Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata
langkah kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah untuk menjaga
kepentingan rakyat dan negara bagi tempoh jangka masa panjang.
Perdana menteri berkata walaupun tindakan itu tidak popular namun ia
harus dilakukan memandangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh
kerajaan setiap tahun sangat tinggi.
Malah, katanya, jika langkah itu tidak diambil, ia bakal meninggalkan
kesan kepada ekonomi negara berikutan kekurangan hasil untuk
perbelanjaan negara.
"Tahun lepas subsidi bahan api petrol, LPG dan diesel berjumlah RM24 bilion dan ia bukan jumlah yang kecil.
"Jika jumlah itu kita tidak kurangkan boleh menyebabkan kita tak cukup
hasil untuk menampung perbelanjaan kerajaan," katanya ketika berucap
pada majlis penyampaian watikah dan wakalah lembu korban untuk kawasan
Parlimen Pekan sempena Hari Raya Aidiladha, Ahad ini di Pekan.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob
itu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan menyampaikan 505 ekor lembu
untuk seluruh kawasan parlimen itu.
Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan akan mengumumkan pelbagai
langkah untuk membantu rakyat menghadapi masalah pengurangan subsidi
minyak dalam pembentangan Belanjawan pada 10 Oktober.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata langlah itu termasuk pemberian
subsidi bersasar terus kepada rakyat seperti bantuan persekolahan,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan lain yang akan diumumkan
kelak.
"Dalam bajet akan datang sudah tentu kita akan fikir bagaimana nak bantu
rakyat supaya bantuan terus sampai kepada mereka dan kurangkan
ketirisan supaya ekonomi lebih kukuh, pertumbuhan ekonomi meningkat dan
lebih banyak (hasil) yang boleh kita bagi kepada rakyat," katanya.
Najib berkata kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi pukal
bahan api berikutan berlaku kes ketirisan terhadap pengagihan bahan api
berkenaan kepada rakyat di negara ini.
"Ini kerana subsidi bahan api ketika ini turut dinikmati oleh orang yang
lebih kaya, pelancong, pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin.
"Malah baru-baru ini ketika Pilihan Raya Kecil Pengkalan Kubor, saya
dapati minyak diesel kita banyak diseludup keluar dari Rantau Panjang
untuk dijual di seberang sana (Thailand)," katanya.
Najib dalam pada itu turut mengingatkan rakyat, agar menjadikan elemen pengorbanan, asas dalam mencapai kejayaan.
"Kalau kita sanggup berkorban dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan
apa-apa ganjaran, Insya-Allah kita akan mendapat ganjaran yang
setimpal," katanya.
- Bernama
Najib: Pengurangan subsidi demi rakyat
Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:58
Labels:
Berita
Post a Comment