Oleh Kumaresan Aramugam
Tidak sampai 72 jam kejayaan India menghantar kapal angkasa pertama dari Asia ke Marikh,
kali ini India sekali lagi menjadi tumpuan dunia selepas Mahkamah Agung
Bangalore pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ketua
Menteri Tamil Nadu, Jayalalithaa Jayaram atas kesalahan memiliki
kekayaan melebihi kemampuannya.
Jayalalithaa dijatuhkan
hukuman penjara selama 4 tahun dengan denda Rs100 crore dan ini
menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan sebagai ketua menteri
dengan kadar segera dan tidak boleh bertanding dalam pilihanraya untuk
tempoh 10 tahun akan datang (beliau tidak boleh bertanding dalam
pilihanraya selama 6 tahun selepas tamat tempoh penjara). Hakim
mendapati Jayalalithaa bersalah kerana mengumpul harta secara haram.
Jayalalithaa merupakan ketua menteri yang mempunyai sokongan kuat
daripada penyokongnya di Tamil Nadu didapati bersalah memiliki 28 kg
emas dan 10 ribu pasang sari serta lebih 750 pasang kasut. Selain itu,
beliau juga didakwa memiliki hartanah dengan keluasan melebihi 1,000
ekar di mana semuanya adalah harta di luar kemampuannya sebagai seorang
ketua menteri.
Dengan keputusan
mahkamah hari ini, ianya sekaligus membuktikan badan kehakiman di India
adil dan bebas daripada campur tangan politik dan kuasa pemerintah.
Walaupun perlu akur Jayalalithaa adalah penyokong kuat Parti BJP (Parti
pemerintah kini) di mana di Tamil Naidu sahaja parti Jayalalithaa,
AIADMK menjadi sebahagian parti Pakatan bersama Parti BJP pada
pilihanraya 2014 dan menang 30 daripada 39 kerusi parlimen yang
dipertandingkan dan membantu BJP untuk membentuk kerajaan pusat.
Namun, seperti yang dijanjikan Perdana Menteri India, Narendra Modi
dalam manisfesto pilihanrayanya, beliau dengan segala kekuatan akan
memerangi rasuah tanpa memilih bulu sama ada mereka yang terlibat
merupakan pegawai kerajaan, orang kenamaan ataupun ahli politik. Syabas
dan tahniah diucapkan kepada Modi kerana beliau menunaikan janjinya
dengan mendukung intergriti untuk membanteras gejala rasuah dan salah
guna kuasa pemimpin politik di India.
Namun, di Malaysia
sebaliknya yang berlaku. Kita masih menunggu bilakah Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janji beliau ketika
menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya Transparency International
semasa pilihanraya umum ke-13. Ikrar itu menetapkan calon-calon Barisan
Nasional akan mematuhi prinsip benar, tatalaku beretika dan
akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah. Walau hal
sehingga hari ini janji tersebut hanya tinggal sebagai janji dan tidak
kelihatan sebarang langkah proaktif yang diambil kerajaan BN untuk
memerangi gejala rasuah sama ada melibatkan pemimpin politik, penjawat
awam atau golongan berprofil tinggi.
Walaupun badan-badan bukan
kerajaan (NGO) seperti MyWatch ada mendedahkan beberapa kes salah laku
yang melibatkan pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi dan ahli
politik namun, laporan tersebut hanya tinggal sebagai laporan dan tiada
sebarang tindakan diambil pihak kerajaan dan kes akan ditutup dengan
jawapan "No Further Action" (NFA).
Di manakah kebebasan dan
integriti badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia?
Hakikatnya badan-badan keadilan di Malaysia masih dicengkam kuasa
pemerintah dan kebebasan badan-badan keadilan ini hanya akan tercapai
apabila anak-anak muda bersatu dan berani mengambil cabaran untuk
menukar kerajaan pemerintah seperti yang berlaku di India pada
Pilihanraya 2014. – M/Insider
* Penulis ialah Exco Pusat Angkatan Muda Keadilan dan juga ialah Naib Ketua AMK Negeri Pulau Pinang.
Apa sudah jadi dengan perjanjian integriti pilihanraya Najib?
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 02:59
Labels:
Pendapat
Post a Comment