Oleh Shahbudin Husin
Sebaik dipilih menjadi Presiden Indonesia, langkah Joko Widodo atau Jokowi yang paling menarik
perhatian negara kita ialah tentang amarannya untuk menenggelamkan
kapal nelayan Malaysia yang didapati menceroboh perairan negara itu.
Jokowi ketika itu dilaporkan berkata, pendekatan menenggelamkan itu
didapati paling berkesan untuk mencegah pencerobohan nelayan asing
daripada terus berlaku dan juga untuk menjaga kepentingan nelayannya
sendiri.
Kita akan tangkap dan selamatkan dulu
nelayan-nelayan yang menceroboh itu sebelum kapalnya kita letup dan
tenggelamkan, demikian Presiden Indonesia daripada golongan marhaen itu
dilaporkan memberi amarannya tidak lama dahulu.
Hari ini sebagaimana yang dilaporkan oleh kebanyakan media,
pemerintah Indonesia membuktikan kata-kata itu dengan meletupkan
sebuah kapal nelayan tunda yang dipercayai milik Malaysia di perairan
Pulau Pandan, Sumatera Utara.
Sebelum ia diletupkan, kesemua empat
orang anak kapalnya daripada warganegara Myanmar diselamatkan terlebih
dahulu dan mereka akan dihantar ke Jabatan Imigresen sebelum
diibenarkan pulang.
Meskipun ada yang menganggap tindakan
Indonesia itu keterlaluan tetapi Presiden Jokowi membuktikannya dirinya
seorang pemimpin negara yang tegas dan lebih mengutamakan kepentingan
rakyatnya berbanding rakyat luar.
Dilihat lemah-lembut,
bertubuh kurus dan bercakap pun tidak menjerit-jerit, namun sebaliknya
Jokowi membuktikan sikap tegasnya yang terpuji sebagai pemimpin.
Walaupun kita sebangsa dan serumpun dengan Indonesia, kita sebenarnya
tidak boleh marah atau berasa hati dengan tindakan yang dilakukan oleh
Jokowi itu kerana ia menunjukkan sikap dan pendiriannya yang lebih
mengutamakan rakyatnya sendiri.
Sudah tentu pendirian Jokowi
itu mendapat pujian daripada rakyatnya. Jika pemimpin kita pun lebih
mengutamakan rakyat sendiri berbanding rakyat luar, sudah tentu juga
pujian yang akh diterimanya.
Ada nilai-nilai yang perlu
pemimpin kita belajar daripada ketegasan Jokowi itu. Kecuali dalam era
kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersikap tegas dalam
mempertahankan hak negara sendiri, kepimpinan selepasnya dilihat amat
lembut dengan negara asing dan juga negara jiran.
Lihat saja
bagaimana ketika era Pak Lah dan Datuk Seri Najib Razak ini dalam
berurusan dengan Singapura misalnya. Kita bukan saja lembut dan sering
mengalah, tetapi juga seolah-olah suka dilihat kalah dan menunduk
kepada negara jiran itu.
Dengan negara besar seperti Amerika
Syarikat lebih lagilah mengalahnya kita sehingga antara golf dan banjir
besar pun, pemimpin kita gagal membuat pertimbangan yang mana satu
keutamaan yang harus didahulukan.
Begitu juga dalam beberapa
isu yang melibatkan kaum dan agama, pemimpin negara kita kerapkali
gagal bertindak sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang dan
keutamaan sehingga menyebabkan ketegangan kaum dan agama terus berlaku
dan berulang-ulang sehingga kini.
Dengan tindakan Jokowi
menunaikan janjinya untuk meletup dan menenggelamkan kapal nelayan yang
menceroboh perairannya, ada nilai-nilai ketegasan yang perlu pemimpin
kita, terutamanya Najib, perlu belajar daripada pemmpin Indonesia yang
bertubuh kurus dan berwajah kekampungan itu.
Janganlah terlalu lembut, diam, senyap dan lebih suka tidak berbuat apa-apa dalam negara yang semakin banyak masalah ini.
Dr Mahathir berulangkali menyatakan, "jadi pemimpin mestilah tegas dan
berani". Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan, "kalau tiada sifat
berani, jangan jadi pemimpin".
Sekiranya Najib malu untuk
mendengar nasihat Dr Mahathir yang tidak lagi menyokongnya atau segan
dengan kata-kata Anwar yang menjadi musuh politiknya,
sekurang-kurangnya nilai ketegasan yang ditunjukkan Jokowi ini
menyentap hati dan perasaannya. – shahbudindotcom.blogspot.com
Ketegasan Jokowi yang Najib perlu belajar daripadanya
Written By Unknown on Monday, 12 January 2015 | 15:36
Labels:
Pendapat
Post a Comment