Oleh Dinsman
Betul,
dulu saya menyanjung Tok Guru Nik Aziz dan sekarang pun saya masih
menyanjungnya,
kerana Nik Aziz yang dulu dengan Nik Aziz sekarang
adalah orang yang sama; hanya bezanya sekarang dia semakin uzur dan peranannya dalam politik PAS jauh berkurangan dan tidak seefektif dulu.
Itulah jawapan kepada salah seorang pembaca yang bertanya, sebagai
respons kepada tulisan saya yang mengkritik ulama dalam PAS, awal
Disember 2014. Soalannya – kenapa dulu saya begitu menyanjung Tok Guru
Nik Aziz tetapi sekarang mengkritik ulama?
Saya tidak
mengkritik ulamanya Nik Aziz, tetapi saya mengkritik segelintir ulama
lain yang menduduki beberapa jawatan penting dalam pimpinan atasan PAS
dan mempengaruhi perjalanan parti itu, bukan sahaja sebagai natijah
keberkesanan kepemimpinannya (seperti yang berlaku pada kepemimpinan
Nik Aziz), tetapi juga melalui kempen yang digerakkan dengan sedar bagi
menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam kedudukan mereka di dalam
parti.
Itulah yang saya maksudkan
apabila saya kata mereka itu “kehilangan keyakinan diri”. Orang yang
mempunyai keyakinan diri yang teguh seperti Nik Aziz dan juga Almarhum
Ustaz Fadzil Noor misalnya tidak pernah berasa kedudukan mereka
terancam dan tidak pernah berasa perlu menggerakkan kempen bagi
menyingkirkan pihak yang dianggap mengancam dan menyaingi kedudukan
mereka.
Bahkan mereka menerima dan meraikan kehadiran golongan
profesional dan intelektual tersebut (yang dianggap memberi ancaman dan
saingan itu) yang mahu berjuang bersama bagi mencapai matlamat parti.
Satu hal yang sangat jelas menjadi asas kepemimpinan Nik Aziz (dan
juga Fadzil Noor) ialah penekanan dan fokus yang diberikan kepada
dakwah Islamiyah sentiasa berada di atas daripada segala kepentingan
dan pertimbangan lain, termasuk kepentingan politik parti.
Perhatikanlah isi ceramah Nik Aziz misalnya, walau di manapun dan dalam
situasi apapun dia berucap, termasuk dalam kempen pilihanraya
sekalipun, dia sentiasa bercakap mengenai ajaran Islam begitu dan begini
dan sentiasa berusaha memberi penerangan dan penjelasan dari pelbagai
sudut, menggunakan bahasa dan perbandingan yang paling mudah difahami
orang ramai. Mengenai ajaran Islam. Bukan mengenai kebaikan parti PAS.
Dan dia sentiasa menegaskan kerja dakwah yang dilakukan, bersama alim
ulama lain termasuk guru-guru pondok adalah sebagai kesinambungan
daripada kerja yang dilakukan oleh para ulama dahulu, sejak zaman
berzaman, yang dimulai oleh para Rasul. Begitu dia menjelaskan kedudukan
para ulama, tanpa ada kecenderungan berpolitik (atau kelihatannya
seperti tidak ada kecenderungan berpolitik).
Saya sendiri
beberapa kali mendengar Nik Aziz menasihati para pimpinan PAS supaya
kurangkan bercakap mengenai PAS dan lebihkan bercakap mengenai Islam
kerana tujuan dan matlamat perjuangan PAS ialah Islam. Bahkan beliau
juga pernah berkata sekiranya Umno mengubah dasar perjuangannya
daripada nasionalisme kepada Islam, PAS akan membubarkan partinya
kerana tidak diperlukan lagi, kerana Umno sudah berjuang untuk Islam.
Begitu sekali Nik Aziz menjunjung Islam itu di atas dari
segala-galanya, dan menganggap segala gerak kerjanya sebagai ibadat
kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan, dan sentiasa mengingatkan
orang ramai terhadap kehidupan akhirat – hingga kelihatan seperti dia
tidak ada masa memikirkan soal kepentingan diri atau kepentingan untuk
mempertahankan kedudukan dirinya di dalam parti.
Sebab itu
apabila pihak lawan menuduh PAS memperalatkan Islam untuk mencapai
kepentingan politik, tuduhan itu dilihat awam sebagai tidak mempunyai
kewajarannya.
