Oleh Lokman Mustafa
Al-Fatihah
Ketika
bertemu Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri sekitar bulan Mei
tahun lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbicara soal kematian.
Katanya, selepas membaca beberapa ayat daripada Al-Quran:
“Kita perlu percaya kepada alam selepas kematian. Saya dilahirkan pada
1931, sebelum itu tiada Nik Aziz. Nik Aziz bukan dicipta ibu bapa atau
mana-mana syarikat. Allah mencipta kita daripada tidak wujud kepada
wujud. Kita perlu percaya kepada Allah. Islam bermaksud berserah kepada
ketentuan Allah.”
“Saya mungkin mati malam ini, esok atau
bila-bila sahaja. Tetapi ada hidup selepas mati. Seperti mana saya
wujud, selepas tidak wujud; akan ada hidup selepas mati. Saya tidak
wujud sebelum ini, kemudian diwujudkan; saya akan mati, tetapi akan
diwujudkan semula di alam selepas kematian.” Ilmuwan Islam itu
menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam, 12 Januari berikutan
masalah prostat yang dialaminya sekian lama. Allahyarham berusia 84.
Lautan manusia dilaporkan mengunjungi jenazahnya hari ini dari jauh
dan dekat bagi merakamkan penghormatan terakhir buat Allahyarham. Tentu
ramai yang bakal memberikan kata-kata semangat buat ahli keluarganya.
Malah, mungkin ada yang akan berkata, “Jangan bersedih”, meminjam judul buku terkenal karangan Aaidh ibn Abdullah al-Qarni.
Di arena politik tanah air, Allahyarham Nik Aziz akan dikenang sebagai
tunjang kekuatan PAS terutamanya dalam tempoh 30 tahun kebelakangan
ini.
Sejak menerajui parti Islam itu melakar kemenangan pada
Pilihan Raya Umum ke-8 pada 1990, ketokohan mursyidul am PAS itu memang
sukar ditandingi.
Allahyarham mengharungi pelbagai macam
cabaran di dalam mengekalkan pentadbiran PAS di negeri Kelantan. Kini
Allahyarham meninggalkan segalanya di dunia ini bagi kembali kepada
Pencipta.
Jasa Almarhum Nik Abdul Aziz di dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia akan dikenang sentiasa.
Berehatlah Tok Guru
Pemergian Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat
Written By Unknown on Sunday, 15 February 2015 | 15:01
Labels:
Artikel
Post a Comment