Headlines News :
Home » » Siapa yang harus bertanggungjawab: Menteri atau penjawat awam?

Siapa yang harus bertanggungjawab: Menteri atau penjawat awam?

Written By Editor Bebas on Friday, 3 October 2014 | 23:54

Oleh Aziz Bari 

Nampaknya pentadbiran Najib telah berdolak-dalik sekali lagi. Kali ini ia melibatkan kebocoran kertas-kertas peperiksaan UPSR yang menjadi tajuk-tajuk utama akhbar pada 12 September. Malah beberapa pihak, seperti Amin Iskandar dari The Malaysian Insider, mendakwa bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan telah berbohong secara terang-terangan.

Perlu diingat bahawa lelaki nombor dua dalam kerajaan Najib itu berkata bahawa ketua jabatan peperiksaan, Dr Na'imah Ishak bersama-sama dengan salah seorang daripada timbalannya akan digantung dengan serta merta. Alasan yang diberikan oleh Muhyiddin adalah insiden tersebut telah menimbulkan persoalan mengenai integriti jabatan itu dan juga sistem peperiksaan awam di negara ini.
Oleh itu, timbalan presiden Umno itu berkata yang kedua-dua kakitangan kanan kerajaan itu perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan itu yang mengakibatkan pembatalan dua kertas, Sains dan Bahasa Inggeris. Dilaporkan bahawa hampir setengah juta pelajar telah terlibat, dan kesemua mereka perlu menduduki semula kertas-kertas ini, yang dijadualkan akan diadakan pada 30 September.

Tetapi dalam masa kurang daripada satu minggu, kerajaan telah membuat pusingan-U. Dalam satu kenyataan media, yang menariknya telah dibuat oleh setiausaha kementerian Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 19 September, Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa kedua-dua pegawai itu tidak digantung tetapi hanya dipindahkan untuk menjalankan tugas-tugas lain yang tidak berkaitan dengan jabatan itu. Penjawat awam nombor satu kementerian itu berkata lagi bahawa kedua-dua penjawat awam kanan itu tidak dihukum, atau digantung daripada tugas.
Jelas bahawa menteri dan penjawat awam kanan kementerian itu telah mempercanggahi antara satu sama lain. Sudah tentu kita boleh mengatakan bahawa setiausaha itu diminta oleh menteri untuk mengurangkan kerosakan, disebabkan kenyataan terdahulunya. Entah bagaimana perkara itu telah menjadi lebih buruk. Pada 21 September, jabatan peperiksaan membuat laporan polis yang mendakwa bahawa dua lagi kertas, Bahasa Tamil dan Matematik, juga telah bocor.
Setakat ini, 14 orang telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan mereka. Sementara itu Madinah memberitahu media bahawa kakitangan awam, mungkin mereka yang berpangkat lebih rendah, akan mengadapi prosiding tatatertib dalaman di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dan sebahagian daripada mereka mungkin perlu dihadapkan ke mahkamah, mungkin di bawah Akta Rahsia Rasmi 1971. Beliau menjelaskan yang jika mereka dibawa ke mahkamah, mereka perlu digantung daripada perkhidmatan awam dan perlu menghadapi pemotongan gaji 50 peratus.
Tidak jelas apa yang berada dalam fikiran Muhyiddin ketika beliau berbicara tentang tanggungjawab dalam sidang media yang dijalankan selepas kebocoran itu. Walau bagaimanapun dari sudut Perlembagaan, itu adalah apa yang beliau perlu lakukan. Sebagai ketua politik Kementerian Pelajaran, beliau bertanggungjawab untuk semua yang berlaku dalam kementerian itu. Sudah tentu kakitangan awam ini akan dihadapkan ke prosiding tatatertib jabatan atau perbicaraan jenayah di mahkamah. Bagaimanapun Muhyiddin dan Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bersama-sama dengan kedua-dua timbalan menterinya, masih perlu bertanggungjawab. Inilah doktrin tanggungjawab menteri. Benar bahawa sebagai menteri, Muhyiddin mungkin tidak mengetahui sepenuhnya rutin atau pengurusan seharian kertas peperiksaan ini. Namun ini tidak melepaskan beliau dari tanggapan tanggungjawab yang dikenakan oleh Perlembagaan. Walaupun beliau mungkin terlepas dari beban prosiding tatatertib atau liabiliti jenayah – beliau adalah seorang menteri dan bukannya penjawat awam – Muhyiddin kekal bertanggungjawab dari segi politik.
Perlembagaan tidak menyatakan apa yang terkandung dalam tanggungjawab ini. Tetapi menteri-menteri dalam semua sistem berparlimen kebiasaannya meletakkan jawatan portfolio mereka, berikutan peristiwa memalukan sebegini. Muhyiddin telah melakukan sebuah kesilapan besar dengan menuding jari kepada penjawat awam secara serta-merta, hanya untuk menarik balik kenyataan itu seminggu kemudian. beliau sepatutnya menunggu dan berbincang dengan kakitangan awam terlebih dahulu.
Tetapi ini merupakan kebiasaan di Malaysia. Tidak seperti di Britain di mana menteri-menteri meletakkan jawatan tanpa diminta selepas kegagalan utama yang membawa aib, menteri-menteri di sini sering menggunakan keadaan sebegini untuk berlagak hero. Mereka sering menjadikannya sebuah platform untuk menuding jari kepada pihak lain, terutamanya kakitangan awam, daripada bertanggungjawab.
Sudah tentu kakitangan awam perlu menghadapi hukuman yang harus mereka tanggungi jika mereka melanggar undang-undang, atau cuai dalam menjalankan tugas mereka. Tetapi ini tidak bermakna bahawa menteri-menteri boleh terlepas begitu sahaja. Kejadian seumpanya mungkin juga menyebabkan kejatuhan keseluruhan kabinet kerajaan, kerana doktrin ini juga melibatkan tanggungjawab kolektif seluruh kabinet, termasuk Perdana Menteri.
Namun ini tidak pernah berlaku di sini. Sebahagian daripada sebab-sebabnya adalah media, yang perlu memainkan peranan utama dalam menuntut tanggungjawab, berada di bawah kawalan mutlak kerajaan. Tetapi saya mengesyaki bahawa ianya juga disebabkan budaya sebegini tidak wujud di sini, di kalangan media alternatif sekalipun, tidak seperti di negara-negara demokrasi maju. Lihat sahaja cara media menangani Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang telah mengelak dari berdebat di Parlimen dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya semasa perbahasan bajet.
Entah bagaimana tokoh-tokoh korporat kita lebih menyedari konsep tanggungjawab. Satu contoh yang baik ialah Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, yang meletakkan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif MRT Corp dengan serta-merta tanpa diminta, berikutan sebuah kemalangan yang meragut tiga nyawa pada pertengahan bulan Ogos. Ini jarang berlaku dan itulah sebabnya tindakan terpuji beliau mendapat pujian dari pengguna-pengguna Twitter. Satu kualiti yang jarang dilihat. Tidak syak lagi bahawa Azhar berada jauh di hadapan, lebih baik daripada Muhyiddin apabila ia melibatkan sikap bertanggungjawab. 
Dr Abdul Aziz Bari merupakan bekas professor undang-undang UIAM yang kini mengajar di UNISEL. Beliau juga merupakan seorang felo kanan di IDEAS dan Institut Pulau Pinang, sebuah badan pemikir dimiliki kerajaan negeri.
-
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat