh dilihat dalam tempoh sejam,"
katanya.
Dr Kathiresan berkata lebih 20 pesakit demam denggi
pernah menghubunginya dan beliau menyarankan mereka supaya mengambil
dua hingga tiga helai daun betik, dua kali sehari, untuk diamalkan dan
ia tidak memberi kesan sampingan walaupun kepada kanak-kanak.
"Mereka menghubungi saya semula dan memaklumkan bahawa selepas makan
selama tiga atau empat hari, mereka sudah sembuh. Bagi kes denggi, ia
lebih sesuai untuk pesakit mengalami demam denggi peringkat awal.
"Perlu diingatkan, daun betik yang akan dimakan secara segar perlu
dicuci getahnya sehingga bersih, dan daunnya pula tidak terlalu muda
atau tidak terlalu tua," katanya.
Dr Kathiresan sudah melakukan
lebih 30 penyelidikan, kebanyakannya melibatkan penggunaan bahan
terbuang untuk dijadikan bahan berfaedah.
"Kami kini mengorak
langkah untuk menguji dengan menyeluruh pohon, daun, kulit buah yang
hijau dan kuning, batang serta akar betik. Kita akan lihat kesan semua
bahagian ini, malah kita juga akan lihat dari segi variasi, buah
tempatan dan buah dari negara lain," katanya.
- Bernama
Penyelidik: Daun betik terbukti rawat denggi
Written By Editor Bebas on Tuesday, 7 October 2014 | 22:46
Labels:
Kesihatan
Post a Comment