Headlines News :
Home » » Ahli DAP yang berpurdah

Ahli DAP yang berpurdah

Written By Editor Bebas on Wednesday, 8 October 2014 | 15:46

Oleh Subky Latif

PADA mulanya takjub juga wanita berpurdah sekonyong-konyong menjadi ahli DAP, maka tiada yang mustahil selepas ini laki-laki yang berjubah, berserban dan berjambang ala Taliban pula diterima borang permohonannya untuk menyertai DAP.
  
Dunia demokrasi kita lagi tiada mustahil dengan apa saja pekembangan. Yang tetap dengan semua kemasukan itu DAP tetap mempertahankan sekularismanya dan tidak menerima hudud kecuali  PAS dibubarkan dan sekalian ahlinya dari TG Nik Aziz dan Ustaz Hadi Awang menyertai DAP.

 
Saya tidak membantah dan tidak mampu menghalang wanita berpurdah dan sesiapa saja untuk menyertai DAP. Cuma dapat berkata, seorang lagi Melayu tidak masuk Umno. Yang eloknya anda menyokong saya jadi kerabat Pakatan Rakyat.
  
Yang  hendak saya komen tentang komennya ialah Islam dan ibadat seseorang adalah urusan peribadi seseorang. Sepertilah agama-agama lain dan ibadatnya adalah urusan peribadi dan bukan  masalah orang lain dan masyarakat. Sekali pun wanita muda itu masih Islam dan kekal Islam sampai mati.
   
Adakah betul begitu?
  
Pertama, apa latar belakang pendidikan Islam sehingga saudari boleh keluar dengan  pandangan itu?  Dan siapa gurunya?
    
Almarhum Tan Sri Nordin Saufi pernah memberitahu, dia mendalami Islam secara serius. Saya ucap tahniah padanya, tetapi saya lupa bertanya, siapa gurunya? Saya tengar Abul Razak Baginda mempelajari Islam. Dalam  satu tulisan  saya, saya alu-alukan dan saya tanya siapa gurunya?
   
Guru amat penting bagi seorang murid.
    
Tidak dilarang sesiapa masuk DAP. Yang dilarang ialah menyertai komunis, mengajak orang menubuhkan parti komunis dan ISIS atau mana-mana gerakan keganasan Islam.
   
Sebelum wanita berpurdah menyertai DAP, ada pelajar pendidikan Islam justeru mengira Islam adalah urusan peribadi telah menyertai komunis. Mereka  ialah Musa Ahmad, Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Shamsiah adalah bekas pelajar sekolah tinggi Islam Sumatra. Dia berambut panjang. Dia kalah berdebat dalam politik dan isu Islam adalah urusan peribadi, dipotongnya rambutnya, dia berjuang dalam komunis di hutan dan pernah berpangkalan di tanah besar China.
   
Musa Ahmad dan Shamsiah kembali kepangkuan masyarakat dan meninggalkan perjuangan komunis.
   
Jika Islam itu urusan peribadi mengapa Rasulullah SAW bersusah payah mengajak orang lain – sekalian jahiliyah – supaya memeluk Islam? Pembesar Qurisy tawarkan baginda jadi raja, jadi orang terkaya di Mekah dan anugerah wanita tercantik jadi isteri asal tinggalkan dakwah. Islam saja sendiri, jangan ajak orang. Tetapi baginda tolak, terus ajak dan suruh semuanya ikut Islam.
  
Selepas Mekah dibebas, mengapa baginda utus Raja Rom dan lain-lain raja supaya terima Islam? Jika mereka enggan, baginda ingatkan raja-raja itu akan tanggung dosa dan azab neraka atas sekalian rakyat yang tidak ikut Islam kerana rajanya tolak seruan Nabi SAW.
   
Jika menunai zakat satu ibadat dan urusan peribadi, mengapa Khalifah Abu Bakar Siddiq lancar perang terhdap orang Islam yang enggan bayar zakat?
  
Jika Islam benarkan umat buat ikut suka, mengapa Rasulullah SAW beritahu Huzaifah ibn Yaman, jika sesiapa berada di tempat asing hendaklah cari jemaah Islam. Kalau tak jumpa, baru buat jemaah baru. Kalau cari tak jumpa, menubuh jemaah sendiri tidak upaya, maka lebih baik gigit perdu kayu, jangan sekali-kali ikut jemaah asing.
  
Mengapa baginda larang itu dan larang  ini? Kerana Islam itu bukan urusan peribadi. Islam itu urusan Allah, urusan Nabi-Nabi dan urusan umat. Jika ada orang Islam tegur orang Islam lain, bukan kerana getik atau benci, tapi kerana sayang.
   
Sudahkah nona berpurdah berbincang dengan  tok-tok guru, ustaz-ustaz  atau pakar motivasi Ibni Kamsah?
Share this post :

Post a Comment

 
Webmaster : Cybersniper Pakatan
Copyright © 2015. Sanggah Daily - All Rights Reserved
Pandangan Dalam Laman Web ini Tidak Semestinya Menunjukkan Sikap SanggahDaily
Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat