Tahap integriti dan kesaksamaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah lama diragui. Pengakuan bekas Pengerusi SPR yang kini Naib Presiden Perkasa, Tan Sri Rashid A Rahman bahawa beliau adalah penyokong BN ternyata mengesahkan keraguan itu.
Rashid seperti tidak memiliki rasa malu apabila membuat pengakuan itu ketika berucap dalam satu perhimpunan pro-Umno 14 Desember lalu
Namun
sedikit menarik apabila beliau juga memberitahu Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak agar berhenti “berbohong” kepada orang Melayu.
Apa-apa
pun, itu bukanlah kali pertama seorang ketua badan – yang tugasnya
menurut Perlembagaan termasuk mengendalikan pilihan raya dan menyediakan
daftar pemilih - dilihat condong ke arah parti pemerintah. Tidak lama
dahulu, pengganti Rashid yang kini pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz
Yusof didapati termasuk dalam senarai nama ahli Umno.
Melihat
dua insiden ini, saya tidaklah terkejut sangat apabila salah seorang
Ketua SPR negeri secara tertutup mengatakan perlunya menambahkan kerusi,
kononnya demi “kepentingan politik Melayu-Muslim”. Beliau juga
menyifatkan sukar untuk “kita” merampas kembali Selangor dan Pulau
Pinang. Kenyataan itu jelas menunjukkan sikap berat sebelah kepada
Umno-BN.
Untuk rekod, Rashid adalah
Setiausaha SPRsejak 1979. Selepas bersara daripada perkhidmatan awam,
beliau dilantik menjadi Pengerusi SPR dan berkhidmat sejak 2000 hingga
2008. Sepanjang perkhidmatannya, Rashid telah mengendalikan enam
pilihan raya umum dan tiga persempadanan semula; pada tahun 1984, 1994
dan 2003.
Sebelum membuat pengakuan
itu, Rashid sudah beberapa kali secara terbuka mengisytiharkan bahawa
beliau tahu bagaimana untuk “menjadikan Melayu (baca: Umno) kekal
berkuasa”. Beliau juga mendakwa dirinya “memperjuangkan hak Melayu dan
memastikan Melayu kekal memegang kuasa politik”.
Jelas,
kesemua kenyataan ini cukup untuk menjelaskan mengapa Rashid kini
menjadi pimpinan tertinggi sebuat organisasi sayap kanan. Atau boleh
jadi itulah dirinya yang sebenar.
Sama
seperti bekas Ketua Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad – yang juga aktif
dalam Perkasa – pandangan mereka yang condong terhadap Umno
membangkitkan keraguan ke atas institusi yang mereka ketuai dahulu.
Kenyataan itu juga menjelaskan, mengapa dan bagaimana Umno-BN mampu kekal berkuasa sejak Kemerdekaan pada 1957.
Beberapa
hari selepas pengakuan Rashid, penggantinya Abdul Aziz menolak
permintaan beberapa pihak untuk berbincang soal persempadanan semula
yang akan dilakukan.
Dalam satu
laporan 18 Desember lalu, Abdul Aziz berkata, SPR tidak perlu mendengar
suara pihak seperti NGO Bersih. Katanya, suruhanjaya itu hanya perlu
bertemu dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Perlu
disebut bahawa Bersih sebelum ini mengatakan yang SPR tidak memiliki
kuasa untuk memutuskan penambahan kerusi secara sendiri; seperti yang
sering terjadi sebelum ini.
Namun di
sebalik kenyataan Abdul Aziz itu, SPR negeri tetap enggan bertemu
dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang mewakili kerajaan negeri dalam
soal itu. Tiga MP tersebut adalah Sim Tze Tzin (PKR), Ng Wei Aik (DAP)
dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS).
Maka,
jelas bahawa SPR bertindak secara tidak konsisten. Malah, mengapa SPR
enggan melaksanakan kuasa dan mengehadkan peranan mereka juga kekal
misteri. Bukanlah susah sangat untuk memahami bahawa bagi memastikan
persempadanan itu berjalan dengan telus dan adil, SPR Pulau Pinang patut
melaksanakan komitmen yang dinyatakan Pengerusinya itu.
Punca
mengapa SPR menafikan wakil kerajaan Pulau Pinang juga tidak jelas.
Apa yang nyata, tindakan itu merugikan SPR sendiri dalam usaha
meyakinkan pihak berkepentingan bahawa ia adalah badan yang bebas dan
tidak berpihak.
Melalui Artikel
114(2), Perlembagaan menggariskan perlunya suruhanjaya pilihanraya yang
berkredibiliti dan bebas. Ia turut menyatakan Yang di-Pertuan Agong
bertanggungjawab dalam memastikan soal itu. Perlembagaan juga
melibatkan Majlis Raja-raja dalam proses tersebut, walaupun hanya
dengan kapasiti penasihat.
Ramai
yang mengatakan, Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu bertindak di
bawah nasihat Perdana Menteri dalam soal ini. Ini kerana jelas bahawa PM
turut terlibat dalam pilihanraya.
Walaupun
Yang di-Pertuan Agong digalaskan dengan tugas tersebut, ia tidak
sepatutnya berhenti setakat itu sahaja. Selepas dilantik, suruhanjaya
perlu mengambil inisiatif untuk menunjukkan serta membuktikan
kebebasannya.
Inilah sebabnya
mengapa Perlembagaan memperuntukkan beberapa perlindungan, bagi
memastikan anggota suruhanjaya tidak menerima sebarang ancaman atau
ugutan. Ia termasuk perlindungan daripada dipecat begitu sahaja, dan
juga peruntukan berhubung ganjaran kepada mereka.
Kita
boleh mengatakan bahawa berdasarkan peruntukan ini, tindakan SPR yang
menolak untuk bertemu dengan Bersih adalah bertentangan dengan tugas
perlembagaannya.
Walau apa-apa pun,
sikap SPR yang menuruti Umno-BN dan menolak banyak cadangan daripada
pembangkang sudah menjadi satu rahsia umum.
Walaupun ketika SPR menerima cadangan mereka – seperti penggunaan dakwat kekal – pelaksanaannya dipenuhi pelbagai masalah.
Amat
jelas bahawa SPR – di sebalik tapak dan mekanisme yang diperuntukkan
Perlembagaan – memilih untuk menjadi rapat dengan satu pihak, bukannya
menjadi sebuah institusi Perlembagaan yang benar-benar berkhidmat untuk
demokrasi dan kesaksamaan.-bm.theantdaily.com
Dr
Abdul Aziz Bari adalah bekas pensyarah undang-undang UIA dan kini
mengajar di Unisel. Beliau juga merupakan Felo Kanan di badan pemikir
IDEAS.
Post a Comment