Apabila tahun baru tiba, ramai di antara kita akan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan yang negatif daripada tahun sebelumnya, dan berazam untuk menjadi lebih baik dalam tahun baru.
Ya, kita semua ingin berubah menjadi lebih baik. Tetapi janganlah azam hanya tinggal azam semata-mata.
Terdapat satu azam yang sangat penting yang harus diguna pakai setiap rakyat Malaysia, dan ia adalah untuk membuat perubahan di negara ini dengan apa jua cara yang mungkin, untuk mengelakkan keadaan negara ini untuk menjadi lebih buruk.
Kerajaan Umno Baru
telah menunjukkan bahawa bukan sahaja ia tidak mampu menjaga kebajikan
rakyat; ia sebenarnya telah mewujudkan lebih banyak masalah kepada
rakyat dan negara. Ia telah membebankan negara ini dengan hutang negara
yang menimbun, dan telah membawa lebih banyak derita kepada rakyat
melalui pelaksanaan cukai-cukai baru.
Kerajaan
ini amat gemar menggunakan penyelesaian-penyelesaian jangka pendek
yang hanya menambah masalah baru. Contohnya adalah penyelesaian untuk
isu pendatang tanpa izin di Sabah. Bagi kerajaan, tindakan menafikan
kanak-kanak ini dari mendapat sijil kelahiran dan hanya memberikan
dokumen-dokumen biasa, masalah ini akan selesai. Tetapi ini sebenarnya
akan menyebabkan lebih banyak masalah kepada negara dan rakyat pada masa
akan datang.
Kanak-kanak malang
akan dinafikan peluang pendidikan dan pekerjaan di kemudian hari. Ini
merupakan cara yang paling mudah untuk mewujudkan lebih banyak masalah
sosial kepada rakyat Sabah. Kumpulan ini dengan mudah akan dijadikan
sasaran oleh penceroboh Sulu. Penyelesaian ini hanya menjadi satu lagi
masalah.
Kerajaan harus berfikir
dan menganalisis secara mendalam mengenai mana-mana percubaan untuk
menyelesaikan isu-isu dalam tahun baru ini. Penyelesaian ini mesti
bersifat menyeluruh, dan bukannya ibarat melepaskan batok di tangga.
Rakyat
Sabah harus mempunyai suara dalam segala perkara yang melibatkan
kebajikan dan kesejahteraan di masa hadapan. Ini perlu dilakukan pada
tahun akan datang.
Perbincangan
hendaklah dijadikan amalan jika kerajaan ingin menunjukkan bahawa ia
benar-benar serius dalam menyelesaikan isu-isu. Slogan mesti dihentikan
kerana bertindak itu adalah lebih baik dari bercakap.
Rakyat
Malaysia sedang menunjukkan tanda-tanda mahu membetulkan
kejadian-kejadian yang telah meletakkan Perlembagaan dalam risiko untuk
dilanggar. Tindakan oleh 25 orang bekas penjawat awam kanan merupakan
petanda baik bagi masa depan negara ini. Mereka perlu berusaha untuk
melakukan lebih banyak pada tahun akan datang, bagi memastikan perubahan
dapat dilakukan.
Semakin lantang
suara-suara yang menyokong perubahan kedengaran, semakin besar
kemungkinan untuk rakyat mengetahui keadaan sebenar di negara ini.
Orang-orang Melayu kurang arif yang telah diperhambakan mindanya oleh
Umno Baru, memerlukan pendedahan untuk menyedari bahawa mereka telah
dipergunakan oleh Umno Baru untuk kekal berkuasa.
Jabatan-jabatan
agama Islam perlu dikekang dan dihalang dari berkeliaran mencari
sasaran bagi mengembangkan bidang kuasa mereka. Perlembagaan harus
menjadi asas dalam mengehadkan gangguan-gangguan yang tidak munasabah
mereka terhadap kehidupan umat Islam Malaysia.
Semua
rakyat Malaysia perlu berada di bawah undang-undang sivil. Kewujudan
sistem perundangan berkembar menyebabkan kekeliruan dan kemarahan di
kalangan rakyat.
Agama hendaklah
menjadi hal peribadi dan tidak boleh menjadi tumpuan pengawasan
mana-mana pihak berkuasa agama. Melalui sikap lebih sudu dari kuah
mereka dalam mengawal umat Islam dalam semua aspek kehidupan, mereka
telah menidakkan hak-hak individu dan privasi.
Ini
tidak berlaku dahulunya. Sudah tiba masanya perubahan dibuat seiring
dengan Tahun Baru, bagi memastikan bahawa umat Islam turut dapat
menikmati apa yang telah dijamin perlembagaan.
Banyak
lagi perubahan yang diperlukan di negara ini bagi menjamin kestabilan
sosial, persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat.
Bagi
sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia,
dasar-dasar ekonomi dan sosialnya harus bersifat kebangsaan dan
bukannya bertumpukan kaum.
Demi
mencapai keamanan, perpaduan dan kesejahteraan nasional, negara ini
perlu mengamalkan sekularisme. Sikap taksub agama dan kaum langsung
tidak mempunyai tempat di dalam negara yang kita cintai ini.
Azam untuk berubah menjadi lebih baik ini mesti diwujudkan demi Malaysia dan rakyatnya.
Ahmad
Mustapha Hassan merupakan bekas setiausaha akhbar perdana menteri
kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Beliau juga penulis buku
berjudul, "The Unmaking of Malaysia
Post a Comment