Oleh Hazlan Zakaria
Sebagai seorang wartawan separa-veteran, amat jarang saya mengkagumi seorang politikus.
Benar, ramai yang saya hormat dan ada juga yang dipandang tinggi, namun
secara umum saya tidaklah terlalu ambil pusing tentang mereka.
Namun ada sebilangan kecil, dan khususnya seorang sosok yang telah
menegaskan kepercayaan saya terhadap mereka, golongan yang memerlukan
undi kita untuk dipilih mentadbir dan memimpin, kalau pun tidak
sebenar-benarnya berkhidmat kepada rakyat.
Walaupun
belum sampai sedekad saya menjadi wartawan, hampir sepanjang tempoh itu
telah didedikasikan untuk membuat liputan dan laporan tentang politik
Malaysia.
Sudah
banyak perkara yang saya lihat dan alami. Saya menjadi penat dan
bosan, sudah terlalu biasa dengan kekecewaan, ketidakjujuran, cakap
kosong dan buruk-memburuk daripada watak-watak politik yang kita kenal.
Saya mungkin menjadi mangsa kepada penyakit yang biasa
dihadapi mereka yang cukup dekat untuk melihat sendiri
kesilapan-kesilapan kecil di tembok kekuasaan, yang menjadikan
seseorang itu sebagai sinis yang pesimistik.
Namun ada seorang
insan di kalangan ramai dalam dunia politik yang tegap berdiri di
tengah-tengah kancahnya, yang mengembalikan kepercayaan saya terhadap
politikus, walau pun tidak semua.
Insan itu adalah Datuk Nik
Aziz Nik Mat, seorang daripada sebilangan tokoh yang setakat ini gagal
memenuhi jangkaan sinikal saya tentang politikus. Beliau adalah
Mursyidul Am PAS, bekas Menteri Besar Kelantan dan masih sebagai Adun
Chempaka.
Seperti kata-kata editor saya, beliau adalah politikus Melayu yang sukar lagi untuk dilihat pada masa ini, benar-benar luar biasa dan tiada duanya.
Tidaklah sehingga mencetuskan sentimen “Politikus Melayu hebat terakhir”, namun mungkin tidak terlalu jauh daripadanya.
Ada sesuatu dalam gayanya yang membawa kita ke zaman dahulu. Di saat
yang telah dilupakan dan malah mungkin sehigga saat sahabat Nabi
Muhammad SAW dan gambaran kepimpinan yang dicetuskan mereka.
Satu zaman…
Di saat pemimpin tidak terlalu bongkak dan beromong kosong.
Di saat pemimpin berkata-kata dengan lembut dan baik.
Di saat pemimpin melangkaui permainan politik murahan yang biasa.
Di saat hidup mereka bukan sahaja didedikasikan kepada rakyat terbanyak, tetapi memang dilihat begitu.
Di saat politikus lain hidup jauh lebih selesa selepas mendaki tangga politik, Nik Aziz terus dengan gaya hidup sederhana.
Beliau bahagia di rumah kampung, walaupun ketika berjawatan besar dan mendapat kediaman rasmi. Memandu kereta lama, walaupun beliau boleh mendapat kereta mewah hanya dengan menyatakannya.
Ketika politikus lain memiliki gambar mereka yang penuh gaya di dalam
dan luar negara, diiringi pengiring rasmi dan polis walaupun ketika
urusan peribadi, Nik Aziz menjalani hidup dengan tawaduk.
Gambar dirinya yang diambil rakyat dan dimuat naik di internet langsung
tidak menunjukkan gaya seorang politikus yang memegang kuasa.
Tiada gambarnya bercuti di pusat beli belah dan taman tema luar negara,
bermain golf dengan Presiden negara luar atau menganjurkan majlis mahal
di tempat yang juga mahal.
Yang ada hanya gambar beliau
bersolat, berehat atau pun tidur di masjid, atau berjalan kaki ke masjid
berhampiran rumahnya. Juga ketika membeli makanan dan minuman di
warung tepi jalan, atau membacakan doa kepada bayi yang baru lahir
apabila ibubapa datang berjumpa dengan beliau.
Gambar-gambar
yang ada hanya menunjukkan seorang lelaki berumur yang hidup biasa,
kecuali pakain rasminya ketika di pejabat. Malah, itu pun tidak cukup
gah seperti yang sering dilihat.
Ketika mengundi sewaktu pilihan raya, beliau beratur menunggu giliran seperti orang lain.
Cukup banyak kisah tentang kehidupan dan gaya rendah dirinya di alam
maya, serta yang tersebar dari mulut ke mulut oleh mereka yang pernah
bertemu mata dengannya.
Satu kisah yang menjadi viral berhubung
seorang individu yang berhadapan masalah apabila keretanya rosak di
Kelantan. Beliau kemudian dibantu seorang lelaki berumur yang memandu
kereta lama. Lelaki berumur itu menghubungi mekanik dan, menurut kisah
itu, turut meminjamkan keretanya.
Hanya selepas diberitahu
mekanik yang baru tiba, individu itu mengetahui bahawa lelaki berumur
yang membantunya adalah Nik Aziz, Menteri Besar negeri itu.
Walaupun ada kisah serupa melibatkan politikus lain, serta gambar
mereka yang penuh rendah diri dan berkhidmat kepada rakyat, saya sering
menemui unsur jenaka di dalamnya.
Namun dengan Nik Aziz, deria
jenaka saya tidak pernah terjentik, dan mata saya yang mampu mengesan
helah politikus tidak mendapati apa-apa niat tersembunyi.
Sememangnya gaya penuh teladan itu telah menjadikannya seorang insan
yang sering dipandang tinggi bukan sahaja oleh orang Islam, tetapi
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Ada yang harus diperkatakan tentang bagaimana tingginya penghormatan
kepada beliau. Gelaran “Tok Guru”-nya – satu gelaran yang membawa
penghormatan yang tidak dimiliki ramai.
Mungkin salah satu sebab
adalah cara hidupnya, tidak seperti kebanyakan politikus dan pemimpin
yang sering berkata-kata tentang perjuangan namun tidak menunjukkan
teladan yang baik kepada rakyat.
Jika saya tidak mencapai
apa-apa dalam kehidupan, saya hanya berharap mampu mengikut jejak
langkahnya untuk berpegang kepada prinsip saya, seperti mana beliau
berpegang kepada prinsipnya.
Terutama dalam kerjaya yang
memerlukan saya berhujah tentang baik dan buruk, benar dan salah pihak
lain. Memang mudah untuk memuntahkan retorik dengan penuh api namun pada
masa sama tidak jujur dan serius tentang apa yang dikatakan…atau
mengamalnya sendiri.
Kepada Tok Guru yang paling dihormati, saya
berdoa kepada Allah SWT agar beliau yang kini dalam keadaan lemah
kembali sembuh dengan segera. Malaysia perlukan Tok Guru, dan tidak akan
ada lagi tokoh seperti Nik Aziz Nik Mat.
Home »
Penulis Tamu
» Tok Guru Nik Aziz yang luar biasa, penuh tawaduk
Tok Guru Nik Aziz yang luar biasa, penuh tawaduk
Written By Unknown on Saturday, 24 January 2015 | 15:43
Labels:
Penulis Tamu
Post a Comment