CHICAGO: Penulis blog
Singapura yang mencetuskan kontroversi di negaranya ditahan oleh pegawai
imigresen Amerika Syarikat, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Amos Yee, 18, yang dipenjarakan awal tahun ini di Singapura, ditahan
ejen kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare pada 16 Disember
lalu ketika cuba memohon suaka politik di negara itu.
"Amos ditahan di Amerika ketika ini. Beliau memohon suaka politik di
sana. Peguamnya menguruskan semua perkara ini. Saya tidak akan bercakap
dengan media atau sesiapa lagi mengenai perkara ini," kata ibu Yee, Mary
Toh, dalam kenyataan disiarkan di Facebook.
Yee dipenjarakan dua kali di Singapura kerana kenyataannya di internet.
Perbicaraannya yang dipantau rapi oleh kumpulan hak dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyemarakkan perbahasan di Singapura
berhubung penapisan dan hak kebebasan berucap.
Yee berada dalam tahanan Penguat kuasa Kastam dan Imigresen (ICE)
Amerika sementara menantikan prosiding mahkamah imigresen, kata
jurucakap bagi agensi itu, Gail Montenegro, menerusi emel.
Montenegro enggan memberikan butiran lanjut mengapa Yee ditahan, di mana
dia ditahan atau jika dia mempunyai peguam.
Jurucakap Kastam dan Perlindungan Sempadan, Ralph Piccirilli, juga
berkata agensi berkenaan 'menemui' Yee tetapi enggan mengulas lanjut.
September lalu, Yee mengaku bersalah kepada enam dakwaan sengaja
menyiarkan komen di internet, dalam video, blog dan gambar, yang
mengkritik agama Kristian dan Islam. Beliau dijatuhi hukuman enam minggu
penjara.
Tahun lalu, Yee disabitkan bersalah atas dakwaan mengganggu dan menghina
kumpulan agama berhubung kenyataan yang dibuat mengenai bekas Perdana
Menteri, Lee Kuan Yew dan penganut Kristian selepas kematian Lee.
Beliau dikenakan hukuman penjara empat minggu. - Reuters
Penulis blog Singapura ditahan di AS
Written By Editor Bebas on Sunday, 25 December 2016 | 10:40
Labels:
Global
Post a Comment