Berbeza dengan sekarang. Bukannya orang lain,
orang dalam parti sendiripun sudah mula membuat tuduhan yang seperti
itu – “mereka itu memperalatkan agama untuk kepentingan diri.” Orang
sesama parti yang mengata. Kalau orang sesama parti pun sudah berkata
begitu, bagaimanakah pula kita akan berhujah mempertahankan parti
sekiranya pihak lawan menuduh demikian kepada kita?
Itulah
yang membezakan ulama dulu dengan sekarang. Ulama dulu kurang
berpolitik tetapi lebih berdakwah dan bercakap mengenai Islam, bukan
mengenai parti. Ulama sekarang terlalu banyak berpolitik dan menjaga
kepentingan diri dan puak.
Dan itulah yang membezakan Nik Aziz
dengan segelintir individu yang menganggap diri mereka sebagai ulama
sekarang, yang menduduki beberapa jawatan penting dalam PAS, termasuk
dalam Majlis Syura Ulama – badan tertinggi dalam parti.
Apabila mereka mula berkempen untuk mempertahankan diri atau
menjaminkan jawatan tertentu dalam parti untuk mereka dan menyingkirkan
golongan profesional dan intelektual yang dianggap menyaingi mereka,
saya melihat itu sebagai tanda mereka sudah kehilangan keyakinan diri.
Apatah lagi apabila kempen itu sudah menjadi ala-ala kempen di dalam
Umno, akhlak mereka yang terlibat itupun sudah larilah daripada akhlak
yang dianjurkan Islam. Di situ imej Islam sudah tercalar.
Selain itu banyaklah lagi tindakan dan gerak kerja mereka yang suka
menonjolkan diri sebagai ulama di dalam PAS itu yang menyimpang daripada
‘jalan’ yang dilalui Nik Aziz. Bukan saya mengatakan jalan yang
dilalui Nik Aziz itu sahaja satu-satunya jalan yang diiktiraf Islam.
Saya hanya mengatakan Nik Aziz menunjukkan satu jalan Islam yang
diterima oleh orang ramai yang pelbagai kaum, pelbagai budaya dan
pelbagai agama di negara ini. Suatu pencapaian yang cukup besar bagi
parti PAS dan juga bagi Islam kerana bukannya mudah untuk orang ramai
yang bukan Islam pada hari ini hendak menerima pimpinan Islam.
Kempen dan dakyah Amerika-Zionis melalui pelbagai media yang nyata dan
tak-nyata hari ini mempengaruhi bukan sahaja orang bukan Islam tetapi
juga sebahagian orang Islam yang lemah imannya, memandang Islam itu
hanya agama untuk ibadat peribadi sahaja, manakala untuk urusan
kehidupan mereka lebih percayakan sistem-sistem sekular.
Maka
amatlah menghairankan saya kenapakah khazanah pencapaian Nik Aziz yang
sangat berharga untuk PAS dan juga untuk Islam tidak dipelihara dan
dipertahankan oleh para ulama di dalam PAS hari ini. Malah mereka yang
diamanahkan untuk mentadbir negeri Kelantan setelah Nik Aziz
melepaskan
jawatan menteri besar pun nampaknya tidak begitu bersungguh meneruskan
‘jalan’ yang dilalui dan dibuktikan keberkesanannya oleh Nik Aziz itu.
Bukanlah mereka mengabaikannya langsung. Banyak juga yang mereka
hargai dan mereka teruskan. Tetapi banyak pula kecacatan dan kelemahan
dalam mereka meneruskan itu. Apakah kerana kurang
memahami/menghayatinya atau kerana mencuba membuat pembaikan atau
membuat penyesuaian dengan keperluan baru – saya tak tahulah.
Yang jelasnya nampak seperti mereka kurang menghargai dan
menghayatinya. Walaupun ada ditubuhkan Institut Pemikiran Tok Guru
(IPTG) misalnya, tetapi apakah fungsi dan peranan yang dimainkan oleh
institut itupun setakat ini tidak jelas.
Misalnya dalam
pergolakan yang berlaku di kalangan ulama di dalam PAS mutakhir ini,
saya fikir barangkali IPTG boleh melakukan sesuatu, samada reaksi
secara langsung ataupun tidak langsung. Tetapi nyatanya tidak.
Home »
Penulis Tamu
» Berakhirkah sudah legasi Tok Guru Nik Aziz?
Berakhirkah sudah legasi Tok Guru Nik Aziz?
Written By Unknown on Thursday, 15 January 2015 | 12:57
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment