PAS tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib
Razak mengekalkan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda Global
Venture Holdings Berhad (FGV).
Punca masalah Felda hari ini
kebanyakannya datang daripada FGV dan pengurusan Isa. Mengekalkan Isa di
FGV akan menyebabkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad sukar melaksanakan
langkah-langkah memulihkan Felda.
Contohnya, apakah Shahrir mampu
melaksanakan agenda pemulihan Felda yang melibatkan pembatalan
keputusan-keputusan yang dibuat Isa sebelum ini terutamanya urusan yang
melibatkan FGV tanpa sebarang gangguan daripada Isa? Bagaimana pula
dengan pembelian Eagle High Plantation?
Apakah Shahrir dapat
melakukan apa yang betul untuk menyemak semula pembelian ini yang turut
dikritik adik PM, Dato’ Nazir Razak sendiri tanpa perlu bertembung
dengan Isa?
Isu pembelian EHP akan memberi petanda yang jelas
apakah Shahrir bebas mentadbir Felda ataupun penyusunan ini hanya
sekadar wayang untuk mengalihkan kemarahan para peneroka daripada Isa.
PAS
menjangkakan Shahrir dan Isa bakal bertembung, dan ini akan menjadi
satu persaingan politik yang tidak perlu di dalam Felda yang bakal
merugikan Felda dan khasnya peneroka. Sepatutnya Isa perlu dibuang terus
daripada Felda.
PM juga berkata akan wujudnya “pembahagian
tanggungjawab” iaitu terhadap kebajikan dan sosio-ekonomi peneroka, dan
perniagaan FELDA dengan penyusunan terbaru Felda ini.
Penyusunan
Felda boleh dijadikan cermin buat PM. Sekiranya betul PM dapat memahami
pentingnya “pembahagian tanggungjawab”, diharap beliau dapat melepaskan
jawatan Menteri Kewangan dengan kadar segera.
Pembahagian
tanggungjawab antara PM dan Menteri Kewangan adalah sangat penting dalam
mewujudkan sistem semak dan imbang di antara apa yang cuba dilakukan PM
dengan kemampunan dan kepentingan kewangan negara.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS 7 Januari 2017
Pengerusi baharu: Patut jadi cermin kepada PM
Written By Unknown on Saturday, 7 January 2017 | 11:09
Labels:
Artikel,
Penulis Tamu
Post a Comment