DALAM beberapa posting terbaru, kita berbincang dan berbahas isu-isu serius. Kali ini marilah kita bercerita mengenai sesuatu yang lebih ringan dan mungkin menghiburkan. Orang putih kata, comic relief.
Daripada klip di atas, kita memperoleh ilmu dan panduan untuk mencari persamaan, teladan dan kesimpulan. Antaranya:-
1. Betapa asli (original)
dan dalamnya pemikiran P Ramlee. Filem beliau dapat dengan kiasan dan
sindiran membina. Dalam adegan di atas beliau menggantikan permaidani
terbang dengan tikar mengkuang terbang.
2. Naik tikar dan permaidani ajaib lebih pantas daripada menunggang
unta. Tetapi tikar dan permaidani ajaib hanya ada dan relevan dalam
cerita P Ramlee dan hikayat Seribu Satu Malam saja. Dalam realiti, kita
kena naik kapal terbang untuk perjalanan jauh dan pantas.
3. Arab berkhayal dan bersengketa. Barat mencipta dan membolot kuasa.
Dunia Arab porak-peranda. Malang seribu kali malang, banyak orang kita
sangat taasub kepada Arab sampai sanggup jadi pengebom bunuh diri dan
berbunuh-bunuhan sesama Muslim.
4. Ada seorang bekas profesor memberitahu saya, dalam sebuah kitab
agama lama Johor disebutkan iaitu kalau masih dalam keraguan setelah
membaca kitab itu, pergilah bertanya kepada Arab yang terdekat.
5. Selain menghias, permaidani ada banyak kegunaan luar jangkaan. Dalam hikayat Seribu Satu Malam (The Arabian Nights), permaidani ajaib boleh terbang.
6. Bila ada permaidani, ada pulalah pengguna, pengeluar, pengedar dan peniaga permaidani (carpet traders). Carpet traders
pula ada perbagai jenis. Ada yang membekalkan permaidani kepada masjid
dan surau. Cukup makan, jarang kaya dan sana sini buat pahala. Lazimnya
Melayulah. Ada carpet traders kelas eksklusif. Mereka bekalkan
permaidani kepada istana dan rumah orang ternama. Mereka berjaya dan
kaya. Bank bagi pinjaman mudah puluhan juta. Kalau pintar atau
putar-belit mereka turut mendapat pengaruh dan kuasa. Jadilah mereka carpet teaders with power.
7. Selain menjadi hiasan dan simbol status kepada pemiliknya,
permaidani juga boleh dijadikan tempat menyembunyikan sampah dan debu
seperti dalam pepatah Inggeris “sweeping under the carpet”.
8. Menggulung manusia dalam permaidani pun boleh seperti dalam legenda
Cleopatra. Dia telah disembunyikan diri dalam gulungan permaidani untuk
dibawa bertemu kekasihnya, Julius Caesar. Cleopatra berbuat begitu demi
mengelak daripada dikesan dan dibunuh oleh musuh ketatnya iaitu abangnya
Ptolemy.
9. Apabila Caesar pulang ke Rom dan dinobatkan sebagai maharaja (emperor),
Cleopatra mengikutinya. Tetapi apabila Caeser dibubuh oleh Brutus and
Cassius, Cleopatra cepat-cepat lari dari Rom dan kembali ke Mesir.
Natijahnya, dalam politik dua beradik pun boleh jadi musuh ketat dan
dalam cinta berahi, macam-macam tipu helah digunakan. Pastinya orang
yang menolong menyeludup Cleopatra dalam gulungan permaidani
dianugerahkan duit dan pangkat.
Elizabeth Taylor Sebagai Cleopatra |
10. Kemudian cerita mengenai kematian Khalifah Baghdad, al-Musta’sim
pada tahun 1258. Apabila panglima tentera Mongol, Hulagu Khan, menawan
Bahgdad dia dikisahkan telah membalut al-Musta’sim dalam permaidani dan
mengarahkan kuda memijaknya sampai mati. Diriwayatkan yang Hulagu
percaya kepada nujum. Nujum memberitahu beliau memancung al-Musta’sim
boleh mencetuskan malapetaka seperti gempa bumi.
Lukisan Mongol Mengepung Baghdad 1258M |
11. Al-Musta’sim pula digambarkan sebagai seorang pemerintah yang lemah, berbolak-balik (vicillating), malas, suka meminum serbat dan di kelilingi pemuzik serta badut.
12. Akhir kalam, panduan berbomoh daripada seorang bekas setiausaha
bahagian Umno dari Pantai Timur. Katanya banyak orang politik suka
berbomoh. Ingat lagi cerita Mona Fandey-Mazlan Idris? Mazlan adalah ADUN
BN Pahang.
13. Pesan beliau, sebelum meminta bomoh “mengunci” seseorang, pastikan
bomoh itu tahu membukanya. Katanya, pernah berlaku si mangsa terkunci
mati kerana si bomoh hanya belajar mengunci tetapi terlupa belajar
membuka kunci.
Nota kaki: Blog ini tidak menggalakkan perbomohan dan sebarang kerja yang menyekutukan Allah.
Wallahuaklam.
http://kadirjasin.blogspot.com
Post a Comment