Headlines News :
Home » » Berhubung Multaqa Ulama II

Berhubung Multaqa Ulama II

Written By Unknown on Sunday, 1 March 2015 | 22:40

Oleh Ustaz Ahmad Awang

Muqaddimah
T
erlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas berlangsunya program Multaqa Ulama II yang baru sahaja selesai diadakan. Usaha untuk menghimpunkan keseluruhan ahli PAS yang berlatar-belakang pendidikan agama melalui suatu Multaqa adalah satu usaha besar yang sudah pastinya penuh cabaran. Mungkin tidak salah kalau dikatakan ianya merupakan usaha menghadirkan keseluruhan kekuatan dan kemampuan ulama’ PAS dari seluruh negara demi menzahirkan peranan dan pengaruh ulama di dalam PAS.
Persepsi dan harapan
Oleh kerana ianya digambarkan sebagai “program mega” yang begitu sifatnya, maka tidak salah kalau dikatakan bahawa harapan rakyat, dan ahli PAS khususnya, pasti begitu tinggi. Mungkin diharapkan bahawa ianya akan menperjelaskan lagi arah tuju PAS sebagai rakan PR, yang sambil bergerak dalam kerangka PR, dapat mencapai aspirasi perjuangannya. Sudah pasti seluruh rakyat mengharapkan kemelut yang berterusan di dalam PR, entiti politik yang dilihat sebagai harapan rakyat untuk menggantikan BN, akan dapat ditamatkan atau paling kurang dilunturkan hasil Multaqa ini. Kemungkinan diharapkan bahawa golongan ulama akan memberi nasihat dan tunjuk ajar yang berpaksikan carian mereka dari khazanah keilmuan Islam yang begitu luas sehingga segala masaalah dan perbalahan dapat diatasi berlandaskan al quraan dan as sunnah. Bagi ahli PAS pula, pastinya harapan yang tinggi bahawa perbalahan dalaman yang seolah-olah tidak terurus, sehingga mengusutkan lagi perasaan ukhuwwah dan silaturahim dalam PAS itu sendiri, akan akhirnya dapat ditangani melalui kata-kata permata yang akan dihasilkan dari Multaqa ini. Kerana semestinya golongan ulama’ yang berkumpul melalui Multaqa ini akan dapat melihat dan merasai keperluan kepada penyelesaian perbalahan yang semakin meruncing. Sewajarnya golongan ulama akan memberikan peringatan berhubung soal ukhuwwah dan persaudaraan dalam Islam. Sudah pasti kesan dari Multaqa ini adalah penyatuan hati dan merapatkan saff, bukan sebaliknya.
Antara idealisme dan kenyataan
Malangnya, apa yang diharapkan jelas tidak tercapai. Rakyat yang mengharapkan pembelaan kerana bakal ditimpa berbagai corak tekanan, samada ekonomi, sosial mahu pun politik sudah pasti merasa hampa dan kecewa. Bukan sekadar tidak memenuhi harapan bahawa PR dapat dikukuhkan dan ditunjukkan jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dan bermakna malah diungkitkan permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan kemungkinan tergadainya prinsip Islam dengan penyertaan PAS dalam PR. Secara umum ianya merupakan usul yang sama seperti usul Multaqa Ulama’ yang dianjurkan dua tahun lepas yang meminta tahaluf Siyaasi “dikaji semula”. Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa “kajian semula,” itu bermaksud “kaji semula ke arah memperbaiki dan mempekukuhkan lagi”!
Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya? Tidakkah hasil kajian itu patut dikemukakan dalam Multaqa II, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana perbalahan yang dihadapi dewasa ini? Sudah pasti cadangan-cadangan dari Multaqa Ulama II ke arah pengurusan perbalahan dan penyelesaiannya amat sangat dialu-alukan. Malangnya, cadangan sedemikian rupa tidak sama sekali dikemukakan. Sebaliknya diulang kembali kekhuatiran dan ketakutan yang sama.
Begitu juga hampa dan kecewa pastinya ahli PAS yang sedang melihat perbalahan dalaman yang semakin meruncing. Multaqa Ulama tidak menyediakan kata-kata hikmah serta kaedah bijaksana bagaimana ianya perlu diurus dan ditangani. Apa yang dilakukan sebaliknya adalah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membara, tidak mendatangkan penyelesaian tetapi sebaliknya merumitkan lagi. Ianya seolah-olah mengesahkan tuduhan-tuduhan liar bahawa ada pihak yang membawa fahaman sekular liberal dalam PAS, adanya usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya. Sedangkan ianya semua adalah pertuduhan yang bersifat rambang. Adakah perlu majlis sebesar dan sepenting Multaqa Ulama II membincangkannya tanpa pernah di buat “tabayyun” dan membawa bukti lalu terus menjatuhkan hukuman?
Persoalan Utama
Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh Multaqa ini? Mengusahakan perpecahan PR atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saff dalaman PAS atau merenggangkannya? Yang dilihat, ianya dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat ia menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.
Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program-program Liqa’, Neqad, Ijtima’dan Multaqa itu sendiri adalah tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain? Amat malanglah sekiranya ianya benar sehingga tumpuan usaha Ulama yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri. Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama’, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al quraan dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.
Harapan ahli adalah supaya Multaqa Ulama II bebas dari politiking yang sebegini dan persidangan ini akan mengeluarkan usul mengutuk tadbir urus kerajaan Umno-BN yang rosak dan tempang, dasar ekonominya yang membebankan rakyat, politiknya yang rakus dan zalim serta salah-guna kuasa yang terang dan nyata. Harapan ahli adalah supaya Multaqa ini menjadi pendorong untuk meningkatkan usaha menjatuhkan Umno/BN supaya Islam boleh bebas membangun. Dengan itu juga saff yang telah sengaja direnggangkan oleh golongan tak bertanggung-jawab dapat dirapatkan kembali.
Tetapi tidakdemikian. Agenda perubahan bagaikan hilang dengan tiupan bayu dan alunan lagu “perpaduan melayu” yang di mainkan Umno dan konco-konconya terutama selepoas musibah “tsunami kecil” di Kelantan pada akhir tahun lalu. Maka yang tinggal hanya perbalahan dalaman PAS dan PR. Adakah golongan Ulama PAS sudah hilang fokusnya dan tidak mampu memimpin perubahan ke arah keadilan dan negara berkebajikan?
Peringatan untuk  golongan Ulama
Saya sebagai mantan ahli majlis syura ulama (MSU) berbelas tahun merasa dukacita dan kesal ianya tidak menzahirkan kehebatan dan kepimpinan ulama’ sepertimana yang saya harapkan. Saya tertanya-tanya apakah tokoh multaqa yang lebih sepuluh orang finalis pembentang dan pembahas itu terlupa pad perintah Allah seperti yang terkandong dalam firmanya yang bermaksud:
Maka berkat rahmat Allah , engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitar mu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkan lah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad maka bertawakkal lh kepada Allah. Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakkal (Ali Imran:159)
Hadis Rasulullah (SAW) “Al-Ulama warasatul Anbiayaa” atau Ulama adalah pewaris para Nabi bukan merupakan tiket untuk mendapat pujian dan dokongan serta kedudukan dan jawatan. Ianya sebaliknya merupakan amanah dan wawasan yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh mereka yang digelar Ulama. Supaya mereka akan ke depan memimpin masyarakat dengan ilmu dan ketaqwaan. Kepimpinan ini pula bukan untuk dituntut atau ditagih atas alasan “saya ulama”, tetapi sebaliknya  diperolehi dan dimenangi melalui proses perjuangan bersama rakyat sehingga kelebihan seseorang ulama terserlah. Itu jugalah proses yang dilalui Rasulullah (SAW) yang akan mampu menyerlahkan diri manakala ulama’ uddunia, walau panjang mana senarai ijazahnya, akan terpinggir dan ditinggalkan. Ini adalah kerana ilmunya tidak dihayati mencorakkan diri dan kehidupannya.
Pada masa yang sama, hendaklah sentiasa diingati bahawa ilmu dan kefahaman berhubung agama Allah ini ianya adalah milik Allah. Allah boleh memberi kefahaman mengenai agama kepada sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya.
Ketahuilah oleh itu bahawa ramai yang telah bersama PAS, walaupun tidak mempunyai kelulusan resmi dari institusi pendidikan agama, sememangnya berilmu dan bukan dari golongan Juhalaa. Ilmu itu bukan semata-mata terletak pada sijil atau ijazah Universiti, tetapi terletak pada hujjah keilmuan dan intelektual. Oleh itu segala yang ingin diusahakan perlu dikemukakan dan dihujjahkan dengan jelas dan tersusun. Jangan dituntut ketaatan atau wala dengan secara membuta tuli atau taqlid tetapi perjelaskan dan pertingkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat. Jangan perlekehkan mereka yang tidak berpendidikan agama secara resmi, sedangkan mereka mungkin memahami banyak persoalan dengan lebih mantap . Didikan yang telah mereka perolehi adalah didikan amali haraki bersama perjuangan Islam yang dipimpin ulama muktabar.
Kesimpulan
Adalah diharapkan bahawa golongan ulama akan membebaskan diri mereka dari amalan “politiking” sempit dan sebaliknya membina imej mereka sebagai badan yang bebas dari kepentingan jawatan dan pangkat atau kepentingan duniawi. Mereka perlu memperlihatkan ulama sebagai kumpulan ilmuan yang memimpin arus perubahan dengan menentang kezaliman dan penyelewengan. Dengan itu mereka akan diterima sebagai pemimpin ummah dan melayakkan diri ke status “warasatul anbiyaa”. Zahirkan ketajaman keilmuan dengan membedah permasalahan kontemporari dan mengemukakan penyelesaiannya sambil menjadi pihak yang berdiri teguh di pihak keadilan dan kebenaran.
Itulah proses yang dimulakan pada tahun 1982 apabila konsep kepimpinan ulama mula-mula diutarakan dengan tertubuhnya majlis syura ulama. Proses ini masih lagi dalam perlaksanaannya dan MSU itu sendiri perlu terus di perkasakan. Jangan golongan ulama hilang fokus.
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat