Siapakah dia penumpang misteri yang menggunakan pesawat
negara 9M-NAA mengelilingi dunia penghujung tahun lalu hingga kita belum
terdedah kepada umum. Pesawat Airbus 319 kontroversi tersebut direkod
menggunakan laluan Honolulu - Los Angeles - Indianapolis - Los Angeles - New
York - Dubai - Bangkok dan kemudiaan pulang ke Kuala Lumpur.
Di zaman Malaysia mempunyai ramai bijak pandai hasil
‘kejayaan’ BN memerintah ini, kos minyak penerbangan dengan menggunakan laluan
tersebut boleh dikira.
"Dengan harga minyak jet antarabangsa RM7.68 per gelen,
penumpang misteri di atas jet 9M-NAA menggunakan minyak jet yang bernilai
RM494,404!
"Jumlah ini masih belum mengambil kira kos pengupahan juruterbang, kos pendaratan kapal terbang, kos parkir pesawat, kos penyimpanan pesawat (hangar fee), kos tanjakan pesawat (ramp service), kos penyelenggaran jet dan lain-lain," dedah Ketua Penerangan Pemuda PKR, Lee Chean Chung.
9M-NAA adalah pesawat khas yang diguna untuk penerbangan
Ketua Negara dan Ketua Kerajaan Malaysia.
Daripada semua laluan yang direkodkan itu Perdana Menteri menggunakannya
untuk ke Honolulu pada 20 Disember bagi tujuan bermain golf dengan Presiden
Barrack Obama. Turut dilaporkan bersama Najib ialah isterinya Rosmah serta ahli
keluarga mereka. Selepas itu beliau bergegas pulang ke tanahair menggunakan
pesawat komersial
dari AS ke Hong Kong dan kemudiannya dijemput dengan sebuah lagi pesawat
kerajaan. Najib terpaksa pulang ke tanahair selepas menerima kecaman dari
seluruh rakyat Malaysia dalam media sosial kerana masih sempat bersukaria
dengan Obama di saat rakyat mengalami bencana banjir yang teruk.
Jurucakap
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan bahawa pesawat tersebut tidak
digunakan oleh keluarga Najib (selepas Honolulu) tetapi mengalami masalah
teknikal. Tidak pula dijelaskan apa masalah teknikal yang dialami sehingga
terpaksa diterbangkan ke Los Angeles - Indianapolis - Los Angeles
- New York - Dubai – Bangkok. Mungkin kerosakan teknikal pada pesawat. Mungkin
ia mengalami kerosakan, manakala alat ganti cuma terdapat di Los Angeles.
Mungkin bila tiba di Los Angeles kedai alat ganti pula didapati ditutup pada
hari tersebut lalu mereka terpaksa dapatkannya di New York. Macam-macam andaian
boleh dibuat.
PMO yang lebih tahu secara terperinci wajar menjelaskannya kepada
rakyat kerana duit yang dibelanjakan untuknya adalah terlalu banyak. RM494,404
kos minyak boleh digunakan membeli 247 tan (247,202 kg) beras untuk diagihkan
kepada mangsa banjir.
Terdapat khabar angin yang mengatakan semua penerbangan tanpa
Najib diisi oleh manusia bernama Rosmah Mansor untuk pergi bercuti dan membeli
belah. Zaman langit tanpa sempadan, bahan tidak benar tersebar dengan mudah. Maka
apakah dakwaan yang dibuat terhadap Rosmah itu satu fitnah?
Rosmah adalah isteri Perdana Menteri, jika benar dakwaan itu
maka imej Perdana Menteri yang terjejas kerana isu penyalahgunakan harta benda
rakyat . Maka tidak salah jika Kementerian Penerangan melalui semua media yang
mereka kuasai membuat penjelasan khas kepada rakyat Malaysia bahawa penumpang
istimewa yang misteri itu bukan Rosmah. Bersihlah imej Perdana Menteri selaku
ketua kerajaan Malaysia. Pegawai-pegawai Kementerian Penerangan memang dibayar
gaji untuk membersihkan imej kerajaan. Lakukanlah kerja tersebut. Mengapa susah
sangat semua entiti dalam kerajaan Pusat untuk memberi penjelasan berhubung
perkara sebenar di sebalik isu 9M-NAA sehingga mengundang pelbagai spekulasi?
Ketua
Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, soal
menggunakan pesawat khas bukannya isu besar tetapi sengaja diperbesarkan oleh
mereka yang suka membuat onar politik untuk memburukkan kerajaan.
“Penggunaan
pesawat tersebut telah diluluskan oleh kerajaan dan selaku ketua negara ianya
bukan satu kesalahan menggunakannya bersama keluarga,” ujarnya. (Nota: dalam
perlembagaan Ketua Negara adalah Yang Di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri
adalah Ketua Kerajaan).
Syed
Ali bersimpati dengan Rosmah yang terpaksa menguruskan percutian tersebut tanpa
suami. “Rakyat sepatutnya berfikir apa perasaan keluarganya yang terpaksa meneruskan
percutian tanpa Najib. Kita sendiri boleh bayangkan bagaimana perasaan mereka,
tetapi mereka redha kerana faham tugas Najib selaku Perdana Menteri yang perlu
bersama rakyat yang dilanda musibah banjir,” ujar beliau. Kipas, ampu atau
bodek itu kita tak tahu namun kenyataan pemimpin Umno bahagian itu semacam dapat
menjawab teka teki, siapakah penumpang istimewa yang menyalahgunakan pesawat
tersebut.
Jika
Syed Ali dilantik oleh Najib sebagai Menteri Penerangan maka rakyat tidaklah
teruk membuat spekulasi siapakah gerangannya yang telah menyalahgunakan jet
negara dan mengorbankan setengah juta RM duit rakyat itu.
Tiada
siapa kisah jika isteri mana-mana pemimpin kerajaan berserta keluarga mereka
hendak keluar negara makan angin. Pergilah, sampai tak balik-balik pun. Cuma
jangan guna kemudahan kerajaan dan duit rakyat untuk bermewah-mewah dan
bersukaria. Duit mereka bermewah itu adalah cukai yang dikutip dari rakyat
bawahan. Gunalah duit sendiri. Sewa kapalterbang sendiri kalau mampu.
Jalanlah ketika rakyat bawahan tidur di bawah khemah kerana
rumah musnah dilanda banjir, keluarga pemimpin berjoli sakan di gudang membeli
belah di luar negara. Itu zalim namanya!
Post a Comment