Oleh Shamiel Fikri
Kisah cinta Stephen Hawkings dan Jane Wild dirakamkan indah sekali dalam "The Theory of Everything".Kyai Dahlan, dan Soekarno masing-masing diagungkan dalam "Sang Pencerah" dan "Soekarno".
Nelson Mandela, Martin Luther King, ada filem tentang mereka, pecah panggung semuanya.
Pemergian
Tuan Guru Nik Aziz tiada filemnya. Kisahnya tidaklah seindah mana,
rumahnya biasa, orangnya sederhana, namanya pernah diperbodohkan media.
Namun, inilah kisah pejuang sebenar. Seorang pemimpin yang disanjungi semua.
Pemergian TGNA adalah kehilangan yang besar. Saat hidupnya ada yang
berbalah, bertikam lidah, saling berpecah sesama sendiri. Tapi saat
perginya, semua menangis hiba. Semua duduk bersama, tidak peduli sudut
dan pihak mana.
Dunia menyaksikan ramai tokoh agamawan yang hebat, telah membawa perubahan yang besar dalam arena politik global.
Mahatma Gandhi, seorang peguam Hindu terkenal yang berpegang pada
falsafah Ahmisa (pasifisme), beliaulah juga pejuang kemerdekaan India.
Sosok itu yang melancarkan perang saraf "Satyagarha" yang menentang
kongkongan ekonomi British terhadap rakyat India.
Martin Luther
King, seorang pejuang hak asasi dan keadilan sosial adalah seorang
penganut Kristian yang baik. Beliau menyatakan dalam salah satu ucapan
terkenalnya yang bertajuk "l've been to the mountaintop"; perjuangannya
adalah untuk menjalankan kehendak Tuhan.
Seandainya pada era
ini, ramai yang menentang pemimpin politik yang "bertuhan" dan kuat
beragama, maka beberapa tokoh-tokoh ini masih mampu memberi harapan
masyarakat bahawa pemimpin yang beragama itu masih boleh diharapkan.
Salah seorangnya adalah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.
Beliau
bukan sekadar pemimpin negeri Kelantan, bukan hanya Mursyidul Am Parti
Islam Se-Malaysia. Sumbangannya banyak sekali, bukan sekadar terkenal
dalam usaha menyatukan Pakatan Rakyat pada tahun 2008.
Karismanya bukan hanya dikagumi di negara Malaysia sahaja khususnya.
Malah, jasanya dikenali dan turut dirasai oleh Umat Islam di serata
dunia amnya.
Saat "ulama-ulama" yang lain sibuk menuding jari
dengan isu anjing dan yoga, tenggelam dengan hukum halal dan haram babi
dalam coklat. TGNA fokus pada usaha menyatukan umat. Di hatinya risau
memikirkan akan masa depan Islam dan Malaysia.
Pemimpin Muslim sedemikian, adalah pemimpin yang perlu dicemburui oleh pemimpin Islam yang lain hari ini.
Bukan sekadar kerana serban dan jubah yang menghiasi tubuh. Bukan jua
sekadar kerana akhlak dan keindahan peribadi pemimpin agung ini yang
perlu diteliti. Malah kecekapan mentadbir, ketelusan memimpin, ketegasan
dan sifat berprinsip TGNA selama ini, itu adalah kualiti yang paling
sukar dicari dalam mana-mana pemimpin dunia abad ini!
Tuan Guru
Nik Aziz Nik Mat, inilah dia pemimpin yang dirindui. Seluruh air mata
rakyat menjadi bukti kehilangan yang besar ke atas Malaysia.
Hayat TGNA semasa hidupnya adalah contoh terbaik yang mencorakkan sikap
"umara" (pemimpin) dan "ulama" (ilmuwan) yang patuh pada Tuhan dalam
masa yang sama cekap dalam pemerintahan.
Meski tiada filemnya,
tiada drama tentangnya, di hati rakyat, di situ terpahat nama dan
ingatan mereka pada insan ini! Berehatlah, TGNA. Al-Fatihah.
Home »
Penulis Tamu
» TGNA di hati semua
TGNA di hati semua
Written By Unknown on Sunday, 15 February 2015 | 15:03
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment