Headlines News :
Home » » Pentadbiran Malaysia: Harus kembali ke petak mula!

Pentadbiran Malaysia: Harus kembali ke petak mula!

Written By Unknown on Monday, 19 January 2015 | 15:04

Oleh Ahmad Mustapha Hassan 

Sejak 57 tahun di bawah pentadbiran Umno/Perikatan, Umno Baru/BN, negara ini telah tersesat. Kita seolah-olah tidak mempunyai arah, tiada matlamat dan tanpa pemimpin. Kita tidak tahu ke mana arah tujuannya. Orang-orang yang kita telah letakkan kepercayaan, tidak memimpin seperti jangkaan kita.
Kuasa bagi mereka bermakna mengumpul kekayaan untuk diri sendiri, dan kebajikan rakyat tidak pernah dipedulikan. 
Walaupun negara-negara lain terus mara ke hadapan dengan tujuan tunggal menyediakan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat mereka, kerajaan Malaysia bertindak secara tangkap muat. Tiada perancangan dan tadbir urus yang baik. 
Kita bermula sebagai sebuah negara sekular di mana agama adalah lebih bersifat peribadi. Tetapi rasa takut kehilangan kuasa mendorong kerajaan Umno untuk mengislamkan tindakannya. Ini tidak dilakukan secara ikhlas, tetapi semata-mata untuk mengekalkan kuasa.
Proses Islamisasi ini sudah tidak terkawal dan menyebabkan kebimbangan kepada semua, orang Islam dan bukan Islam. Pelampau Islam seolah-olah telah diberi kebebasan dan mewujudkan ketegangan dan rasa sakit hati di kalangan rakyat. Umat Islam sedang dikawal dalam semua aspek kehidupan mereka.
Mereka tertakluk kepada dua sistem keadilan, mahkamah sivil dan sistem Syariah. Ini tidak berlaku apabila kemerdekaan dicapai pada tahun 1957.
Agensi-agensi Islam negeri kini telah menjadi kerajaan dalam kerajaan. Kehidupan rakyat dan untuk umat Islam kini dikawal selia.
Ramai rakyat Malaysia berasa tidak selamat kerana mereka dapat merasakan bahawa kerajaan sedang berjalan secara ‘auto-pilot’ dan ia tidak mempunyai keinginan untuk menlaksanakan tadbir urus yang baik. Negara ini kini menghadapi isu-isu sosial, ekonomi, politik, etnik dan agama yang tidak terhitung.
Senario ini telah menyebabkan perhijrahan minda yang serius sewaktu Malaysia memerlukan rakyatnya yang terbaik untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang rakyat Malaysia, sebahagian besar daripada mereka berkelayakan dan mahir, kini tinggal dan bekerja di luar negara. Singapura telah menjadi penerima utama. Lain-lainnya telah berpindah ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Hong Kong, New Zealand dan negara-negara maju yang lain. 

Ramai lagi yang bercadang berhijrah bukan sahaja bagi mencari hujan emas, tetapi juga persekitaran yang lebih kondusif.
Penubuhan Talent Corporation untuk menarik rakyat Malaysia pulang ke negara ini, dengan itu tidak mendapat hasil yang baik dan ini tidak mengejutkan.
Kecuali keadaan semasa diperbaiki dalam bidang sosio-ekonomi dan kurang penekanan diberikan kepada keperluan kaum, keadaan tidak akan bertambah baik.
Aspek-aspek lain yang juga telah menyumbang kepada keadaan ini adalah keadaan keselamatan di negara ini, sistem pendidikan yang gagal dan masalah hak asasi manusia. 
Tidak ada cara yang kerajaan boleh menggantikan bakat-bakat yang hilang ini. 
Ia bukan satu langkah yang bijak untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidika,n dan sistem itu sendiri telah berubah secara drastik tanpa adanya matlamat yang khusus. Lebih banyak elemen Islam telah diperkenalkan dan kualiti pendidikan di negara ini telah menjunam dengan ketara. 
Graduan Malaysia keseluruhannya lemah dalam Bahasa Inggeris dan juga pengetahuan umum. Pada satu masa, negara ini merupakan negara terkemuka di rantau ini dalam bidang pendidikan, dan bahasa pengantarnya adalah Bahasa Inggeris. Sekarang rakyat Thailand, Vietnam dan Indonesia boleh bercakap Bahasa Inggeris dengan lebih baik daripada graduan muda kita. Kemerosotan tersebut mengejutkan.

Dr Frederico Gil Sander, pakar ekonomi kanan Bank Dunia bagi Malaysia, mengatakan perkara ini mengenai taraf pendidikan di negara ini. 
"Kualiti rendah sistem pendidikan Malaysia adalah lebih membimbangkan daripada tahap hutang isi rumahnya," katanya di Kuala Lumpur baru-baru ini. 
"Ini kerana sistem pendidikan bermutu rendah di negara ini akan memberi kesan kepada kumpulan tenaga mahir yang diperlukan untuk memperkembangkan ekonominya untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, sedangkan hutang isi rumah yang tinggi tidak semestinya membawa masalah jika ekonominya terus berkembang dan rakyatnya mendapat pekerjaan."
Beliau berkata yang rakyat Malaysia harus "terkejut" bahawa pencapaian anak-anak mereka di sekolah adalah lebih buruk berbanding kanak-kanak di Vietnam, sebuah negara yang lebih miskin daripada Malaysia.
"Pencapaian pelajar luar bandar Vietnam adalah lebih baik daripada pelajar Malaysia," katanya. 
Keadaan sistem pendidikan ini adalah menyedihkan.
Negara ini juga terlalu dikawal. Kita mempunyai lebih daripada 20 kementerian dengan jumlah menteri-menteri yang mengatasi bilangan kementerian. Terdapat lebih daripada 30 orang menteri. Kita juga mempunyai lebih daripada 20 timbalan menteri dan terlalu ramai setiausaha-setiausaha politik. Sebelum ini, kita juga memiliki setiausaha-setiausaha parlimen.
Tetapi hasilnya adalah ketiadaan kecekapan. 
Selain itu, kita juga mempunyai pelbagai badan-badan berkanun dan agensi-agensi, dan juga perunding asing.
Tiada negara lain di dunia ini yang terlalu ditadbir seperti Malaysia.
Bak kata pepatah Melayu, "Sesat di hujung jalan balek kapangkal jalan".
Ahmad Mustapha Hassan merupakan bekas setiausaha akhbar perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Beliau juga penulis buku berjudul, "The Unmaking of Malaysia".

Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat