Headlines News :
Home » » Si buta kemudi kapal layar

Si buta kemudi kapal layar

Written By Unknown on Monday, 19 January 2015 | 14:42

BERDIRI di ruang kemudi sebuah kapal yang mempunyai tiga tiang layar, Alina Koralewska tidak mempunyai masalah untuk mengawal laluan kapal tersebut ke Barcelona walaupun dia tidak boleh melihat bintang atau kompas.

Wanita berusia 59 tahun itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan yang mengemudi kapal yang diberi nama Kapitan Borchardt di Perairan Mediterranean dengan bantuan program komunikasi kedudukan global.

“Arah pandu 248, kiri enam darjah, kanan empat darjah,” kata suara elektronik melalui fon kepala yang memberitahu Koralewska arah yang perlu ditujui.

“Saya suka belayar pada waktu malam sambil mendengar deruan ombak dan bau laut,” kata Koralewska yang juga pakar psikologi dan terapi fizikal berasal dari Opole, Poland.

“Saya sering berhubung dengan pegawai dek bagi mengeluarkan amaran kepada bot nelayan agar berhati-hati kerana saya sedang mengemudi. Namun, sehingga kini tiada kemalangan yang berlaku,” katanya.

Koralewska mengemudi skuner Poland di pelabuhan Alicanter, Sepanyol bersama dengan 30 lagi pelayar dari Jerman, Itali, Latvia dan Lithuania. Separuh daripada peserta cacat penglihatan dan mempunyai masalah berkaitan mata.

Menjelajah

Pelayaran selama enam hari itu melibatkan lokasi di Ibiza kemudian Majorca sebelum berlabuh di Barcelona. Ia merupakan projek awal Yayasan Imago Maris Poland yang bertujuan memberi ruang kepada golongan cacat penglihatan bersama-sama dengan komuniti dan menjelajah ke seluruh dunia.

“Golongan cacat penglihatan sering dipinggirkan. Program ini memberi ruang kepada mereka berkongsi pengalaman hidup dan menjadi sebahagian daripada komuniti. Kami berjaya mengesan beberapa aspek positif.

“Peserta yang bersifat terlalu merendah diri semakin berkeyakinan setelah terbabit dalam program ini,” kongsi kapten kapal, Maciej Sodkiewicz yang juga Naib Presiden Imago Maris.

“Penglibatan golongan cacat penglihatan sebagai anak kapal amat digalakkan,” kata seorang pelayar profesional. Dia yang mempunyai ibu cacat penglihatan memberitahu bahawa ibunya masih mampu menguruskan hal rumah tangga termasuk menyediakan makan malam.

“Program ini mendidik mereka mengenai kehidupan. Ia umpama sekolah. Peserta paling muda iaitu Kuba belajar mengupas kentang di sini. Rutin itu merupakan tugasan lazim seorang suri rumah,” katanya.

“Kami bebas di sini. Ia membuktikan bahawa kami mampu melakukan apa sahaja walaupun penglihatan kami tidak sempurna,” ujar Andri Skirin dari Latvia yang berbadan tegap dan memiliki beberapa rangkaian gimnasium.

“Sejak saya cacat penglihatan, saya memasang impian untuk belayar. Belayar memberikan saya kepuasan dan tenaga selain menghargai nilai kehidupan,” katanya.

“Gelora di laut dan hembusan bayu di tengah-tengah lautan membuatkan saya ketagih belayar,” kata anak kapal Sebastian Barschneider itu.

Komunikasi

Berasal dari Jerman, dia sedikit kecewa kerana tidak fasih bertutur dalam bahasa Poland. Penutur bahasa Inggeris itu mengakui kemampuan komunikasi lisannya terbatas.

Monika Dubiel, 26, yang mengetahui mengenai program itu menerusi rakan-rakannya membuat keputusan untuk menyertai pelayaran tersebut.

“Rakan-rakan sekelas saya memberi cadangan itu. Tanpa berfikir panjang, saya menerima ideanya,” katanya.

“Namun, jika dia mahu saya mengelilingi dunia dengan menunggang unta, saya bersedia menyahut cabarannya,” selorohnya.

Katanya, golongan cacat penglihatan merasai pengembaraan laut menerusi bau dengan meneka bau yang dihasilkan di tengah-tengah lautan dan menghayati hembusan angin.

Tambahnya lagi, bunyi ombak yang membadai badan kapal disulami bunyi layar berkibar ditiup angin cukup mencabar minda mereka.

Setelah beberapa ketika mengemudi, Koralewska memberi laluan kepada anak kapal yang lain untuk mengemudi layar. Dia berjalan berhati-hati ke dek untuk berehat di kabin. - AFP.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat