Oleh Mariam Mokhtar
Kepercayaan orang ramai adalah sesiapa sahaja boleh menjadi kaya di Malaysia tanpa bekerja
keras selama bertahun-tahun hanya dengan menjadi politikus Umno-Baru.
Lupakan sahaja integriti dan kemegahan diri. Jadi sahaja seorang
pengampu dan bersedia untuk membuat jenayah dan menipu orang lain.
Jika ada yang tidak bersetuju, hantar sahaja samseng kepada mereka.
Penyokong
Umno-Baru yang memerlukan bukti bahawa dasar mereka sudah menggagalkan
Melayu – orang yang kononnya mereka lindungi – tidak perlu melihat jauh
melangkaui Menteri-menteri mereka.
Jika kita ingin meningkatkan
standard pendidikan yang rendah, kita perlu selesaikan punca utama
masalah, dan bukan sekadar gejalanya. Dalam isu pendidikan, ini bermakna
menyingkirkan Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan
penasihatnya.
Dua tahun lalu, Muhyiddin berkata bahawa rakyat
Malaysia memiliki “sistem pendidikan antara yang terbaik di dunia”.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan bertanya
mengapa murid Melayu ketinggalan berbanding murid China, dan keliru
kerana hanya sedikit orang Melayu yang menjadi usahawan.
Tiga
perkara adalah jelas. Politikus Umno-Baru pandai memutarbelitkan
kegagalan dasar mereka menjadi isu dengan berbau perkauman. Daripada
menyatakan punca masalah yang dialami masyarakat Melayu, Umno-Baru
membangkitkan kekurangan Melayu dengan memalukan mereka.
Tambahan pula, parti itu berperangai seperti orang yang memiliki sakit
pasif-agresif. Apabila orang Cina tidak menjadi kambing hitam, Umno-Baru
akan memuji mereka, namun hanya dengan niat merendah-rendahkan Melayu.
Ahmad Maslan menyatakan kebimbangan terhadap kurangnya usahawan Melayu.
Beliau berkata, “Anak-anak Cina walaupun tidak diajar tentang
keusahawanan di sekolah, belajar daripada kedai runcit ibubapa mereka
selepas pulang.”
“Mereka membantu ibubapa di kedai, kilang, mereka pergi ke syarikat ibubapa.
“Namun anak Melayu tidak begitu. Mereka melastik burung di bawah pokok
kelapa sawit, mandi air terjun dan parit. Bila mereka boleh jadi
usahawan?”
Tindakan generalisasi dan melaga-lagakan kaum oleh
menteri itu ternyata salah. Umno-Barulah yang merampas semangat untuk
bersaing daripada orang Melayu. Orang Melayu diberikan bantuan,
sementara orang Cina terpaksa bergantung dengan usaha sendiri untuk
terus hidup. Kebanyakannya bekerja keras, mengambil setiap peluang yang
ada dan memperkembangkan kemahiran untuk bersaing. Orang Melayu pula
dimanjakan.
Ahmad Maslan enggan mengakui ada ribuan usahawan
Melayu yang tekun. Mereka berjuang dan berhadapan persaingan sengit
dengan orang Melayu lain yang mempunyai ‘kabel’ dengan mereka yang
berpengaruh. Melayu Umno-Baru adalah ancaman kepada usahawan Melayu dan
Cina.
Jika Ahmad Maslan ingin tahu mengapa prestasi anak-anak
Melayu agak terkebelakang di sekolah, beliau patut menyiasat sendiri
dakwaan ramai bekas guru berhubung markah lulus sesetengah mata
pelajaran yang diturunkan, agar lebih ramai murid Melayu lulus
peperiksaan.
Sistem itu telah berbohong kepada anak-anak Melayu dan membuatkan mereka merasa hebat, walaupun ia palsu semata-mata.
Umno-Baru telah mencabul semangat nasionalisme. Anak-anak Melayu
keberatan untuk bercakap dan menjadi fasih dalam Bahasa Inggeris. Mereka
menganggap bercakap Bahasa Inggeris adalah tidak patriotik.
Ramai anak Melayu tidak dapat bercakap Bahasa Melayu, dan juga Bahasa
Inggeris dengan betul. Mengabaikan Bahasa Mandarin juga merugikan
mereka, terutama dalam perniagaan tempatan dan ketika berurusan dengan
China.
Menukar nama jalan di bandar dan pekan adalah satu cara
memadam sejarah penjajahan kita. Sejarah Malaysia telah menjadi satu
pembelajaran tentang bagaimana Islam menguasai Malaya di zaman awalnya.
Sejarah kita mengabaikan tokoh seperti Yap Ah Loy, tetapi menumpukan
tentang pembentukan Kesultanan Melayu.
Bukan sejarah sahaja yang
diancam di sekolah. Dengan bantuan Muhyiddin, Ahmad Maslan ingin
mengurangkan waktu pengajaran Geografi untuk mata pelajaran baru
“Keusahawanan” di sekolah menengah.
Walaupun berkata beliau
tidak memusuhi Geografi, Ahmad Maslan berkata, “Buka peta dunia, tunjuk
200 negara, selesai. Apa lagi yang perlu belajar dalam Geografi?”
Beliau percaya bahawa Geografi hanyalah dengan membuka atlas. Kita
perlu melihat semula latar belakang menteri Umno-Baru. Adakah mereka
kebanyakannya politikus sepenuh masa?
Dengan mendakwa mata
pelajaran “Keusahawanan” akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan,
Ahmad Maslan berkata beliau mahu Malaysia menjadi negara berpendapatan
tinggi.
Bagaimana untuk mencapainya, jika ramai warga Malaysia
berhijrah ke luar negara? Jika kita masih lagi bergantung dengan buruh
murah asing?
Untuk melahirkan usahawan Melayu yang baru, Ahmad
Maslan perlu memansuhkan dasar Umno-Baru yang sudah berjalan berdekad
lamanya.
Melayu “baru” perlu memiliki pendekatan secara
langsung. Perniagaan bukan tentang mengaut komisen tanpa usaha, atau pun
melaksanakan model perniagaan “Ali Baba”.
Mereka perlu bersedia
berhadapan dengan risiko. Berdekad lamanya, orang Melayu telah
didoktrinkan oleh Umno-Baru agar takutkan perubahan.
Adakah
orang Melayu akan memperbaiki sikapnya terhadap masa? Adakah seorang
usahawan Melayu itu akan sabar? Beliau mesti bersedia untuk berhadapan
dengan banyak kegagalan sebelum menikmati kejayaan. Adakah beliau akan
belajar untuk menerima bahawa beliau bertanggungjawab dalam setiap
tindakannya?
Orang Melayu yang bijak bukan sahaja akan memiliki
perniagaan yang berjaya, tetapi akan menjadi ancaman kepada
kelangsungan Umno Baru. Ini kerana mereka tahu bahawa jika mereka
berkerja keras, mereka akan berjaya. Tidak seperti kroni Umno-Baru yang
berkerja dengan pendekatan perniagaan yang subahat, bersama-sama samseng
yang berlakon sebagai politikus.-bm.theantdaily.com
Umno adalah jalan paling mudah menjadi kaya
Written By Editor Bebas on Monday, 12 January 2015 | 15:25
Labels:
Artikel
Post a Comment