Headlines News :
Home » » Pemuda PAS saran modul BTN ditambah baik

Pemuda PAS saran modul BTN ditambah baik

Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 10:13

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyarankan pihak Biro Tatanegara (BTN) mengkaji cadangan penambahbaikan yang diusulkan pihaknya untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, perkongsian tersebut bersifat solusi bersama demi memastikan impian mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020, bukan sekadar omongan kosong semata-mata.

"BTN berperanan dalam memperkasakan jati diri setiap warganegara Malaysia terutama dari kalangan bukan Melayu dan beragama Islam. Penggunaan Bahasa Melayu harus diperkukuhkan dalam semua institusi kerajaan mahupun swasta, bertepatan dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan.

"Semangat cintakan tanah air dalam kalangan generasi muda juga harus dipupuk serta diterapkan manakala kefahaman tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan harus diperjelaskan," ujar Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi usai pertemuan dua hala yang telah berlangsung di Ibu Pejabat BTN Wilayah Persekutuan, Jalan Bellamy tanggal 19 Disember yang lalu.

Menurut beliau, DPPM melihat berlakunya beberapa perkara yang perlu dinilai bersama dalam memanfaatkan lagi fungsi BTN terhadap perkara berkaitan dengan semangat patriotik.

Migration Survey Report Malaysia melaporkan dalam tahun 2015 seramai 916,8640 orang rakyat Malaysia telah berpindah ke luar negara disebabkan isu suasana di Malaysia dan peluang pekerjaan lebih baik.

"Pendedahan statistik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyatakan bahawa seramai 604 orang peserta kaum India dan Cina langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

"Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Teo Kok Seong melalui kajiannya pula mendapati seramai 14,000 orang pelatih daripada 79 buah kem PLKN pada tahun 2010 tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Malah statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 853 laporan daripada 33 kes membabitkan isu sensitiviti perkauman sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2014 di seluruh negara," jelas Ustaz Muhammad Khalil.

Sehubungan dengan itu kata beliau, setiap latihan, seminar dan modul bina diri BTN harus ditambahnilai dengan menerapkan nilai serta kefahaman Islam terutamanya untuk para peserta beragama Islam.

Malah pemerkasaan setiap program BTN dengan elemen kebudayaan juga sejarah untuk generasi muda serta proses merapatkan jurang di antara kaum dari sudut budaya, ekonomi dan struktur masyarakat.

"Keseimbangan jurang sosio-budaya di antara penduduk bandar juga luar bandar terutamanya dari segi pelajaran dan ekonomi diharap dapat melahirkan anak-anak muda yang berjiwa patriotik yang mencintai tanah air dan mendukung nilai-nilai murni yang bersesuaian dengan kehendak agama, budaya serta aspirasi negara.

Kata beliau, ini kerana ketidakseimbangan sosio-ekonomi dan struktur masyarakat di kalangan Bumiputera mencatatkan tahap rendah berbanding dengan golongan bukan Bumiputera.

Tambahnya, pertikaian terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan juga telah mula dicabar bukan hanya di kalangan bukan Bumiputera, malah di kalangan mereka yang beragama Islam itu sendiri.

Mutakhir ini sikap anak muda dilihat semakin lantang mengkritik dan mempamerkan emosi kebencian terhadap dasar kerajaan di laman sosial tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

"Pendedahan yang dibuat oleh sebilangan peserta program latihan anjuran BTN menyaksikan beberapa insiden memburukkan beberapa individu yang tidak sealiran dengan pihak kerajaan dan dilihat sebagai pengkhianat dalam negara termasuklah di kalangan kepimpinan PAS itu sendiri.

"Oleh yang demikian besarlah harapan kami agar pertemuan ini menjadi suatu permulaan kepada Budaya Politik Matang  dan Sejahtera (BPMS) kepada agensi penting seperti BTN dalam membawa kesejahteraan untuk rakyat Malaysia," seru beliau. –
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat