Oleh A Shukur Harun
Kita masih bersedih atas pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun ramai pula yang merenung, mengkaji, malah mahu belajar dari politik Islam yang didambakan dengan jayanya oleh Almarhum.
Ini membuktikan kejayaannya dalam menterjemahkan melalui amalan
politik Islam itu, atau politik dakah, mampu mendepani suasana moden,
justeru Islam adalah agama dan cara hidup yang unggul dan anjal.
Almarhum
tidak berkompromi dengan dasar Islam dalam kepimpinannya, tetapi
menyesuaikannya dengan keadaan masyarakat majmuk serta suasana
kontemporari yang ada.
Kepimpinannya
diterima baik pelbagai kaum. Semasa hayatnya, pelbagai bangsa
menyayanginya, malah orang bukan Islam menganggapnya sebagai ‘the holy
man’.
Cara kepimpinan dan hidup zuhudnya dikagumi semua. Tidak
mudah ditemui seorang pemimpin menjalani kehidupan sedemikian rupa.
Dalam hidupnya, Almarhum memperbanyakkan sahabat, mengurangkan musuh.
Akhbar berbahasa Cina dan Tamil menyiarkan secara meluas dengan gambar
berwarna mengenai kematiannya, khususnya iringan jenazah yang dibawa
dari masjidnya hingga ke perkuburan.
Di mana-mana, orang bercakap mengenai kehebatan pemimpin yang satu ini, di mana bagi mereka, setakat ini, sukar dicari ganti.
Sepanjang 23 tahun memerintah Kelantan, Almarhum memperlihatkan secara
praktik pelaksanaan politik Islam - toleransinya, keterbukaannya,
hingga diterima pelbagai kaum.
Demikianlah harumnya politik Islam yang dipancarkan oleh Almarhum Nik Aziz.
Oleh itu, sangat wajar bagi pendukung PAS semua peringkat mencontohi
amalan politik Islam atau politik dakwah yang dilaksanakan dengan
jayanya oleh Mursyidul Am PAS ini.
Dalam hal ini saya tertarik
dengan pandangan AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad mengenai perlunya
dipelajari politik Islam dalam masyarakat majmuk yang dilaksanakan
Almarhum selama ini.
Menurut Dr Dzulkefly Almarhum, Nik Aziz
adalah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti
politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually
exclusive) di kalangan masyarakat plural yang majmuk di negara ini.
Almarhum, katanya, tetap bertegas dan tidak mengundur.
Disebabkan itu, kata beliau, Almarhum pernah dicemuh dan ditohmah sebagai pengamal pluralisme agama bahkan liberal.
Golongan agamawan sama ada dari luar mahupun dalam parti PAS sendiri
cepat menuduh Almarhum ketika mereka tidak memahami strategi siasah dan
pendekatan dakwahnya.
“Dengan ilmunya, mengizinkan Almarhum meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batasnya,” katanya.
Menurutnya, Almarhum tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka.
Almarhum menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya
di restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun ada hidangan yang
kurang ‘menyenangkan’ di mata umat Islam.
Ini, katanya, persis
apa yang dilakukan Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang
menyantuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan
di bandar-bandar di Kaherah.
“Bahkan Almarhum dikatakan memberi
keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan
perihal pentadbiran yang lain,” tambah Dr Dzulkefly.
Menurutnya, Almarhum kerap memulakan ucapannya di depan kaum Tionghua
dengan ayat Al-Quran yang relevan dan sesuai dengan tujuan dakwahnya
ketika itu.
Contohnya, kerap Almarhum mengungkapkan ayat 13
Surah Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama
yakni Adam dan Hawa. Itu biasa.
Namun, kata Dr Dzulkefly,
apabila Almarhum menekankan bukan saja “kita bersaudara”, tetapi
acapkali didengar menggunakan kalimat kita ini “adik-beradik”, itu
ajaib dan istimewanya.
Di sinilah, seperti Dr Dzulkefly juga,
saya turut bertanya mampukah pendukung PAS memenuhi pelaksanaan syariat
yang diasaskan Almarhum dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup
keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara?
Juga
kita bertanya, mampukah pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan
Almarhum untuk kekal bertahaluf dalam Pakatan Rakyat serta bijak
mengurus perbezaan yang kadangkala sangat tajam dan mendebarkan?
Dalam hal ini ada kebimbangan di dalam hati saya akan trend, kalapun
boleh dianggap trend, ada segelintir pendukung PAS yang sangat gemar
melabelkan seseorang – di kalangan ahli PAS sendiri – dengan pelbagai
label, ‘golongan Islam sekular’, ‘mahu Islam tanpa syariat’, ‘Islam
liberal’, ‘berkiblatkan dermokrasi’ dan pelbagai lagi.
Pada
pendapat saya, label melabel begini elemen yang sepatutnya tidak ada
dalam jamaah PAS yang dididik dalam tarbiyah menerusi usrah dan tamrin
selama lebih setengah abad.
Dalam masa yang sama juga tersebar
luas isu wala’ dan tidak wala’ (setia atau tidak setia) kepada
pimpinan. Bagi saya, ini trend yang sama sekali tidak sihat di dalam
PAS, justeru ia hanya akan memecahbelahkan perpaduan dalam PAS, kerana
ia mencabar kesetiaan hati nurani seseorang ahli.
Tentu tidak munasabah perbezaan pendapat di antara ahli dan pimpinan dianggap tidak wala’.
Padahal dalam sirah Nabi, wujud di mana ada ketikanya para sahabat
berbeza pendapat dengan Nabi dalam hal tertentu yang tidak melibatkan
wahyu. Maka Nabi, dengan sikap terbukanya, mendengar pandangan para
sahabat.
Mengapa kita pula tidak bersedia menerima pandangan yang berbeza. Apa hebatnya kita?
Pada pendapat saya, isu yang ada di dalam PAS kini adalah elemen
negatif yang wujud di dalam parti yang hanya mendorong pecah belah di
dalam parti, maka sewajarnya dihindarkan segera.
Selepas
pemergian Nik Aziz, kita bertanya, mampukan pendukung PAS meneruskan
konsep ‘PAS untuk Semua’ yang menjadi tema ucapan dasar di Muktamar PAS
beberapa tahun lalu.
Untuk itu, belajarlah mengenai politik
Islam dan politik dakwah seperti yang dilaksanakan Almarhum Tuan Guru
Nik Abd Aziz semasa hayatnya jika kita benar-benar menyayanginya.
Jika pendukung PAS gagal memahaminya, maka di manakah hendak
diletakkan konsep ‘PAS For All’ itu, adakah hendak dimansuhkan sahaja,
menjadikan PAS kembali sebagai parti eksklusif?
Belajar politik Islam Nik Aziz
Written By Unknown on Tuesday, 24 February 2015 | 14:14
Labels:
Artikel
Post a Comment