Oleh INSTITUT RAKYAT
PENDEKATAN kerajaan untuk membasmi kemiskinan dengan bantuan langsung tunai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah simplistik kerana kemiskinan wujud dalam pelbagai dimensi.
Maka BR1M bukan sahaja tidak dapat membasmi kemiskinan dalam jangka
pendek, sebaliknya ia akan mewujudkan eksploitasi politik dan
kebergantungan di mana mereka yang susah terdedah kepada risiko yang
lebih tinggi dalam keadaan negara mengalami krisis fiskal.
Program
pembasmian kemiskinan yang berkesan sewarjarnya menyeluruh dan
berpaksikan konsep “keluar daripada kemiskinan” (graduation).
Belanjawan 2015 bakal menyaksikan pertambahan BR1M ke arah RM1,200 bagi
keluarga berpendapatan bawah RM3,000 dan RM600 bagi golongan bujang
berpendapatan bawah RM2,000.
Walaupun jumlah yang bakal ditambah
masih belum ditetapkan, kerajaan telah mengumumkan bahawa tambahan RM300
akan diberikan kepada jumlah sedia ada sebagai bayaran khas GST 2015.
Pelbagai laporan menunjukkan BR1M menelan sejumlah RM9.4 bilion sejak
tahun 2012: RM1.8 bilion pada 2012, RM3 bilion pada 2013 dan RM4.6 pada
2014. Mereka yang mendapat manfaat RM500 adalah 3.4 juta isi rumah pada
tahun 2012; dan 7 juta isi rumah dan individu bujang yang berpendapatan
RM3,000 dan RM2,000 ke bawah sebulan pada 2013.
Pada 2014, jumlah
penerima bertambah kepada 7.9 juta disebabkan pertambahan kategori isi
rumah yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.
Dalam Persidangan Meja
Bulat Belia tentang BR1M yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan
pada 19 Julai lalu, wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Razali Mohamad
menerangkan kepada lebih 100 peserta yang terdiri daripada mahasiswa,
ahli akademik dan wakil NGO bahawa perlunya BR1M bagi mengurangkan beban
rakyat dan melengkapi program rasionalisasi subsidi ke arah pemberian
bersasar.
Menurut Ketua Seksyen Dasar dari Pejabat Belanjawan
itu, permohonan diluluskan berdasarkan syarat pendapatan bulanan isi
rumah RM3,000 ke bawah, bukannya kaum.
Pada tahun depan, BR1M
dijangka akan disalurkan dalam bentuk tunai dan barangan bagi
meringankan beban keluarga BR1M gagal basmi kemiskinan miskin.
Dalam keadaan perolehan data yang terhad, Institut Rakyat mengambil
pendekatan untuk mengupas beberapa isu berkaitan BR1M dalam realiti
sosio-ekonomi dan konteks pembasmian kemiskinan bagi menawarkan
perspektif alternatif dalam menilai kerelevanan program ini mengurangkan
kemiskinan.
Pertama, BR1M dan dasar pembangunan negara
BR1M dikatakan tidak mengenal warna kulit, namun dasar pembangunan
negara dan pelbagai urusan awam masih berlandaskan kaum, umpamanya
sistem kuota dalam institut pengajian tinggi awam, biasiswa dan ekuiti
ekonomi negara.
Ini merupakan satu kontradiksi yang besar dalam
halatuju pembangunan negara. Dasar kuota kaum bertujuan untuk membantu
golongan Bumiputera, namun realitinya adalah hanya segelintir Bumiputera
Melayu tertentu sahaja mendapat faedah.
Majoriti Bumiputera
khususnya Bumiputera bukan Melayu seperti orang asli di Semenanjung dan
pribumi di Sabah dan Sarawak masih tercicir dalam arus pembangunan.
Walaupun BR1M diberikan kepada mereka yang miskin tanpa mengenal warna
kulit, namun, pada dasarnya BR1M tidak dapat mengubah realiti
ketidaksaksamaan di bawah dasar pembangunan yang berpaksikan kaum.
Kedua, BR1M dan kemiskinan
Mengikut
statistik tahun 2012, dianggarkan 2.6 juta isi rumah atau 38 peratus
daripada jumlah isi rumah di Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah,
iaitu syarat kelayakan bagi memohon BR1M. Akan tetapi, kerajaan masih
menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM830 ke bawah, maka hanya
230,000 isi rumah yang mencatatkan 1.7 peratus kadar kemiskinan.
Berdasarkan PGK yang sedia ada, perbelanjaan harian seseorang
dianggarkan RM6 sehari. Angka ini amat tidak realistik jika dibandingkan
dengan BR1M yang menganggarkan perbelanjaan harian seseorang itu RM20
sehari.
Seandainya kerajaan menggunakan RM3,000 sebagai PGK baru,
kadar kemiskinan semestinya akan melebihi 1.7 peratus. Namun BR1M tidak
akan dapat memberi impak kepada dasar pembasmian kemiskinan selagi
kerajaan masih menggunakan PGK sedia ada semata-matanya untuk memberi
gambaran positif tentang keadaan kemiskinan dalam negara ini.
Ketiga, BR1M dan hutang isi rumah
Statistik Bank Negara Malaysia menunjukkan jumlah hutang isi rumah
meningkat dari 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada
tahun 2008 kepada 86.8% pada 2013, antara yang tertinggi di Asia.
Apa yang lebih merisaukan adalah pinjaman untuk pembelian rumah
merupakan jenis pinjaman tertinggi iaitu 44.2% diikuti dengan pembelian
kenderaan 17.6%.
