Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa ia mempunyai niat untuk menjadi sebuah parti politik serta meletakkan calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presidennya Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, PasMa merupakan sebuah
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak akan memberi saingan kepada
mana-mana parti politik.
"Kita (PasMa) mahu meningkatkan sokongan orang ramai terhadap Pakatan
Rakyat. Kita tidak fikir lagi untuk mendaftar sebagai sebuah parti
politik kerana bagi penyokong kita mereka lebih selesa jika tidak ada
platform (politik)," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor
berkata, Pasma tidak mempunyai perancangan meletakkan calon-calon untuk
bertanding pada PRU ke-14.
Menurut Phahrolrazi, apa yang terjadi kini adalah banyak pihak termasuk
di kalangan pimpinan PAS mempunyai persepsi yang salah tentang Pasma
serta objektif penubuhannya.
Phahrolrazi berkata ramai di kalangan penyokong-penyokong PasMa lebih
berminat untuk bergiat di bawah platform NGO yang lebih longgar dan
tidak mahu terikat dengan disiplin parti politik yang ketat.
Katanya, PasMa kini bergiat di seluruh negara kecuali Negeri Sembilan,
Johor, Sabah dan Sarawak serta mensasarkan untuk menarik keahlian di
kalangan penyokong-penyokong Pakatan.
"PasMa meletakkan sasaran 1 juta keahlian atau kira-kira 25 peratus
daripada 4 juta penyokong pembangkang. Kita mahu membina struktur
organisasi PasMa di setiap kawasan Parlimen," katanya.
Bagaimanapun, beliau gagal mendedahkan jumlah keanggotaan PasMa ketika
ini, dengan alasan data terkini NGO itu belum dikemas kini.
Mengenai pertemuannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
semalam, beliau berkata, mereka berbincang pelbagai perkara termasuk
kerjasama di antara kedua-dua pihak di dalam PRU ke-14.
-Bernama
Phahrolrazi: PasMa tak letak calon pada PRU-14
Written By Unknown on Wednesday, 14 January 2015 | 13:55
Labels:
Berita
Post a Comment