Impak BR1M kepada isi rumah yang berpendapatan
RM500 sebulan mungkin berbeza dengan yang berpendapatan RM2,500 sebulan,
namun hakikatnya BR1M adalah pemberian oneoff yang menyumbang kepada
pertambahan pendapatan satu bulan sahaja, bukannya membantu isi rumah
“keluar daripada kemiskinan”.
Malahan kemiskinan sesebuah isi
rumah mungkin disebabkan oleh pengangguran, keuzuran dan kekurangan
kemudahan sosial seperti pendidikan, pengangkutan, perumahan dan
perubatan, yang semestinya tidak dapat diatasi dengan pemberian tunai
one-off.
Keempat, BR1M dan rasionalisasi subsidi
BR1M merupakan salah satu strategi kerajaan bagi melengkapi program rasionalisasi subsidi ke arah pemberian bersasar.
Rasionalisasi subsidi pada asasnya tidak salah dari segi moral, namun
jika subsidi untuk membantu rakyat dikurangkan tetapi projek mega dan
industri utama dimonopoli oleh syarikat kroni tanpa tender terbuka, maka
ia adalah tidak adil dan opresif.
Kenaikan harga minyak sebanyak
20 sen dijangka akan menambah secara purata perbelanjaan tambahan
sebanyak RM63 sebulan atau RM752 setahun. Selain belanja petrol dan
diesel, rakyat juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga
barang yang mengakibatkan jumlah tanggungan melebihi RM500 BR1M.
Sebaliknya anggaran subsidi gas kepada 26 penjana bebas (IPP) di seluruh negara ernilai sebanyak RM8.1 bilion setiap tahun.
Sesungguhnya, pendekatan BR1M mendedahkan dua kontradiksi dengan sistem
sosioekonomi yang sedia ada iaitu dasar pembangunan yang masih
berlandaskan kaum dan statistik nasional berkenaan kemiskinan yang tidak
realistik.
Dalam kontradiksi ini, BR1M juga tidak dapat membantu
isi rumah yang miskin keluar daripada kemiskinan kerana bantuan adalah
terlalu sedikit dan bersifat sementara.
Sebaliknya, BR1M akan
mewujudkan dua risiko: 1. Kebergantungan (dependency) – golongan miskin
dan tegar miskin tidak berupaya untuk keluar daripada kemiskinan dan
akan hilang sumber jika negara mengalami krisis fiskal;
2.
Eksploitasi politik (clientelism) – BR1M sebagai alat politik golongan
pemerintah untuk mengekalkan status quo dan seterusnya menyekat potensi
ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Hakikatnya, bagi
keluarga yang susah, BR1M mungkin merupakan satu bentuk bantuan langsung
tunai yang memberi kelegaan sementara. Namun, selepas kelegaan
sementara, rakyat kembali dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi.
Maka Institut Rakyat beranggapan kemiskinan bukan sekadar kuantitatif
dari segi ekonomi, tetapi juga kualitatif dalam pelbagai dimensi.
Pada dasarnya kemiskinan terhasil daripada halangan struktural yang
mungkin disebabkan oleh jantina, kaum, kelas, pendidikan mahupun
geografi, sehingga menyekat akses seseorang kepada sumber kekayaan atau
peluang yang saksama.
Oleh sebab itu, strategi pertambahan
pendapatan secara langsung melalui BR1M adalah tidak memadai dalam usaha
membasmi kemiskinan. BR1M bukannya ubat mujarab dalam pembasmian
kemiskinan.
Sebagai alternatif, pendekatan yang lebih tersasar
dan berpaksikan konsep “keluar daripada kemiskinan” adalah asas kejayaan
suatu program pembasmian kemiskinan.
Dalam satu persidangan
Graduation and Social Protection di Rwanda pada Mei lalu, pakar
perlindungan sosial Stephen Devereux dalam ucapan penutupnya menegaskan
bahawa konsep ‘keluar daripada kemiskinan’ fokus untuk mewujudkan rakyat
yang aktif dan membangunkan kelas menengah, bukannya untuk mewujudkan
lebih banyak lagi program atau lebih ramai penerima.
Untuk jangka
panjang, kerajaan perlu menyediakan kemudahan sosial dan menjamin
keadilan sosial bagi membantu golongan miskin, khususnya miskin tegar,
keluar daripada kemiskinan.
Dengan kerjasama sektor swasta,
kerajaan dapat menyediakan kemudahan kewangan kepada golongan miskin
agar mereka berupaya untuk menjana pendapatan sendiri dan berdikari.
Misalnya dalam manifesto Pakatan Rakyat, dasar dan program seperti
pendidikan percuma untuk semua, rumah selesa mampu milik, Skim Perintis
Rakyat, caruman wanita Malaysia, tabung inovasi, rombakan insentif
percukaian dan gaji minima digariskan untuk mengatasi halangan
struktural kemiskinan.
Sesungguhnya bantuan langsung tunai BR1M
gagal memberi gambaran bagaimana seseorang penerima boleh keluar
daripada kemiskinan dalam suatu tempoh yang tertentu, malah ia juga
menimbulkan persoalan samada program ini dapat membantu golongan miskin
tegar yang benar-benar susah.
Persoalan yang lebih penting adalah
jika BR1M dibatalkan dalam keadaan negara mengalami krisis fiskal,
apakah penerima dapat berdikari dan tidak terjatuh balik ke dalam kancah
kemiskinan. Jika tidak, maka BR1M bagaikan umpan golongan pemerintah
untuk meraih sokongan politik dengan mengekalkan golongan miskin dalam
kemiskinan.
BR1M gagal basmi kemiskinan
Written By Editor Bebas on Saturday, 4 October 2014 | 00:30
Labels:
Artikel
Post a Comment